Pemangsa

0
400

PEMANGSA
Karya Nil Kuhaku

==============

Dia memakai baju ‘hoodie’ merah jambu berbelang putih, labuh bawah punggung. Zip hoodie dibiar terbuka, menampakkan baju t-shirt kelabu bergambar kartun kek strawberi yang tersenyum comel. Seluar jeans, kasut Converse merah jambu pekat. Rambutnya yang ikal mayang, disanggul. Anak rambut dibiarkan berjuraian di telinga. Berkaca mata, bertubuh genit.

Comel.

Gadis itu berlari-lari anak menuju ke restoran makanan segera itu. Ini kali pertama dia menemui rakan internetnya. Dia agak gementar. Bunyi mesej masuk bergema.

Telefon bimbit dibelek.

“Emma. Saya sampai dalam 20 minit lagi. Maaf, jalan jammed.”

Emma tersenyum.

“It’s okay! Saya pun baru sampai. Take your time.”

Emma duduk. Dia memesej rakannya lokasi tempat duduk. Telefon bimbit kemudiannya digenggam erat.

“I’m here! Awak yang pakai baju hoodie pink belang-belang ya?“ mesej itu berbunyi.

Emma menelan air liur. Dadanya berdegup pantas.

“Ya! Itu saya. Awak di mana?“

Emma membalas. Dia memandang sekeliling.

Satu susuk tubuh tinggi, tegap, tersenyum ke arahnya. Lelaki itu memakai baju t-shirt hitam kosong tidak bercorak, seluar jeans. Lelaki itu berjambang nipis.

Kacak.

Emma membalas senyuman malu-malu. Lelaki itu menghampiri.
“Emma,kan?“

Emma mengangguk.

“Saya Rizq.” sambung lelaki itu lagi. Tangan dihulur.

Emma menyambut. Kemas.

“Sejuknya tangan. Nervous ke?” usik Rizq, seraya mengambil tempat di hadapan Emma. Emma tersenyum malu.

“Nervous juga. Kali pertama jumpa Rizq.” ujar Emma.

Lelaki bersuara dalam di hadapannya itu tersenyum.

“Dah pesan belum ni? Rizq belanja ya?“

Emma menggeleng.

“Tak apa. Lain kali ya Rizq belanja Emma.”

Rizq mengangguk. “Rizq pesan dahulu ya.”

Emma bangun mahu menuruti Rizq. “Tak apa Emma. Emma cakap je nak apa. Nanti Rizq bawa sekali.” Ujar Rizq.

“Okay. Emma nak set B ya. Nak… Air milo.” Ujar gadis genit itu malu-malu. Pipinya memerah. Duit dihulur kepada Rizq.

Rizq tersenyum. Mengangguk. Lelaki itu beredar ke kaunter, tersenyum licik. Tangannya digenggam erat. Teruja. Dadanya berdebar kencang.

Lelaki itu mengambil makanan dari kaunter, menuju ke kaunter sos. Dulang diletakkan sebentar.

Dia memandang Emma yang sedang ralit membelek telefon. Lelaki itu menyeringai, sebelum meletakkan sesuatu ke dalam air Emma.

“Sorry Rizq tak tahu Emma nak sos apa. Semua sos Rizq ambil.” ujarnya.

“Tak apa. Emma makan semua. Tak kisah.” Ujar Emma perlahan. Masih malu dengan Rizq.

Lelaki muda itu menelan air liur. Memandang Emma atas bawah. Oh, betapa dia tidak sabar untuk menghiris perlahan badan montok di hadapannya ini. Betapa dia mahu memisahkan tiap kaki dan tangan gadis ini, perlahan-lahan, bagai anak patung Barbie. Dia rindukan bunyi pisau bertemu tulang, bunyi menciut sewaktu daging dilapah.

Pembunuh bersiri itu sudah lama tidak mencari mangsa. Rasa ‘haus’ itu seakan meronta, menggigit benaknya kasar.

“Rizq? Rizq!“ Emma melambai. Rizq tersentak.

“Mengelamun ya.” ujar gadis itu. Tersenyum.

“Maaf Emma. Nervous.” Rizq tersenyum manis. Emma menunduk malu.

“Um. Rizq kata Rizq kerja apa? Veterinar ea?“ Emma membalas senyuman Rizq.

Rizq mencapai air. Meredakan tekak yang kering, teruja.

“Ya. Rizq buka klinik haiwan sendiri. Cattery.”

“Cattery? Emma suka kucing juga.”

Rizq tersenyum.

“Kucing ni kasihan. Kita pukul dia, kita buat apa pun, dia akan datang balik kat kita minta makanan.” ujar Rizq. “Mereka… Tak seperti manusia.” sambung lelaki itu.

Emma memiringkan kepala.

“Tak ada apalah. Cuma Rizq memang sayang kucing.” ujarnya. “Makanlah dahulu. Nanti lapar makin nervous pula.” katanya mengusik.

Emma tertawa pendek. “Baik. Jemput makan ya.”

Rizq merenung Emma yang menyedut airnya. Betul. Sudah hampir tiga tahun polis memburunya. Tapi dia bijak menyembunyikan kesan.

Dia tahu, dia adalah psikopath. Namun dia tetap kawal. Walaupun dia tiada perasaan nafsu terhadap mana-mana jantina, dan pernah digelar ‘gay’ sewaktu di uni dahulu, dia tidak kisah.

Dia bukan normal. Dia tahu itu.

Asalkan dia tidak membunuh.

Semuanya bermula apabila dia kerap kali menerima kucing terbuang di hadapan klinik miliknya. Dipasang CCTV. Niatnya hanya untuk memberi amaran.

Kemudian, suatu pagi, dia menerima satu sangkar berisi empat ekor anak kucing. Tiga ekor kucing sudah ‘masak’. Bergelimpangan mati di dalam sangkar.

Dijirus air panas.

Seekor masih bergerak, nyawa-nyawa ikan. Lantas dia bawa masuk ke dalam klinik.

Badannya menggigil. CCTV lantas dipasang. Kelibat seorang wanita muncul di paparan skrin. Dia memandang kiri kanan. Sangkar diletak.

Anak-anak kucing berumur lebih kurang dua bulan di dalam itu menguit-nguit, mencakar sangkar mahu keluar.

Lantas, wanita itu mengeluarkan termos air.

Tanpa belas kasihan, wanita itu mencurah air panas ke dalam sangkar itu.

Waktu itu Rizq menjerit. Dia menggenggam rambutnya erat, terjerit-jerit bagai orang gila.

Satu tubuhnya menggigil, seakan dirasuk syaitan.

Pemilik kelibat itu dicari. Tidak sukar. Ada plat nombor kereta. Kereta diparkir di hadapan klinik waktu itu.

Wanita berumur 30-an itu sudah bersuami, mempunyai tiga orang anak. Awalnya dia menolak. Tidak melayan. Tetapi Rizq pandai memujuk. Perlahan-lahan jarum dimasukkan satu demi satu, meracun pemikiran wanita itu. Tambahan lagi hubungannya dengan suami sedang bergolak.

Berbekalkan wajahnya yang tampan, wanita itu tumpas.

Dia fikir itu yang pertama dan terakhir.
Salah….

Sewaktu badannya berlumuran darah, memegang erat pisau di hadapan tubuh wanita yang dikerat-kerat itu, dia terasa puas. Kepuasan itu mengalir disetiap inci pelusuk tubuhnya, meredakan ribut yang dipendam sekian lama.

Selepas itu, keinginan itu membuak, meronta di dalam benaknya. Dia mahu membunuh lagi.

Ketagih!

Sungguh!

Mangsa keduanya adalah lelaki gay. Dipikatnya di sebuah restoran. Lelaki itu dibuang keluarga, menyenangkan kerja Rizq. Selepas hampir tiga bulan, baru kehilangannya disedari.

Sudah hampir satu tahun dia tidak membuat kerja ini. Ia bermula kembali apabila dia menerima mesej Emma di Facebook. Mereka mula berkawan. Berbalas Whatsapp.

Agak lama dia mahu memujuk Emma supaya berjumpa dengannya. Ini baru berjaya.

“Rizq!“

Suara Emma mengejutkan lamunan.

“Ya?“

“Kuatnya mengelamun. Kenapa tak makan?” ujar Emma. Juadah di pinggannya sudah hampir habis. Rizq masih belum menyentuh ayam gorengnya.

“Oh. Maaf.” Rizq tersenyum. “Nanti temankan saya pergi mall, boleh? Saya ingat nak cari beg duit.”

“Naik bas ke Rizq?”

“Naik kereta Rizqlah. Kan Rizq bawa kereta?”

Emma mengangguk. Mukanya memerah. Masih malu.

Lelaki itu makin teruja. Umpannya sudah mengena!

=========================================

“Rizq boleh singgah stesen minyak? Emma nak ke tandas.”

“Boleh. Rizq pun mahu isi minyak ni.”

Kereta Almera milik Rizq diparkir sebelah pam minyak. Emma cepat-cepat menuju ke tandas.

Rizq menuju ke kaunter, membayar duit minyak. Dia menuju ke pam, tetapi masih belum ada kelibat Emma.

Dia menarik nafas panjang. Sabar. Sabar. Jangan terburu-buru. Pam ditarik.

Tiba-tiba, dia terasa pening. Matanya berpinar, pemandanganya sudah berombak. Kepala kian terasa berat. Lantas dia berpegang pada bumbung kereta.

Tak mungkin!

Dia memicingkan mata. Muncul samar-samar susuk tubuh Emma di hadapannya, sebelum dunianya – gelap.

========================================

Rizq membuka mata.

Dia diikat di kerusi roda. Bajunya ditanggalkan, hanya berseluar jeans.

Kepalanya bagai mahu pecah. Tekaknya mual.

Ini kesan ubat sedatif. Tak mungkin. Air itu diminum Emma!

Dia melihat sekeliling, dan tergamam.

Dia di dalam satu bilik. Malap. Yang ada cumalah satu lampu tergantung sunyi, dan sebuah televisyen lama yang memaparkan skrin statik, menerangi bilik tersebut. Bilik itu dilengkapi perabot seperti sofa, kerusi, meja dan sebagainya.

Namun tiap perabot, adalah dibaluti kulit manusia.

Matanya terbeliak luas.

Namun apa yang paling mengejutkan dirinya adalah – tiap inci dinding bilik tersebut dipenuhi gambar.

Gambar dirinya.

“Hello.” satu suara gemersik menegur.
Emma. Sedang merenungnya dalam kegelapan.

“Emma. Kenapa ni? Apa yang berlaku?“ ujar Rizq.

Emma masih diam. Cuma memerhati, dingin. Benar-benar berbeza dari kali pertama mereka berjumpa.

“Emma, please…. Lepaskan saya.”

Emma cuma diam. Gadis itu menarik kerusi berkulit manusia. Dia duduk di hadapan Rizq, menongkat dagu.

“Emma. Jangan macam ni. Please. Lepaskan saya. Saya ada buat salah apa?”

Emma diam. Merenung tajam.

“LET ME GO, BITCH! Tolong…… Tolong!!” Rizq menjerkah setelah melihat tiada respon dari Emma. Dia menjerit-jerit sehingga terbatuk-batuk dan tidak semena-mena dia muntahkan semula isi perut. Sisa makanan bertaburan di pehanya.

Emma mencapai tisu. Dilap mulut Rizq yang berlengas, lembut. Dia seakan tidak kisah akan bau muntah Rizq yang hanyir.

“Kau takut, Rizq?“ ujar Emma.

“Jangan sampai aku terlepas. Nahas kau. Nahas.” Rizq seakan menderam. Seperti anjing gila.

“Lihat lengan kau, Rizq.” ujarnya. Rizq berpaling, merenung bahagian dalam lengan. Ada satu ttik merah disitu. Kesan suntikan.

“Apa kau dah buat?“

“Aku cuma tambah dos ubat sedatif. Kau dah tak sedar hampir setengah hari.”

“Kenapa kau buat macam ni? “

Waktu itu, Emma tersenyum. Menyeringai dengan mata dibulatkan.

“Mari. Ikut aku. Aku tunjukkan koleksi yang aku ada.” Dia berkata. Mula menolak kerusi roda Rizq. Lelaki itu menurut dalam pening yang menggila. Mereka melalui koridor gelap sebelum sampai ke bilik bawah tanah.

Baju. Sarung tangan. Alas meja. Semua diperbuat dari kulit. Rizq terpana dalam mualnya.

Sekujur tubuh terbaring di atas sebuah katil bersaiz ‘king’.

Mayat.

Mayat lelaki itu diawet. Dibedakkan. Dilukis mata dan kening, dipakaikan baju. Ibarat anak patung.

Emma memanjat ke atas mayat tersebut. Dihenyak-henyak lalu dikucup mayat itu lembut, sebelum dirangkulnya erat.

“You see, Rizq. Lelaki yang ‘hidup’ tiada guna bagi aku.” ujarnya sambil membelai lembut wajah mayat itu.

“Aku sukakan kau, Rizq. Dari kali pertama aku nampak kau di Facebook. Aku mahu kau. Tubuh kau yang dah dingin.”

Rizq memicingkan mata. Perempuan ini necrophiliac!

“Tetapi,” ujarnya, tiba-tiba murung,

“Kau ‘sama’ dengan aku rupanya.” sambungnya, sambil duduk di atas katil.

“Aku bukan necrophiliac.”

“Tetapi kau psikopath. Aku tahu apa kau buat.”

“Kenapa kau tak bunuh aku?“

Emma tersenyum. Dia turun dari katil, menuju ke arah Rizq.

“Kau fikir kenapa?“

Rizq tersenyum.

“Kau mahu aku bekerja dengan kau?“ ujar Rizq, sinis.

“Kau tak mahu?“

“Kau yang buru aku dahulu. Kerja gila apa mangsa bekerja dengan pemburu?“ kata Rizq lagi.

Emma memiringkan kepala.
“Kita memang dah gila, Rizq.”

Rizq tertawa. Emma cuma diam. Sesekali bermain dengan hujung rambut.

“Tak aneh apa aku buat. Ada sahaja pemburu yang kasihan dengan binatang yang dijerat, dan dia bela binatang itu.” ujar Emma.

“Itu binatang.” Rizq berkata malas.

“Manusia memang binatang. Atau kita adalah keluarga tumbuh-tumbuhan?” Emma membalas.

Rizq menyeringai.

“Kau tahukan, orang seperti aku tak suka dimanipulasi.”

“Tapi kerja kau tak kemas. Kau tak perasan bila aku tukar air tu. Dah berapa lama kau tak ‘makan’? “ ujar Emma dingin.

Rizq terdiam. Dia merenung Emma tajam.

Emma berpeluk tubuh.
” Kau mahu tak? “

Rizq tersenyum. Emma menyambut senyuman itu, manis.

==========================================

Lelaki itu melambai dari jauh ke arah kereta Almera. Walau dalam kegelapan malam di lebuhraya, dia nampak samar-samar lelaki dan perempuan. Yang perempuan sedang menggendong bayi.

Kereta itu berhenti.

“Kenapa encik?“ ujar pemandu kereta. Mukanya tampan. Putih bersih dengan janggut sejemput.

“Kereta saya rosak. Boleh tumpangkan ke bandar tak bang?“ ujarnya.

“Kasihan dia bang. Tumpangkanlah dia.” ujar perempuan itu.

Lelaki itu tersenyum. Umpan sudah mengena! Sebentar nanti dia akan hubungi rakan perompaknya yang lain.

“Terima kasih kak.” Dia melangkah masuk kereta. Telefon bimbit dibuka. Mahu menghantar mesej kepada rakan-rakannya yang sedang menunggu.

“Adik.” dia dipanggil. Lelaki itu mengangkat muka.

Perempuan yang menggendong bayi itu mengacukan pistol dart.

“Kak, apa ni-”

Tembakan dilepaskan.

Mata lelaki itu berpinar. Dia ternampak bayi yang dikendong itu cumalah anak patung.

“Ni muka penyangak, Rizq. Kalau dia ada HIV ke, Hepatitis B ke macam mana?” dia mendengar suara perempuan itu berkata.

“Mana boleh memilih. Nak yang sihat walafiat, keluarga dia cari. Terpaksa ambil yang macam ni.” lelaki itu membalas.

“Ini ubat apa?“

“Pelali gajah seludup.”

“Gila.”

“Nanti matilah tu. Dos dia terlalu tinggi untuk manusia. Selepas kau ‘siap’, turn aku pulak.”

“Yalah yalah.”

Lelaki itu cuba membuka mulut. Jantungnya kian lemah.

Perkara terakhir di pandangannya adalah wajah perempuan dan lelaki itu, yang memandangnya penuh nafsu.

-TAMAT-

*****
Suntingan: #kamenrider
Gambar: Nil Kuhaku

SHARE
Previous articleGanti
Next articlePusara Cinta

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here