Ops Burung Hantu

0
1086

Ops Burung Hantu
Karya – Faizal TheFlash 555

Nota tambahan- Cerita benar ini berlaku sewaktu tahun 2003 di salah sebuah sekolah berprestij di Bandaraya Ipoh. Jangan ditanya sekolah mana.

================================

Malam ini kami selaku exco Aspura dan Aspuri akan menjalankan aktiviti yang paling dinanti dalam kalendar orientasi `budak asrama` iaitu Operasi Burung Hantu, dan secara harfiahnya Operasi Burung Hantu atau lebih mesra dikenali sebagai OBH ini tujuan dia untuk membina semangat keberanian dikalangan budak asrama. Selalunya aktiviti ini diperturunkan dari senior ke senior yang baru. Kononnya benda ini wajib diadakan setiap kali kepimpinan bertukar tangan.

Aku selaku Exco Kebajikan dan Sosial(yang aku tak tahu tugas hakikinya!) dipertanggungjawabkan untuk merangka segala aktiviti berkenaan OBH. Aku dah rangka segala laluan dan apa kejutan yang akan terjadi pada malam OBH. Waktu itu aku dibantu oleh Razif, selaku Exco Dobi (dan kami pun tak tahu kenapa sedih sangat nama jawatan exco ni woi). Razif banyak memberi idea tentang kejutan yang kami nak buat dan salah satunya, dia bagi idea supaya buat hantu pocong guna bantal dan bola .

Aku dan Razif mula mencari bahan bahan `membikin` pocong. Cadar putih, tali tangsi, gumpalan surat khabar dan baju yang tak dituntut di bilik dobi sebagai `ramuan` utama. Gumpalan surat kabar `disalut` dengan baju tak dituntut dan bantal, dan kami bungkuskan ia dengan cadar putih melepak itu dan sebagai kepala, sebiji bola sepak yang dipakaikan topeng tengkorak yang kami beli dari Kompleks Yik Foong, Ipoh dan walaaaaa! Hantu pucong kami tercipta, hasil ‘masterpiece’ dari anak jati Teluk Intan! Bangga gila aku waktu itu boleh bikin hantu tiruan. Kah kah!

Tapi itulah, manusia mana pernah puas. Aku rasakan benda itu tak cukup `kick`, takda ummph! Aku mendapat akal, petang itu aku minta kebenaran dari warden untuk keluar `outing` untuk membeli bahan untuk OBH. Korang nak tahu aku beli apa? Aku beli kemenyan dan secawan kecil darah ayam! Darah ayam ni aku minta di pasar besar Super Kinta,pada mulaanya abang yang potong ayam tu tak mahu beri pada aku sebab dia ingat aku nak main Spirit of The Coin. Selepas aku terangkan ini tujuan untuk pembinaan jatidiri anak bangsa, dia akur dan setuju. Punyalah gila waktu itu aku naik turun bas bawak darah ayam! Sudahlah Ipoh waktu itu scene muzik Metal tengah memuncak! Nanti tak pasal pasal aku dituduh Black Metal. Padahal aku layan band Slipknot je! Kah kah!

Hoi, merapu jauh dah aku ni.Haaa,kemenyan dan darah ayam ini tujuannya untuk diletakkan pada pocong tiruan tu. Darah ayam aku renjis renjiskan padan tubuh badan pocong itu dan kemenyan untuk diperasapkan.Aku bakar kemenyan dalam loker kayu terbiar dan aku sumbat pocong tiruan dalamnya. Bila dah biar terperuk satu jam, dia punya bau asap melekat keras beb!

Lagi dua hari sebelum bermulanya OBH.Selepas waktu persekolahan, aktiviti orientasi dijalankan di dewan dan kawasan sekitar asrama dan selalunya mengenai sahsiah rupa diri,buat `mini games` dan presentation. Tak silap aku jumlah pelajar tingkatan 1 yang terlibat dalam orientasi termasuk Aspura dan Aspuri lebih kurang 30 orang.

Waktu petang itu juga aku,Razif dan beberapa rakan yang lain. Tujuan kami Cuma satu,nak muktamadkan pemilihan laluan dan placement pocong tiruan. Bagi yang tahu apa itu OBH, biar aku terangkan sedikit. Pelajar akan ditutup matanya dan akan dipimpin oleh senior yang akan meletakkan mereka itu di segenap pelusuk sekolah. Selalunya tempat yang sunyi dan akan diletakkan dalam jarak yang dekat sebenarnya,cuma mereka ini matanya bertutup. Kemudian mereka akan ditinggalkan lebih kurang 10 minit. Sebelum itu mereka akan di beri kod laluan, sebagai pengenalan diri. Waktu itu kod laluan yang reka adalah, senior akan menanyakan pada junior tersebut,
“Pontianak mengilai..”
dan akan dijawab oleh junior dengan ketawa kecil.Seram tak?

Jadinya kalau junior terdengar kod laluan yang berbeza, jangan disahut atau dibalas dengan ketawa kecil.Kemuncak OBH adalah mereka akan dilepaskan seorang demi seorang untuk berjalan seorang diri di kawasan sekitar blok sekolah dalam keadaan yang gelap gelita. Mereka perlu ke setiap check point yang dah ditetapkan untuk mengambil item yang sudah diletakkan.

Dalam hal ini,item aku adalah bola pingpong. Check point yang aku sediakan sebanyak 8 tempat. Sepanjang check point, aku dah letakkan beberapa elemen seram, seperti aku bakar kemenyan dan kawan aku cadangkan suruh jirus air mawar dekat lantai. Pucong tiruan aku letak di hadapan tangga nak turun dari tingkat 3. Pelajar junior akan melalui ketiga tiga tingkat bangunan sekolah. Ada senior yang menawarkan diri nak jadi `hantu` dan kami setuju . Sebenarnya timbul dalam hati aku dan Razif, yang kami macam menjemput sesuatu malam itu.

Malam Sabtu! Malam OBH! Sebenarnya pelajar junior tak tahu pun yang kami nak jalankan OBH, kami war warkan program tamat jam 10 malam. Selepas mereka pulang ke dorm, masa 2 jam itu, kami senior Aspura dan Aspuri menyelenggara tempat dan peralatan untuk OBH. Kemenyan sudah dibakar, air mawar sudah dijirus,hantu hantu jadian dan pucong tiruan sudah sedia. Game ON!

Tepat jam 12 malam aku arahkan semua junior berkumpul, dan semestinya mereka terpinga pinga. Taklimat ringkas selama 10minit oleh Zul, selaku Ketua Asrama. Selepas bacaan doa oleh Cikgu Saleh, para senior mula bergerak ke arah junior untuk proses penutupan mata. Kira kira 1230 pagi, Operasi Burung Hantu mengambil tempat. Sepanjang OBH, aku menjadi pemantau bersama Razif. Kelakar juga melihat ada junior yang sudah mula menangis sewaktu tangan mereka dipimpin ke tempat untuk ditinggalkan.Tempoh senyap selama 30 minit sebelum kami exco asrama mengambil alih tugas seterusnya.

Aku meninjau beberapa `tempat panas` di kawasan sekolah. Antaranya dibelakang bengkel Kemahiran Hidup. Memang gelap gelita. Mujur pengawal keselamatan berkerjasama dengan kami.Memang kami ada mohon pada pihak sekolah supaya malam ini satu sekolah bergelap. Para senior dah mula bermain kot rahsia OBH. Tapi bukan semua, hanya 2-3 orang yang aku tugaskan untuk menanyakan kod pada junior. Ada juga exco lain yang sengaja berjalan secara perlahan di kalangan pelajar junior ini sambil membakar kemenyan. Sebaik sahaja bau kemenyan dihidu mereka, ada yang mula tak senang duduk! Ada yang mula membaca doa dan ada juga pelajar perempuan mula menangis.

“Pontianak mengilai..” Soal aku. Dengan niat mengusik.
“Huuuuu..ahhh..Jangan kacau saya abang..” Teresak esak pelajar perempuan bernama Husna itu menangis. Untuk info, Husna ni dikategorikan comel dan putih melepaklah. Jadinya ramai senior gatal nak jadikan dia sebagai kekasih hati mahupun adik angkat! (budaya asrama yang perlu korang tahu)

Sedang aku asyik meronda, kami terdengar bunyi orang menjerit! Aku terus berlari ke arah belakang makmal Sains, dan masa itu beberapa senior dah tiba. Ada budak kena rasuk! Pelajar junior itu sedang elok duduk berteleku dan kepalanya didongakkan,dan di belakangnya ada sepohon pokok kelapa gading. Tahu tahu sahaja, semua yang ada bertempiaran lari! Sebab, ada kelibat kain putih dari celah pokok kelapa! Aku baru nak lari terus disapa oleh Cikgu Saleh yang mengarahkan aku supaya mendukung pelajar junior itu ke tempat yang lebih selamat.

“Benda macam ini biasalah Faizal. Saya dah masak sangat” ujar Cikgu Saleh bersahaja sewaktu memulihkan pelajar junior tersebut. Rupa rupanya hal budak menjerit itu telah menyebabkan siapa yang terdengar menjadi histeria! Malam itu lebih 10 orang terkena histeri termasuk exco asrama sendiri! Peliknya, semua perempuan. Jenuh juga kami yang lelaki ni cuba menenangkan mereka yang histeria.

Mujur juga histeria secara terkawal dan tidak sampai nampak seperti kerasukan. Kata mereka yang terkena, mereka terdengar suara,

”Nak dengar suara pontianak mengilai, mari sini telinga aku perdengarkan”

Dan sejurus itu,mereka terdengar suara wanita mengilai di pelipis telinga kiri dan bunyi itu sememangnya luar biasa dan bukan datangnya dari manusia! Aku dah mula cuak. Tapi kata Cikgu Saleh, teruskan dengan yang berjalan solo itu terus.

Untuk berjalan solo malam, kami memilih 4 orang peserta sahaja.Itupun dari kalangan lelaki dan yang paling nakal! Selebihnya pelajar yang lain kami sudah kumpulkan di dewan besar dan diberikan kata kata semangat oleh Cikgu Saleh.

Dipendekkan cerita, kelima-lima peserta Jalan Solo malam itu hilang lebih kurang 2 jam, dalam kawasan sekolah. Penyudahnya mereka dijumpai di atas pentas di dataran perhimpunan! Berikut adalah cerita pendek dari mereka berempat yang terlibat dalam aktiviti Jalan Solo.

______________________________________________

Cerita Dari Borhan
Masa aku naik ke tingkat 2, kena masuk dalam kelas 4P2, sebab nak kutip bola pingpong. Aku meraba raba masuk dalam kelas tu, beberapa kali terlanggar kerusi. Puas meraba dan mencari aku jumpa juga bola pingpongnya!Itupun dengan bantuan lampu jalan dari luar sekolah. Masa aku dah kutip bola tu, aku terdengar macam bunyi bola pingpong jatuh dari tempat yang tinggi dan bunyi bergolek itu ke arah aku. Ya, memang ada bola pingpong yang bergolek. Tindakan spontan aku adalah mengutip bola tersebut, dan bila aku tengok, bukannya bola, tapi manusia yang kenyal dan basah ditangan kanan aku, sambil mata itu mengedip beberapa kali melihat aku. Aku pengsan.

Cerita Dari Kamsani
Masa aku ke kawasan kolam sekolah, abang senior beritahu bola tersebut ada di dalam kolam. Ya, aku dapat lihat ada bungkusan plasti terapung dan didalamnya bola. Masa aku melutut nak ambil, entah dari mana ada susuk tubuh lelaki keluar dari kolam yang cetek itu dan menarik aku ke dalam kolam!Sesudah itu aku sedar sedar, aku ada di atas pentas!

Cerita Dari Ihsan
Aku tahu di depan aku itu bukanlah pocong yang betul. Ini mesti kerja abang senior nak takutkan kami. Takkanlah benda tu terbungkang dekat tangga. Dari tadi aku perati, tak menguit pun pocongnya! Aku maju perlahan dan aku kuis dengan kaki. Betul telahan aku. Pocong tiruan! Aku siap buka topeng tengkorak tu! Kelakar betul bila tahu kepalanya itu adalah sebiji bola jaring! Masa aku turun melewati anak tangga, aku dapat rasakan ada angin yang kuat menderu dari arah belakang. Aku toleh, pocong tiruan itu sedang terapung, betul betul di hadapan aku. Mukanya bukan lagi bola jaring, tapi betul betul tengkorak! Tahu tahu saja, aku ditindih susuk pocong dan kejadian seterusnya,aku pengsan.

Cerita Dari Din
Masa aku ke belakang bengkel Kemahiran Hidup, aku terbau asap kemenyan yang cukup kuat! Aku dah syak, ini mesti kerja senior. Meremang juga. Bila aku perhatikan, ada susuk tubuh lelaki sedang elok bersila di tepi stor perabot sekolah yang rosak. Di depannya ada mangkuk yang sedang berasap. Itulah punca bau kemenyan dan aku syak itu mesti senior. Aku pernah dengar cerita dari abang aku,waktu OBH senior akan takutkan junior. Aku pun dengan selambalah melewati susuk tubuh itu. Usai mengutip bola pingpong di check point. Sekali lagi aku terpaksa melalui susuk tubuh itu, lama masa aku nak lintas depan dia, perlahan lahan kepalanya berpusing ke arah belakang dan serta merta aku terdengar suara orang mengilai! Kepalanya betul berpusing ke belakang, badan masih utuh mengadap depan. Waktu itu mata aku berpinar pinar dan aku pengsan.

________________________________________________

Kesudahan aktiviti OBH malam itu tamat jam 4 pagi.Serik dan padan muka. Itu sahaja yang dapat aku simpulkan. Beberapa pelajar demam selepas kejadian OBH. Kalau nak dihimpunkan,banyak lagi kejadian seram yang mereka lalui sewaktu mereka ditempatkan di beberapa kawasan di sekolah. Ingat tak aku cakap, mereka di beri masa 30 minit waktu senyap dan untuk menghayati bunyi sekeliling. Waktu itu, tiada seorang pun senior yang pergi jumpa mereka.

Tapi ada yang cakap ,sudah ada yang bertanya soalan kod rahsia! Katanya mereka, suara lelaki garau. Junior aku yang berjalan solo demamlah juga tapi mereka aku tengok terus tak nakal dah lepas itu. Turun surau pun awal dah. Kata Cikgu Saleh,sepanjang dia jadi warden, batch aku punya OBH paling gila! Dia ketawa bila aku ceritakan hal pocong jadian aku diperam dengan asap kemenyan,diconteng dengan darah ayam. Juga tentang kami bakar kemenyan semua itu.

“ Memanglah hantu datang, kau orang betul betul panggil dia! Ha ha ha ha!” Kuat benar Cikgu Saleh ketawa pagi itu. Untuk pengetahuan, batch aku adalah yang terakhir buat OBH sepanjang pengetahuan kamilah,yang sekarang ini, tak tahu kalau senior buat lagi OBH ini.

Sebenarnya OBH dah jadi acara wajib sebab sebelum aku jadi senior, aku juga pernah melaluinya waktu zaman junior dulu. Jadi bila dah jadi senior, kau mesti nak junior kau merasa! Begitulah aturan hidup di asrama.

Aduh, dah terlalu panjang pula cerita OBH aku versi senior, minggu depan aku cerita pengalaman aku waktu aku jadi junior pula.
Kah kah kah! Jangan marah tau !

Tamat

SHARE
Previous articleZARA
Next articleKAKAK CANTIK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here