SEAT 22

0
6784

SEAT 22

Nukilan : Dikmang
=================================

“Cik tunggu kat luar sana ya. Nanti bas sampai.” Seraya gadis berkaca mata di kaunter tiket menunjukan arah di luar. Aku menoleh ke arah yang ditunjuknya itu.

“Okay, terima kasih.” Ucapku ringkas. Tiket bas aku pegang erat. Aku berjalan melewati orang ramai, menuju ke bawah bumbung tempat menunggu bas.

DUTA – KANGAR (RM50.00)

Date: 06/05/2018
Time: 11:00 PM
Seat No: 23
Trip: M41

Aku memeriksa tiket lagi sekali. Seperti yang aku beli tadi, informasi yang tertera pada kertas putih itu tidak berubah. Aku tak tahu kenapa aku perlu periksa lagi.

Jam di tangan aku lihat. Lagi 5 minit jarum bakal menginjak ke angka 11. Orang menunggu di sana dan sini. Ada yang berkelompok. Ada yang berdua. Ada yang berseorangan, macam aku. Bas-bas bergilir masuk ke perkarangan. Mengambil penumpang. Dari jauh aku ternampak bas yang bakal aku naiki. Sekali lagi aku memeriksa tiket di tangan.

Aku melabuhkan punggung di kerusi. Nafas dihela perlahan. Kerusi di sebelahku masih kosong, tiada penghuni. Mungkin lambat, mungkin juga akan terus kosong.

Walaupun sudah lewat malam, tapi bas ini masih dipenuhi penumpang. Ada juga yang membawa anak-anak kecil. Dibiar berlari ke sana sini. Entah kenapa kepala aku menjadi berat. Kelopak mata tak dapat bertahan. Aku mengantuk. Aku cuba tahan, tapi tewas juga akhirnya. Aku terlelap.

“Cik, maaf. Tumpang lalu. Seat saya kat sebelah.”

Aku dikejutkan dengan satu suara lembut. Dalam keadaan terpinga-pinga aku bangun memberi laluan kepada gadis itu untuk masuk ke tempat duduknya. Di tepi aku.

“Awal tidur.” Dia memulakan perbualan. Pandangannya tertumpu pada skrin telefon pintar.

“Hah? Letih sikit hari ni. Baru bersandar dah terlelap.” Aku menjawab.

“Dari mana ni?” Tanyanya. Pada skrin telefonnya terpapar halaman Arkib Angker Negara.

“Dari Damansara. Balik dari pesta buku.” Jawabku.

“Oh pesta buku. Banyak beli buku? Eh, awak dari mana?” Tanyanya lagi. Matanya masih lagi tertancap pada skrin telefon pintarnya. Membaca kisah-kisah seram yang ada dalam ‘page’ tersebut.

“Tak banyak pun. Ada la dalam 2-3 buah. Modal pun tak banyak.” Mau saja aku keluarkan naskhah Arkib Angker Negara Vol 1&2 dan 7 Pintu, tunjuk pada dia. Tapi memandangkan keadaan di dalam bas tersebut kurang cahaya, aku batalkan saja niatku.

“Saya dari Perlis. Boleh saya tau nama awak?” Kali ini aku pula menyoal.

“Nama saya Aini. Awak datang KL ni demi pesta buku saja?” Aku menjawab ya. Sebenarnya aku ke sini untuk bertemu dengan sahabat-sahabat aku di sini, selain pergi ke pesta buku antarabangsa di PWTC.

“Jumpa kawan-kawan sekali kan?” Aini meneka. Aku sedikit terkejut.

“Ya. Jumpa kawan-kawan.” Aku menjawab pantas.

“Kawan-kawan awak tu, penulis kan? Penulis cerita seram kat page yang saya tengah baca ni. Dan awak jugak, kan Dikmang?” Aini melirik pada aku. Sekali lagi aku terkejut. Macam mana dia tahu?

“Awak jangan terkejut. Saya dah lama follow awak. Follow kawan-kawan awak. Saya baca semua cerita yang ada dalam page ni. Saya suka cerita seram. Heee.” Aina bersuara lagi. Seolah-olah dapat membaca hati aku.

“Oh yaka? Terima kasih banyak-banyak sebab sokong kami. Tapi macam mana awak tau saya ni Dikmang?”

“Walaupun awak tutup muka, tapi saya tetap boleh cam awak.” Aini menjawab pendek. Senyuman terukir di bibirnya.

“Dah lama Aink tak baca cerita Dikmang. Tak ada cerita baru ke?” Tanyanya lagi.

“Buat masa sekarang, saya takda idea langsung untuk tulis cerita. Jadi saya edit cerita-cerita orang. Cerita-cerita yang dihantar oleh followers.”

“Oh, tak apa lah. Nanti ada la idea tu. Awak dah lama ke menulis ni?” Telefon pintarnya ditutup. Dia mengalihkan pandangannya ke arah aku.

“Tak lama pun. Baru lagi. Lebih kurang 3 tahun macam tu lah.” Aku menjawab sambil fikiranku mengenang kembali bagaimana aku boleh terjebak dalam dunia penulisan ini.

“3 tahun tu lama la. Dikmang mula menulis sebab putus cinta kan?” Dadaku bagai dihentak kuat. Macam mana dia boleh tahu?

“Err ya. Saya mula dengan menulis puisi. Kemudian menulis cerita seram pendek. Tapi, macam mana awak tau semua ni?” Aku kehairanan.

“Adalah. Mana boleh bagitahu.” Jawabnya ringkas sambil memakai earphone di telinga. Hm iya lah Aini.

*************

“Dikmang, bangun la.” Terasa bahuku dicuit lembut. Aku terjaga. Entah bagaimana aku boleh terlelap.

“Awak tengok la luar tu. Cantik kan?” Aini menunjukan ke arah luar tingkap bas.

Gelap. Apa yang dia tunjuk ni? Yang aku nampak cumalah pemandangan yang kelam. Apa yang cantiknya?

“Tak cantik ke? Cuba awak tengok betul-betul. Awak rasa betul-betul.” Tegas Aini. Aku meninjau dengan lebih teliti lagi. Namun masih sama pendirianku.

“Takpe la Mang. Mang tidur lah balik.” Aini membalas hampa setelah melihat reaksi aku.

“Pelik betul dia ni.” Aku berbisik dalam hati. Aini menjeling tajam.

*****************

“Assalamualaikum dan selamat pagi. Kita akan berhenti rehat di Sungai Perak selama 30 minit. Kami akan membuat pertukaran pemandu. Tuan-tuan dan puan-puan boleh la ke tandas atau mengisi perut di kawasan yang berdekatan. Dan diminta untuk kembali pada masa yang ditetapkan bagi memudahkan segala urusan. Terima kasih.”

Aku dikejutkan dengan pengumuman oleh pemandu bas kedua dari corong speaker. Lampu kecil di atas kepala kami dinyalakan. Beberapa orang penumpang bangun dari tempat duduk, turun dari bas. Melunaskan hajat masing-masing.

“Seronok tidur?” Tegur Aini sambil melihat aku. Aku hanya tersenyum tidak menjawab sepatah pun. Aku melirik jam di tangan. Pukul 2.04 pagi.

“Nak turun?” Aini menggeleng kepala. Aku mengemaskan duduk. Beg galas aku letak di atas riba. Tiba-tiba saja aku mendapat idea untuk menulis cerita baru. Lalu aku keluarkan telefon pintar milikku dari poket beg. Dari dulu aku menulis menggunakan telefon pintar. Bukan laptop.

“Kan Aini dah cakap. Nanti idea untuk cerita baru tu datang.” Aini tersenyum di sebelahku. Seperti tadi, aku hanya tersenyum tanpa bersuara. Ini lah tabiat aku apabila bangun tidur. Hanya mendiamkan diri. Jangan harap aku nak bercakap.

“Kali ni cerita tentang apa pulak? Pontianak?” Aini seolah-olah dapat membaca isi hatiku. Aku mengalihkan pandangan kepada gadis bertudung hijau di tepi aku.

“Aini teka je la. Hahaha. Cepat la tulis.” Aini kembali menatap telefon pintarnya. Aku hanya menggelengkan kepala perlahan sambil mula menulis.

Penumpang mula beransur kembali ke tempat duduk masing-masing. Lampu kecil dimatikan. Pemandu bas kedua memeriksa para penumpang. Mengira jumlah para penumpang yang sebetulnya. Setelah semuanya selesai, bas bergerak meninggalkan kawasan rehat.

Jariku ligat menaip. Laju. Otak ku juga memberi kerjasama yang cukup baik. Tak pernah aku merasa puas sebegini. Sesekali aku menjeling ke arah Aini. Gadis itu sudah terlentok pada bahu tingkap bas. Aku mengambil kesempatan ini untuk menatap wajahnya. Cantik. Tiba-tiba dia membuka mata. Memandang aku. Kelam kabut aku menyambung kerja ku kembali.

“Dikmang tulis cerita hantu ni, tak takut ke?” Aini memandang aku.

“Takut? Tak la takut. Cuma seram sikit. Haha. Biasa la. Tulis pasal ‘mereka’ kan.” Jawabku sambil jari ligat menaip.

“Tapi kenapa tulis juga? Dikmang pernah kena ganggu tak? Maksud Aini, kena ganggu masa menulis. Bukan masa buat aktiviti paranormal dengan kawan-kawan.” Aku berhenti menulis.

“Pelik dia ni. Macam-macam dia tau pasal aku.” Aku bermonolog. Tapi aku yakin dia boleh dengar. Macam mana dia dengar dan tahu pasal aku? Aku sendiri pun tak tahu. Aini hanya tersenyum.

“Pernah. Tapi tak la selalu sangat kena ganggu. Kena ganggu pun, biasa-biasa saja. Tak teruk pun.” Aku menghela nafas.

“Kaki Dikmang pernah kena tarik kan masa menulis? Tapi Aini tak nak tau tu. Aini cuma nak tau hantu apa yang Dikmang pernah jumpa masa buat aktiviti paranormal dulu?” Aini bersila atas tempat duduknya. Aku hentikan menulis buat seketika.

“Macam-macam. Tapi tak banyak la. Antaranya, pelesit, pocong, saka harimau, saka kepala, pontianak, nenek kebayan, emm tu saja kot.” Aku cuba mengingat kembali pengalaman-pengalaman lama.

“Okay antara semua yang Dikmang jumpa tu, yang mana satu paling seram?” Aini nampaknya berminat.

“Yang paling seram? Rasanya pelesit dengan pocong.” Aku akui, kedua makhluk ini memang seram sebab aku dah tengok wajah mereka jelas di depan mata.

“Pontianak tak seram? Aini suka pontianak. Hihihi.”

“Wah dia ni. Lain macam.”

“Tak apa la. Dikmang sambung la tulis. Aini nak tidur kejap.” Aini menyandar pada kerusi.

“Okay Aini. Jaga-jaga. Jangan mimpi Pontianak dah la.” Aku bergurau.

“Eh kalau mimpi pun, Aini la pontianak tu.” Aini membalas gurauan aku sambil menutup mata. Aku serba salah nak gelak atau seram.

Aku merenggangkan tangan. Belakang leher aku gosok. Suhu dalam sedikit panas. Aku membuka penghawa dingin sedikit. Aku lihat Aini sedang nyenyak tidur. Aku berehat dari menaip buat seketika. Beg galas aku selongkar. Mencari earphone. Jumpa. Segera aku pasangkan di telefon dan di kedua telingaku.

“Pukau dengan kejelitaan dari dahulu. Bersama-sama kamu cumalah hanya khayalan…”

Sedang aku berehat sambil mendengar lagu, bahuku terasa seperti disentuh sesuatu. Seperti rambut. Aku memerhati sekeliling. Penumpang yang lain sudah hanyut dibuai mimpi. Hanya aku dan pemandu bas yang masih berjaga. Entah kenapa mataku segar.

“Dikmang…” Aini memanggil aku. Aku menoleh.

Jantungku bagai hendak luruh apabila melihat Aini mencangkung di atas kerusi. Rambutnya panjang menyapu lantai. Mana tudungnya tadi?

“Dikmang tulis pasal Aini kan?” Dia bersuara lagi.

“Bu..bukan. Bukan pasal Aini. Tapi pasal pontianak.” Tergagap aku menjawab. Peluh sudah mengalir di dahi.

“Pasal Aini lah tu. Kan Aini cakap tadi, Aini pontianak.” Aini yang tadinya mencangkung serta merta berdiri tegak. Aku kaku. Tak mampu buat apa-apa.

“Kenapa Dikmang tulis pasal Aini, tak mintak izin dulu?” Nada suaranya keras. Aku pula tak mampu nak bersuara. Punggungku seakan melekat di kerusi.

“Hah? Kenapa?” Aini bergerak pantas. Batang leherku dicekik. Terasa kulitnya yang kasar dan menggerutu. Aku memejamkan mata, tak sanggup melihat wajahnya. Tapi yang pasti jarak antara wajah kami sangatlah dekat kerana aku dapat mendengar hembusan nafasnya di wajahku.

Segala ayat-ayat Al-Quran seolah hilang dari ingatan. Aku cuba melawan tapi tak terdaya. Aku berusaha lagi. Lidahku mula menyebut nama Allah beberapa kali. Akhirnya leherku dilepaskan. Suara mengilai bergema di setiap sudut.

************

“Cik, maaf. Tumpang lalu. Seat saya kat sebelah.”

Aku terjaga. Mataku digosok beberapa kali.

“Mimpi rupanya. Nasib baik.”

“Cik? Maaf. Saya nak masuk ni. Seat saya sebelah cik.” Gadis itu bersuara lagi. Aku memandangnya.

Aini!
================================

Gambar: Dikmang

SHARE
Previous articleMIDUN (Bahagian 2)
Next articleBELOYA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here