Sayangku Siti

0
1262

Tajuk: Sayangku Siti
Penulis: Liah Ismail

“MAK!” Jeritan awal pagi itu membuatkan seisi rumah menuju ke ruang tamu. Semua mata tercari-cari siapa yang membuat onar sedang mereka sibuk dengan tugasan hakiki.

Kelihatan Shakirin sedang berdiri ketakutan di atas sofa. Matanya terbelalak melihat ke satu arah. Pandangannya tuntas pada kelibat kecil dan berbulu tebal sedang duduk bersimpuh sambil menjilat-jilat bulunya. Langsung tidak terkejut dengan jeritan tadi.

“Kenapa ni Shakirin? Menjerit-jerit.” Bebel Makcik Aina. Waktu jeritan tadi, dia sedang menggoreng mee untuk sarapan pagi mereka empat sekeluarga. Tumpuannya benar-benar terganggu dengan jeritan itu tadi.

“Tu, tu apa tu? Kan Shakirin dah cakap, benda alah ni tak boleh bawa masuk rumah!” Bukan tidak menghormati maknya, namun kelibat berbulu tersebut membuatkan dia hilang akal.

Adik bongsunya, Dian segera mendapatkan kucing kesayangannya itu. Lalu diusap-usap penuh kasih sayang. Dalam ahli keluarga mereka, hanya kakaknya saja yang takutkan kucing.

Kalau semua benda berbulu kakaknya takut, fahamlah dia sebab kucing memang berbulu. Masalahnya, kakaknya itu cuma bencikan kucingnya. Entah, apa yang dibencikan. Bukannya kucing tu boleh bunuh orangpun. Pelik betul.

“Kau memang, kan?” Sakit betul hati Shakirin melihat wajah selamba Dian yang berlalu sambil mendukung makhluk yang membuatkan dia histeria awal pagi.

Pakcik Izuan dan Makcik Aina menggeleng kepala tidak serentak.

“Abah, tengoklah Dian tu. Suka sakitkan hati kakak.” Aduh Shakirin manja apabila melihat Makcik Aina sudah berlalu ke dapur. Langsung tidak kisah dengan perasaannya.

“Kamu ni Shakirin. Yang kamu benci sangat dengan kucing tu, kenapa? Belum ada sejarah lagipun kucing boleh bunuh orang, kan?” Shakirin mendengus sakit hati.

“Abah pun sama. Selalu menangkan adik. Kan Shakirin dah kata, Shakirin tak suka. Tak sukalah!”

Sekali lagi Pakcik Izuan menggeleng kepala melihat kelibat anak sulungnya itu berlalu ke biliknya sambil hentak-hentak kaki. Tanda protes.

Kemudian Pakcik Izuan menuju ke dapur. Tidak lama lepas itu, Dian muncul di muka pintu. Serentak kedua orang tuanya menoleh ke arahnya.

“Why?” soal Dian, buat-buat tidak faham dengan lirikan mata mereka berdua.
“Dah tahu kakak kamu tu alah dengan kucing, kenapa sengaja lepaskan Siti? Mujur kakak tu tak ada sakit jantung. Satu hal lagi kena bawa pergi hospital awal pagi.” Bebel Makcik Aina.

“Dian tak sengajalah, mak. Ingatkan dia dah pergi kelas tadi. Sunyi, tak dengar suara dia. Sebab tu Dian lepaskan. Kalau tahu, memang Dian tak buat. Bukannya Dian suka kalau dia ternampakkan si Siti tu. Gaya macam nak makan si Siti jer.” Siti, nama kucing kesayangan Dian. Selalu jadi mangsa buli kakaknya asal dia tidak ada di rumah.

“Lain kali, pastikan kakak kamu tak ada di rumah baru lepaskan. Abah tak suka kamu dua beradik bergaduh benda yang tak sepatutnya. Faham?” pesan Pakcik Izuan.

Kedua orang tuanya ini memang tidak berat sebelah dalam memberikan kasih-sayang. Kalau seorang kena marah, seorang pun mesti kena juga. Masing-masing buat hal, jadi dua-dua kena bertanggungjawab.

Dian hanya menganggukkan kepala perlahan. Kelibat Shakirin yang baru muncul di ruang dapur membuatkan semua pandangan teralih padanya pula. Dian pasang jeling apabila kakaknya itu menoleh ke arahnya dengan wajah cemberut.

“Dian gerak dulu mak, abah,” sua Dian dan berlalu dari situ. Dia ada kelas petang hari ni. Namun kejadian tadi membuatkan gadis itu ambil keputusan untuk keluar awal. Tak ada hati hendak mengadap muka mengada kakaknya.

“Sepatutnya kelas kamu jam lapan pagi kan hari ni, kenapa tak gerak lagi?” Makcik Aina bertanya sambil menyenduk mee goreng ke dalam pinggan lalu diletakkan di hadapan suaminya.

Shakirin ambil tempat duduk di sisi meja sebelah kanan. Mee goreng panas-panas itu disenduknya tanpa mempedulikan soalan maknya tadi.

“Kalau Dian buat hal lagi, mati kucing tu Shakirin kerjakan nanti!” Tuturnya kemudian lalu menjamah hidangan pagi itu. Sekali lagi kedua orang tua itu berpandangan.

*****

BUKAN sekali dua Dian mencari maklumat mengenai penyakit fobia kakaknya itu terhadap kucing. Segala perkongsian dari orang ramai dan juga pakar menjadi tatapannya.

Pernah dicuba diaplikasikan pada kakaknya, namun tetap tidak berjaya. Benarkah penyakit tersebut tidak ada ubatnya. Dian jadi buntu.

Dengusan kasarnya itu menarik perhatian sahabatnya, Lina. Gadis itu memandang dengan dahi berkerut.

“Ada masalah?” bisik Lina, kerana tidak mahu menjadi renungan pelajar-pelajar yang berada dalam pusat sumber kolej tersebut.

Sekilas Dian memandang Lina kemudian dia memandang semula ke arah skrin laptopnya.

“Pagi tadi kakak aku menjerit bagai nak gila gara-gara nampak Siti duduk atas meja depan TV.” Dian bercerita.

Terus Lina menggeleng kepala dan ketawa tanpa mengeluarkan suara. Dia faham benar dengan sikap kakak sahabatnya itu.

“Yang kau lepaskan Siti tu, kenapa? Dah tahu kakak kau tu fobia dengan dia, tapi kau buat juga.” Omel Lina kemudian. Skrin telefon dipandang tanpa berkelip.

Kalau Dian mencari maklumat menggunakan laptop, Lina pula hanya hadap skrin telefon pintarnya yang luas.

“Aku cuma risau sekarang ni. Penyakit fobia kakak aku tu makin menjadi-jadilah pula. Takut nanti dia apa-apakan Siti kalau aku tak ada kat rumah.” Kerisauan tersebut sering-kali hadir setiap kali dia keluar rumah. Walaupun dia kurung Siti dalam sangkar di dalam biliknya, dia tetap risau kakaknya tiba-tiba menggila.

“Kenapa nak risau, mak kau kan ada. Suruh mak kau tengok-tengokkan je lah kalau kalau kau keluar. Kan?” Cadangan Lina walaupun agak bernas, namun Dian tetap tidak sedap hati. Lalu dicapai telefon pintarnya dan mendail nombor rumah.

Tidak lama dia menunggu, talian di sebelah sana sudah bersambut.

“Mak, kakak mana? Dia tak kacau Siti kan? Oklah kalau macam tu. Mak tolong tengok-tengokkan kakak tu, takut dia masuk bilik Dian dan apa-apakan Siti. Mati dia Dian kerjakan nanti. Salam.”

Bulat mata Lina mendengar perbualan Dian yang agak kasar dan menakutkan tersebut. Takkanlah sayang kucing pun sampai nak bunuh kakaknya pula kalau dia kacau Siti. Pelik betul pencinta kucing macam Dian ni.

Tiba-tiba Dian tutup laptop. Kemas semua barang peribadinya masuk dalam beg. Makin berkerut dahi Lina jadinya. Apa kes pula ni.

“Kau nak gi mana pula ni? Kelas? Kelas lambat lagilah start.” Bebel Lina.

“Aku nak balik rumah jap. Risau aku walaupun mak cakap kakak berkurung dalam bilik dia.” Siap berkemas, dia terus berlalu.

“Habis tu kelas?” laung Lina sudah tidak kisah pada mata yang sudah memandang ke arahnya.

“Kalau sempat aku masuk. Bye!” Balas Dian dan menghilang di sebalik pintu masuk pusat sumber.

*****

BUNYI ngiauan kucing dari bilik sebelah membuatkan Shakirin tidak senang duduk. Sekejap-sekejap dia gosok dan tutup telinga. Namun ngiauan kucing adiknya itu tetap kedengaran.

Mati kucing ni aku kerjakan! Hatinya menjerit sakit hati. Lalu dia keluar dari bilik dan cuba membuka pintu bilik adiknya. Malangnya pintu itu berkunci. Namun akalnya tidak mati di situ. Dia masuk ke ruang dapur dan mendapatkan pisau kecil.

Shakirin masuk ke dalam semula dan mula mengumpil tombol pintu itu sampailah terbuka. Barulah Shakirin mampu tersenyum lega. Sebaik dia melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, kelihatan Siti masih mengiau dan berpusing mengeliling sangkarnya.

Tidak susah dia mengambil Siti kerana sangkar itu tidak berkunci. Lalu dipeluknya Siti sambil mengusap-usap bulu tebalnya. Pelik, tiba-tiba pula dia tidak merasa geli-geliman walaupun sudah memeluk erat kucing itu.

Senyumannya pula sinis penuh maksud tersurat. Kemudian dia masuk ke kamar mandi. Tab mandi dipenuhkan air. Sementara menunggu tab mandi itu penuh. Tangan dan kaki Siti diikatnya menggunakan baju Dian yang tergantung dalam bilik mandi agar tangannya tidak cedera dicakar oleh haiwan itu nanti.

Selesai saja. Dia matikan air paip. Kemudian barulah dia memulakan proses seterusnya mahu melemaskan Siti sampai mati!

Proses memasukkan dan mengeluarkan Siti dalam air diulang sambil gadis itu tertawa senang hati. Suka betul dia melihat kucing itu meronta-ronta sebaik dia memasukkkannya ke dalam air, kemudian di angkat ke atas. Apabila kucing itu mengiau lagi, dia masukkan semula.

Dian turun dari motor dan terus meluru masuk ke dalam rumah. Langsung tidak sempat memberi salam pada maknya. Kebetulan kelibat orang tua itu tidak ada di ruang tamu.

Melihat pintu biliknya terkuak luas, debaran di hatinya semakin menjadi-jadi apatah lagi melihat pisau kecil yang terletak di atas lantai lalu dicapainya. Makin parah apabila dia melihat Siti tidak ada dalam sangkar. Mendengar tawa senang hati kakaknya yang muncul dari kamar mandinya yang juga terbuka, membuatkan Dian melajukan langkah ke arah itu.

Terus matanya terbuka luas melihat Siti sedang dikerjakan oleh kakaknya sendiri dalam tab mandi. Gadis itu benar-benar buat dia hilang sabar. Lebih-lebih lagi melihat kucingnya sudah tidak bermaya kerana dilemaskan.

Shakirin yang masih seronok dengan aktiviti gilanya itu langsung tidak menyedari kehadiran adiknya di belakang saat ini. Sekejap lagi matilah kucing ini. Amanlah hidupnya kerana tidak perlu menghadap benda berbulu itu lagi lepas ini.

Zuppp!

Tusukan pisau tepat di kerongkongannya membuatkan Siti terlepas dari tangannya. Kemudian Shakirin menekup leher dan perlahan-lahan menoleh ke belakang dengan mata terbelalak. Sakitnya bukan alang-kepalang. Darah pula sudah tidak henti-henti keluar.

Namun Dian sudah tidak peduli. Siti segera diangkat dan dibuka ikatan tangannya. Kucing itu sudah semput menarik nafas kerana dilemaskan oleh kakaknya.

“Maafkan Dian, Siti. Sepatutnya aku tak tinggalkan kau sendirian.” Tangisan kecil lantas memenuhi ruang kamar bilik mandi itu.

Shakirin rebah ke lantai dengan mata terbuka luas memandang ke arah Dian. Mautnya tiba tanpa dipedulikan oleh adik kandungnya sendiri.

“Aku dah kata, kau kacau Siti. Mati kau aku kerjakan!” bisik Dian sambil mengusap-usap Siti. Walaupun kucing itu lemah, namun masih bernyawa. Syukur, kucing kesayangannya sempat diselamatkan sebelum orang gila tersebut membunuhnya.

Makcik Aina yang melihat kejadian ngeri tersebut berlaku jelas di hadapan matanya, terduduk tidak bermaya. Anak kandungnya sendiri membunuh kakaknya demi seekor kucing.

“Allah…” segera pandangan Dian dan Makcik Aina bertemu. Hanya pandangan sayu yang mampu dihantar Dian atas dosa besar yang baru saja dia lakukan hari ini.

Ampunkan, Dian!

*****

Imbas kembali,

“Mak, kakak nak mandi sungai, boleh tak?” pujuk Shakirin sambil buat muka comel. Dian memandang sambil mencebik. Meluat sedikit melihat kakaknya buat muka begitu. Kedua gadis kembar itu masih lagi bersekolah di sekolah rendah.

“Ajak Dian sekali kalau nak mandi.” Pakcik Izuan muncul sambil membawa daun kelapa muda untuk dianyam buat ketupat nanti. Esokkan Hari Raya.

“Yeay! Jom, Dian!” Walaupun agak malas, Dian turutkan juga. Kucingnya bernama Siti dibawa sekali. Walaupun ditegah oleh Makcik Aina agar kucing itu ditinggalkan saja, Dian tetap berdegil.

Kedua mereka berlalu sama-sama menuju ke arah sungai yang terletak tidak jauh di belakang rumah nenek mereka.

“Jom mandi,” ajak Shakirin lagi. Namun Dian tetap geleng kepala. Si Siti juga yang dibelainya penuh manja. Shakirin mencebik lagi. Tak habis-habis dengan kucing dia ni.

Menjerit riang Shakirin sebaik tubuh kecilnya itu masuk ke dalam sungai. Dia hanya mandi-manda di tepi saja. Bukan apa, risau pula kalau tiba-tiba air deras dan dia terikut sama. Mati lemas dia nanti.

Dian masih leka bermain dengan kucing kesayangannya itu. Kemudian, tidak semena-mena Siti berlari laju menuju ke arah sungai. Berkali-kali Dian memanggilnya namun Siti tidak mengendahkan panggilannya itu. Baru saja Dian mahu menariknya ke tepi, Siti terus dibawa arus.

Dian menjerit bagai orang kesampukan melihat kucingnya dibawa arus yang deras. Namun pelukan Shakirin membuatkan dia tidak dapat masuk ke dalam air sungai untuk menyelamatkan Siti.

“Jangan Dian, bahaya!” tegah Shakirin. Bukan dia tidak mahu menyelamatkan kucing tersebut namun, dia juga tidak reti berenang. Nanti tidak pasal-pasal dia pula yang lemas.

Kedua ibu bapa dan nenek mereka berlari menuju ke tepi sungai. Melihat keduanya masih ada di situ, barulah ketiga orang tua itu merasa lega. Namun tangisan Dian masih berterusan.

“Abah, tolong Siti, abah! Dian tak nak dia mati!” merayu-rayu gadis itu namun mereka semua tidak mampu berbuat apa-apa lagi kerana kelibat kucing tersebut sudah tidak kelihatan lagi di sungai itu.

Tangisan Dian terus berpanjangan bersama dengan dendam yang tersimpan jauh ke dalam hatinya.

“Kakak rela kucing tu mati dari kamu, Dian.” Pujuk Shakirin. Dia turut merasa bersalah kerana tidak mampu menyelamatkan kucing kesayangan adiknya itu.

“Tapi, Dian sanggup bunuh kakak demi kucing tu!” tersentak semuanya mendengar kata-kata budak kecil tersebut. Lalu Dian berlari ke arah rumah.

Tangisan Shakirin terhenti serta-merta. Kalau tadi dia menumpang simpati, tetapi kini perasaannya sudah berubah. Pandangannya tajam memandang kelibat adiknya yang sudah berlalu.

“Aku benci kucing!” Gadis itu menyimpul dendam!

TAMAT.

*p/s -> Cerita ni ditujukan buat manusia yang bencikan haiwan yang lemah seperti kucing. Mungkin ada masanya kewarasan pencinta kucing bakal mengundang bala pada anda!

SHARE
Previous articleJelmaan Nenek…?
Next articleARKIB ANGKER NEGARA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here