PIANO

0
259

– PIANO –

Tahun 2019…

“Zarith!”

“Zarith”

Dua kali panggilannya tidak disahut Zarith Sofian. Kemudian Zahir masuk ke dapur, tercari-cari anak terunanya. Kelihatan Zarra Sofea anak gadisnya terkocoh-kocoh berlari mendapatkannya. Terkejut apabila terdengar suara ayahnya nyaring memanggil abangnya Zarith Sofian.

“Kenapa ayah?” Soal Zarra Sofea.

“Mana abang? Dari tadi ayah tak nampak? Dah petang ni!” Ujar Zahir. Risau dengan keadaan anak lelakinya itu yang sejak dari kecil mengalami masalah kesihatan.

“Mama bawa abang pergi kedai. Kan hari tu mama kata ada kedai alat muzik nak jual piano terpakai. Itu yang mama bawak abang, sebab abang yang mintak…” balas Zarra Sofea, yakin.

Zahir mengeluh perlahan. Mengharapkan apa yang dikatakan Zarra Sofea itu betul. Entah kenapa, perasaan risaunya pada Zarith Sofian semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Dia tahu, satu hari nanti waktunya akan tiba bila sampai masanya. Dia sudah bersedia menghadapi rintangan yang bakal tiba… walaupn hanya kemungkinan.

“Ayah fikirkan apa? Mengelamun jauh. Zarra panggil ayah pun, langsung ayah tak dengar.” Sapa Zarra Sofea pada ayahnya.

Zahir tersenyum pahit. Wajah anak gadisnya saling tidak tumpah wajah mamanya, Adelia. Wanita yang dikahwininya selepas satu tragedi buruk berlaku pada keluarga Adelia. Kematian Amelia dan penahanan sahabatnya sendiri Izul Imran kerana membunuh isterinya.

Nasib menyebelahi Izul Imran, dia tidak dijatuhi hukuman mati. Mahkamah telah memutuskan untuk meminda pertuduhan kepada membunuh tanpa niat. Dari kes dibawah Seksyen 302 kanun keseksaan yang menperuntukkan hukuman mati mandatori kerana menyebabkan kematian isterinya tetapi telah dipinda kepada Seksyen 304 kanun yang sama, iaitu membunuh tanpa niat. Maka dia terlepas dari tali gantung. Izul Imran hanya dipenjara selama 15 tahun dan denda.

Tetapi kejadian itu sudah 20 tahun berlalu. Izul Imran juga sudah lama bebas dari penjara, kira-kira 5 tahun yang lalu. Namun sehingga kini, tiada lagi khabar berita mengenai Zahir Izul imran yang didengarnya. Menghilang begitu sahaja. Namun, dia hanya mampu berdoa agar Izul Imran terbuka hati untuk bertemu dengannya dan Adelia.

“Zarra, try call mama. Kenapa lama sangat…” arah Zahir pada anak gadisnya.

“Ok…”

Seperti yang disuruh Zarra Sofea terus sahaja mencapai handphone yang tergeletak di sebelahnya lalu menghubungi mamanya. Jawapan dari panggilan sedang dinanti. Dalam 5 minit menanti masih lagi tiada jawapan dan tidak lama kemudian satu mesej dari aplikasi Whatsapp muncul di notifikasinya.

ABANG ZARITH
5.30 petang

Kenapa call mama?

Dia tengah drive gila! Tengah otw nak balik!!!

Mesej itu dibaca dengan perasaan marah. “Ayah, abang kata diorang tengah on the way nak balik. Benci tengok abang. Nanti tak nak tolong dia lagi!” Bentak Zarra Sofea.

“Kenapa pulak marah kat abang?” Soal Zahir, pelik dengan perangai anak gadisnya itu.

“Abang tulis gila kat Zarra. Ayah selalu suruh Zarra hormatkan abang, tapi kenapa abang tak pernah nak hormat Zarra? Sebab Zarra ni adik je ke?” Soal Zarra sofea pada ayahnya. Geram!

Zahir terdiam. Wajah Zarra Sofea direnung dalam. Faham. Tetapi, belum masanya lagi untuk diceritakan kesemuanya. Tunggulah masa yang sesuai, fikir Zahir dalam setiap monolognya. Seperti selalu. Dia lebih senang diam dari terus memberi jawapan pada setiap persoalan yang dilontar Zarra Sofea padanya.

“Mama pilih kasih! Mama selalu pentingkan abang! Abang, abang, abang! Macam Zarra ni anak angkat!” Bentak Zarra Sofea lagi, masih lagi tidak puas hati.

“ZARRA SOFEA!”

Zahir meninggikan suara pada anaknya. Namun itu bukan pintanya, dia terpaksa. Sekalipun dia tidak pernah mengajar anak gadisnya itu bersikap begitu, sikap Zarra Sofea juga berubah sejak akhir-akhir ini. Mungkin tertekan dengan persiapan peperiksaan SPM yang bakal tiba, itu sahaja yang Zahir mampu fikirkan. Dia menggeleng, sedikit rasa kesal menerpa dalam diri.

Zarra Sofea terdiam apabila ayahnya meninggikan suara padanya. Tidak pernah sekali pun ayahnya bersikap begitu padanya. Tetapi hari ini, kenapa ayahnya bersikap demikian? Dengan perasaan sedih, Zarra Sofea bingkas bangun. Lalu berlari masuk ke dalam bilik tidurnya.

Dia membungkam di atas katil. Bantal peluk yang terletak elok di atas katil terus dilempar ke dinding. Geram! Saat ini tiada langsung air mata yang tumpah. Perasaan marah itu disimpan diam di dalam lubuk yang paling dalam. Biar tiada sesiapa pun yang tahu apa yang sedang berbenolak dalam hatinya. Marahnya pada siapa. Bencinya pada siapa yang harus dituju. Biar hanya dia sahaja yang tahu.

“Arghhh! Benci!” Jeritnya. Tidak terlalu kuat, hanya sekadar menekan suara agar jeritan dan kemarahan yang meluap itu tidak dapat didengari oleh sesiapa.

Untuk memuaskan hatinya, dia menghantar pesanan Whatsapp pada sahabatnya Laila.

LAILA
3.15 petang

Salam
Beb, aku tengah stress ni!

Lalu handphone di letakkan berhampiran. Mengharapkan Laila membalasnya. Kipas siling yang ligat berpusing direnungnya, bagai mengira setiap detik. Masih lagi menanti balasan mesej dari Laila. Lantas handphone yang berada di sebelah terus dicapai. Dia mencuka apabila mesejnya langsung tidak dilihat Laila. Dia mula rasa mengantuk dan akhirnya dia tertidur.

…………………………………………….

“Berapa harga piano ni?” Soal Zahir pada isterinya sambil melihat gelagat Zarith Sofian menekan-nekan setiap keyboard pada piano tersebut dan kedengaran satu irama berentak perlahan sedang dimainkan Zarith Sofian.

Ya, Zarith Sofian mempunyai bakat seperti ibunya Adelia. Namun bakat Zarra Sofia lebih daripada itu. Bukan hanya pandai bermain piano, tetapi dia mempunyai kelebihan bermain dengan instrumen lain, iaitu gitar. Namun, kelebihan yang ada itu pun tidak cukup memberi ruang dan kasih sayang Adelia padanya.

“Murah je. Ini piano lama, bukan baru pun…” balas Adelia.

“Murah? Murah tu berapa sayang oiii? Seringgit? Dua ringgit?”

“Ish abang ni! Takdelah sampai seringgit, dua ringgit. Adalah. Lagipun Lia pakai duit sendiri. Bukan guna duit abang pun….” balas Adelia lagi. Seakan tidak senang dengan kata-kata suaminya itu. Setiap kata-katanya, pasti akan ada sindiran buatnya.

“Kalau untuk Zarith, semuanya boleh, tak apa pada awak. Tapi kalau untuk Zarra… kalau budak tu mintak, awak buat-buat tak dengar je. Walaupun hanya nak beli keperluan perempuan. Berkira sangat. Saya pulak yang kena faham dengan anak dara awak tu! Dah jadi terbalik!” Balas Zahir lagi. Ada ketegangan pada nada suaranya dan sebaik berkata demikian Zahir terus berlalu meninggalkan Adelia yang masih terpinga-pinga dengan sambutan Zahir pada piano yang baru dibelinya.

Seraya itu juga keyboard pada piano yang ditekan Zarith Sofian termati begitu sahaja. Zarith Sofian terkesan dengan setiap ayat yang keluar dari mulut ayahnya. Namun, perasaan itu ditelan sedalam yang mungkin. Piano yang berada di hadapan, tidak ubah seperti periuk api bagi ayahnya. Dia mengeluh panjang. Dia sedar akan hal itu, atas sebab itu dia lebih banyak berdiam diri dari ayahnya.

“Zarith jangan terasa sangat dengan ayah. Adalah benda tak kena dengan dia hari ni. Itu yang emo semacam je…” ujar Adelia pada Zarith Sofian.

Zarith Sofian hanya tersenyum kelat. Diam adalah lebih baik, walaupun hakikatnya dia tidak bersalah.

“Kenapa? Diam je dari tadi?” Soal Adelia pada satu-satunya anak teruna yang dia ada.

Zarith Sofian menggeleng. “Tak ada apa…”

“Mana boleh tak ada apa! Beritahu jelah kat mama!”

“Betul ma… tak ada apa-apa. Jangan risau ok…” balas Zarith Sofian, cuba meyakinkan mamanya.

“Oklah kalau macam tu. Mama nak masuk bilik. Zarith mainlah dengan piano ni sepuas yang Zarith suka.” Adelia mengusap lembut rambut anaknya. Tanda kasih seorang ibu yang tidak berbelah bahagi. Seolah-olah hanya itu sahaja anaknya. Kemudian berlalu meninggalkan Zarith Sofian yang masih termanggu-manggu mengadap piano yang baru dibeli.

Untuk menghilangkan rengsa di hati, keyboard piano mula ditekan satu persatu. Cuba mencari rentak pada setiap not yang dimainkan. Irama sedih dan mendayu sedang menjadi halwa telinganya.

Tumpuan diberikan sepenuhnya pada keyboard yang sedang dimainkan. Seolah-olah lagu yang dimainkan itu kian menyatu bersama jasadnya. Namun bunyi pada piano itu mengundang rasa sesuatu pada hati Zarith. Tetapi sesuatu yang mengasyikkan pada awalnya, mula berubah apabila tiba skala B minor. Seakan ada suara yang keluar ketika tiba pada skala itu. Zarith menekan keyboard itu lagi dan dimulai dengan skala B minor yang mula berkumandang. Cuba memastikan bahawa kali ini dia tidak tersilap dengar. Dia mengerut wajah, terdiam seketika. Entah kenapa semuanya baik-baik sahaja apabila kali kedua keyboard itu ditekan. Sedangkan dia yakin dengan apa yang didengarnya sebentar tadi ketika muzik itu dialunkan pada skala itu. Dia menggeleng bagai tidak percaya.

Namun untuk mengesahkannya lagi, dia cuba menekan keyboard piano itu buat kali ketiga. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Lalu keyboard mula ditekan dan kini lagu rancak dari hasil ciptaan Wolfgang Amadeus Mozart, Ronda Alla Turca mula menghiasi halwa telinganya. Tetapi apa yang menghairankan… lagu yang dibawanya itu berjaya dimainkan sehingga habis. Tiada apa yang mengganggu. Telinganya juga tidak mendengar sebarang suara yang keluar.

Namun Zarith masih tidak berpuas hati. Lantas bangun dan menuju ke bilik tidur adiknya Zarra. Dua kali pintu bilik Zarra diketuk. Akhirnya daun pintu dibuka dari dalam dengan wajah Zarra yang kelihatan masih mencuka padanya.

“Kenapa buat muka macam tu?” Soal Zarith, hairan.

“Kenapa buat muka macam ni ke?” Balas Zarra lagi dengan pertanyaan.

“Yelah! Kenapa?” Zarith masih lagi tidak faham dengan apa yang berlaku.

“Nah! Sebab ni!” Lantas handphone yang berada terus dihulur pada Zarith.

Dengan wajah yang terpinga-pinga Zarith membaca text yang berada di aplikasi Whatsapp tersebut dan akhirnya barulah Zarith faham, kenapa Zarra membuat muka begitu padanya tadi. Dia tersenyum nipis.

“Sebab ni je. Gurau je pun. Itupun nak ambil hati ke?”

“Tersinggunglah. Zarra tanya baik-baikkan? Kenapa mesti jawab gila!” Balas Zarra masih tidak berpuas hati. Dia tetap merasakan dirinya betul.

“Yelah, abang minta maaf. Lain kali abang tak buat lagi. Lagipun itu hanya sekadar gurauan je. Janganlah ambil hati. Manalah tahu, itu mungkin gurauan terakhir abang…” ujar Zarith lagi, cuba mengambil hati adiknya yang masih mencuka.

Zarra terkedu apabila mendengar kata-kata abangnya itu. Dia menunduk. Dari wajah yang menyinga, kini berubah menjadi kucing. “Zarra minta maaf. Sikit je ambil hati, tak banyak pun. Tapi abang jangan cakap macam tu lagi. Sedih Zarra dengar. Zarra selalu doa semoga abang panjang umur…”

Zarith tersenyum pahit. Cuba membuang perasaan hampa itu sejauh mungkin. Namun jauh dari sudut hatinya, dia redha. Redha jika itu sudah ditakdirkan untuknya menempuh sisa-sisa kehidupan yang masih ada.

……………………………………………….

Usai pintu bilik ditutup Adelia memandang Zahir dengan perasaan marah. Direnung wajah suaminya dengan rasa amarah yang meluap. Cuba meluahkan rasa kesalnya itu pada sang suami. Zahir sedar akan hal itu. Namun renungan dari Adelia itu langsung tidak menjadi kudis buatnya. Sedangkan pada hakikatnya dia tahu siapa Adelia.

“Sampai hati abang…” Adelia berdiri di hadapan suaminya.

Zahir merenung kembali wajah isterinya, tanpa memberi sebarang jawapan. Dia faham dengan kata-kata yang keluar dari mulut Adelia itu adalah mengenai kata-katanya sebentar tadi.

“Lia pun sama, sampai hati beli piano tu tanpa minta izin dari abang…” balas Zahir dengan suara yang sedikit menekan.

“Lia pakai duit Lia sendiri. Sikit pun tak usik duit abang…”

“Bukan masalah duit siapa Lia. Masalahnya sekarang… Lia buat keputusan tanpa bincang dengan abang terlebih dahulu. So, abang ni siapa pada Lia sebenarnya? Bukan suami Lia ke?” Ujar Zahir lagi.

Adelia terdiam. Terpempan dengan soalan yang diajukan. Bagaikan belati menikam ke dada, sakitnya sampai ke jiwa. “Abang, takde niat pun Lia nak ketepikan abang. Sumpah! Takde niat. Lia buat semua ni demi Zarith semata-mata…” balas Adelia dengan linangan air mata. Lalu tangan suaminya diusap lembut.

“Bagaimana dengan Zarra?”

“Kenapa dengan Zarra?” Adelia mengerut muka, hairan apabila Zahir bertanyakan mengenai anak gadis mereka. Persoalan itu seperti lari topik yang mereka bincangkan tadi.

“Kehendak Zarra, ada Lia cuba tunaikan?”

“Oh, itu…” kini barulah Adelia faham dengan soalan yang diajukan dan kenapa nama Zarra disebut Zahir padanya.

Zahir masih lagi menanti jawapan. Wajah Adelia direnung dalam, mengharapkan sebuah jawapan yang dapat melegakan hatinya.

“Sebenarnya abang dan Zarra terlalu emosional. Suka fikir yang bukan-bukan. Sedangkan Lia tak pernah abaikan kehendak Zarra. Yalah, mungkin ada bahagian tertentu yang Zarra tak faham kenapa Lia taknak atau tak izinkan. Bukannya membuta tuli terima setiap kata anak tu bulat-bulat macam abang. Cuma, kali ni saja Lia belikan piano untuk Zarith. Hadiah yang paling mahal. Untuk kali ni saja. Lagipun, Zarith kan sakit. Jadi, Lia cuba untuk tunaikan segala kemahuannya. Abang pun sama. Bersalah juga! Abang jangan letakkan semua kesalahan di atas bahu Lia je. Apa yang abang kata tadi tu pun, dah menyinggungkan perasaan Zarith. Abang langsung tak kawal apa yang abang nak cakap, walaupun depan Zarith. Abang ingat dia tak tersinggung ke tadi.” Adelia meninggikan suaranya. Bukan kehendaknya berkata begitu, cuma rasa sedikit terkilan. Seolah-olah dia bukanlah ibu yang baik pada anak gadisnya.

Kali ini Zahir pula terdiam. Bagai terpukul dengan setiap kata-kata Adelia. Untuk memuaskan hati Adelia, Zahir bangun dari duduknya lalu mengambil sesuatu dari dalam laci. Lalu ia diserahkan pada Adelia. Sesuatu yang dikeluarkan itu adalah sepucuk surat bersampul putih. Lantas isi surat dibaca, matanya mula berkaca apabila isi surat itu ditujukan untuk Zarith Sofian.

“Semalam doktor Anil ada bagitahu. Dah boleh buat pembedahan untuk Zarith. Tarikh pembedahan akan diberitahu nanti.” Ujar Zahir lagi dengan nada suara yang perlahan.

“Jadi, Zarith ada harapan untuk sembuh ye bang? Ya Allah, syukur alhamdulillah….” Adelia memanjatkan kesyukuran.

“Abang cadang bila pemindahan sumsum tulang dah berjaya dilakukan, abang nak buat kenduri kesyukuran untuk Zarith dan untuk kita sekeluarga… ”

“Adelia mengangguk faham. “Lia ikut je apa yang abang rancangkan. Apa yang penting untuk Lia, kesembuhan Zarith… itu je…”

“Ye. Cepat pemindahan sum-sum tu dibuat, lagi bagus…” ujar Zahir lagi, dengan seribu harapan.

Isi surat yang berada di tangan direnungnya dengan satu senyuman yang bermakna. Setitis demi setitis air mata mula jatuh membasah di pipinya.

……………………………………………

8.00 malam…

Zarra menyentuh piano yang berada di hadapannya. Piano berwarna putih itu kelihatan sangat klasik. Sementalah juga ia adalah piano terpakai yang baru dibeli oleh mamanya.

“Trylah main,” suruh Zarith pada adiknya.

Zarra menggeleng tidak mahu. Tidak mahu kerana berasa takut dengan kejadian yang diceritakan oleh Zarith padanya tadi. Bukan itu sahaja dia turut merasakan seperti ada sesuatu misteri pada piano tersebut. Namun itu hanya berdasar pada telahannya semata-mata.

“Abang main lagu apa masa dengar suara perempuan berbisik? Confirm ke bukan suara jiran sebelah?” Soal Zarra inginkan kepastian.

“Kau agak-agaklah dik, suara jiran kita. Rumah kita dengan jirankan jaraknya jauh. Takkanlah abang tak boleh nak bezakan suara orang berbisik dengan suara jiran kat luar sana rumahnya. Pleaselah…” Zarith bersuara sinis dengan wajah mencuka.

“Yelah, saja je nak confirm lebih. Emo sangat…”

“Abang main lagu Beethoven, Silence. Itu yang mama ajar masa mula-mula dulu.” Balas Zarith lagi.

Zarra terdiam. Sukar untuk percaya dengan apa yang didengar dari mulut abangnya, namun ia tidak mustahil jika dilihat pada keadaan piano lama itu serta apa yang sedang menguasai fikirannya saat ini.

Lantas Zarra duduk dan bertenang. Dalam keadaan cuak dia cuba ingin memainkan lagu berkenaan. Setelah jari berada di keyboard piano, muzik Silence mula dimainkan. Zarith turut duduk disebelah adiknya, cuba untuk mendengar kalau-kalau suara itu menyinggah lagi di cuping telinganya. Sebaik lagu itu dimainkan, irama Silence itu memecah hening pada petang itu dan seperti yang dijangka…

“SSYYUUUU…”

Zarith menelan liur. Suara itu kedengaran lagi. Kali ini lebih jelas. Kemungkinan piano itu tidak dimainkan olehnya, kerana itu dia dapat mendengar dengan jelas bunyi itu. Lantas bahu Zarra disentuh spontan. Serta merta keyboard itu berhenti dari bunyinya.

“Kenapa?” Soal Zarra dengan wajah terkejut.

“Dia bisik lagi…” Zarith memberitahu dengan nada perlahan. Seolah-olah tidak mahu piano itu terdengar perbualannya dengan Zarra.

“Tapi kenapa Zarra tak dengar? Bukan ke Zarra yang main piano ni?” Soal Zarra lagi.

“Manalah abang tahu! Zarra try main lagi…” suruh Zarith pada Zarra.

“Main lagi? Lagu tadi juga?”

“Ye… main lagu tadi!”

Sekali lagi lagu itu dimainkan oleh Zarra. Irama Silence mula berkumandang.

“SSYYYUUUU… AKU KATA DIAMMMM!”

Zarith hampir sahaja terjatuh ke lantai sebaik sahaja mendengar suara itu menyuruhnya diam! Dan sekali lagi bahu Zarra disentuh Zarith.

“Berhenti…”

“Kenapa? Dia bisik lagi ye?” Soal Zarra lagi.

“Ye. Tapi bukan bisik dah. Dia jerit terus dekat telinga abang!”

“Tapi kenapa Zarra tak dengar? Pelik.”

Zarith menggeleng, tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan. Sedangkan dia juga tidak tahu mengenainya.

“Tapi, pelik…” Zarra mula tertanya-tanya lagi.

“Apa yang pelik?”

“Kenapa hanya abang saja yang dengar?”

“Zarra… kalau Zarra tanya abang 10 kali pun, abang tetap tak ada jawapannya. Tapi…”

“Tapi apa?” Soal Zarra ingin tahu.

“Dalam kereta masa nak on the way balik rumah, mama ada suruh abang mainkan lagu Silence. So, itu yang abang mainkan lagu tu…” ujar Zarith lagi.

Zarra terdiam. Wajah Zarith direnung dalam. Cuba mencari konklusi pada setiap persoalan. Kenapa lagu Silence? Kenapa mesti abangnya Zarith Sofian?

………………………………………

10.45 malam…

Zarith merenung siling. Terkebil-kebil matanya sukar untuk dilelapkan. Entah kenapa dia merasa gelisah malam itu. Bukan kerana risaukan tentang sakit yang dihidapinya, tetapi sesuatu yang lain. Suasana bilik yang gelap itu sangat merimaskannya. Sedangkan dia tidak pernah berasa begitu. Tidur di dalam gelap adalah sesuatu kemestian, jika tidak pasti sukar matanya untuk dilelapkan. Tetapi malam ini, sebaliknya pula.

Zarith bingkas bangun. Suis lampu dipetik dan bilik mula menerangi segenap ruang. Matanya meliar memandang sekeliling. Dia menarik nafas lega, sepatutnya tidak ada apa yang perlu dirisaukannya saat ini. Lalu dia duduk kembali di atas katil. Termenung seketika. Cuba mengingati kejadian petang tadi.

Namun dalam saat termenung itu secara tiba-tiba suara bisikan dan jeritan perempuan pada piano itu mula datang menerjah fikirannya bersilih ganti. Zarith kembali memandang sekeliling. Semakin cuba dielak, semakin ligat ia mengganggu. Zarith meraup wajah, kasar. Benci dengan apa yang dirasai. Rasa marah, gelisah, serta rasa dirinya diperhati mula bercampur baur. Dadanya mulai rasa sesak dan sendat. Bagai dipeluk dengan erat.

“Zarith…”

Zarith terkedu saat namanya disapa entah siapa. Suara seorang perempuan. Betul-betul kedengaran dicuping telinganya. Malah saat ini dan waktu ini Zarra, mama dan ayahnya sudah pun lena diulit mimpi. Besar kemungkinan itu bukan suara Zarra, mahupun mamanya. Zarith segera duduk di atas lantai, lantas cadar di katil terus diselak ke atas. Kosong. Zarith masih lagi terpinga-pinga.

Dia termenung. Cuba memastikan suara itu bukan mainan perasaannya. Zarith mengeluh perlahan. Dalam masa yang sama cuba mencari pada setiap asbab kejadian yang berlaku.

“Piano tu?” Bisiknya.

Tanpa berfikir panjang, Zarith bingkas bangun lalu keluar dari bilik tidurnya dan menuju ke ruang tamu di mana piano itu diletakkan. Namun langkahannya termati apabila dia berdiri betul-betul di hadapan piano itu. Dia terkedu apabila kelihatan sosok seorang lelaki sedang duduk sambil mengadap piano tersebut. Suasasan samar itu menyukarkan pandangan matanya itu untuk melihat dengan lebih jelas. Gayanya seolah-olah sedang ingin melakukan persembahan piano di atas pentas, bersedia. Tiba-tiba…

TINGGGG…

Petikan piano skala C minor kedengaran sekilas. Hanya satu petikan sahaja kedengaran, itupun sudah membuatkan Zarith hampir pitam. Dengan perasaan takut Zarith berlari ke arah suis lampu dan sebaik lampu dinyalakan, sosok lelaki yang duduk mengadap piano itu… tiada!

Sekali lagi Zarith terkedu apabila sosok lelaki yang dilihatnya tadi itu langsung tidak kelihatan berada di hadapan piano itu. Sedangkan bunyi keyboard piano itu terdengar jelas di cuping telinganya! Dalam perasaan berbelah bahagi dan cuak, Zarith gagahkan diri melangkah perlahan ke arah piano itu dan sebaik sahaja hampir, segenap inci piano mencari kelibat lelaki itu. Tiada.

Zarith terduduk di kerusi kecil hadapan piano itu. Termenung sejenak sambil memikirkan apa yang sedang dilaluinya tadi. Suara, petikan keyboard dari piano itu membuatkan Zarith mula tercari-cari akan misteri piano tersebut. Kenapa? Bagaimana?

Zarith mula terfikirkan sesiatu untuk mendapatkan jawapan. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk bermain piano itu pada malam itu juga. Ya, muzik Silence akan berkumandang lagi.

Dengan berbekalkan ilmu yang dipelajari dari mamanya, Zarith mengatur setiap jari jemarinya di atas keyboard piano berkenaan. Jarinya meluncur laju mengalunkan setiap not irama itu. Pada lima minit pertama, alunan muzik itu kedengaran seperti biasa dan tiada apa pun yang nampak pelik. Namun, setelah 10 minit lagu itu dialunkan sedikit demi sedikit ada sesuatu perubahan telah berlaku. Zarith terkejut apabila melihat suasana di ruang tamu itu mulai berubah sedikit demi sedikit.

Dari ruang yang kecil berubah menjadi satu ruang yang besar dan cat dinding rumahnya bertukar serta merta berubah menjadi warna yang lain dan apa yang pasti ruang itu bertukar menjadi ruang rumah rang lain. Malah semakin laju lagu itu dialunkan, semakin jelas ruang tamu itu berubah-ubah! Magis nyata terlayar di hadapan mata. Disebabkan kaget, lagu yang dimainkan Zarith itu termati serta merta! Dia termangu disitu. Tubuhnya pegun dalam keadaan terkejut. Namun tiba-tiba…

“Jangan berhenti, mainkan lagu yang berada pada piano itu…”

Kali ini terdengar suara seorang lelaki, bukan suara perempuan seperti yang didengarnya siang tadi. Namun, Zarith bukan sahaja dapat mendengar suara itu berbisik ke telinganya, malah dia dapat merasakan ada tangan sedang menarik lengannya lalu meletakkan betul-betul di atas keyboard piano itu!

“Mainkan lagu yang aku minta itu sehingga habis…” pinta suara lelaki itu.

“Kau ke tadi yang berada di piano ni tadi?” Soal Zarith sambil cuba menoleh ke belakang. Dalam masa yang sama, dia turut terkejut apabila ruang tamu itu berubah kembali kepada keadaan asal tanpa disedari.

“Jangan! Jangan sekali-kali kau menoleh! Kalau kau mahu tamatkan segala sumpahan ini. Kau harus mainkan lagu ini sehingga habis. Walau apa pun yang bakal berlaku, kau harus habiskan.” Pinta suara itu lagi.

“Lagu Silence?”

“Bukan!”

“Bukan? Kalau bukan Silence, lagu apa?”

“Jawapannya ada di piano ini…”

Zarith terdiam. Telinga dipicing, cuba mendengar suara itu bersuara lagi padanya. “Hoiii…”

“Hoiii…” dia cuba menyapa lagi suara itu dengan nada perlahan. Mengharapkan agar suara itu mendengar dan menyahut kembali. Namun dalam 5 minit menanti, Zarith tidak lagi mendengar suara itu.

“Ok… aku kena cari nota lagu kat dalam piano ni? Interesting…” bisiknya sendirian.

Zarith bangun dari duduknya. Grand piano yang terbuka itu di cuba dijenguk, tiada. Di bahagian bawah piano, tiada. Malah disegenap ruang yang ada pada piano sudah puas dicari, tiada.

Zarith terduduk. Kelelahan. Dia sedar saat ini, dia tidak boleh terlalu aktif. Kesihatannya adalah satu-satunya penghalang untuknya terus bergerak aktif. Tetapi penghalang itu bukanlah sebab utama untuknya berhenti mencari nota lagu yang dipinta suara itu pada piano berkenaan.

“C minor… C minor? Ya Allah, kenapalah aku tak terfikir dari tadi?” Saat ini barulah Zarith dapat mengingati kenapa C minor yang menjadi subjek utama pada piano berkenaan. Siang tadi skala C minor menjadi tumpuannya kerana terdengar suara perempuan berbisik di cuping telinganya. Malah malam ini sosok lelaki itu juga telah memetik keyboard pada skala C minor juga!

Tuts pada bahagian C minor cuba diperhati. Direnung dengan teliti. Kemudian tuts putih cuba untuk diumpil dengan jari. Namun, tiba-tiba…

Ktak!

Tuts berwarna putih itu terbuka! Zarith pelik, kenapa mudah benar bahagian itu dibuka? Bahagian dalam tuts berwarna putih yang tertanggal itu rupa-rupanya mengandungi sehelai kertas muzik yang kelihatan agak lama terbiar di dalamnya. Sehinggakan warna asalnya yang putih kelihatan berubah menjadi kekuningan dek di makan tahun. Malah apa yang pelik lagi, tulisan iaitu not muzik pada kertas berkenaan masih lagi boleh dibaca walaupun tulisannya sudah kembang kerana kelembapan pada bahagian dalam tuts putih berkenaan.

Zarith meneliti dan membaca setiap not yang terkandung pada kertas muzik lusuh itu. Pada pengamatannya ia adalah sebuah lagu cinta hasil gubahan seseorang. Malah lagu itu belum lagi didengarnya sebelum ini. Terdapat tajuk pada bahagian kepala kertas muzik berkenaan.

“SITI FATIMAH?”

Zarith berasa hairan apabila tajuk itu adalah nama seorang perempuan bernama Fatimah dan hujung pada kertas muzik berkenaan tertulis nama seorang lelaki…

“Raja Mahmud?”

Dia langsung tidak menduga lagu itu adalah hasil gubahan anak tempatan dan juga kemungkinan lagu itu dihasilkan dengan sudah agak lama. Malah setelah diamati dari setiap helai kertas muzik itu beserta tahunnya, langsung tidak tertulis pada kertas berkenaan. Apa yang ada hanya tajuk, nama penulis dan 20 rangkap not muzik sahaja.

Zarith mengeluh perlahan. Apa yang sedang berlaku, benar-benar menguji kemampuannya. Namun apa yang pasti, misteri suara lelaki dan suara perempuan itu masih lagi tiada jawapannya. Justeru itu untuk mendapatkan semua jawapan, dia perlu mainkan lagu yang baru sahaja dijumpainya pada grand piano berkenaan.

“Baik. Kau mahu aku mainkan lagu ini? Aku akan mainkan…”

Kemudian kertas muzik yang baru sahaja dijumpai terus diletakkan di bahagian atas piano dan lagu itu dimainkan dengan berhati-hati. Maka beralunlah lagu itu mengikut petikan jari yang dimainkan oleh Zarith. Namun dalam beberapa rangkap lagu itu dimainkan, sekali lagi ruang tamu rumahnya berubah seperti tadi. Cat pada dinding, perabut dan segala ruang yang ada pada ruang tamu berkenaan berubah-ubah mengikut lagu yang dimainkan Zarith. Kali ini suasana pertukaran pada setiap ruang tamu itu sangat jelas dan nyata! Disaat tangannya yang sedang ralit memainkan setiap lagu pada not muzik itu, dalam keadaan ketakutan dan berpeluh sempat matanya mengerling pada ruang tamu rumahnya yang sudah berubah menjadi ruang tamu rumah lain. Malah lebih cantik susun atur ruang tamu itu dari ruang tamu rumahnya.

Zarith semakin kurang tumpuan apabila kini dia merasakan, dia kini berada di rumah orang lain! Rumah yang pada pandangan matanya agak besar dan mewah. Seperti rumah banglo yang bervirikan seni bina lama. Lantunan pianonya terhenti serta merta! Terhenti apabila matanya terfokus pada satu mahkluk yang sedang merayap pada siling ruang tamu itu. Saat inilah kemuncak pada segala ketakutannya.

Gulp! Liur yang ditelan pun terasa pahit. Dadanya mulai sesak apabila makhluk yang menyerupai seorang perempuan dengan rambut terjurai panjang dan bahagian bibirnya koyak hingga ke telinga merenung tajam ke arahnya. Kedudukan makhluk perempuan itu tidak ubah seperti spiderman menyelinap masuk ke dalam rumah dan mula merayap ke segenap siling rumah itu.

Zarith bingkas bangun! Kemudian berdiri ditengah-tengah ruang tamu itu. Lampu yang bernyala terpadam serta merta tanpa ditutup suisnya! Saat ini graf ketakutan Zarith mula mencanak naik. Dalam keadaan berpeluh-peluh, Zarith dapat mendengar dengan jelas bunyi makhluk perempuan itu sedang merangkak-rangkak pada siling berkenaan! Pergerakkan makhluk itu seakan mendekat ke arahnya!

Tanpa membuang masa Zarith berlari ke arah kanan. Rupa-rupanya di ruang tamu itu ada ruang tamu tengah yang lain pada rumah banglo itu. Ruang tengah rumah itu diterangi dengan cahaya lampu. Saat ini Zarith benar-benar dalam kekeliruan. Kenapa dia diganggu dalam pelbagai bentuk? Makhluk perempuan itu, rumahnya yang sudah bertukar menjadi rumah banglo…benar-benar menganggu emosinya pada malam itu hanya kerana piano dan sebuah lagu.

Derapan bunyi makhluk itu merangkak disekitar siling masih lagi kedengaran. Zarith berlari pula ke sudut yang lain. Sebolehnya dia cuba menjauhkan dirinya dari makhluk perempuan yang menakutkan itu.

“Zarith… jangan mainkan lagu itu…”

Suara seorang perempuan pula kedengaran di cuping telinganya. Sangat hampir. Malah suaranya tidak seayu siang tadi. Kali ini suaranya seakan seperti perempuan tua dan sedikit menekan. Melarangnya dari terus mainkan lagu itu. Zarith memandang persekitaran siling yang gelap. Pandangannya terganggu kerana suasana ruang tamu yang samar menyukarkannya untuk melihat dengan lebih jelas. Malah hanya sedikit sahaja cahaya menerobos masuk melalui ruang tamu tengah yang tidak berpintu itu. Zarith masih berkira-kira mahu berlari ke arah ruang tamu tengah yang terang itu, tatapi sangat sukar untuknya dekat ke arah ruangan itu, kerana seperti ada satu halangan untuknya hampir dengan lebih dekat.

Namun dalam beberapa saat tiada lagi pergerakkan makhluk perempuan itu di atas siling. Zarith cuba memicingkan telingannya sekali lagi. Sunyi. Namun dalam masa yang sama juga matanya tetap fokus pada sekitar siling dan juga ruang tamu yang samar itu. Risau jika makhluk itu muncul secara mengejut ke arahnya. Namun tiba-tiba…

“Zarith…”

Sekujur tangan panjang mula mengusap kepalanya dari bahagian atas siling sambil memanggil lembut namanya. Rupa-rupanya tanpa Zarith sedar, makhluk perempuan itu sudah pun berada di siling, iaitu betul-betul berada di atas di mana Zarith berdiri sambil menjulur panjang tangannya demi menarik rambut Zarith! Mujur Zarith sedar dan sepantas itu juga Zarith berlari ke bahagian sudut lain. Zarith mengurut dada, sedikit lega walaupun sebenarnya gangguan itu belum lagi berakhir.

Sekali lagi Zarith terkejut apabila ruang tamu tengah yang terang itu ada seorang perempuan tua sedang memegang parang! Dalam pada itu Zarith dapat melihat dengan jelas perempuan tua itu sedang menjenguk ke arahnya. Ya, seakan memandang ke arah dan perempuan tua itu seperti dalam ketakutan. Dalam suasana samar itu Zarith cuba melambai-lambai ke arah perempuan tua itu, sekaligus mengharapkan perempuan tua itu nampak apa yang sedang dilakukannya. Namun ternyata hampa, apabila perempuan tua itu langsung tidak memberikan tindak balas melainkan tindakannya seperti dalam keadaan berjaga-jaga dan dalam masa yang sama Zarith dapat melihat perempuan tua itu mulai berjalan perlahan-lahan ke arah ruang tamu di mana dia berada.

Zarith semakin celaru dan terpinga-pinga. Dia semakin tidak faham kenapa perempuan tua itu kelihatan wujud namun langsung tiada tindak balas mahupun reaksi apabila dia melambai-lambai ke arahnya? Dan sekali lagi Zarith melambai ke arah perempuan tua itu, namun hasilnya tetap sama. Zarith semakin kebingungan. Apa sudah jadi padanya? Adakah dia kini berada di zaman dan dimensi yang lain? Zarith menggeleng. Wajah cemas sudah mula terlakar. Dia takut jika dia tidak dapat kembali lagi.

“Zarith…”

Zarith tersentak! Terkejut apabila namanya dipanggil lagi. Namun kali ini dari arah belakang. Seakan bahunya juga turut ditepuk buat beberapa kali. Zarith menoleh dan terlihat wajah mahkluk perempuan itu sedang tersenyum lebar dengan bahagian bawah dagunya yang terkoyak, bagai menanti masa sahaja untuk luruh ke bawah.

Dan seraya itu juga pandangan Zarith menjadi kelam…

……………………………………………….

“Zarith…”

“Zarith…”

Perlahan-lahan Zarith membuka matanya. Dalam keadaan kabur dia melihat sekeliling. Wajah mama, ayah dan Zarra Sofea kini berada di hadapan mata. Sedikit demi sedikit pandangannya yang kabur menjadi jelas. Kini dia sudah berada di dalam bilik tidurnya. Tidak pasti siapa dan bagaimana dia dibawa ke dalam bilik tidurnya, langsung terbaring di atas katil dalam keadaan pengsan. Adelia tersenyum memandang Zarith yang sudah terjaga, sambil mengusap lembut rambut anak lelakinya.

“Zarith pengsan kat ruang tamu tadi…” jelas Zahir, sambil tersenyum pada anaknya.

Zarith terdiam. Satu persatu wajah mama dan ayahnya direnung. Tetapi… Zarith mengerut wajah apabila melihat ada seseorang asing sedang berdiri di sudut dinding biliknya. Seorang lelaki. Siapa lelaki itu? Direnung dalam wajah lelaki itu, mengharapkan satu jawapan dari mama dan ayahnya.

“Siapa tu?” Soal Zarith.

Adelia dan Zahir tidak segera menjawab. Hanya berpandangan sesama sendiri. Hanya sebuah senyuman sahaja yang mampu diberikan Adelia pada anaknya.

“Siapa tu?” Sekali lagi dia menyoal. Masih lagi rasa tidak puas hati apabila soalannya tidak dijawab mereka.

“Itu kawan ayah, pakcik Izul Imran…” jelas Zahir dengan nada perlahan.

“Oh…”

Lalu Izul Imran menghampiri ke arah Zarith yang masih terbaring. Ada senyum ditubir bibirnya. Wajahnya yang agak tua, menampakkan uban pada setiap rambutnya yang separas bahu. Seakan sengaja dibiarkan begitu. Seperti tidak terurus selepas keluar dari penjara, walaupun sudah lima tahun dia dibebaskan dari penjara.

“Panggil pakcik Izul je. Kamu dah ok?” Soal Izul Imran pula pada Zarith.

“Ok pakcik. Terima kasih…”

“Abang buat apa kat piano tu? Masih siasat lagi ke?” Soal Zarra tiba-tiba.

“Sekarang pukul berapa?” Zarith menyoal kembali sambil melirik ke arah jam di dinding.

“Pukul 3 pagi. Abang buat apa kat piano tu sampai pengsan?” Soal Zarra lagi, tidak berpuas hati.

Zarith masih lagi belum mahu memberikan jawapan. Terdiam lagi. Saat ini dan waktu ini, dia masih lagi terpinga-pinga dengan setiap kejadian yang berlaku padanya sebentar tadi. Kali ini hadirnya bayangan perempuan tua dalam sebuah rumah banglo menjadi persoalan terbaru buatnya. Malah gimik utama dalam setiap kejutan adalah wajah mahkluk perempuan yang bermulut koyak itu. Wajah sadis itu masih lagi menjadi igauan buatnya. Malah di tangan perempuan tua itu terdapat sebilah parang. Terlihat wajah tuanya yang sedang dalam ketakutan. Takut dengan sesuatu. Adakah wajah makhluk perempuan bermulut koyak dan sadis itu menjadi penyebab pada ketakutannya?

Arghhh! Zarith benar-benar buntu. Pada siapa soalan itu harus diberi dan siapa yang mampu memberikan jawapan itu? Malah, siapa yang sanggup dan mampu habiskan lagu Siti Fatimah hasil ciptaan lelaki misteri itu?

“Tadi ayah dengar bunyi orang ketuk pintu. Bila ayah buka lampu ruang tamu, ayah terkejut tengok Zarith pengsan kat situ dan ayah tak sangka pula, sahabat yang ayah tunggu-tunggu selama ni rupanya datang awal pagi ni ke rumah kita. Dia sebenarnya abang ipar mama. Suami arwah makcik Amelia…” ujar Zahir menjelaskan situasi yang berlaku. Dalam masa yang sama, dia merasa hairan apabila Izul Imran sanggup datang awal pagi ke rumahnya. Namun perasaan ingin tahu itu terpaksa ditolak ketepi. Membiarkan Izul Imran sendiri yang menjelaskan sendiri keadaan sebenar.

Izul Imran tersenyum pahit apabila nama Amelia disebut Zahir. Satu nama indah yang pernah hadir dalam hidupnya 22 tahun yang lalu. Sangat indah untuk dikenang bersama orang tersayang. Namun, satu keperitan apabila kenangan indah itu menjadi satu sejarah hitam dan pahit, pengakhiran sebuah hubungan.

“Mama…” sahut Zarith secara tiba-tiba, memanggil mamanya yang sedari tadi mendiam apabila munculnya Izul Imran secara tiba-tiba di rumahnya.

“Ye,”

“Piano siapa tu mama?” Soal Zarith tiba-tiba. Matanya tepat memandang ke anak mata mamanya.

Zahir yang mendengar soalan yang terpacul dari mulut anaknya, mengerut wajah. Hairan dan tertanya-tanya kenapa soalan itu harus diajukan Zarith pada Adelia. Lantas wajah Adelia dipandang tanda ingin tahu juga. Sedangkan siang tadi, Adelia sendiri yang beritahu padanya bahawa piano lama itu telah dibeli disebuah kedai muzik. Dengan alasan itu, sudah tentu dirinya ataupun sesiapa sahaja akan percaya.

Adelia serba salah. Setiap wajah yang sedang memandangnya direnung satu persatu. Wajah Zarith, Zahir, Zarra mahupun Izul Imran. Dia tergamam apabila Zarith sanggup melanggar janji yang telah dibuat siang tadi ketika mahu membawa piano lama itu pulang ke rumah.

“Mama suruh Zarith rahsiakan tentang piano tu. Mama tak beli sebenarnya piano tu.” Ujar Zarith lagi dengan suara yang tersekat-sekat. Dalam masa yang sama, serba salah dengan apa yang cuba diluahkan. Bukan niatnya untuk memalukan mamanya , tetapi dia rasa piano itu ada sesuatu yang tinggal di dalamnya. Sesuatu yang jahat.

“Aku rasa, tiba masanya untuk aku beritahu kenapa aku berada disini…” secara tiba-tiba Izul Imran bersuara dengan nada serius.

Zahir memandang kembali wajah Izul Imran. Kenapa setelah lima tahun, baru muncul di muka pintunya malah ada sebab pula kenapa dia berada di sini. Kenapa? Zahir memberontak ingin tahu, tetapi…

“Sudahlah. Tak apa, siang nanti kita sambung. Biar Zarith berehat dulu.” Ujar Zahir sekilas.

…………………………………………….

8.00 pagi…

Zahir menuang teh O ke dalam cawan yang terhidang di hadapan Izul Imran. Sungguhpun mereka sahabat lama, namun entah kenapa suasana pagi itu… begitu canggung. Sangat canggung. Izul Imran hanya mampu memandang sepi cawan yang terhidang di hadapannya. Tanpa menyedari bahawa air teh O itu sudah penuh diisi oleh Zahir. Cekodok pisang yang semakin sejuk dibiarkan tanpa diusik. Seleranya bagai sudah mati.

“Jemput minum…” pelawa Zahir, lembut.

“Ye. Terima kasih.”

Air teh O panas yang semakin suam diminum dengan perlahan. Sudah agak lama dia tidak minum bersama kedua-dua pasangan yang berada di hadapannya itu dan sudah pun menjadi suami dan isteri. Izul Imran tidak menyangka niat Zahir untuk mendekati Adelia, membawanya hingga ke jinjang pelamin sehingga mendapat sepasang cahaya mata.

“Sudah besar anak-anak kau Zahir.” Izul Imran memulakan bicara. Menumpang rasa tuah.

Zahir tersenyum kelat. Bukan tidak suka, cuma… kenangan lalu itu ibarat sudah kembali dengan hadirnya Izul Imran di rumahnya. Sedikit sebanyak segala kisah duka itu kembali setelah lama menjadi bayangan dalam setiap igauannya dan Adelia.

“Kenapa kau datang sini?” Adelia mula menyoal kasar pada Izul Imran secara tiba-tiba. Entah kenapa pagi ini, tanpa sedar dia menyoal Izul Imran di hadapan Zahir.

“Lia, jangan…” Zahir memandang ke anak mata Adelia. Menggeleng kecil, mengharapkan agar Adelia tidak melayan tetamu sebegitu rupa.

Izul Imran tersenyum sinis dan mengangguk. Faham dan mengerti, bahawa kehadirannya langsung tidak disukai mereka. Namun, dia ada sebab tersendiri kenapa dia harus dan perlu berada di rumah mereka. Malah, sebab utama kehadirannya ke rumah Zahir dan Adelia adalah bukan sahaja satu kebetulan. Malah, lebih daripada itu.

“Sebaik saja aku keluar dari penjara, aku ingin laksanakan satu misi. Misi mencari sebuah piano. Jadi, sudah tentulah aku pulang ke banglo tu semula. Tapi… kau berdua pun tahukan, banglo tu sudah dirobohkan dan kawasan tu dan sudah pun menjadi taman perumahan. Aku betul-betul hampa. Pada awalnya aku pergi rumah mak dan ayah kau Lia, tapi malangnya aku telah dihalau mereka. Tapi tak apalah, itu aku faham. Perasaan benci mereka pada aku sangat menebal, walaupun sudah 20 tahun Amelia tinggalkan aku. Dan aku faham juga, usia bukan penghalang untuk kita membenci manusia yang lain. Kemudian aku pergi ke rumah makcik Ani. Malang juga, makcik Ani dah meninggal rupanya. Itupun, mujur anak arwah makcik Ani yang khabarkan berita duka tu. Jadi untuk tidak membuang masa, aku terpaksa juga tanyakan hal piano tu pada anak arwah makcik Ani. Alhamdulillah, mujur mereka tahu di mana piano tu dijual.” Jelas Izul Imran cuba menerangkan perkara utama yang perlu dilakukannya sebaik keluar dari penjara.

“Kenapa dengan piano tu? Apa yang menariknya tentang piano ni? Kau maksudkan piano yang berada di dalam bilik bacaan yang berkunci tu?” Soal Zahir, ingin tahu.

Izul Imran mengangguk. “Ye. Piano yang aku cari tu, sebenarnya berada di dalam rumah banglo yang tidak sampai pun 2 hari aku dan arwah Amelia duduk. Kalau kau nak tahu, piano tu berhantu. Ada penunggu di dalamnya…” jelas Izul Imran lagi dengan yakin.

“Habis tu, apa tujuan kau datang ke rumah aku?” Soal Zahir lagi.

“Susah aku nak buat kau faham. Macam ni, piano yang aku cari sudah bertukar tangan dari satu pemilik ke satu pemilik. Jadi, baru-baru ni aku pergi lagi ke kedai alat muzik tu. Sebab aku tahu piano puaka tu tidak akan bertahan lama pada sesiapa yang memilikinya. Mereka tidak mampu. Jadi jalan terbaik, piano tu terpaksa dikembalikan semula di kedai yang menjual alat muzik tu. Bila aku pergi dan aku tanya tentang piano tu, tuan kedai alat muzik tu beritahu… dia sudah pun serahkan pada seorang perempuan dan anak lelakinya. Piano tu dia terpaksa bagi percuma sebab tak sanggup nak jaganya lagi. Kalau selepas ni piano tu dikembalikan juga di kedainya, dia tak akan sanggup nak terimanya semula. Jadi tuan kedai tu bagi alamat rumah perempuan tu dan tak sangka pula ia adalah alamat rumah kau Zahir…” sebaik ayat akhir itu keluar dari mulut Izul Imran, secara spontan matanya memandang ke arah Adelia dengan senyuman sinis.

Adelia terdiam. Wajah suaminya Zahir dipandang. Zahir pula mengerut wajah, ada sesuatu terbuku di dalam hatinya yang payah untuk diluahkan.

“Baik, aku dah faham. Jadi, piano yang berada di dalam rumah aku ni, itulah piano yang kau maksudkan? Patutlah Zarith menyoal tentang piano tu pada Adelia.” Balas Zahir dalam nada curiga.

Adelia masih lagi mendiam. Sekali lagi dia diperhatikan begitu. Setiap mata yang memandangnya seolah-olah memberikan jawapan… dia adalah seorang pesalah. Sedangkan, dia langsung tidak berniat mahu membawa piano berpuaka itu ke rumahnya.

“Sebenarnya dah lama Lia minta seorang kawan carikan piano lama yang menjadi kes pada kematian arwah kakak. Dengan bantuan dia, akhirnya piano tu dapat dijumpai di sebuah kedai muzik. Lia bawa Zarith pergi semalam. Lia cuma nak pastikan itu adalah piano yang hilang tu. Sebab dia dah bertukar warna dari hitam ke warna putih. Dan ya, tuan kedai tu kata itulah piano yang ditinggalkan dalam rumah banglo terbiar dan jadi kes pembunuhan tu. Tuan kedai tu memang sengaja tukar warna piano tu ke warna putih sebab nak nampak baru. Memang benar piano tu sentiasa bertukar tangan dari satu pemilik ke pemilik yang lain. Akhirnya pemilik yang terakhir terpaksa pulangkan semula piano yang dibelinya di kedai muzik tu. Itupun piano tu sengaja dibiarkan dekat belakang kedai tu, sebab tuan kedai tu takut. Setiap malam piano tu akan berbunyi dan kadang-kadang dia akan mendengar bunyi dentuman dari piano tu berkali-kali! Macam yang Lia pernah dengar dulu. Dengan jujur Lia cakap pada abang, Lia pun inginkan jawapan, itu je.Tak ada niat langsung nak takutkan anak-anak…” jelas Adelia dengan wajah muram. Mengharapkan agar apa yang telah diterangkannya, menjadi penyejuk buat suaminya Zahir. Rasa bersalah dan menyesal mula datang berselang seli.

“Tapi kalau nakkan jawapan sekali pun bukan dengan cara bawa piano ke dalam rumah kita. Mungkin ada cara lain lagi. Lia sedar tak, kita sedang berhadapan dengan apa sekarang?” Tegas Zahir. Terpamer wajah kesalnya dengan apa yang Adelia telah lakukan.

“Betul tu Lia…” ujar Izul Imran, setuju dengan apa yang dikatakan Zahir itu.

“KAU DIAM! AKU TAK CAKAP DENGAN KAU! AKU CAKAP DENGAN LAKI AKU!” Sepantas itu juga Adelia menengking Izul Imran. Bulat matanya memandang lelaki itu, seolah-olah dendam kesumatnya pada Izul Imran belum terhakis lagi.

“Lia…” Zahir bingkas bangun dan segera merangkul bahu isterinya. Faham benar Zahir akan sikap Adelia setelah bangkit dari ‘sakit’. Mudah naik marah dan boleh menjadi baran jika tidak kena pada pujuknya. Sebolehnya dia tidak mahu Adelia meracau lagi seperti dulu dan sebolehnya juga waktu sukar itu dibuang terus dalam hidup Adelia.

Untuk melegakan ketegangan yang berlaku, Zahir membawa Adelia masuk ke dalam bilik tidurnya. Mengharapkan agar Adelia mampu mengawal emosinya selepas ini jika dibiarkan bersendirian di dalam bilik.

Izul Imran hanya membatukan diri di meja makan. Pandangan dihala pada meja empat segi itu walaupun cekodok pisang itu hanya dibaratkan sebagai hiasan meja tanpa ingin disentuh nikmat yang menyelerakan itu. Dia memejam mata, menyimpan sedalamnya perasaan malu itu. Di buang jauh rasa bersalah itu demi satu matlamat. Matlamat utama sudah tercapai, kini matlamat kedua belum lagi dapat disuarakan.

“Biar keadaan reda dulu, baru aku beritahu…” monolognya.

……………………………………….

9.00 pagi…

Usai bersarapan, Zarra masuk ke bilik abangnya. Kelihatan Zarith sedang baring sambil matanya merenung tepat ke atas siling. Seperti ada sesuatu yang sedang difikirkannya. Kemudian terdengar dia mengeluh kecil.

“Ada apa kat siling tu?” Soal Zarra tiba-tiba. Sekaligus mematikan lamunan Zarith.

“Tak ada apa. Cuma abang terfikirkan sesuatu.” Ujar Zarith.

Zarra mengerut dahi. “Terfikirkan apa?”

“Terfikirkan benda yang abang nampak malam tadi.”

Zarra memandang abangnya. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan Zarith padanya.

“Pasal piano tu ke yang buat abang pengsan? Ada benda kat dalam tu?” Soal Zarra bertali arus.

Zarith mengangguk. Langsung tidak menyangkal akan kata-kata adiknya itu. Apa yang pasti dia mula dapat menyimpulkan kejadian yang berlaku.

“Kita dah bawa masuk benda jahat dalam rumah ni. Benda ni sangat jahat Zarra. Ada sejarah hitam pada pemilik asal piano tu. Sesiapa yang memilik piano itu, pasti akan ditimpa bencana. Sifat marah, baran, memberontak dan paling teruk… cenderung untuk membunuh dan juga rasa ingin bunuh diri.” Jelas Zarith lagi.

“Jadi, sudah ada orang buat begitu?” Soal Zarra lagi.

“Zarra lupa ke. Kakak mama kan kena bunuh dengan suaminya yang datang kat rumah kita ni. Zarra tahu tak, pakcik Izul tu pembunuh…” bisik Zarith, perlahan dan berhati-hati.

Zarra menekup mulut. Bagai tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Tidak sangka lelaki yang datang ke rumah mereka awal pagi tadi adalah seorang pembunuh.

“Betul ke? Takutlah…”

“Syuu… slowlah sikit. Masalahnya dia tak sedar apa yang dia buat. Benda tu dah masuk dalam badan makcik Amy.” Sambung Zarith lagi.

“Mana abang tahu cerita ni?”

“Arwah nenek Ani yang cerita pada mama. Mama cerita kat abang…”

“Ooo, mama boleh je cerita kat abang. Tapi tak boleh cerita kat Zarra. Pilih kasih!” Bentak Zarra, kasar. Pandangannya di hala ke sudut lain. Tidak sanggup bertentang mata dengan abangnya.

“Tak baik cakap macam tu. Itukan mama kita. Buruk dan baiknya dia, dia tetap mama Zarra. Jangan macam tu lain kali. Terutama depan mama. Kecik hati dia…” pujuk Zarith. Cuba untuk menjadi air pada Zarra yang sifatnya mudah menjadi api.

Zarra hanya mendiam. Pandangannya tetap di hala ke arah itu. Begitulah sifatnya, memberontak dan kasar. Tidak ubah seperti sifat Adelia ketika remaja dahulu. Manakan tidak tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi.

“Zarra…” sapa Zarith, sambil mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.

“Ye…”

“Nah!” Lalu dihulurkannya pada Zarra.

“Apa ni? Nota muzik siapa ni?” Soal Zarra kehairanan. Kertas muzik lusuh yang berada di tangannya dibelek dan direnung hairan. Lalu setiap rangkap not yang tertulis dibaca satu-persatu.

“Nota muzik Raja Mahmud untuk Siti Fatimah…”

…………………………………………

2.00 petang

Izul Imran merenung tajam ke arah piano itu. Hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk menjahanamkan piano berpuaka itu. Lantas piano yang berat itu cuba diheret keluar dari rumah Zahir. Sebolehnya, dia tidak mahu nasib Zahir menjadi sepertinya. Namun dia gagal membawa piano itu keluar, memandang fizikal piano itu yang besar dan berat, menyukarkan Izul Imran untuk membawanya secara sendirian.

Zahir pula entah ke mana, namun itu bukan penghalang untuknya menjahanamkan piano berpuaka itu. Penukul besi yang tergeletak di atas lantai pantas diambil dan terus menghayunkan penukul itu ke arah piano itu. Namun tiba-tiba…

“Pakcik! Jangan!”

Jerit Zarith yang muncul dari belakangnya dan seraya itu juga Izul Imran memberhentikan tindakannya itu. Pantas dia menoleh ke arah Zarith. Kehairanan apabila tindakannya itu dihalang Zarith.

“Kenapa Zarith?”

“Jangan dimusnahkan piano tu!” Tegas Zarith lagi.

“Tapi piano ni berpuaka!”

“Ye, saya tahu. Tapi bukan dengan cara ini bak musnahkan ia. Kita kena hapuskan sumpahan tu dulu…”

“Macam mana?”

“Dengan ini!” Zarith terus menghulurkan sekeping kertas muzik lusuh itu pada Izul Imran.

Izul Imran melihat segala yang tertulis pada kertas muzik berkenaan. Wajahnya dikerut menandakan tidak mengerti kenapa kertas muzik itu diberikan padanya.

“Siapa Raja Mahmud dan Siti Fatimah ni. Mana Zarith jumpa kertas muzik ni?” Soal Izul Imran ingin tahu. Lalu kertas muzik itu diserahkan semula pada Zarith.

“Mungkin Raja Mahmud tu penulis lagu ni dan Siti Fatimah tu kekasih atau isterinya barangkali. Tapi kertas muzik ni saya jumpa kat dalam tuts putih piano tu. Kertas tu seperti sengaja disorok kat bahagian tu.” Sambung Zarith lagi.

“Oh patutlah hantu Daisy yang pakcik jumpa dulu kata jawapannya ada pada piano tu. Rupanya kat dalam tu!” Ujar Izul Imran.

Zarith mengerut wajah kehairanan. Wajah Izul Imran direnung dalam. Dia langsung tidak faham kenapa ‘hantu Daisy’ disebut Izul Imran.

“Siapa hantu Daisy tu?” Soalnya ingin tahu.

“Hantu perempuan yang mati bunuh diri terjun dekat Bukit Antarabangsa dulu. Dah lama, kira-kira dalam akhir tahun 70an. First time pakcik tengok hantu kat rumah banglo yang pakcik tinggal tak sampai pun 2 hari. Rambut dia panjang, mulut dia koyak sampai macam nak tercabut! Ngeri kalau nak bayangkan!” Jelas Izul Imran , sesekali mengusap lengannya yang mula naik meriding.

Zarith terdiam. Seperti sedang mengingati sesuatu. Mungkin hantu yang mengganggunya malam tadi adalah hantu perempuan yang sama Izul Imran jumpa.

“Kenapa Zarith?”

Zarith menggeleng. “Mungkin kita jumpa hantu yang sama. Mulut dia terkoyak, matanya rompong. Tetapi percayalah pakcik. Itu bukan Daisy…” jelas Zarith dengan yakin. Dia sangat pasti dengan teori dan kesimpulan yang berlaku.

“Tapi… pakcik ingat lagi setiap jelmaan yang muncul dulu. Perempuan bernama Daisy tu bunuh diri di depan kekasihnya. Pakcik cuba sambut tapi dia bertukar jadi rupa hantu. Malam kejadian tu pun, hantu Daisy muncul lagi mengganggu pakcik sehinggalah…” kata-kata Izul Imran termati disitu. Tidak sanggup untuknya meneruskan ayat itu. Walaupun kejadian yang berlaku sudah agak lama, namun trauma yang dihidapinya melalui sejarah hitam itu memberi kesan luka dalam hidup Izul Imran sepanjang hayatnya. Sehingga membawanya ke tirai besi dan nama banduan sepanjang hidupnya.

“Ye betul apa yang pakcik cakap tu. Hakikatnya memang itu yang makhluk itu mahu kita fikir. Daisy tak bersalah pakcik. Dia juga mangsa, sama seperti pakcik. Bezanya, dia membunuh dirinya sendiri di hadapan orang yang dia sayang. Tapi pakcik dipaksa membunuh orang yang pakcik sayang. Makhluk itu sedang memanipulasi akal kita. Dia menjadikan kita tidak waras. Jangan terpedaya dengan tipu helah iblis pakcik. Orang yang dah mati, mana mungkin jadi hantu…” jelas Zarith lagi dengan panjang lebar. Dia seperti puas dengan apa yang diterangkannya pada lelaki separuh umur itu. Pada pendapatnya itulah adalah sebaik-baiknya, dari melihat lelaki separuh umur itu menanggung rasa bersalah seumur hidup.

Izul Imran terdiam. Malah segala apa yang dijelaskan Zarith itu mungkin ada kebenarannya. Kenapa selama ini dia tidak terfikirkan perkara yang sama? Dia terduduk. Mengeluh dalam kesal. Kesal apabila masa depan dan kebahagiaannya menjadi taruhan.

“Kertas muzik itu agaknya benda tu nak pakcik jumpa.” Ujar Izul Imran lagi.

Zarith melihat kembali kertas muzik yang masih digenggamnya. Ada tertulis dua nama pada kertas berkenaan. Hanya itu sahaja persoalan yang tidak terjawab dan masih lagi tergantung dalam fikirannya. Cuba merumuskan konklusi yang sedang berlaku. Satu demi satu konflik datang menganggu dalam keluarganya walaupun perkara yang berlaku itu sudah lama, dia dan Zarra belum lagi lahir ke dunia. Namun impak serta kesan psikologi yang berlaku pada mamanya, memberi kesan hingga ke sekarang. Natijahnya dia dan Zarra turut terpalit dengan sejarah hitam itu.

“Siapa agaknya Raja Mahmud dan Siti Fatimah ni? Apa yang membuatkan nota muzik ini disimpan di dalam piano tu. Pasti ada puncanya…” Zarith mula membuat telahan. Naskah lama ini dudah tentu ada yang mendendaminya.

“Jadi. Kita nak buat apa dengan piano ni?” Soal Izul Imran tiba-tiba.

“Kita tunggu malam ni!”

“Malam ni?” Soal Izul Imran lagi.

Namun sebaik sahaja Izul Imran berkata demikian secara tiba-tiba dia mengerang kesakitan sambil kedua-dua tangannya pantas memegang leher, seperti dalam keadaan dicekik oleh sesuatu.

“Pakcik!” Jerit Zarith apabila melihat Izul Imran rebah serta merta!

Tubuhnya kelihatan kejang dan mengelepar dengan tangannya masih lagi memegang kuat batang lehernya. Nafasnya mula tercungap-cungap! Wajahnya sudah mula kemerahan.

“PAKCIK! PAKCIK!” Jerit Zarith lagi memanggil Izul Imran. Suasana panik begini menyukarkan untuknya berfikir dengan rasional.

“AYAH! AYAH!” Laung Zarith memanggil ayahnya.

Beberapa saat kemudian Zahir muncul bersama, Adelia dan Zarra. Ketiga-tiga mereka meluru ke arah Zarith yang masih dalam keadaan terkejut dan terpinga-pinga disamping Izul Imran.

“Kenapa Zarith?” Soal Zahir yang terkejut melihat Izul Imran dalam keadaan demikian.

“Tak tahu! Tiba-tiba je pakcik jadi macam ni!” Balas Zarith dengan nada risau.

“Lia sediakan kereta. Kita bawa Izul ke hospital!” Arah Zahir pada isterinya.

Seperti yang disuruh Adelia mengambil kunci kereta dan berlari menuju ke arah luar rumah. Kereta yang berada di perkarangan rumah segera dihidupkan.

“Confirm ke kena bawa pakcik ke hospital?” Soal Zarith, ragu-ragu. Zarith tahu sakit yang datang pada Izul Imran itu bukan sakit biasa. Izul Imran seperti sengaja disakiti oleh sesuatu yang langsung tidak boleh dilihat. Kemungkinan dengan niat mahu membunuh Izul Imran. Malah saat ini Zarith dapat merasakan satu energi jahat sedang berlegar-legar dengan ligat disekeliling Izul Imran. Sebolehnya Izul Inran perlu dibawa jauh dari rumahnya.

“Kalau tak bawa pakcik Izul ke hospital, nak bawa dia ke mana lagi. Sekurang-kurangnya kita dapatlah jauhkan dia dari ‘benda yang melekat’ dekat piano tu! Sudah, tolong ayah angkat pakcik ni bawa masuk ke dalam kereta!” Arah Zahir lagi.

Lantas dengan kudrat tuanya yang ada, sedaya yang mungkin dia mengangkat Izul Imran dengan dibantu Zarith dan Zarra masuk ke dalam kereta di mana Adelia sedang menanti.

“Zarra, kau pergi ikut ayah dan mama!” Arah Zarith pada adiknya.

“Untuk apa?” Soal Zarra hairan apabila dirinya dipinta Zarith untuk ke hospital.

“Tak ada apa, saja. Temankan mama tu je!” Zarith cuba memberi alasan, mengharapkan agar Zarra mendengar kata-katanya.

“Takde-takde. Zarra nak duduk rumah!” Zarra seakan dapat menduga sesuatu. Seperti ada sesuatu yang dirancang oleh Zarith tanpa pengetahuannya.

Untuk tidak melengahkan masa, kereta yang dipandu Adelia meluncur keluar dari perkarangan rumahnya dan menuju ke hospital seperti yang di arahkan Zahir sambil diperhatikan Zarith dan Zarra dari muka pintu.

“Zarra tahu apa abang nak buat. Abang ingat, abang boleh buat sorang-sorang ke?” Zarra memandang tepat ke wajah Zarith.

Zarith terdiam dan serba salah. Lalu masuk ke dalam rumah tanpa memberi sebarang jawapan. Piano yang terletak di sudut pada ruang tamu rumahnya diperhati dengan agak lama. Malah dia juga tidak pasti, sama ada apa yang cuba dilakukannya nanti betul ataupun salah. Adakah ia akan mengundang bencana padanya ataupun keluarganya, sama seperti yang pernah berlaku kisah 20 dan 40 tahun yang lalu. Tragedi demi tragedi sehingga meragut nyawa insan yang tidak berdosa.

“Kenapa abang diam?” Soal Zarra lagi.

“Sebab abang sendiri tak tahu, sama ada apa yang abang buat ni betul atau salah, Zarra… Abang sendiri pun tak yakin, macam mana abang nak heret Zarra sekali.” Balasnya dengan nada ragu-ragu.

“Tapi, setidak-tidaknya abang tak keseorangan. Apa-apa jadi kat abang, Zarra boleh tolong. Abang juga yang cakap, lagu tu kita mesti habiskan.” Pujuk Zarra, lembut.

Zarith menggeleng, seolah-olah tidak setuju dengan cadangan yang diutarakan Zarra padanya. “Zarra, ini bukan demi untuk menyelamatkan anak kucing. Tapi jauh dari apa yang Zarra fikirkan.”

“Jadi abang fikir, abang mampu? Atas faktor apa? Ilmu apa yang abang ada? So, jangan nak mengada-ngada dan jangan nak jadi bodoh. Abang dengan Zarra tak ada beza pun. Cuma satu je yang membezakan kita… jantina!” Ujar Zarra lagi. Yakin dengan setiap apa yang diucapkan dan kali ini dia mahu Zarith pula mendengar kata-katanya pula.

Zarith memandang Zarra, terkedu dengan kata-kata adiknya itu. Terdiam. Kata-kata itu sangat menyinggungkan perasaannya, namun dalam masa yang sama dia turut mengakui akan kebenaran kata-kata yang diucapkan Zarra itu.

“Zarra ini bukan sebab abang mampu ataupun tidak. Ini sebab keselamatan. Nyawa, masa depan. Kau sihat dik, tapi tidak abang. Masa abang dah suntuk. Lebih baik abang bertindak sendirian, kalau abang mati pun tak sia-sia…” jelas Zarith lagi dengan wajah sugul.

Zarra menggeleng. Mengetap bibir dengan perasaan yang bercampur aduk. Geram, benci, dalam masa yang sama kasihan dengan sakit yang sedang ditanggung abangnya. Tetapi itu bukan alasan untuknya bertindak sendiri.

“Ajal dan maut semua di tangan Allah. Bukan kita yang menentukan. Jadi apa kata kita bertindak dulu, cakap kemudian!” Balas Zarra bersahaja dan sebaik berkata demikian Zarra bingkas bangun dan menuju ke dapur meninggalkan Zarith yang masih lagi mengekorinya dengan pandangan.

Zarith hanya mampu membatukan diri. Kali ini dia tidak mampu menangkis setiap kata-kata Zarra itu. Dia turut mengakui Zarra sememangnya bijak berkata-kata dan seperti biasa, dia pasti akan kalah dengan setiap hujahan yang dilontarkan Zarra itu walaupun adakalanya dia terpaksa mengalah.

Kemudia kertas muzik yang masih disimpan di dalam poket seluarnya, diambil. Dia cuba untuk memahami setiap not yang tertulis. Fikirannya ligat memikirkan hal yang satu ini… siapa Raja Mahmud dan Siti Fatimah? Kenapa lagu itu disorokkan di dalam tuts putih pada piano lama itu? Kenapa hantu perempuan bermulut koyak dan bermata rompong itu sangat membencinya? Dan, kenapa makhluk yang menumpang di dalam piano itu lebih berminat menjadi perempuan bernama Daisy?

“Kerana Daisy membunuh dirinya? Atau ada sesuatu membuatkan makhluk itu lebih tertarik pada bayangan Daisy…” bisik Zarith, cuba merungkai sesuatu logik akal ssbelum melangkau jauh ke dalam yang lebih mistik.

Zarith semakin buntu. Lalu dia bangun dan menuju ke arah piano itu. Tangan kanannya sengaja diletakkan pada permukaan keyboard piano itu. Tindakannya seolah-olah cuba berinteraksi dalam diam, walaupun dia sendiri tidak tahu dan tidak yakin dengan apa yang sedang dilakukannya.

“Aku harap, kau dapat berikan aku jawapannya malam ini…” bisiknya pada piano itu.

…………………………………………..

8.00 malam…

Zarith melirik jam di dinding. Tepat pukul 8.00 malam. Mama dan ayahnya belum lagi pulang dari hospital. Kemungkinan mereka masih lagi berada di hospital, menemani pakcik Izul Imran di sana. Dia juga tidak tahu akan nasib lelaki saparuh umur itu, masih hidup ataupun tidak. Sukar untuknya mendapatkan sebarang jawapan atau menghubungi kedua-dua mama dan ayahnya, memandangkan handphone kedua-duanya tertinggal di rumah. Sangat kelam kabut situasi siang tadi. Zarith masih lagi mendiamkan diri di dalam bilik tidurnya. Duduk di atas katil sambil di tangannya tergenggam kertas muzik lusuh itu dalam keadaan penuh debar.

Nafas yang dihembus, entah kenapa terasa sempit. Dia mula terasa sesak. Lalu matanya dipejam dan cuba menenangkan diri. Kemudian menarik nafas sedalam-dalamnya lalu memghembus perlahan. Ia melakukan langkah itu dengan berulang kali sehinggalah merasakan sedikit kelegaan. Namun sebaik matanya dibuka, tiba-tiba…

BUMMM! BUMMM! BUMMM!

Zarith terperanjat! Dia bingkas bangun dan berlari keluar dari biliknya. Suasana ruang tamu yang gelap menyukarkan penglihatannya untuk melihat. Zarith mencari suis lampu dan sebaik suis ditekan… lampu diruang tamu berkenaan pula gagal menyala. Zarith hairan. Kenapa lampu diruang tamu tidak bernyala sedangkan lampu di dalam bilik tidurnya masih lagi bernyala? Lalu Zarith menuju pula ke bilik tidur adiknya.

“Zarra! Zarra!” Zarith memanggil nama adiknya sambil pintu bilik diketuk beberapa kali. Dia amat pasti Zarra berada di dalam biliknya.

“ZARRA! ZARRA!” Zarith menjerit dengan lebih kuat memanggil Zarra. Namun, tiada sahutan. Tiada langsung tanda-tanda pintu mahu dibuka dari dalam.

Zarith mulai panik. Saat ini dia mula berfikir yang bukan-bukan, kerana Zarra tidak pernah berkelakuan seperti ini. Diam saat pintu biliknya diketuk…DIA TIDAK PERNAH BERBUAT BEGITU!

“ZARRA!”

Sekali lagi nama Zarra dilaung kuat. Akhirnya setelah beberapa panggilannya tidak disahut balas oleh Zarra, Zarith terpaksa membuka sendiri pintu bilik adiknya. Lantas tombol pintu dipulas dan apa yang mengejutkan… pintu langsung tidak berkunci. Sebaik daun pintu dibuka, kelihatan suasana di dalam bilik sangat gelap.

“Zarra! Adik!” Panggilnya lagi sambil memetik suis lampu yang tidak jauh dari muka pintu bilik.

Bilik Zarra yang gelap sedari tadi kini mulai terang. Matanya melingas mencari adiknya di sekeliling bilik, namun kelibat Zarra langsung tidak kelihatan. Kemudian handphone di tangan terus menghubungi nombor Zarra dan terdengar deringan di hujung talian. Namun dalam masa yang sama, nada lagu handphone Zarra juga turut kedengaran… di bawah katil! Intro lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel berkumandang di setiap ruang, malah berulang-ulang. Dengan segera Zarith mematikan talian. Dia menarik senafas sedalam-dalamnya. Lalu dia duduk dan menunduk, kemudian menyingkap cadar katil Zarra bercorak flora. Hanya handphone Zarra sahaja di bawah katil. Lantas handphone milik Zarra diambil. Entah kenapa handphone berkenaan berada di bawah katil tersebut tanpa pemiliknya. Dia meneliti setiap isi, mesej atau nombor telefon di dalam handphone berkenaan. Namun, tiada satu pun yang mencurigakan. Ini menimbulkan tanda tanya buat Zarith. Zarra pula hilang tanpa tahu punca dan sebabnya. Satu persatu masalah datang menimpa keluarganya. Sedangkan siang tadi Zarra ada bersama dengannya usai melihat kereta mama dan ayahnya keluar dari perkarangan rumah meninggalkan mereka kerana membawa pakcik Izul Imran ke hospital. Malah dengan mata kepalanya sendiri melihat Zarra berjalan menuju ke dapur selepas berbual dengannya mengenai piano puaka itu.

“Mana kau Zarra..” bisiknya.

Zarith bingkas bangun dan berlari pula ke arah dapur. Namun Zarra juga tidak kelihatan di situ, kosong. Tiada penghuni lain melainkan dirinya sahaja. Zarith terduduk di kerusi. Mula memikirkan sesuatu dan cuba untuk tidak terlalu panik. Wajahnya diraup kasar. Masih lagi buntu. Fikirnya kemungkinan Zarra keluar tanpa memberitahunya dan terlupa membawa handphonenya sendiri. Hanya itu sahaja yang termampu difikirkannya dan dalam masa yang sama, mengharapkan Zarra muncul dengan segera. Namun, secara tiba-tiba dan sekali lagi…

BUMMM! BUMMM!

Zarith terkejut! Ia berbunyi lagi, datangnya dari arah ruang tamu. Kali ini hempasannya menjadi lebih kuat. Seolah-olah ia sengaja mahu Zarith mendengar. Entah kenapa timbul perasaan menyesal apabila cuba menjadi hero, walaupun dirinya diselubungi rasa takut. Malah saat ini juga Zarith mulai faham dengan kata-kata Zarra padanya siang tadi. Dia tidak sepatutnya melakukannya secara bersendirian. Zarra sepatutnya ada menemaninya. Tetapi kini Zarra pula hilang dan tidak dipastikan ke mana Zarra pergi. Apa jawapan yang harus diberikannya, jika mama dan ayahnya pulang nanti?

BUMMM! BUMMM! BUMMM!

Tanpa membuang masa, Zarith terpaksa melangkah menuju ke ruang tamu yang gelap itu. Lampu handphone dinyalakan dan menyuluh setiap langkahannya ke arah ruang tamu. Hanya lampu di ruang tamu sahaja tidak boleh menyala, sedangkan ruang dan bahagian lain lampu menyala seperti biasa sebaik sahaja suisnya ditekan.

BUMMM! BUMMM!

Zarith tergamam apabila bunyi itu datangnya dari grand piano di hadapannya! Dia jatuh terduduk kerana terkejut dan takut, namun dalam masa yang sama tangannya yang masih memegang handphone masih lagi menyuluh ke arah piano itu! Dia mengundur ke belakang apabila terkejut apabila melihat grand piano yang tertutup itu terbuka dengan sendirinya!

“Allah!”

Lalu…

BUMMMM!

Piano itu terhempas lagi! Sekali lagi Zarith tersentak! Lalu dia bingkas bangun dan bersedia untuk melarikan diri.

“Tidak! Aku tak boleh lari! Macam mana dengan Zarra…” Zarith menggeleng. Berperang dengan perasaannya sendiri. Cuba melawan ketakutan yang sedang hebat menyerang jiwanya. Dia tidak perlu takut, kerana memang ini yang makhluk itu inginkan.

Gulp! Zarith cuba melawan rasa takut itu. Dengan perlahan dia melangkah ke arah piano berkenaan. Handphone yang berada di tangan terus diletak di atas meja berhampiran piano. Lalu duduk dengan matanya tertumpu pada keyboard piano di hadapannya.

“Aku tidak akan sesekali lari…”

Kertas muzik yang berada di poket seluar terus diambil dan diletakkan di hadapannya. Akhirnya muzik itu dimainkan Zarith dengan perasaan gementar. Maka alunan muzik Siti Fatimah mula berkumandang di segenap ruang dan sekali lagi suasana di ruang tamu rumahnya mula berubah-ubah. Warna cat dinding, hiasan dan juga perabut sudah mula bertukar rupa. Zarith hanya membiarkan magis itu menyeliputi disegenap ruang tanpa memberhentikan muzik yang sedang dimainkan. Cahaya keorengan mula menerangi segenap ruang yang ada, termasuklah di mana Zarith berada. Kini, ruang tamu rumahnya sudah bertukar seratus peratus sepenuhnya menjadi ruang lain dan sekaligus Zarith tidak lagi berada di dalam rumahnya!

Kali ini bayangan seorang lelaki kacak dan berpakaian kemas mulai munculkan imejnya sedikit demi sedikit dan sekarang jelmaan lelaki tersebut sedang duduk di sebelahnya. Zarith dapat melihat dengan jelas jari-jemari lelaki itu seperti sedang ligat memetik keyboard pada piano berkenaan. Zarith memandang lelaki itu dengan perasaan tertanya-tanya. Dia dapat melihat setiap jari lelaki itu memainkan setiap not yang sama dengan muzik yang sedang dimainkannya. Seolah-olah kedua-dua mereka yang berlainan zaman ini sedang menyatu mengikut muzik yang sama. Kemungkinan mereka sedang berinteraksi melalui muzik itu.

Zarith mengerling ke arah jelmaan lelaki berkenaan. Wajahnya langsung tidak menakutkannya. Sama seperti dirinya dan orang lain, cuma apa yang menjadi musykil adalah lelaki itu hadir dalam bentuk jelmaan. Tubuhnya tidak jelas, dia umpama ‘glitch’ dari mata kasar orang yang melihatnya.

“Maaf, saya nak bertanya encik ni Raja Mahmud?” Soal Zarith secara tiba-tiba. Cuba untuk berinteraksi dengan jelmaan lelaki itu. Kali ini dia berharap dia tidak bercakap seorang diri.

Sebaik sahaja Zarith menyoal jelmaan lelaki itu, seraya itu juga jelmaan lelaki tersebut memandang Zarith dan mengangguk. Ya, ia benar-benar diluar jangkaannya. Zarith terkesima apabila jelmaan itu mula berinterksi dengannya.

“Kenapa kau ganggu aku? Lagu dah nak habis, perlu ke lagu ni aku sambung lagi atau aku berhenti sahaja?” Soal Zarith lagi.

“Teruskan main. Kau perlu sambung dan jangan sesekali berhenti kalau kau nak aku disini dan mendengar apa yang ingin aku sampaikan…” ujar jelmaan lelaki itu lagi tanpa memandang sedikit pun ke arah Zarith.

Zarith masih teruskan memainkan muzik Siti Fatimah itu seperti yang dipinta jelmaan lelaki berkenaan padanya.

“Jadi, siapa Siti Fatimah?” Soal Zarith lagi, ingin tahu.

Jelmaan lelaki itu terdiam. Seakan mahu mencari kekuatan diri. Namun dalam masa yang sama jarinya tetap ligat memetik keyboard piano itu dengan memainkan not lagu yang dihasilkannya sendiri.

“Nama ku Raja Mahmud bin Raja Alang. Gelaran keluarga ku raja kerana kami berdarah keturunan raja. Walaupun hanya saudara jauh. Aku suka menggubah lagu. Selalunya lagu yang aku gubah hanya untuk simpanan sendiri. Tetapi, hidup aku berubah setelah aku menemui Siti Fatimah. Masalahnya… Siti Fatimah tu gundik Demang Ali!” Ujar jelmaan lelaki itu, menceritakan awalan riwayat hidupnya pada Zarith.

“Gundik?” Zarith terkejut apabila mendengar perkataan gundik oleh lelaki jelmaan itu.

“Ye gundik. Perempuan simpanan tanpa kerelaan Siti Fatimah sendiri. Dia telah diserahkan sendiri oleh bapanya kepada Demang Ali untuk dijadikan gundik. Aku tahu mesti kau fikir aku bodoh. Tetapi percayalah, aku lakukan kerana aku cintakan Siti Fatimah. Aku mahu dia keluar ke lembah hitam. Lagu yang aku cipta ini tidak sempat aku persembahkan pada Siti, kerana hubungan kami telah dapat dihidu oleh Demang dan keluarga ku. Mereka melarang keras aku berjumpa dengannya. Jadi, aku dan Siti bercadang untuk lari pada malam jahanam itu. Kerana kasihnya Siti Fatimah pada ku, dia cuba gagahkan diri untuk lari dan keluar dari rumah Demang jahanam tu. Mujur ada sahabatnya yang sudi membantu, Melati. Tapi malam itu malangnya, mereka berdua tidak sempat sampai ditempat yang telah kami janjikan. Kerana orang-orang Demang sempat mengejar dan menangkap Siti Fatimah dan Melati. Puas aku menunggu, tapi Siti tetap tak muncul-muncul. Akhirnya aku ambil keputusan untuk mencarinya sendiri disepanjang laluan itu. Masa aku berjalan dalam gelap tu, dari jauh aku nampak ada api marak sedang membakar sesuatu di tepi jalan. Aku lari untuk melihat, benda apa yang terbakar tu. Tapi rupa-rupanya…” jelmaan lelaki itu menekup wajah. Tidak sanggup untuk menghabiskan ayat terakhir itu. Terdengar esak tangisnya yang bergaung pada malam itu, memecah kesunyian pada malam itu.

“Tapi rupa-rupanya tubuh Siti Fatimah telah dibakar…” Zarith menyambung ayat terakhir yang tidak dapat dihabiskan oleh lelaki jelmaan itu. Dalam masa yang sama, Zarith tetap berasa ragu-ragu dengan penceritaan jelmaan lelaki itu.

“Ye. Dia dibakar. Aku tidak tahu, dia dibakar hidup-hidup ataupun sudah dibunuh terlebih dahulu. Apa yang lebih malang, Melati pula dijadikan gundik Demang keparat tu. Lagu ini, aku simpan di dalam piano ini. Hari demi hari aku tidak mampu untuk menjamah setiap makanan yang ibu ku sediakan. Aku tidak mampu untuk bangun dan melihat matahari terbit, mahupun tenggelam. Aku hanya lebih suka duduk di hadapan piano ini. Menanti hari-hari untuk bersama Siti Fatimah. Seminggu, dua minggu, sebulan dan bila aku bangun keesokannya… aku rasa, aku sudah tidak berada disini lagi…” sambung jelmaan itu lagi dengan nada sayu.

“Maksud kau, piano ni milik kau? Kau ni apa sebenarnya? Hantu ke?” Soal Zarith yang semakin pelik dengan situasi yang berlaku. Rasa curiga itu semakin menebal buat Zarith. Entah kenapa, seperti ada yang tidak kena.

“Ya, piano ini dulu milik ku dan sekarang ia dalah milik mu. Kau boleh nilai apa pun diriku ini Zarith. Tetapi percayalah, aku akan pergi selepas seseorang dapat mainkan lagu ini sampai habis. SYAIR SITI FATIMAH ni juga sudah hak milik mu sekarang…” ujar jelmaan itu lagi.

“Jadi, selama ni hantu apa yang menganggu setiap orang yang dekat dengan piano ni? Apa yang kau cerita ni semua ada kaitan ke? Dan siapa Daisy yang pakcik Izul Imran selalu sebut?” Soal Zarith dengan nada semakin keras dan memaksa. Zarith mengerut dahi. Perasaan ragu-ragunya pada kpjelmaan lelaki itu makin lama semakin kuat. Malah, yang menjadi persoalan baru buat Zarith sekarang adalah kenapa hanya kisah Raja Mahmud dan Siti Fatimah sahaja dimainkan. Bagaimana dengan kisah Daisy dan pakcik Izul Imran? Zar

Jelmaan lelaki itu tersenyum. Faham dengan persoalan yang berlegar dalam fikiran Zarith. Kemudian dengan perlahan dia bangun, lalu menuju ke arah sudut bahagian kiri piano berkenaan. Kemudian tangannya masuk ke bahagian dalam piano di mana tali keluli piano itu sedang bergetar kerana muziknya sedang di mainkan oleh Zarith melalui papan nadanya. Seperti sedang mengambil sesuatu dari sudut itu dan kemudian jelmaan lelaki itu menunjukkan sesuatu pada Zarith. Ada sebungkus kain hitam kini berada di tangannya. Lantas bungkusan kain hitam itu dibuka, lantas ia meletakkannya di hadapan Zarith. Seperti ada sesuatu yang cuba dibuktikan pada Zarith.

“Macam bentuk kuku? Kenapa dengan kuku ni? Siapa punya kuku?” Soal Zarith bertalu-talu. Sekali lagi Zarith mengerut wajah, hairan dengan benda yang ditunjukkan jelmaan itu padanya.

“Ini kuku Daisy Aqilah Sari. Gadis yang dikatakan bunuh diri tu. Kekasihnya mengambil kesemua kuku, rambut, lidah serta dua biji matanya, atas arahan seorang bomoh. Bomoh tu pula diperkenalkan oleh sahabatnya sendiri. Masalahnya lelaki ini tidak tahu bahawa, semua yang berlaku sudah dirancang oleh sahabatnya itu juga. Kerana itu dia sengaja memperkenalkan bomoh itu pada lelaki berkenaan. Kononnya demi untuk menghidupkan orang yang telah mati walaupun datang hanya dalam mimpi. Kebetulan piano ini hadiah lelaki itu untuk kekasihnya Daisy. Aku terperangkap dalam piano ini berabad lamanya. Sudah banyak rumah aku duduki dan sudah ramai pemilik piano ini… aku kenali. Tetapi gadis yang bernama Daisy menjadi punca pada segala-galanya,” ujar jelmaan lelaki itu lagi. Menyambung kembali penceritaannya yang terhenti.

“Daisy puncanya?” Soal zarith semakin pelik.

“Ye, dia adalah puncanya…” balas jelmaan lelaki itu lagi dengan sangat yakin.

Zarith terdiam. Seperti sedang terfikirkan sesuatu. Dia masih belum berpuas hati lagi. Fikirannya cuba mengaitkan pelbagai perkara yang pernah berlaku dan sedang berlaku. Seakan ada yang tidak kena.

“Tidak… Ada sesuatu yang kau tertinggal. Aku masih belum puas hati lagi. Apa yang membuatkan Daisy membunuh diri? Dan, apa yang membuatkan pakcik Izul membunuh isterinya? Tolong jawab!” Tegas Zarith pada jelmaan lelaki itu. Dia mula menduga sesuatu. Setiap penceritaan jelmaan lelaki itu seakan tidak selari dengan setiap perkara yang berlaku. Terlalu bercanggah. Sebolehnya Zarith tidak terperangkap dengan permainan iblis itu. Tidak mahu menjadi seperti Daisy dan juga pakcik Izul Imran, terperangkap dengan emosi sendiri kerana itulah senjata yang digunakan iblis itu untuk melemahkan iman seorang manusia.

Kali ini jelmaan lelaki itu kembali terdiam. Lalu berdiri sambil membelakangi Zarith. Seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu. Ia mula rasa gelisah. Seolah-olah terasa kepanasan. Ia juga seperti terperangkap dalam penceritaan yang direkanya sendiri, demi untuk menyesatkan seorang lagi manusia yang disangkanya lemah.

“Kenapa kau diam? Sebab kau tak sedar, kau dah terlepas cakap. Kenapa Daisy bunuh diri? Bukan ke bomoh tu, letakkan makhluk belaannya itu selepas Daisy mati? Kau nak bodohkan aku ye..?” Soal Zarith lagi. Muzik yang sedang dimainkan Zarith mula kedengaran agak laju dan kasar. Not yang terhasil mula menjadi nada yang sangat menyakitkan telinga.

“Kenapa diam?” Soal Zarith lagi.

Seraya Zarith menyoalnya betkali-kali sepantas itu juga lelaki jelmaan itu menoleh ke arahnya dengan perasaan marah dan secara tiba-tiba, pintu rumahnya yang bertutup telah terbuka dengan sendiri! Seperti ada yang membuka dari arah luar. Zarith melihat ke arah pintu itu, namun tiada sesiapa pun yang kelihatan.

Jelmaan lelaki itu berjalan menghampiri Zarith. Muzik yang dimainkan Zarith terhenti serta merta sebaik sahaja lelaki itu semakin hampir dengannya.

“Kau iblis. Kau sengaja putar belit keadaan. Semua yang kau ceritakan pada awal tadi, semuanya rekaan! Dari situ aku dah mula syak!” Balas Zarith dengan berani dan yakin. Lalu dia bangun dari duduknya dan mengundur ke belakang. Cuba menjarakkan dirinya dengan jelmaan lelaki tersebut.

“Ha… ha… ha… Ye, aku dah terlalu lama terperangkap di dalam piano ni. Aku bosan! Tuan aku pun tak mampu lepaskan aku lagi, selepas dia dihukum bunuh. Nota muzik itu ditulis dengan darah Siti Fatimah. Raja Mahmudlah yang telah merogol Siti Fatimah dan telah membakar gadis itu. Jika dia tidak dapat miliki Siti Fatimah, maka… lelaki lain juga tidak akan dapat memilikinya. Setelah mereka tahu apa yang tuan ku lakukan pada Siti Fatimah. Demang Ali telah memerintahkan Raja Mahmud dihukum bunuh. Darah Siti Fatimah dan kuku gadis yang bernama Daisy bersatu tanpa sengaja, di dalam piano ini. Kebodohan lelaki bernama Meor dan bomoh itu telah menjadikan semangat ku menjadi kuat. Saban hari, malah saban tahun. Maka, sesiapa yang memiliki piano ini pasti akan mati. Aku hauskan darah. Selepas Raja Mahmud mati, aku langsung tidak diberi makan lagi oleh sesiapa. Kerana keluarga dan kesemua mereka tidak pernah tahu kewujudan ku. Setiap darah yang menitik pada piano ini, akan menjadikan aku lebih bertenaga. Aku harap kau suka lagu tu?”

Zarith terduduk dan terdiam apabila kebenaran sudah terhidang di depan mata. Semua jawapan sudah pun diketahui. Daisy, makcik Amelia, pakcik Izul Imran dan mereka semua yang terlibat menjadi mangsa keadaan. Semuanya salah Raja Mahmud! Ya, itulah kebenarannya. Kisah sebenar disebalik semua kejadian yang berlaku. Raja Mahmud telah merogol Siti Fatimah kerana tidak dapat memiliki gadis itu. Malah sebenarnya Raja Mahmud sejak dari dahulu lagi sudah mempunyai makhluk belaan. Dengan darah Siti Fatimah diberi makhluk itu minum dan dengan darah Siti Fatimah juga nota muzik itu ditulis, yang sebenarnya adalah…

“Rupanya itu bukan muzik biasa. Tetapi mentera penyeru…” jawab Zarith dengan perasaan terkejut.

Jelmaan lelaki itu ketawa, sehingga bergema suaranya disetiap ruang rumah itu. Akhirnya ia menunjukkan dirinya yang sebenar, bertukar dengan rupa yang menakutkan. Dari bentuk manusia yang tampan, menjadi makhluk tinggi dan hitam! Tangannya yang panjang, mampu mencapai hingga ke siling.

“Tuan aku Raja Mahmud telah menulis not muzik itu dengan Darah Siti Fatimah sendiri. Setiap tulisan dibaca dengan mentera. Daisy sudah lama menemui kertas muzik itu dan dia orang pertama yang mainkan muzik itu. Aku sudah dapat menguasai fikiran gadis seperti Daisy, hingga mampu membuat otaknya tidak mampu berfikir dengan betul. Malah aku juga mampu mengkhayalkan fikiran seseorang yang lemah jiwanya seperti Amelia. Dia terpesona dengan muzik itu, termasuklah jiwa suaminya Izul Imran. Aku yang bawanya ke tempat di mana Daisy mati bunuh diri. Di situ aku mampu kaburkan matanya dari melihat dunia nyata ke pada yang palsu. Kerana itu, isterinya dipandang seperti hantu! Ha… ha… ha… ha…”

Makhkuk itu menyeringai memandang Zarith. Kemudian ia bertukar rupanya menjadi hantu perempuan yang mirip seperti hantu Daisy dengan mulut terkoyak.

“Aku boleh menyamar seperti ini! Ha… ha… ha…” ketawa makhluk itu lagi.

Kemudian ia bertukar lagi. Kali ini menjadi perempuan tua yang memegang parang iaitu makcik Ani yang dilihat Zarith malam semalam. Penyamaran demi, penyamaran dilakukan makhluk itu demi kekal tinggal di dunia manusia.

Zarith berang, kerana selama ini dia telah diperalatkan. Kertas muzik yang berada di piano terus diambil. Lalu berlari ke arah dapur dan mencapai lighter yang berada di atas meja. Kemudian menuju semula ke ruang tamu. Kertas muzik yang berada di tangan terus ditunjuk ke arah makhluk itu yang sudah pun kembali ke bentuk asal.

“Kau nampak ni? Kau nak aku bakar ni?” Jerit Zarith pada makhluk itu, sambil menunjukkan kertas muzik dan lighter ke arah makhluk berkenaan.

“Kau ingat dengan bakar kertas tu, aku akan lenyap?” Balas makhluk secara sinis. Senyumannya yang lebar menampakkan susunan giginya yang tajam dan bersilang.

“Aku tak sangka manusia berpengaruh macam Raja Mahmud sanggup membela makhluk macam kau! Kau ni spesies apa? Hantu raya? Jerangkung? Polong?” Zarith membalas dengan jawapan sinis juga. Dia tahu, sebagai manusia dia tidak perlu takut dan menunjukkan kelemahan pada makhluk seperti itu. Mungkin kali ini dia menjadi pilihan kerana dia ada penyakit. Atas disebabkan itu, dia sesuai menjadi mangsa seterusnya oleh makhluk itu. Kerana itu juga, dia tidak akan sesekali menyalahkan mamanya kerana memilih piano itu. Mungkin kerana terlalu taksub dengan jawapan tentang kisah lalu, membuatkan mamanya cenderung untuk memiliki piano itu semula sehingga lupa nasib malang yang bakal menimpa.

“Seperti yang aku katakan tadi. Kau boleh menilai apa pun aku! Ha… ha… ha…”

“Bagaimana dengan yang ini?” Lantas kuku Daisy yang diambil tanpa makhluk itu sedari langsung ditunjuk ke arah makhluk itu.

“Kau nak bakar kertas muzik dan kuku tu, tidak akan menjejaskan aku, bodoh!” Ujar makhluk itu dengan nada sombong.

Kemudian tidak beberapa selepas itu…

“Zarith…”

“Zarirh…”

Zarith melingas memandang sekeliling. Terdengar seseorang sedang memanggil namanya. Zarith memalingkan wajahnya ke setiap sudut. Namun kelibat orang yang memanggilnya langsung tidak kelihatan.

“Ha… ha… ha…” makhluk itu ketawa lagi. Seseolah lucu melihat gelagat Zarith yang tidak tentu arah.

“Kenapa kau ketawa?” Jerit Zarith pada makhluk berkenaan.

“Kau macam mencari sesuatu. Kau sedang ketakutan!” Balas makhluk itu lagi dengan rasa angkuh.

Zarith tersenyum sinis. “Kau yang sepatutnya rasa takut. Kau lihat tu!” Zarith menunjukkan ke bahagian kaki makhluk itu.

Sebaik ditunjuk, makhluk itu terus melihat kakinya. Kelihatan ada api sedang keluar dari bahagian itu. Dari api yang kecil bertukar menjadi api yang besar. Sehingga naik ke bahagian pinggang dan dadanya. Makhluk itu terkejut dan meronta-ronta kepanasan.

Zarith terkejut apabila makhluk itu terbakar di hadapannya. Seperti ada yang sedang membakarnya dalam diam. Anehnya hanya tubuh makhluk itu sahaja yang terbakar, tetapi tidak di kawasan berdekatan dan sekitar makhluk itu berdiri. Malah kertas muzik dan kuku Daisy turut terbakar dan sekali gus ghaib serta merta! Zarith terkedu dan dalam keadaan terping-pinga. Masih tidak faham apa yang sedang berlaku!

“Zarith!”

“Zarith!” Sekali lagi suara itu memanggilnya.

“ZARITHHHH!”

Zarith menoleh ke arah pintu utama yang terbuka. Kelibatan ada tangan sedang melambai ke arahnya seakan memanggilnya dari luar rumah. Tanpa berfikir panjang Zarith terus berlari ke arah pintu utama itu dan…

“ZARITH!” Laung Adelia memanggil Zarith yang kini sudah berada di hadapannya.

“Mama?” Zarith merenung setiap wajah yang berada di hadapannya. Zahir tersenyum melihat Zarith dapat keluar selepas 6 jam hilang di dalam rumahnya sendiri.

“Zarra pun ada? Bukan ke kau hilang Zarra?” Soal Zarith pelik. Hairan bagaimana Zarra boleh berada bersama dengan mama dan ayahnya diluar rumah.

“Tak bang. Abang yang hilang. Zarra masuk bilik abang. Zarra tengok abnag takde. Itu yang Zarra keluar pergi rumah ustaz Musa. Zarra terpaksa cari ustaz Musa sebab Zarra takut. Nasib baik, Zarra dapat call mama dan ayah kat hospital dan dorang terus datang ke rumah ustaz Musa…” jelas Zarra dengan yakin. Wajah Zarith terus diusap lembut, bersyukur kerana dapat bertemu semula dengan abangnya.

“Betul ke abang yang hilang? Tapi, sebenarnya abang yang cari Zarra. Handphone Zarra ada dekat bawah katil…” ujar Zarith lagi, dengan perasaan yang masih ragu-ragu.

“Oh terjatuh masa nak call mama. Sebab Zarra terdengar bunyi sesuatu kat ruang tamu rumah kita. Zarra pergi tengok. Rupanya bunyi tu datang pada piano tu. Macam ada benda nak keluar. Lepas tu grand piano tu terhempas sendiri kat depan Zarra. Sebab terkejut Zarra lari masuk bilik. Bila Zarra nak call mama, Zarra terkejut sebab ada tangan pula cuit kaki Zarra dari bawah katil. Sebab tu handphone terjatuh kat bawah tu sebab Zarra tak sempat nak ambil. Zarra terus keluar lari pergi rumah ustaz…” jelas Zarra lagi, menceritakan situasi yang berlaku pada dirinya.

Zarith terdiam. Dia tersenyum apabila ustaz Musa menghampirinya. Lalu menghulurkan segelas air kosong padanya untuk diminum. “Minum Zarith…”

“Terima kasih ustaz…”

“InsyaAllah… atas pertolongan Allah. Semuanya dah selamat. Benda tu telah menutup mata dan telinga mu Zarith. Ia sengaja memerangkap mu kerana ia menyangkakan Zarith lemah. Syukur, Zarith tidak begitu. Zarith cepat tersedar dengan permainan syaitan. Lihat tu, piano itu telah dibakar…” jelas ustaz Musa.

Dari jauh Zarith dapat melihat api yang marak sedang membakar keseluruhan piano lama itu di tengah-tengah perkarangan rumahnya. Mungkin disebabkan itu, makhluk itu turut terbakar di hadapannya tadi.

Zahir mengusap lembut rambut Zarith. Bersyukur kerana Zarith berjaya dibawa keluar dengan dibantu ustaz Musa. “Pakcik Izul kata pada ayah di hospital tadi, piano itu mesti dimusnahkan. Sepatutnya dia nak bakar piano tu, tapi Zarith halang. Sebab piano lama tu punca semua tu berlaku dan kata pakcik Izul lagi, atas nasihat seorang ustaz semasa dia dipenjara dulu… piano tu mesti dimusnahkan. Sebab tu sebaik dia keluar dari penjara, piano itu yang dicarinya dulu. Tapi dia tak sangka pula piano tu ada di rumah kita, sehingga membawa dia datang ke mari. Sebab itulah, benda tu terlebih dulu menganggu dia dengan cara mencekik lehernya petang semalam. Sebab tu juga bila buat rawatan, doktor kata semuanya ok. Mujur jugak tak sampai 2 jam, pakcik Izul dah nampak beransur okey…”

Zarith termenung seketika, dia mula rasa bersalah kerana cuba menghalang pakcik Izul Imran dari membuat perkara yang betul. Semuanya seperti ustaz Musa katakan tadi, mata dan telinganya telah ditutup. Sehingga sebarang kebaikan langsung tidak terlihat di matanya.

Wajah mama, ayah dan Zarra dipandang satu-persatu. Ada manik jernih mula jatuh setitik demi setitik. Kasih sayang merekalah yang membawanya pulang, begitu juga dengan bantuan Allah…tuhan pencipta alam. Akhirnya segala persoalan yang berlegar di mindanya sudah terjawab kini. Walaupun dalam keadaan dirinya dipermainkan oleh makhluk belaan Raja Mahmud. Noda dan dosa hasil ciptaan lelaki itu kerana cintanya tidak dibalas gadis seperti Siti Fatimah telah membuatkan Zarith terpedaya dengan cerita rekaan makhluk tersebut mengenai gadis suci itu adalah gundik pada Demang Ali. Sungguh dia benar-benar terpedaya.

“Siti Fatimah…” bisiknya sambil tersenyum sendiri.

………………………………………….

Sebulan kemudian…

Zahir membuka daun pintu. Ada 4 katil di dalam wad tersebut. Kelihatan Izul Imran sedang terbaring di atas katil hospital. Sudah 2 jam dia terbaring selepas pembedahan berlangsung.

Izul Imran yang masih dalam keadaan lemah sedar akan kehadiran Zahir. Dia tersenyum nipis kerana sahabatnya itu sudi datang menjenguknya.

“Terima kasih Zul atas segala-galanya. Aku tak sangka, rupanya kaulah orangnya. Aku tak tahu nak cakap apa lagi, sebab kesudian kau mendermakan sum sum tulang pada Zarith. Alhamdulillah, pembedahan berjaya. Aku harap, selepas ni… janganlah kau pergi mana-mana lagi. Kau boleh tinggal dengan kami,” ujar Zahir yang langsung tidak menyangka individu yang ingin mendermakan sum sum tulang pada Zarith berserta surat yang diberi adalah Izul Imran sendiri.

Sekali lagi Izul Imran tersenyum. “Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya aku dah menyelamatkan satu nyawa. Kau ingat lagi tak bulan lepas aku ada cerita aku dihalau oleh mak dan ayah Amelia?”

“Ingat…”

“Sebenarnya cerita yang aku nak sampaikan tak habis lagi. Mereka marahkan aku dengan apa yang aku dah buat pada Amelia dan dalam masa yang sama, mereka dah beritahu segala-galanya. Mereka dah tahu tentang aku dan Lia. Aku tak sangka, Lia dah mengandung. Aku malu dengan kau Zahir. Malu yang teramat setelah apa yang aku lakukan pada Adelia. Aku tak sangka kau rela menjadi pak sanggup demi menjaga aib keluarga Adelia dan aku juga tak sangka Zarith tu anak aku. Terima kasih, kerana buat dia seperti anak kau sendiri…” jelas Izul Imran dengan nada sebak.

“Habis tu, bagaimana kau tahu Zarith ada leukimia?” Soal Zahir, ingin tahu.

“Selepas aku pergi rumah orang tua tu, kan aku kata… aku ada pergi ke rumah arwah makcik Ani selepas tu. Anaknyalah yang ceritakan keadaan Zarith pada aku dan aku rasa bertanggungkawab dengan semua yang berlaku. Kalau nyawa aku terkorban sekalipun… aku rela, demi Zarith, kau, Lia dan Zarra…” sambung Izul Imran tersenyum. Ada perasaan lega terpamer di wajahnya. Dia langsung tidak menyangka kebahagian itu pasti akan menyusul selepas ujian berat datang bertimpa-timpa.

“Zahir… hanya satu yang ku pinta…” Izul Imran memandang Zahir. Nada suaranya tersekat-sekat seperti cuba menahan tangis.

“Apa dia?”

“Tolong rahsiakan pada Zarith. Biarlah dia fikir kaulah ayahnya.”

“Berapa lama rahsia tu akan bertahan?” Balas Zahir dengan rasa kurang yakin.

“Biarlah berapa lama sekalipun. Asalkan bukan sekarang…”

Sebaik ayat itu dikeluarkan, Zahir membuang pandang ke arah lain. Tidak sanggup melihat wajah Zahir yang sudah banyak berkorban untuknya. Namun, sedikit pun tidak pernah meminta balasan. Semuanya dilakukan dengan pengorbanan demi seorang insan bergelar… anak.

– TAMAT –

SHARE
Previous article3 Dalam 1
Next articlePINTU PAGAR PULANG V

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here