THE DENTIST

0
295

THE DENTIST
Karya: SenyumanPerantau SP

====================

Sabtu, 28 Oktober 2017
Azri baru 3 bulan kerja sebagai kerani di Wisma Alvian. Boleh dikatakan setiap hari dia akan kerja lebih masa untuk menambahkan pendapatan. Maklumlah masa bujang seperti ini merupakan peluang emas untuk mengumpulkan sebanyak pendapatan. Dia masih single dan tinggal berseorangan. Tak sibuk dengan perangai wanita atau perempuan lagi. RIMAS!

Malam tu, seperti kebiasaannya, Azri akan singgah sebentar di 7eleven untuk membeli setin Vanilla Coke, secawan maggi asam laksa dan coklat Kitkat. Ianya sudah menjadi norma sejak 3 bulan bekerja. Mungkin penat untuk singgah makan di kedai, ataupun lebih selesa sebegitu. Tak sihat? Paling kurang aku tak merokok, Azri memujuk hatinya.

Azri memandu pulang ke rumahnya yang terletak di Bahau. Dengan jalan yang mula lengang, dia beransur meninggalkan bandar Seremban. Sesekali apabila tiba di lampu isyarat merah, dia akan menghirup maggi tadi sambil mulutnya mengikut lenggok lagu mendayu-dayu “Aishah” oleh Projector Band.

Seusai tiba di rumah, Azri terus berbaring di sofa rumah sewanya itu dan terlena. Mandi tidak, apatah lagi gosok gigi. Mujur solat Isya’ sudah dilaksanakan di tempat kerja. Sedang asyik Azri melayari mimpi indah, tiba-tiba gigi kirinya berdenyut-denyut. Aduh!!!Bencana ni!!! Arghhh, celaka betul!! Malahan ada wanita memberi gambaran sakit beranak pun tertahan lagi jika dibandingkan dengan sakit gigi.

Sakit gigi bukanlah sakit biasa yang boleh ditahan-tahan, hanya yang pernah merasa sahaja memahami! Azri bingkas bangun, “Aduh, tak boleh jadi ni, aku mesti cari klinik gigi, kalau tak, tak dapat lelap ni.”

Dia memecut Wiranya mencari klinik gigi pada pukul 2 pagi! Sedang dia memandu melintasi kawasan belukar, dia terlihat sebuah bangunan yang tersergam indah, tampak kemas, tertulis dihadapannya, ‘Klinik Pergigian Aishah’.

“Eh, bila pulak ada klinik gigi kawasan ni? Cerah lagi tu, buka lagi kot, nak ambil untung lebih la tu,” Azri bermonolog.

Azri memberhentikan kereta di seberang jalan besar, dengan berjalan kaki menuju masuk ke dalam klinik gigi itu. Sunyi. Tiada pesakit lain. “Rezeki aku la ni.” Azri tersengih. Kalau pergi Hospital Kerajaan malam-malam ni, sah kena tunggu giliran kes-kes yang lebih utama.

Tiba-tiba satu suara menyapa dia, “Ye encik Azri. Silakan masuk ke bilik rawatan.” Azri tergumam terkejut kerana tanpa memperkenalkan dirinya, doktor perempuan itu mengenali namanya. “Bagus klinik ni!” Puji Azri dalam hati. Wajah Dr. Aishah belum sempat dilihat olehnya kerana masih terlindung kemas di sebalik topeng.

Kecing!Kecing!

Bunyi hiasan siput pantai bergeser sesama sendiri apabila Dr. Aishah melintasi pintu. Fuh, boleh tahan juga hiasan klinik ni. Klasik. Azri mula resah apabila diminta berbaring di atas kerusi rawatan. Jelas terpancar wajahnya yang semakin ketakutan. Biasalah jumpa doktor gigi kan.

“Awak takut ke? Tiada apa yang nak ditakutkan wahai pemuda tampan,” Dr. Aishah memujuk sambil menarik turun topeng mukanya, lalu memaparkan keseluruhan wajah. Wajah doktor gigi perempuan di hadapannya, sangat menyenangkan, dengan wajah yang ayu, rambut separas bahu, kemas dirapi, cukup membuatkan hati Azri lega daripada kesakitan yang ditanggung. Tertera nama Dr. Aishah di tag namanya.

“Doktor, saya sakit belah…”

“Belah kiri kan?” Dr. Aishah menyambung. Azri terkejut.

“Buka mulut, saya nak tengok.” Azri dengan penuh rela hati terus membuka mulut seluasnya.

“Dr. Aishah, jangan buat cucuk kuat-kuat ye. Saya memang fobia dentist.”

“Jangan risau la, awak mesti tak rasa sakit. Saya akan cucuk awak dengan kelembutan. Penuh kasih sayang. Bak drama melayu sekarang, I Love You, Mrs. Dentist.” Dr. Aishah terus melemparkan senyuman.

“Kalau macam tu, lega hati saya, dah la cakap baik-baik. Lawa lagi. Terima kasih Dr. Aishah.” Puji Azri tanpa segan silu.

“HAHAHAHA!!! REZEKI AKU MALAM NI DAPAT DARAH MUDA, SEDAP!!!” Dr. Aishah yang tadinya ayu sudah bertukar rupa, di hadapan Azri terlihat satu lembaga perempuan hodoh muka menggerutu dengan rambut mengerbang sedang menghisap nanah daripada gusi Azri yang membengkak. Baju whitecoat putih tadi bertukar rupa serta-merta. Compang-camping bersama beberapa tompokan darah. Tag namanya tercampak pecah di lantai klinik.

Mata Azri masih terpejam, disangka akan diberi ubat bius sebelum cabut. Sejurus mendengar hilai tawa yang garau, Azri menbuntangkan matanya. Jelas kesakitan yang dirasai bukanlah dari suntikan jarum, akan tetapi dari taring ‘Dr. Aishah.’

“Ya Allah. Makhluk apa ni. Mana Dr. Aishah yang cantik tadi??”

“Dr. Aishah apa? Aishah Sinclair?? Aishah Ahmad?? Aishah Azman?? Aishah Aziz?? Hahaha!”

Azri cuba meronta dan menepis. Kudratnya bagai sudah tiada. Tidak berdaya untuk menepis kepala Dr. Aishah yang galak menghisap nanah dan darah dari gusinya. Tangan Dr. Aishah yang berotot memeluk badan Azri erat.

“TERIMA KASIH AZRI!!! BYE..”

“Aduhhhhh…sakitttt”.. Suara jeritan memecah hening malam itu..

Tubuh Azri terkulai layu. Darah merah masih menitis membasahi rumput. Matanya terbeliak. Azri menghirup udara-udara terakhir. Tiada lagi klinik gigi yang tersergam indah. Cuma hanya tinggal bangsal kayu kosong. Bangku lama yang pecah dan rosak. Tiada lagi Dr. Aishah.

——

Ahad, 29 Oktober 2017
“Syafiqah, kau nampak tag nama aku tak? Last aku nampak Jumaat lepas. Lepas oncall malam.” Soal Aishah.

“Ala, pagi tu kan kita pergi jogging area jalan lama tu. Kau bawa beg sandang oncall sekali kan??” Balas Syafiqah.

“Aahla. Mungkin. Aduh. Tercicir la tu. Jom lepas sarapan kita pergi sana.”

“Beres guu..”

Tok! Tok! Tok! Pintu rumah diketuk.

Kriekkkk!

“Ya Encik, ada apa-apa yang boleh saya bantu??” Wajah Aishah kebingungan.

“Assalamualaikum, selamat pagi. Saya ASP Hafiz Yaakob. Saya ingin berjumpa dengan Dr. Aishah sebentar?”

“Ya. Saya Dr. Aishah. Kenapa Encik?”

“Awak dikehendaki ke balai, untuk membantu satu kes bunuh. Kami menjumpai tag nama awak disamping mayat yang ditemui.”

“Tapi Encik…. Apa salah saya??” Wajah Aishah pucat.

—–

Ahad, 4 November 2017

“Eh. Gigi aku sakit ni. Jom pi klinik gigi. Teman aku sat. Cabut dapat MC ooo!” Pujuk Hafizul.

“Mana ada klinik gigi malam-malam ni. Hang ni pun. Tak kan nak pi kecemasan kot. Hang ni tahan la sikit, esok kan ada.” Omel Hadid sambil menggenggam kemas stereng kereta.

“Wah. Gila baq hang. Tengok aku baru ja sebut. Dah ada klinik gigi depan tu kan? Aku kata dah. Aku ni bertuah, haha!”

“Aik. Biaq betoi klinik private bukak sampai pukul 3 pagi?”

“Dah. Dah. Hang berenti sat, aku pi masuk sat, cabut gigi. Nak pelik apa woi zaman la ni. Duit mahai. Kena cari rezeki lebih la, hang ni pun. Kolot.” Hafizul tergelak besar sambil mengatur langkah menuju…

“Klinik Pergigian Daisy”

——-

Sentiasa membuat pemeriksaan gigi paling kurang pun setahun sekali.

Mencegah lebih baik daripada mengubati.
Prevention is better than cure. Wiqayatun Khairun Minal I’laj.

—–

Suka Artikel Dari Kami?Jangan Lupa KLIK SHARE & Tinggalkan KOMEN Di Page Kami

Jangan Lupa Untuk Baca Artikel Artikel Lain DI SINI

-tamat-

Gambar: #kamenrider

SHARE
Previous article12-1-A2: PULANG
Next articleHILANG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here