SERU

0
909
SERU

Nukilan: Shaharahman Ismail

========================================

Langit cerah ditaburi gugusan bintang. Rembulan yang mengambang penuh tidak jelas kelihatan, dilindungi awan yang berarak perlahan. Angin berpupuk tenang, berhembus lembut membelai alam. Deburan ombak yang menghempas pantai terdengar tenang, mendamaikan jiwa yang gundah tidak keruan.

Beberapa orang pemancing kelihatan sedang ralit bersembang berhampiran unggun api. Kesunyian malam dihiasi oleh gelak ketawa mereka. Sesekali joran yang berada disisi diangkat, memeriksa umpan jika telah habis dimamah ikan kecil.

Tiba-tiba, alam mula berubah rentak. Langit yang cerah sedari tadi berubah warna, bertukar merah bagaikan disimbah darah. Rembulan purnama dan taburan bintang di dada langit telah hilang dalam sekelip mata.

Angin bertiup kencang dengan serta merta. Ombak menggulung tinggi, menghempas ganas ke gigi air. Debu berterbangan di udara, mengikut haluan badaian angin yang semakin menggila.

‘’Argghhhh.!! Arghhh.!!’’

Jeritan nyaring mula kedengaran, bergema kuat mengisi ruang. Suara pekikan lelaki dan perempuan saling bertingkah, menjerit-jerit tidak terhenti.

‘’Hahahaha..!!!’’

* * * * *

‘’Astagfirullahalazim.’’ Megat beristigfar beberapa kali sambil meraup wajahnya yang sedikit berkeringat. Dia masih tegap bersila di atas sejadah. Tasbih berwarna hijau gelap yang berada di dalam genggamannya tadi jatuh ke lantai saat dia terlelap semasa berwirid.

Megat mengatur kembali pernafasannya yang sedikit laju. Serban yang melilit dikepalanya diperkemaskan. Pemuda itu termenung jauh, pandangannya dihadapkan lurus ke hadapan. Walaupun bebola matanya memandang dinding, namun fikiran pemuda itu jauh menerawang.

Gambaran kejadian tadi menjengah ke benak, bermain-main di kotak fikiran bagai diulang siar. Sudah enam hari berturut-turut gambaran itu hadir pada pandangan Megat, diwaktu tidur mahupun diwaktu jaga.

‘’Huuu..’’

Pemuda itu menghela nafas lalu menjeling sekilas jam kayu di dinding yang masih setia berdetik.

‘’Dah pukul tiga suku.’’ Monolog Megat.

Pemuda itu mencabut serban di atas kepalanya lalu diletak cermat ke sisi. Lengan jubah berwarna putih yang dipakai disinsing sehingga ke paras siku. Dia bangkit berdiri lalu menapak langkah ke bilik air untuk berwuduk.

Pemuda itu ingin bermunajat, memohon petunjuk dari Yang Esa selain mendamaikan hatinya yang sedikit tidak keruan. Hanya dengan mengigati Allah, hati akan menjadi tenang.

* * * * *

‘’Semalam Pak Hasyim mimpi buruk Megat, mimpi huru-hara. Langit merah menyala, angin memukul kencang, pasir dan debu berterbangan. Suara lelaki dan perempuan saling menjerit-jerit umpama menahan kesakitan.’’ ujar Lebai Hasyim meluahkan apa yang terbuku dihati.

Kopi panas di hadapannya dicicip seteguk. Megat yang sedang mengasah pisau ketika itu segera menghentikan kerjanya. Pandangan pemuda itu tertancap pada wajah Lebai Hasyim yang berada disisi.

‘’Akhir sekali, Pak Hasyim dengar suara garau ketawa berdekah. Rasanya, ini permainan iblis.’’ Tambah lelaki tua yang berkopiah putih itu lagi. Megat hanya mengangguk tanda bersetuju.

‘’Kamu ada dapat alamat ni?’’ Lebai Hasyim menyoal anak saudaranya. Anak matanya merenung wajah pemuda itu.

Megat mengangguk perlahan, dia tersenyum tawar. Sebolehnya dia tidak mahu alamat yang diperlihatkan kepadanya menjadi kenyataan. Namun apakan daya, dia hanyalah seorang hamba yang tiada sebarang kuasa untuk merubah takdir andai ia-nya sudah tertulis.

‘’Dah lama kamu dapat petunjuk ni?’’

‘’Dah enam hari, berturut-turut.’’ tutur Megat setelah hanya berdiam diri sedari tadi. Suaranya sedikit perlahan, antara dengar dan tidak. Lebai Hasyim mengangguk tanda faham, bibirnya menggaris senyuman manis.

‘’Ternyata petunjuk ini datang lebih awal kepada kamu. Kamu tahu tempat tu kat kawasan mana?’’

‘’Pantai Tanjung Nilam, kampung Batu Tunggal.’’

Lebai Hasyim mengangguk faham, janggut putihnya separas dada dilurut perlahan. Kawasan pantai kampung Tanjung Nilam terus menerpa ke dalam benak.

‘’Bagaimana menurut kamu akan perihal ini Megat?’’ soal Lebai Hasyim lagi. Anak matanya tidak lari dari memandang wajah pemuda di sisinya.

‘’Hamba sudah pergi meninjau di kampung-kampung berhampiran. Angin hitam bertiup tidak berhaluan, tenaga negatif berterbangan liar. Yang bakal tiba ini pasti bukan sembarangan.’’ ujar Megat perlahan. Wajahnya masih tenang.

Lebai Hasyim mengalihkan pandangannya ke arah pohon mempelam di hadapan rumahnya. Pokok yang baru berputik buahnya itu ditenung lama. Dia termenung sejenak.

Walaupun pandangan matanya tertancap pada pokok itu, namun fikirannya jauh menerawang merentasi alam. Dua ekor burung murai yang sedang membebel nyaring di atas dahan sedikit pun tidak mampu mencuri perhatian lelaki itu.

‘’Jangan risau Pak Hasyim. Pasti ada jalannya.’’ ujar Megat seraya menguntumkan senyuman. Barisan giginya yang putih bersih terlihat jelas saat dia tersenyum begitu.

Lebai Hasyim yang tersedar dari lamunan terus mengalihkan pandangannya ke wajah Megat. Lelaki tua berkopiah putih itu turut menyimpulkan senyum. Dia mengangguk beberapa kali sambil menepuk-nepuk perlahan bahu anak saudaranya.

* * * * *

Megat bersila di atas pondok usang yang tidak berdinding. Kelopak mata pemuda itu terpejam erat. Sekali lihat, lagaknya tidak ubah seperti seorang pendekar yang sedang bertapa. Walaupun indera penglihatan pemuda tersebut tertutup rapat, namun derianya yang lain tetap aktif melihat alam sekeliling.

Bayu laut menjamah perlahan sekujur tubuh pemuda yang berambut ikal itu, dinginnya terasa sehingga ke tulang hitam. Deburan ombak terdengar jelas, menghempas lembut di gigi air. Sesekali salakan anjing bersahut-sahutan, menambah irama nyanyian alam. Megat masih berkeadaan begitu, bersila kaku tidak bergerak.

‘’Wahai jiwa yang perkasa..
Raja penguasa lautan hitam..
Bangkitlah engkau dari semayam..
Kehadiran engkau kami seru..
Kemarilah jejak ke tanah ini..
Jiwa sunti kami tawarkan..
Sebagai imbalan cagaran perjanjian..
Tujuh petala menjadi saksi..
Dengan berkat kalimah ………
Kemarilah.. Kemarilah..’’

Megat membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Suara beberapa orang lelaki seperti sedang menyanyi sayup-sayup terdengar jelas di gegendang telinganya.

Badan pemuda itu mula disambar angin hangat, tenaga negatif mula bertebaran meliar di udara. Megat tahu, nyanyian itu bukan nyanyian biasa, melainkan nyanyian serapah untuk menyeru kuasa kegelapan.

Salakan anjing mula tidak sekata, bertingkah-tingkah bagai takutkan sesuatu. Megat mula bangkit berdiri, inderanya menyaksikan perubahan alam. Hati pemuda itu mula melantunkan kalam-kalam Tuhan dari kitab suci Al-Quran.

Angin yang berpupuk lembut sedari tadi mula berubah kelajuan, bertiup kencang dari arah laut. Ombak yang tenang juga turut mengganas, bergulung tinggi lalu menghempas kuat. Dari kejauhan, kelihatan dua orang pemuda berlari terkocoh-kocoh dari tepian pantai menuju ke arah pondok di tepi Megat.

‘’Bang, nak hujan ni bang. Angin kuat.’’ sapa salah seorang dari pemuda yang memegang sebatang joran dan sebuah baldi apabila hampir dengan Megat. Di belakang tubuhnya tersandang sebuah beg yang sarat berisi. Rakan di sebelahnya tidak bersuara, hanya menyapu lembut lengannya untuk membuang butiran pasir yang melekat.

Megat menyimpulkan senyum lalu mengangguk perlahan, berterima kasih di atas perkhabaran yang diterima.

Apabila kedua orang pemuda itu menerobos masuk ke dalam perut kereta, Megat segera mengalihkan pandangannya ke arah langit yang terbentang luas. Awan tebal berkepul-kepul, berarak laju menutupi dada langit. Purnama mengambang sudah tidak kelihatan, hanya sedikit cahayanya menyimbah ke bumi melalui celahan awan yang lompong berlubang.

Megat tersenyum kelat, dia tahu inilah situasi alamat yang diperlihatkan kepadanya selama tujuh hari berturut-turut. Dengan lafaz Basmallah, pemuda yang tinggi lampai itu mengorak langkah, menuju ke arah tepian pantai.

* * * * *

Megat berdiri tegak berhampiran gigi air, badannya dihadapkan ke arah laut. Rambut ikal separas bahu pemuda itu terbuai-buai ditiup angin kuat.

Sesekali tempias ombak yang menghempas pantai menyirami batang tubuh pemuda tersebut. Namun begitu, dia tetap tidak berganjak. Inderanya dapat merasakan tenaga kegelapan terpancar kuat dari arah laut.

Dari kejauhan, air laut kelihatan seperti sedikit terbelah, melekuk ke dalam bagai dilanggar sesuatu dengan kelajuan yang tinggi. Serentak dengan itu, angin kencang yang hangat terus menujah ke arah Megat, membuatkan pemuda itu terpaksa mengukuhkan langkahnya. Pokok kelapa dan pokok rhu bagai menunduk ke tanah akibat ditampar angin yang menggila.

‘’Dah datang.’’ monolog Megat di dalam hati. Pandangan matanya dipicingkan sebaik mungkin.

‘’Bammm..!!!’’

Megat tercampak beberapa langkah ke belakang. Dia melakukan beberapa kali balik kuang sebelum mendarat di atas tanah. Apabila kakinya menjejak bumi, pemuda itu terus mengukuhkan langkah, kemas mencengkam tanah.

Ombak hasil impak perlanggaran tadi melambung tinggi, menjulang udara. Debu-debu berterbangan bebas, membataskan penglihatan Megat untuk melihat menggunakan deria penglihatannya.

‘’Hahahaha..!!!’’ Ketawa lantang kedengaran. Suaranya kasar, garau bergema.

‘’Shrupp.. Shrupp.. Sudah lama aku tidak menghirup udara daratan, segarnya sudah berkurangan. Hahaha..’’ ujar suara tersebut lagi lalu ketawa terbahak. Kali ini suaranya lebih kuat bergema.

Debu masih bersisa di udara, belum hilang secara menyeluruh. Walaupun begitu, anak mata Megat dapat menangkap sosok kelibat lembaga hitam sedang berdiri tegak di dalam tebaran debu tersebut.

Pemuda itu berdiri di dalam siaga, bibirnya membaca ayat-ayat suci Al-Quran dengan perlahan, antara dengar dan tidak.

‘’Siapa berani melawan aku?!!’’ herdik lembaga tersebut. Alam bagaikan bergegar dengan suara jerkahannya. Dua biji bebola mata sebesar bola besball yang bercahaya mencerlung tajam ke arah Megat.

‘’Kau.!!!’’ Tengking lembaga tersebut lagi. Tangan kanannya diluruskan ke depan, ke arah Megat, lalu dilibas laju ke arah tepi. Tiba-tiba, muncul angin yang menderu laju lalu menyapu bersih debu yang berterbangan di udara sehingga tiada sedikitpun yang tersisa.

Berdiri di hadapan Megat sejenis makhluk besar yang berketinggian dua orang lelaki dewasa. Seluruh tubuh makhluk tersebut dibaluti sisik kasar kecuali dihadapan badan dan sedikit diwajahnya.

Berkaki lebar seperti itik dan bertanduk dua diatas kepala. Otot-otot kekar tersembul, menonjol di seluruh badan. Mahkota bertatah permata berkilauan terlekat kemas di atas kepalanya. Sekali lihat, sosok itu tidak ubah seperti gabungan dari beberapa jenis makhluk.

‘’Siluman..’’ gumam Megat di dalam hatinya.

‘’Kau ingin menghalang aku?’’ soal makhluk tersebut seraya hujung jari telunjuknya yang meruncing dihalakan ke arah Megat.

Pemuda itu tidak menjawab. Dia hanya menapak langkah, menghampiri makhluk dari lautan dalam itu. Berjarak tujuh meter, dia terus mematikan langkah.

‘’Assalamualaikum warohmatullah.’’ ujar Megat memberi salam. Siluman bersisik itu tidak menjawab, matanya yang bulat tertonjol mencerlung tajam ke wajah Megat.

‘’Apa urusan kamu kemari?’’ soal Megat tenang. Pandangan matanya bertentang dengan pandangan mata makhluk itu.

‘’Hahahaha.. Apakah kau tuli? Tidakkah kau mendengar mereka memanggil aku, menyeru akan nama aku. Hahaha..’’ jawab makhluk tersebut lalu ketawa bongkak. Suara lelaki yang melagukan jampi serapah masih kedengaran jelas di gegendang telinga Megat.

‘’Maaf. Disini bukan tempat kamu. Sila pulang ke tempat asal kamu.’’

‘’Cisss.!!! Siapa kau, ingin mengarah-arahkan aku. Bersusah payah aku kemari, sewenang-wenangnya kau ingin menghalau. Aku ini Raunak, Raja Lautan Dalam. Malulah aku jika mendengar bicara makhluk lemah seperti kau.’’ ujar siluman bersisik itu panjang lebar. Dadanya turun naik menahan marah. Tiga baris belahan insang di kiri dan kanan leher kembang kencup apabila dia berbicara.

Suasana hening seketika kerana masing-masing mengunci mulut. Hanya deburan ombak yang menghempas pantai masih galak kedengaran, saling bertingkah dengan bunyian hembusan bayu. Sesekali dengusan kasar terbit dari mulut Raunak, Raja Lautan Dalam.

‘’Pergi kau dari sini. Jangan halang aku jika kau masih sayangkan nyawa.’’

‘’Maaf. Hamba terpaksa menghalang kamu. Niat kamu ingin membuat angkara di tanah pusaka ini. Hamba tidak akan benarkan, langkah mayat hamba dulu.’’

‘’Hahahaha..!!!’’ Raunak ketawa kuat, badannya turun naik menahan dekahan. Ekornya yang sebesar tiang lampu dilibas-libas ke tanah apabila menahan perasaan lucu di hati.

‘’Apa kau sangka engkau pendekar handalan? Langkah mayat engkau itu perkara yang enteng, terlampau senang. Aku hanya perlu menggunakan sebelah tangan sahaja untuk mencabut nyawa engkau.’’ ujar Raunak sinis, merendahkan keupayaan Megat. Pemuda itu tidak membalas kata, hanya tersenyum tenang.

‘’Kau katakan aku pembuat onar, benar, aku pembuat onar. Namun, aku datang kerana diseru oleh bangsamu sendiri. Bangsa kau memang bodoh, selalu mencari jalan pintas. Nafsu hitam beraja di hati. Kita tiada beza pun. Hahaha.’’ sindir siluman bersisik tersebut.

‘’Aku benarkan kau menyerang terlebih dahulu. Mari.!!!’’ cabar Raunak.

Selajur dengan itu, Megat terus berlari laju ke arah Raunak. Seluruh tenaga dipusatkan ke penumbuk di sebelah kanan. Apabila dia berdiri betul-betul di hadapan siluman itu, pemuda itu terus melepaskan satu tumbukan padu.

‘’Bukkkk.!!!’’

Tumbukan Megat tepat mengenai sasaran, perut Raunak yang berotot kekar bergegar untuk seketika. Namun serangan pemuda itu tidak membuahkan hasil, hanya memaksa Siluman bersisik itu menjarakkan lagi sebelah kakinya ke belakang untuk mengukuhkan langkah. Impak pertembungan itu membuatkan Megat tercampak sedikit ke belakang.

‘’Kahkahkah.!!! Jasad aku ini kebal dari senjata, apatah lagi serangan tangan kosong kau itu. Sekarang, giliran aku.!!!’’ Pekik Raunak lalu menyerbu Megat seperti kerbau yang sedang naik minyak.

Tangan siluman bersisik yang meruncing tajam itu dihayun ke kiri dan ke kanan tidak menentu, cuba untuk mencakar batang tubuh Megat. Pemuda itu sedikit kelam kabut, namun kesemua serangan musuh mampu dielak. Dia melakukan beberapa kali balik kuang untuk menjarakkan diri.

‘’Ilmu mengelak engkau memang boleh tahan, tapi itu tidak bermakna apa-apa. Hanya sekadar menangguh ajalmu untuk beberapa detik.’’ ujar Raunak sombong. Namun wajah siluman bersisik itu sedikit berkerut. Dia seperti kenal akan gerakan-gerakan pemuda dihadapannya.

Megat menyedut udara beberapa kali. Pemuda itu mula mengatur tenaga dalamannya dan dipusatkan pada titik-titik tertentu. Senyuman yang terukir di bibir pemuda itu mula memudar. Pertarungan sebenar baru hendak bermula.

Raunak kembali menyerbu dengan tangannya dihayunkan sekuat hati, ingin merobek jasad musuhnya. Setiap hentakan kakinya membuatkan bumi serasa bergegar hebat. Debu halus mula berterbangan di udara.

Kesemua serangan musuh mampu dielak dan ditepis oleh Megat dengan kepantasan yang sukar digambarkan. Gerakan pemuda itu tersangat lincah, kesana kesini seperti ikan yang meliuk di dalam air.

Ilmu meringankan badan bernama Hikmat Meniti Angin yang diwarisi dari leluhurnya itu sangat berkesan. Melihat musuh terdedah kepada serangan, Megat terus menyerang tanpa mensiakan peluang.

‘’Paappp.!!!’’

Telapak tangan Megat tepat mengenai pinggang kiri Raunak. Siluman bersisik itu tercampak jauh ke belakang, namun tidak rebah, hanya sedikit tertunduk. Dia kembali berdiri tegap sambil ketawa berdekah.

‘’Hahaha.!!! Patutlah aku seperti pernah melihat engkau, rupanya engkau keturunan si tua keparat itu.’’ ujar Raunak sambil mata kirinya berkelip beberapa kali menahan kesakitan. Jurus Telapak Hakikat yang digunakan Megat sangat berbisa, sakit menjalar ke seluruh badan.

‘’Wajah dan sikap kau ada iras, namun ilmu dan hikmat kau masih jauh berbanding dengan leluhurmu, umpama langit dan bumi. Kau masih mentah, sekadar pucuk hijau yang baru hendak bercambah.’’ tutur Raja Lautan Dalam angkuh. Dia mencuri waktu untuk melegakan kesakitan selain mencari peluang untuk menyerang balas.

‘’Dia adalah dia, dan hamba adalah hamba.’’ ujar Megat tenang.

‘’Cisss..’’ Raunak mendesis perlahan, terasa jengkel dengan kata-kata pemuda itu.

‘’Apa leluhur engkau tidak menitipkan senjata keramat untuk kau? Tidak mengajarkan ilmu sakti kepada engkau? Aku lihat kau terlalu biasa, hanya mengotorkan tanganku jika dibunuh.’’ ujar Raunak lagi, egonya tinggi melangit.

‘’Tidak perlu hebat, tidak perlu sakti. Cukuplah jika hidup sentiasa dikasihi oleh Allah Taala, Tuhan sekelian alam.’’ Megat tersenyum tenang.

‘’Ciss.!!! Yarghh..!!’’ bentak Raunak lalu meluncur ke arah Megat.

Megat yang berdiri dalam siaga terus menghentakkan sebelah kakinya ke tanah. Serentak dengan itu, kaki Raunak terus jerlus ke dalam pasir sehingga ke paras betis, bagai dimakan bumi.

Siluman bersisik itu meronta-ronta ingin melepaskan diri, namun rontaannya semakin menguatkan cengkaman pasir ke atas kakinya. Jurus Pasak Bumi yang dilancarkan oleh Megat berjaya memerangkap musuh.

Melihat musuh sudah tidak dapat bergerak, Megat memulakan langkah seterusnya. Bibir pemuda itu berkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran, suaranya sedikit bergema.

‘’Arghhh.!!! Arghhh.!!! Celaka.!!’’ pekik Raunak sambil menutup erat kedua belah telinganya. Asap hitam berkepul-kepul keluar dari badannya lalu bersebati dengan udara.

Lubang belahan insang di kiri dan kanan lehernya bergerak tidak sekata. Dalam menanggung kesakitan, makhluk yang berasal dari lautan dalam itu mengangkat tinggi kedua belah tangannya ke atas.

‘’Yarghhh.!!!’’ Bersama satu jeritan kuat, dia menghentakkan kedua belah tangannya ke bumi dengan sekuat hati.

‘’Baammm.!!!’’

Bumi bagaikan bergoncang akibat dari impak hentakan itu. Megat sedikit terhuyung hayang sebelum berjaya menstabilkan langkah. Jurus Pasak Bumi yang dikenakan pada Raunak sudah terbatal. Menggunakan debu berterbangan sebagai penghalang pandangan musuhnya, siluman bersisik itu terus menerpa laju ke arah Megat.

‘’Shushhh..’’

Megat sedikit terkejut apabila Raunak muncul dihadapannya secara tiba-tiba. Dia cuba menjauhkan diri, namun sudah terlambat. Raunak mengacungkan jemari tangannya ke kerongkong untuk mencabut nyawa Megat.

Pemuda itu sempat membaca serangan, tangan kirinya laju diangkat untuk menepis namun Raunak segera mengubah haluan serangan. Telapak tangannya dibuka lalu dia mencakar dada Megat yang terdedah kepada serangan. Baju pemuda itu terkoyak, darah bersimbah ke udara.

Belum sempat Megat menjauhkan diri, tangan kiri musuhnya yang sedari tadi menunggu peluang terus meluncur laju ke arah batang tubuhnya.

‘’Bukkk.!!!’’ Tumbukan padu tersebut tepat mengenai sasaran, darah merah tersembur ke udara.

Megat tercampak beberapa langkah ke belakang. Bucu bibirnya mengalirkan darah merah yang pekat dan likat. Mata pemuda itu merenung tajam wajah musuhnya.

‘’Selepas aku cabut nyawa engkau, aku akan ratah jiwa-jiwa manusia lain.!!!’’ pekik Raunak.

‘’Hamba takkan benarkan.’’ ujar Megat perlahan, antara dengar dan tidak.

Megat mengambil nafas, dia cuba mengatur kembali pernafasannya yang berkocak hebat bagai ombak yang sedang mengganas. Darah pekat yang masih mengalir di bucu bibirnya dikesat perlahan menggunakan lengan baju.

Pemuda itu kembali bersedia untuk menceburkan diri ke dalam medan pertarungan, kedua belah matanya menatap tajam wajah siluman bersisik dihadapan. Tenaga dalaman yang terpancar dari batang tubuhnya membuak-buak, bagai ingin menyelimuti alam.

‘’Masih mahu melawan? Heh.!!’’ ujar Raunak lalu tersenyum mengejek. Raja Lautan Dalam itu kembali menegapkan badannya, isyarat bersedia menyambut serangan. Sisik-sisik di seluruh badannya berkilauan apabila dijamah cahaya rembulan purnama.

Megat tidak menghiraukan sindiran musuhnya. Dia menutup erat kelopak mata lalu mendepangkan kedua belah tangannya ke arah kiri dan kanan secara serentak, lalu mulutnya bergerak-gerak perlahan bagai membaca sesuatu.

Selepas beberapa detik, pemuda itu membuka kembali kelopak matanya. Dengan lafaz Basmallah, dia menyusun langkah, menghampiri Raunak.

Kedua makhluk yang berlainan bangsa itu berlari laju ke arah satu sama lain. Pertembungan antara keduanya menghasilkan dentuman kuat yang memekakkan telinga.

‘’Bam..!!!’’

Tumbukan Megat tepat mengenai perut Raunak. Raja Lautan Dalam itu mengelipkan matanya yang tersembul beberapa kali akibat menahan sakit. Raunak mendengus marah, kekuatan tumbukan musuhnya dirasakan semakin berat dan bertenaga.

Siluman bersisik itu mengangkat tinggi kedua belah tangannya, lalu dihentak kuat ke arah Megat. Dengan gerakan lincah sepantas kilat, pemuda itu mengiring lalu serangan musuh tidak mengena, hanya membaham tanah.

Pemuda yang berambut ikal separas bahu itu memijak kaki kanannya ke atas tangan Raunak, lalu dia menghentak lengannya sekuat hati ke bahagian sendi siku musuhnya.

‘’Krakkk.!! Ktapp.!!’’

‘’Argghhh.!!’’ Raunak menjerit menahan kesakitan. Temulang lengan kanannya telah patah dan tercabut dari cawan sendi. Kerana terlalu sakit, makhluk berasal dari lautan dalam itu melibas ekornya secara spontan ke arah Megat.

‘’Shushh..’’

Berasa sambaran angin semakin kuat, Megat tahu serangan musuh semakin menghampiri. Pemuda itu tidak mengelak. Dia meluruskan kelima-lima jarinya sambil menanti serangan musuh. Apabila libasan ekor musuh semakin hampir, pemuda itu menikam laju lengannya ke arah ekor Raunak.

‘’Chackkk.!!’’

‘’Argghhhh.!!!’’ Siluman bersisik itu menjerit nyaring.

Lengan Megat menembusi ekor Raunak, dari hujung jari sehingga ke siku. Darah hitam berbau busuk membuak-buak keluar, menitik laju ke bumi. Siluman bersisik mengetap gigi menahan kesakitan, melibas tangan kanannya yang longlai ke arah Megat.

Pemuda itu menarik pantas lengan kanannya lalu sedikit menunduk, mengelak serangan lawan. Apabila melihat musuh terdedah kepada serangan, Megat menikam lengan kirinya pula ke arah rusuk kiri Raunak.

‘’Argghhhh..!!!’’

Jeritan nyaring kedengaran lagi, kali ini lebih kuat bergema. Pergelangan tangan kiri Megat terbenam di dalam badan Raunak. Siluman itu terpaksa berguling untuk mencabut jemari Megat yang menembusi sisik hijaunya selain dari menjauhkan diri.

Darah hitam semakin banyak tumpah ke tanah, bauan busuk menyelubungi suasana. Suara alam tidak kedengaran, bagaikan seluruh makhluk khusyuk melihat pertarungan mereka.

Megat tidak mensiakan waktu, dia pantas mengejar Raunak yang cuba menjauhkan diri. Siluman bersisik yang masih berguling itu segera mengangkat wajah apabila terasa bayang hitam berada dihadapannya.

Wajah makhluk dari lautan dalam itu sedikit panik, dia tidak tahu untuk melakukan apa. Belum sempat dia mengelak atau menyerang, hayunan kaki kanan Megat tepat mengenai bawah dagunya, membuatkan badannya terangkat ke belakang.

Pandangan mata makhluk lautan dalam itu mula berpinar, penglihatannya berbalam-balam. Darah hitam tersembur dari mulutnya, terpercik ke udara. Serangan Megat masih belum berakhir, pemuda itu menyelinap laju ke belakang badan Raunak.

Dia membelakangkan Raunak lalu kedua belah tangannya menyambut kemas tanduk siluman bersisik itu. Raja Lautan Dalam itu terperanjat, dia cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri. Namun usahanya tidak berhasil, genggaman jemari Megat terlampau erat dan kuat.

‘’Allahu Akbar.!!!’’

Bersama laungan takbir, Megat mengerahkan seluruh kudratnya kepada lengan dan pinggang. Urat hijau mula timbul di dahi, leher dan lengan pemuda itu. Dengan sekali tarikan, siluman bersisik itu terpelanting jauh ke belakang, tersungkur memakan pasir.

Debu-debu berterbangan ke udara. Suasana menjadi tenang untuk seketika. Raunak sudah tidak mampu bergerak hatta sedikit pun. Megat mengatur kembali pernafasannya.

Tanduk Raunak sepanjang sejengkal digenggam kemas di tangan kanannya, patah akibat dibanting sebentar tadi. Setelah beberapa detik, pemuda itu mula menapak langkah menghampiri Raunak.

‘’Srokkk.. Srokkk.’’ Raunak bernafas kuat, terlihat payah saat dia menyedut udara. Wajahnya masih tersembam di atas pasir, cuma tiga baris belahan insang di lehernya kembang kencup menghirup oksigen.

Megat yang berdiri di hadapan makhluk itu memandang kosong, fikirannya terbelah bahagi. Ada rasa belas berputik dihatinya.

‘’Jaa..jangann bu..nuh akuu.’’ ujar Raunak terketar. Sakit yang ditanggung bukan kepalang, menjalar bisa ke segenap tubuh.

‘’Akuu mengalahh.. Aku mengaalah. Jangaan bunuhh akuu..’’ Siluman bersisik meminta belas. Egonya yang menggunung tinggi sedari tadi lebur dalam sekelip mata.

‘’Huuu..’’

Megat menghela satu keluhan panjang. Genggaman telapak tangan pemuda itu dibuka. Dia mengambil nafas untuk menutur kata.

Raunak mengangkat wajahnya secara tiba-tiba, tangan kirinya pantas mengaut pasir lalu dilemparkan kepada pemuda dihadapannya. Megat yang terkejut dengan tindakan siluman itu mengangkat tangannya untuk menghadang, namun butiran pasir turut masuk juga ke dalam matanya. Pemuda itu berpisat-pisat. Raunak berpusing lalu melibaskan ekornya yang telah cedera pada batang tubuh Megat.

Terasa sambaran angin semakin kuat dihadapan, Megat menyilangkan kedua belah tangannya untuk menghadang serangan musuh. Libasan ekor Raunak mengenai tepat lengan Megat membuatkan pemuda itu tercampak beberapa langkah ke belakang.

‘’Ilmu pertarungan kau memang boleh tahan, namun akal kau masih cetek. Hahaha.’’ ujar Raja Lautan Dalam lalu bangkit berdiri perlahan-lahan. Dia mendesis perlahan menahan kesakitan, tangan kanannya longlai tidak dapat digerakkan.

‘’Untung juga kau tidak diwarisi senjata. Jika tidak, keputusan pertarungan ini tentu berbeza.’’ tambah Raunak lagi, mengakui kehebatan Megat. Dia cukup yakin bahawa dia akan memenangi pertarungan ini. Tangan kirinya dihulur ke belakang badan, lalu sirip yang tajam berkilauan dicabut dengan sekali tarikan.

‘’Shrakk..’’ Siluman itu menutup matanya untuk seketika akibat menahan kesakitan yang bukan kepalang.

‘’Sekarang, mampuslah kau.!!!’’ pekik Raunak lalu melempar siripnya yang tajam ke arah Megat. Siluman bersisik itu rebah bertongkatkan lutut, dia juga kehabisan tenaga, tak ubah seperti pelita yang hampir kehabisan minyak.

‘’Nyinggg.. Nyinggg..’’

Sirip tajam itu meluncur laju ke arah Megat, berputar-putar menghasilkan bunyian nyaring apabila membelah angin. Megat yang masih kabur penglihatannya segera mengukuhkan langkah.

Dia tahu sudah terlambat untuk mengelak. Pemuda itu memusatkan tenaga dalamannya sehabis daya supaya senjata musuh terpental sebelum menjamah kulitnya.

‘’Tanggg..!!!’’

Dentuman kuat kedengaran. Sirip Raunak terpelanting ke belakang lalu jatuh tercacak di atas pasir. Siluman bersisik itu membulatkan matanya akibat terperanjat, serangan terakhirnya tidak membuahkan hasil.

‘’Jika dia menggunakan senjata keramat warisan, hanya dengan satu serangan sahaja, pasti nyawa engkau bercerai dari badan. Dengan izin Allah Taala.’’ Suara bicara seorang lelaki lantang kedengaran, bergema memecah suasana.

Seorang lelaki memakai serban dan jubah putih berdiri dihadapan Megat. Tangan kanannya mengangkat sebatang tongkat kayu separas dada, menahan serangan sirip Raunak sebentar tadi.

Kulit mukanya sedikit berkedut dimamah usia, namun wajahnya berseri apabila dipandang. Janggut putih mendiami dagu, panjang sehingga mencecah dada.

Empat orang lagi lelaki yang turut berpakaian serba putih berdiri dibelakangnya, wajah mereka sedikit muda jika dibandingkan dengan yang berdiri di hadapan Megat.

‘’Tanah pusaka ini ada penjaganya. Jangan ingat engkau boleh melakukan angkara sewenang-wenangnya disini.’’ ujar lelaki berjanggut separas dada itu lagi. Tongkatnya ditujukan ke arah wajah Raunak.

‘’Huhh.!!!’’ Siluman bersisik itu mendengus geram.

‘’Sekarang, pulang semula ke tempat asal kau wahai Siluman durjana sebelum kami gunakan kekerasan.’’

‘’Cisss.!!! Siapa engkau mahu mengarahkan aku? Jika aku mati, aku akan membawa kau semua bersama.’’ balas Raunak geram, giginya digentap kuat menahan amarah. Makhluk yang berasal dari lautan dalam itu bangkit berdiri lalu kembali menerpa menggunakan sisa-sisa tenaganya yang masih sedikit berbaki.

Kelima-lima lelaki yang berpakaian serba putih itu mengangkat tinggi tongkat masing-masing. Mulut mereka bergerak-gerak membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Serentak dengan itu, cahaya berwarna putih yang menyilaukan mata terus terpancar, menerangi segenap penjuru kawasan itu.

‘’Arrgghhh..!!! Argghhh..!!!’’ jerit Raunak kesakitan. Dia terus rebah, berguling-guling di atas pasir. Wap-wap berwarna kehitaman terus keluar berkepul-kepul dari batang tubuhnya apabila dijamah cahaya yang terang tersebut.

Raunak merangkak menghampiri gigi air, dia sudah tidak berdaya untuk menapak langkah. Darah hitam masih mengalir perlahan pada bahagian luka di rusuk kiri dan ekornya.

Wap hitam masih terbit dari celahan sisiknya, berkepul-kepul lalu bersebati dengan udara. Siluman bersisik itu ingin melarikan diri, baginya nyawa lebih utama.

‘’Aku akan kembali..’’ ujar Raunak dengan wajah yang bengis, memberi amaran. Matanya mencerlung tajam ke wajah Megat.

Pemuda itu tidak menjawab, hanya membalas cerlungan tajam mata Raunak. Setelah beberapa detik, Raja Lautan Dalam itu terjun ke dalam air, pulang ke tempat asalnya dengan membawa dendam yang membara di hati.

* * * * *

‘’Maafkan kami kerana lewat tiba. Kami menguruskan mereka yang menyeru siluman itu terlebih dahulu sebelum kesini.’’ ujar lelaki berjanggut panjang itu, wajahnya sedikit kesal. Jemarinya pantas membalut luka cakaran di dada Megat.

‘’Tidak mengapa tuan. Hamba cukup bersyukur tuan semua sudi kemari untuk menolong.’’ balas Megat tenang. Bibirnya menyimpulkan senyuman. Kelima-lima lelaki berjubah putih membalas senyuman, mereka mengangguk hampir serentak.

‘’Kenapa kamu tidak menggunakan senjata keramat itu, wahai orang muda?’’ soal lelaki berjanggut panjang itu lagi. Megat tidak segera menjawab, dia merenung dada langit sambil tersenyum.

‘’Hamba rasa, masanya belum tiba.’’ tutur Megat lalu mengalihkan pandangan pada wajah lelaki berjanggut dihadapannya.

* * * * *

Lebai Hasyim muncul di muka pintu, pandangannya tertancap pada wajah Megat yang sedang ralit meniup seruling berwarna coklat. Alunan tiupan seruling kedengaran syahdu, mendayu-dayu bagai memujuk jiwa untuk terbang ke bumi kayangan.

Terasa dirinya diperhatikan, pemuda itu menghentikan tiupan seruling dengan serta-merta. Matanya yang terpejam rapat sedari tadi dibuka perlahan. Lebai Hasyim terus menghampiri lalu melabuhkan punggungnya disamping pemuda itu.

‘’Macam mana semalam?’’ soal Lebai Hasyim membuka bicara.

‘’Alhamdulillah. Segala urusan dipermudahkan Allah Taala.’’ ujar Megat tenang seraya tersenyum. Tangan kanannya pantas menyebak rambut panjangnya yang ditiup bayu pagi.

-TAMAT-

SHARE
Previous articleCINTA FIONA
Next articleSAHABAT LAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here