SERAM RAYA

0
801

SERAM RAYA
Karya : DeeFen DF

=============================

Kisah 1 – Lemang Meremang

Cerita ini berlaku semasa malam raya. Adik-beradik aku ada 3 orang dan aku yang paling bongsu. Pada raya tahun itu, abang dengan kakak aku beraya di rumah mentua mereka dahulu. Jadi tinggallah aku seorang nak bantu mak dan ayah aku di kampung.

Kebiasaan tradisi raya untuk keluarga aku adalah memasak sendiri lemang. Resipi turun temurun keluarga ayah aku. Disebabkan ayah pun dah tak berapa nak larat untuk memasak lemang, jadi aku seoranglah yang menguruskan hal ‘me-lemang’.

Nasib baik semasa aku pulang ke kampung 2 hari sebelum raya, buluh dah siap dipotong semua. Aku risau ayah ajak aku masuk hutan cari buluh macam tahun-tahun yang sudah. Penat. Dengan puasa lagi. Kering tekak, kering bibir kalau masuk hutan.

“Abah suruh bebudak kampung carikan buluh. Siap suruh potong semua. Bayar je upah kat bebudak tu. Kayu api pun abah suruh diorang carikan. Senang,” ujar ayah aku bila aku bertanyakan perihal buluh lemang dan kayu api.

“Cantik. Kalau macam tu nanti raya tahun depan kita suruh bebudak kampung je la carikan. Takyah penat-penat lagi dah nak masuk hutan. Hehehehe.” Aku memberi cadangan kepada ayah sambil tersengih menampakkan cili terselit di celahan gigi. Mungkin cili daripada sambal hasil tangan emak semasa buka puasa tadi. Ayah hanya mengangkat ibu jari tanda setuju.

Petang sebelum berbuka puasa hari terakhir Ramadhan, aku menyalakan kayu api. Dan aku mula memasak lemang sebaik selesai solat Maghrib.

Kebiasaannya lemang dimasak di kawasan hadapan rumah. Tapi kali ini, aku membuat keputusan untuk masak di belakang rumah. Ini disebabkan aku seorang sahaja yang menguruskan acara memasak lemang. Semua dari A ke Z aku kena buat seorang diri. Aku awal-awal dah fikir yang aku malas nak cedok buang bekas bara api apabila selesai memasak lemang. Itu kerja yang paling aku malas sebab dah penat-penat berpanas, kena kemas lagi.

Cahaya lampu pendaflor di belakang rumah sedikit malap. Tapi tak menjadi masalah, sebab bara api pun dah cukup untuk sekadar mencerahkan suasana.

Emak sedang sibuk menyediakan rendang di dapur. Manakala aku tersandar letih di dinding belakang rumah sambil menantikan lemang untuk masak. Sayup-sayup kedengaran suara takbir dari surau berhampiran.

Ketika tengah layan menghembus asap rokok, ayah aku muncul dari arah sisi rumah terus berjalan ke arah dapur lemang. Mungkin ayah tak perasan aku sedang bersandar. Aku hanya memerhatikan gelagat ayah aku.

Ayah berhenti betul-betul di hadapan dapur lemang dan memandang lemang yang sedang dimasak. Lama. Aku agak 2 minit atau lebih. Aku malas nak tegur ayah sebab aku masih mengah.

Bila dah lama sangat ayah tercegat di situ, dengan asap terus ke muka, aku dah mula rasa lain macam. Terus aku menegur.

“Abah! Buat apa tu? Asap kena muka tu tak pedih mata ke?”

Ayah aku berpaling sedikit dan memandang ke arah aku hanya dengan ekor matanya. Kemudian dia terus berjalan laju ke arah belakang yang dipenuhi pokok pisang dan rambutan.

“Abah nak pi mana tu?!”

Ayah aku terus menghilang di celahan pohon pisang dalam kelam malam. Sekarang ini, aku pula yang tergamam. Jantung berdegup laju. Aku mula rasa tak sedap hati tapi aku tetap teruskan memasak lemang.

Kira-kira hampir jam 10 malam, ayah aku muncul dari arah pintu dapur.

“Lemang kau macam mana?”

“OK je bah. Nak siap dah ni,” jawab aku polos. “Eh, tadi abah pi mana masuk kat kebun pisang belakang tu? Gelap-gelap malam cenggini.” Aku cuba menduga walaupun aku dah hampir pasti jawapan yang akan keluar dari mulut ayah.

“Bila masa abah pi kebun pisang? Abah baru balik dari surau je ni. Takbir raya. Lepas tu bersembang ramai-ramai kat depan surau sambil makan biskut raya Almond Tino.” Abah berkata sambil merenung tajam ke arah aku.

“Hmmm… Tak pe la abah. Saja je tanya.” Benar seperti yang aku duga.

“Kau nampak rupa macam abah ke tadi? Sejak sebulan dua ni, memang abah dengan mak kerap juga nampak sesuatu yang merupa orang lain kat kebun belakang ni. Kalau nampak yang pelik-pelik lagi, jangan tegur lah. Nanti abah panggilkan imam tolong tengok-tengokkan.”

Serta-merta aku rasa meremang. “Abah teman ye kat belakang ni sampai siap masak lemang…”

“Takutlah tu! Hahahahaheheheeheee!” Kuat betul ayah gelakkan aku. Kemudian abah terus berjalan laju ke arah kebun pisang.

Buat kesekian kalinya aku tergamam lagi. Namun spontan terpacul ayat daripda mulut aku, “Woi jalan terus tau! Don’t u-turn or belok-belok!” Aku terus menekup mulut dan beristighfar.

Sepantas kilat aku berlari masuk memeluk erat emak aku yang tengah memasukkan kuih kapit ke dalam balang kuih raya.

Itulah kali terakhir kami sekeluarga terlihat kelibat yang menyerupai orang lain. Iman pun tak sempat datang.

Mungkin mambang itu tersentap dengan ayat aku supaya u-turn.

***

Kisah 2 – Pulang Beraya

Aku kerja di perantauan. Perjalanan nak balik ke kampung memakan masa 4 hingga 5 jam. Itu kalau hari biasa. Kalau musim perayaan, 10 jam perjalanan. Nasib orang merantau memang begitu.

Raya pada tahun tersebut, aku dengan sengaja tak ambil cuti awal. Memang aku dah rancang nak bertolak balik malam raya. Abang, kakak dan adik semua dah pulang awal. Dah ramai di kampung, jadi aku tak berasa ralat kalau tak dapat membantu masak-masak untuk juadah raya. Aku lelaki, biasalah kalau malas sikit di dapur.

Lagipun, kereta aku sejak seminggu lebih yang lepas buat hal. Kalau tersekat dalam kesesakan jalan raya, mesti suhu enjin naik. Dah hantar ke bengkel, tapi tetap tak selesai masalah. Penyudahnya aku ambil keputusan balik kampung malam raya. Sejuk, dan aku mengharapkan kurang sesak di lebuhraya.

Selepas berbuka puasa, aku terus tidur dahulu untuk mendapat tenaga. Aku bertolak lebih kurang jam 11:30 malam. Aku merancang untuk memandu secara santai. Menikmati kesyahduan pulang beraya di saat akhir. Kalau tak sesak, jam 4 atau 5 pagi aku akan sampai di kampung. Kalau sesak, mungkin orang dah pulang dari solat raya baru aku sampai. Syahdu!

Perjalanan aku agak lancar. Kenderaan di lebuhraya tidak banyak. Memang aku berasa sangat lega. Harapnya aku dapat sampai awal di kampung. Dalam fikiran dah terbayang ketupat serta rendang daging hasil masakan emak.

Setelah dua jam setengah memandu tanpa henti, aku mengambil keputusan berhenti seketika untuk membuang air besar kerana perut terasa sangat memulas. Jam menunjukkan 2 pagi. Kabus dah mula muncul menyelubungi atmosfera.

Aku berhenti di sebuah hentian rehat. Kelihatan ramai orang berehat di situ. Suasana sangat meriah dengan kanak-kanak riang berlari di sini sana.

Setelah selesai menunaikan hajat, aku menghantar SMS kepada kakak aku tentang keberadaan aku di hentian rehat dan jangkaan waktu ketibaan nanti. Tanpa berlengah aku meneruskan kembali perjalanan. Sepanjang perjalanan, radio memutarkan lagu raya tanpa henti.

Tiba-tiba aku baru teringat yang aku tertinggal duit raya di tandas hentian rehat tadi. Entah kenapa aku sengaja membawa duit raya itu bersama-sama ke tandas. Duit raya itu diletak di dalam sampul dan dibungkus dengan plastik hitam. Ada kira-kira dua ratus ringgit jumlahnya.

Aku menepuk dahi atas kecuaian diri sendiri. Nak patah balik, entah berapa jauh lagi susur keluar yang seterusnya. Jadi aku mengambil keputusan untuk berhenti di hentian rehat yang seterusnya dan membuat laporan tentang duit yang aku tertinggal. Aku redha sahaja kalau duit itu hilang.

Sebaik sampai di hentian rehat yang seterusnya, aku terlihat sebuah kereta peronda lebuhraya bersama dua orang pegawai sedang yang minum air kotak beserta menjamah biskut Almond Tino.

“Assalamualaikum encik,” tegur aku terhadap dua orang pegawai peronda lebuhraya. “Errr saya sekadar nak maklumkan yang saya tertinggal duit raya di dalamtandas kat hentian rehat yang sebelum ni.”

Kedua-dua orang pegawai itu berpandangan sesama sendiri sambil kening terangkat.

“Adik, hentian yang mana ye?”

“Hentian yang sebelum hentian ini.” Aku memaklumkan nama hentian tersebut.

“Tapi dik, hentian tu tutup. Tengah ‘renovate’. Dah sebulan ditutup. Macam mana adik masuk? Jalan nak masuk pun ditutup sepenuhnya dengan divider konkrit.” Panjang lebar penerangan pegawai itu.

Aku berasa sedikit terkejut bila mendengar akan pernyataan itu. Jadi, tadinya aku membuang air besar di mana? Aku meraba seluar takut-takut aku sebenarnya berkhayal dan terbuang di dalam seluar.

“Adik yakin ke berhenti kat hentian tu?” Serius sahaja muka pegawai itu. Aku yakin mereka tidak bergurau.

Soalan yang diajukan itu menimbulkan perasaan ragu-ragu di dalam hati aku. Betul ke hentian itu yang aku berhenti. Aku mengeluarkan telefon bimbit dan melihat SMS yang dihantar kepada kakak tadi. Tertera dalam mesej nama hentian yang ditutup itu. Saat itu, meremang seluruh bulu roma.

“Emmm… Saya betul-betul yakin, yang saya berhenti di hentian tu.”

“Mungkin adik kena sakat. Takpalah adik jangan takut-takut. Mereka itu makhluk Allah jugak. Nanti kami akan ke hentian itu setelah hari cerah esok. Atau kalau ada pegawai lain yang meronda, saya akan maklumkan untuk memeriksa hentian itu.”

“Baiklah. Terima kasih. Kalau jumpa duit itu, saya mohon sedekah saja kepada surau atau kepada sesiapa yang memerlukan. Niat asal pun memang untuk sedekah, buat duit raya.”

Aku meneruskan kembali perjalanan ke kampung dengan seribu satu pertanyaan. Kemudian barulah aku sedar yang semua pengunjung di hentian misteri itu langsung aku tak melihat wajah mereka. Mereka semua seakan berpaling dari melihat ke arah aku. Patutlah aku langsung tak dapat mengingati wajah mereka.

Setelah habis bercuti di kampung, ketika perjalanan kembali ke bandar, aku dapat melihat jelas dari seberang jalan yang hentian rehat misteri itu memang benar-benar ditutup untuk kerja penyelenggaraan.

Bulu roma aku akan meremang setiap kali teringatkan peristiwa itu.

***

Kisah 3 – Tidurku Diteman

Kisah yang akan diceritakan ini benar-benar memberi pengajaran seumur hidup kepada aku.

Aku merupakan isteri kepada seorang pegawai polis dan aku merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Kami baru hampir tiga tahun berkahwin.

Sebagai isteri kepada anggota keselamatan, biasalah kalau tidak dapat pulang beraya pada tanggal 1 Syawal. Lagipun suami aku antara yang termuda di balai polis luar bandar ini. Terpaksa mengalah dalam hal pembahagian cuti.

Kami tinggal di kuarters polis yang merupakan flat 2 tingkat. Flat lama dan comel sahaja. Jumlah keseluruhan ada 12 buah rumah.

Kejadian seram ini terjadi pada malam raya tahun lepas. Suami aku bertugas pada tahun malam itu dan hanya akan pulang apabila hampir subuh atau apabila matahari mula memunculkan diri.

Selepas selesai memasak juadah raya, membuat biskut Almond Tino dan mengemas rumah, kira-kira jam 1 pagi barulah aku menepuk bantal untuk tidur.

Tidur aku terganggu apabila terdengar bunyi pintu bilik dibuka. Dalam samar cahaya dan kelabu-kelabu mata, aku terlihat susuk suami aku berdiri di hadapan pintu dengan masih berpakaian seragam. Cahaya daripada ruang tamu menyilaukan sedikit pandangan mata aku.

Aku berasa seperti baru sahaja aku mula tidur tatkala suami aku pulang. Tapi aku malas menghiraukan kerana berasa terlalu penat setelah sepanjang hari membuat kerja rumah.

Seketika kemudian aku berasa tilam mendap disebelah aku menandakan suami aku bersedia untuk tidur. Tubuhku dipeluk erat. Walaupun masih kepenatan, aku tetap membenarkan kewajipan ku sebagai isteri tidak terhenti.

Kemudian pada malam keesokannya, aku tetap merasakan suami aku pulang awal kerana seperti pada malam sebelumnya, aku berasa seperti baru sahaja tertidur apabila suami aku pulang kerja. Dan seperti malam sebelumnya, dalam masih mamai aku membiarkan kewajipan sebagai seorang isteri berjalan seperti biasa.

Apabila aku terjaga pada waktu subuh, aku mencari suami ku tapi tiada di rumah. Selalunya kalau dia sudah pulang, dia tidak akan keluar lagi.

Ketika aku mandi, baru aku perasan ada kesan lebam di kedua-dua belah paha aku. Aku juga berasa sedikit sengal-sengal di seluruh badan.

Selepas selesai aku bersolat, barulah suami aku masuk ke rumah dengan masih berseragam polis. Aku yang merasa pelik terus bertanya soalan kepada suami.

“Abang pergi mana? Kan abang dah balik awal pagi tadi.” Soal aku sambil mengambil baju yang baru dibukanya.

“Bila abang balik? Ni abang baru saja habis kerja,” ujar suami ku malas. Wajahnya kelihatan mengantuk dan kepenatan.

Aku terkejut mendengar pernyataan suami. Namun aku mendiamkan diri sahaja tanpa terus bertanya lanjut.

Habis siapa yang tidur dengan aku tadi? Apa yang aku perasan adalah, bau badan ‘suami’ yang meniduri aku awal tadi lebih kuat. Tenaganya juga sedikit luar biasa. Begitu juga sama halnya dua malam lepas…

Aku membuat kesimpulan bahawasanya yang tidur dengan aku untuk dua malam berturut-turut bukanlah suamiku. Entah mambang mana yang mengambil kesempatan ke atas aku.

Sejak daripada peristiwa itu, aku akan pastikan sebelum tidur aku akan membaca doa tidur dan juga ayat pendinding. Semuanya sebagai melindungi diriku daripada gangguan jin dan syaitan tatkala aku berseorangan di rumah.

Aku bersyukur, sejak dari itu tiada lagi gangguan atau sebarang kesan lebam yang muncul tanpa diketahui punca di badan aku.

-TAMAT-

SHARE
Previous article10 CERTOT SYAWAL
Next articleKEPULANGAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here