PINTU PAGAR PULANG II

2
428

Baca episod sebelum ini di sini: episod 1

PINTU PAGAR PULANG II

Pintu pagar rumah aku ternganga luas. Berderau aku lihat pintu pagar tu tak tutup. Lekas-lekas aku memecut ke arah rumah, pandu masuk ke dalam tempat parkir, tarik handbrake, matikan enjin, cabut kunci, keluar dari kereta dan menerpa ke pintu rumah.

Aku pulas tombol pintu rumah. Klik! Tersekat. Aku cuba pulas ke arah bertentangan. Klik! Tersekat juga. Eh, berkunci?

Biasanya pintu rumah tak berkunci selagi aku tak balik. Lazimnya, selepas aku balik, aku yang akan kunci pintu utama rumah dari dalam. Itu rutinnya. Kenapa hari ni berkunci pula? Nasib baik aku memang ada simpan kunci.

Aku raba poket dan keluarkan cari gugusan kunci. Susah bukan main nak cari anak kunci rumah dalam keadaan agak gelap. Lebih sukar lagi, masa nak masukkan anak kunci ke dalam lubangnya. Meraba-raba macam orang buta.

Masa aku tengah raba-raba tu, aku rasa macam diperhatikan. Terus bulu roma di tengkuk aku berdiri. Aku toleh kiri dan kanan. Tak ada sesiapa. Ketika aku hendak kalih pandangan aku semula ke arah tombol pintu, baru aku perasan dia.

Dia, perempuan bergaun putih separas lutut itu, berdiri di luar pagar, betul-betul di tengah -tengah bukaan pintu pagar. Berdiri tegak memandang aku yang tengah terkial-kial mencari lubang kunci. Ketika itu jari-jemari aku terasa seperti ranting-ranting kayu yang aku tak mampu kawal. Terketar-ketar.

Zrup!

Entah bagaimana, mungkin kerana nasib, anak kunci tadi meluncur masuk ke dalam slot di tombol. Selepas itu, aku tak tunggu walau sedetik! Aku terus pulas tombol pintu, tolak daun pintu ke dalam , dan terus menerjah masuk. Kedegang! Aku hempas pintu. Menutupnya selaju mungkin.

Klik! Aku tekan punat pada tombol pintu. Menguncinya pintu dari dalam. Baru sahaja aku nak menarik nafas lega, tiba-tiba teringat bahawa pintu pagar masih ternganga, seperti menjemput entah siapa atau apa di luar tu untuk masuk.

Seperti lipas kudung aku berlari mendapatkan suis pintu pagar yang berada di dinding ruang tamu. Tap! Aku petik suis tu. Selain gunakan remote control, pintu pagar eletronik juga boleh ditutup atau buka gunakan suis dinding. Suis ini terletak di sebelah tingkap.

Tidak percaya dengan kecekapan fungsi suis itu, aku rasa desakan untuk lihat sendiri sama ada pintu pagar itu bergerak atau tidak selepas suis ditekan. Aku mengintai sedikit ke luar melalui tingkap di sebelah aku.

Pintu pagar sedang menggelunsur tutup. Perempuan itu tidak kelihatan. Perasaan aku masih tidak tenteram. Aku tak boleh lega lagi. Perempuan tu tiada di luar bolej jadi dia dah pergi, atau mungkin juga dia dah masuk! Terfikir begitu, terus kebas rasa muka aku.

Bila pagar dah terkatup rapat, aku segera naik ke tingkat atas, ke bilik. Sebaik sahaja aku buka pintu bilik, isteri aku menyapa aku dengan suara yang serak-serak basah— “You ni kenapa? Tutup pintu slow-slowlah sikit.”

“Eh, kenapa you biarkan pagar terbuka macam tu? Bahaya tau!” ujar aku, mengendahkan apa yang isteri aku katakan sebelum itu.

“Saya tak larat nak tunggu you balik. I bukalah pagar siap-siap takut I tak terjaga. Lagipun I kan kunci pintu rumah. Apa yang bahayanya?” balas bini aku.

“Bahayalah! Nanti ada…” aku terhenti seketika, mempertimbang sama ada apa yang aku akan cakap ni bakal kedengaran siuman atau tidak, dan kemudian menyambung “… anjing ke, apa ke masuk perkarangan rumah.”

Semalam, apabila aku beritahu hal sebenar, isteri aku kata aku mengigau, jika aku beritahu apa aku nampak hari ni, mesti dia kata aku ni dah tak waras. Jadi, elok aku tak libatkan dia dalam situasi ni.

“Yelah!” balas dia pendek.

“You tu, lately I tengok perangai you pelik semacam. Dah, jangan balik lewat lagi lain kali. Jangan macam-macam,’ tokoknya sebelum menghempas kepalanya ke bantal semula.

“Hmm…” balas aku pendek, mengiyakan kata-katanya. Malas nak macam-macam.

Selepas itu aku pun ke bilik air untuk mandi. Sepanjang berada di bilik air, mata aku entah berapa ribu kali menjeling ke arah tingkap kecil yang berada agak tinggi, 5 inci dari siling bilik air tu. Terbayang-bayang perempuan itu mengintai aku dari dengan mata yang terjegil tingkap itu, membalas semula apa aku lakukan pada dia. Seriau! Dalam keadaan basah pun bulu roma aku boleh berdiri.

Cepat-cepat, aku tutup air pancuran, mencapai tuala, dan keluar dari bilik air. Aku tutup pintu bilik air perlahan-lahan. Karang tutup laju-laju, berdentum bunyinya, kena marah lagi dengan isteri aku. Walaupun dia cantik, kalau dia marah, menakutkan juga.

Malam itu aku berjaya tidur, tapi dalam keadaan tidak berapa nyenyak. Tidur tetapi minda berjaga. Aku bangun jam 11 pagi, namun masih terasa tak cukup rehat. Sepanjang hari tu, aku terfikir-fikir kenapa benda ni berlaku pada aku. Mesti ada sebabnya, tapi apa?

Aku kena siasat!

Malam tu, tepat jam 12 tengah malam, aku dah terpacak di tingkap di bilik. Meninjau-ninjau keadaan di hadapan rumah. Ketika itu masih ada lagi remaja-remaja bermotor berpeleseran di jalan raya. Malam masih hidup. Namun, keadaan berubah bila menjelang jam 1245 minit pagi.

Manusia terakhir yang aku lihat lalu di jalan raya hadapan rumah aku adalah peronda keselamatan taman. Setiap hari ada beberapa orang penduduk akan ambil giliran untuk melakukan giliran meronda di kawasan taman sebagai langkah menjaga keselamatan. Mereka meronda menggunakan motor.

Tepat Jam 1 pagi, jalan raya itu mati. Lengang. Tak ada satu nyawa pun. Tiada walau seekor anjing atau kucing kelihatan berkeliaran. Tiada katak atau cengkerik yang bersuara. Sunyi sepi. Hening yang hanya dicemari bunyi deruman penghawa dingin dalam bilik aku.

Jantung aku berdebar-debar. Pada ketika itu, seolah-olah semua benda mendiamkan diri, bersembunyi di balik kegelapan, agar tidak disedari kewujudan mereka. Seolah-olah menghindari daripada dikesan dengan sesuatu yang menakutkan.

Aku berdiri di balik tingkap. Kaki terpasung ke lantai, pandangan tertambat ke arah pintu pagar rumah. Masa berlalu begitu perlahan. Seakan-akan berhenti. Pegun. Ketakutan aku memuncak.

Sebahagian daripada diri aku berdoa agar tiada apa-apa yang muncul, sebahagian lagi mengharap sesuatu yang akan terpacul. Berbelah bahagi, bercanggah, berlawanan. Bercampur baur dan mengelirukan.

Sedang aku bertingkah dengan diri sendiri, tiba-tiba, seperti berpakat, dunia kembali bernyawa semula. Katak dan cengkerik kembali meneruskan koir mereka. Kelihatan anjing berjalan tertenjet-tenjet keluar dari persembunyian. Motosikal kembali meluncur di jalan raya, mencabuli hak warga taman untuk berehat.

Aku tak yakin dengan kesahihan peristiwa yang aku lihat dengan mata kepala aku sendiri. Tak mungkin ia satu kebetulan. Ia seperti dirancang. Apa yang aku lihat semalam dan hari ini, membuat aku meragui kewarasan aku.

Aku teruskan pemerhatian aku, sekitar pukul 2 setengah pagi, aku pun masuk tidur kerana tiada apa-apa yang aneh berlaku selepas itu. Aku teruskan pemerhatian aku untuk beberapa hari, dan aku dapati, kejiranan sekitar rumah aku akan senyap antara jam 1 pagi hingga 1.30 minit pagi.

Selain itu tiada apa yang aneh. Pada hari ke-7, aku berhenti memerhati kerana tiada apa lagi yang aku bisa dapat melalui pemerhatian aku. Setelah itu aku kembali menjalani rutin kehidupan aku sebelum ini. Semuanya tenang sehingga…

Bersambung…

Baca sambungannya di sini: episod 3

SHARE
Previous articlePINTU PAGAR PULANG
Next articleJAMBATAN

2 COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here