ON CALL OBSTETRIK

0
1149

ON CALL OBSTETRIK

Kisah ini terjadi terhadap seorang houseman (HO) malang di sebuah hospital di Petaling Jaya. Houseman itu kini masih berjaya meneruskan kariernya sebagai seorang doktor, namun memori seram ini masih segar dalam ingatan beliau.

Malam itu merupakan satu hari sebelum Tahun Baru Cina. Dek kerana ramainya staf yang sudah bercuti, bilik bersalin menjadi agak sepi. Bilangan jururawatyang bertugas juga sangat minimum. Begitu juga dengan bilangan pesakit. Ramai dah balik kampung agaknya. Ahmad merupakan seorang houseman dan dia on call di bilik bersalin pada malam itu.

Dia bertugas bersama 2 org lagi HO iaitu Yana dan Fizah. Kebiasaannya mereka akan membahagikan tugas di antara bilik bersalin, wad antenatal dan wad postnatal. Oleh kerana pesakit agak sedikit pada malam itu, mereka membuat susunan – seorang HO bertugas setiap 3 jam secara bergilir-gilir. Dalam 3 jam itu, HO itu akan mengawasi seluruh kompleks bersalin termasuklah wad dan bilik bersalin. Ini membolehkan mereka bergilir-gilir untuk berehat.

Ahmad mengambil giliran kedua iaitu dari pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi. Permulaan gilirannya amat tenang, hanya dua pesakit sedang berada di dalam bilik bersalin dan tiada pesakit perlu di-review di wad antenatal dan postnatal pada waktu itu. Ini bermakna dia hanya perlu menunggu panggilan aktif daripada wad dan menjenguk 2 org pesakit pada selang masa tertentu di bilik bersalin itu.

“Doktor Ahmad, tolong teman saya pergi ke klinik antenatal, saya nak ambik folder untuk new admission,” sapa Staff Nurse Yati memecah lamunan Ahmad. Malam itu hanya 4 orang Staff Nurse (SN) bertugas di bilik bersalin, namun hanya 2 orang sahaja yang Ahmad terlihat pada awal gilirannya bertugas. SN Yati dan SN Maria tadi sedang sedap makan lewat malam di pantri. Manakala lagi 2 orang sedang berehat agaknya, meniru aturan HO juga barangkali.

SN Yati memang baik dengan Ahmad, mesra dan selalu bergurau. Muda. Cantik pula tu. Ahmad yang masih bujang memang seronok bekerja dengannya. Mereka berdua sama-sama bujang, kalau ada jodoh menjadilah hendaknya.

“Eh, dah habis makan eh? Dah la makan tak ajak.”

“Alaa, kitorang bawak bekal sendiri je, tak ada untuk doktor,” balas SN Yati.

“Doktor tolonglah teman saya pergi ambik folder. Takkan saya nak turun sorang? Kak Maria tengah dok makan lagi. Lagipun kalau berdua turun sapa nak jaga kaunter ni?” sambung SN Yati sambil membuat raut wajah manja.

Klinik antenatal terletak di tingkat LG bangunan tersebut, manakala bilik bersalin di tingkat 3. Kebiasaannya pesakit yang sudah booking di hospital ini, rekodnya akan disimpan di klinik antenatal. Sudah menjadi rutin setiap kali ada admission bagi kes yang sudah booking, Staff Nurse atau Pembantu Pegawai Perubatan akan turun dan mengambil folder pesakit.

“Aik, ada new admission ke? Tak perasan pun. Oooo, Dr Fizah dah clerk kot tadi, tapi dia tak passover pulak kat saya,” Ahmad agak hairan kerana di board hanya ada 2 nama pesakit dan kedua-duanya pesakit lama.

“Iye, new admission tapi dalam keadaan stable je, baru 4cm, primi, contraction pun tak regular lagi. Jomlah doktor. Nanti balik doktor tengoklah patient tu, boleh tengok folder sekali,” gesa SN Yati lagi.

“Ok, ok.. jom!”

Mereka berdua berjalan ke lif dan terus menuju ke tingkat LG. Sampai di tingkat LG, Ahmad terkejut kerana seluruh tingkat gelap. Hanya lampu hijau daripada papan tanda KELUAR menyuluh ruang legar tingkat itu – suram dan malap cahayanya. Pen-torch dikeluarkan, dan disuluh untuk mencari jalan ke klinik.

“Diorang lupa bukak lampu ni doktor,” getus SN Yati.

“Awak takut eh? Takpe, saya ade,” balas Ahmad sambil tersengih-sengih.

Sampai ke klinik antenatal, SN Yati membuka kunci dan meraba-raba mencari suis lampu.

“Yati, awak pakai pen-torch ni pergi cari folder, nanti saya bukakan suis lampu. Bilik folder kat situ je kan,” juih Ahmad pada bilik di depan pintu masuk klinik. Disebabkan hendak cepat kerana dirasakan tidak manis berdua dengan anak dara di tempat gelap ini, Ahmad menggesa supaya folder itu lekas dijumpai.

“Ok doktor….” Balas SN Yati perlahan.

Ahmad meraba-raba dalam gelap mencari suis lampu di klinik itu.

Tiba-tiba bunyi gitar solo Avenged Sevenfold berbunyi. Terkejut Ahmad. Cepat-cepat dia meraba poket seluarnya bagi menerima panggilan itu.

“Hello Doktor Ahmad, doktor kat mana ni? CTG patient bay 1 tak cantiklah, akak dah letak left lateral, nanti doktor naiklah review,” kedengaran suara Kak Maria di hujung talian.

“Ooooo…okay kak, saya kat bawah teman Yati ambik folder new admission”

Senyap.

“Doktor, minta naik sekarang doktor. Cepat!”

“Ye kak, okay saya tau. Jap saya panggil Yati.”

“Doktor Ahmad, Yati ada dekat sebelah saya tengah tulis nursing report, doktor lebih baik naik sekarang!” terdapat getaran dalam suara SN Maria.

“Kak, jangan tipu saya, habis tu….”

Tiba-tiba terlintas di fikiran Ahmad, bau Yati lain macam wanginya malam itu. Umpama campuran air mawar dan sedikit bauan kapur barus.

“Doktor Ahmad, tolong saya suluh almari folder ni boleh?” Suara SN Yati kedengaran di telinganya. Berlebih-lebihan manjanya.

Sepantas kilat Ahmad memecut ke lif dan menekan butang naik.

“Doktor janganlah tinggalkan saya, saya takut sorang-sorang ni. Hihihihihi….” Suara itu semakin mendekat, seolah-olah dibelakangnya sahaja. Makin menjadi-jadi manjanya seolah-olah mengejek. Namun Ahmad tak berani nak menoleh. Pintu lif terbuka – dia masuk dan terus menekan tingkat 3 dan butang tutup dengan tergesa-gesa.

“Abang Ahmad, saya sejuklah,” Ahmad terasa tangannya digenggam oleh tangan yang sejuk. Dia mula membaca apa sahaja ayat suci yang terlintas.

“Hihihihihiiiiiiiiiiii…...” suara hilaian semakin kuat memenuhi lif itu. Dada Ahmad terasa sesak, nafasnya tak cukup. Perkara terakhir yang dia ingat adalah rambut panjang yang keluar perlahan dari celah pintu lif yang sudah tertutup.

“Ahmad, oiii bangun oi!”

Ahmad terpisat-pisat membuka mata, kelihatan Medical Officer Doktor Sofea menampar-nampar bahunya.

“Kak Maria cerita tadi yang dia terdengar suara mengilai dalam telefon. Lepas tu line terputus. Cepat-cepat dia kejutkan kami semua untuk mencari awak. Awak okay tak ni?” Tanya Doktor Sofea.

Ahmad tak mampu nak membalas. Bunyi hilaian dan rasa sejuk di tangannya masih terasa berbekas. Apatah lagi rambut panjang yang keluar dari celah lif tadi. Dia ternampak SN Yati di belakang Dr Sofea. Raut wajahnya kelihatan risau.

“Awak Yati yang betul kan?”

“Ye doktor, saya Yati yang betul. Tadi mana ada new admission. Saya makan sepanjang masa dengan Kak Maria, sampailah kitorang call doktor sebab tak jumpa doktor kat bilik bersalin,” balas Yati.

“Hmmmm… tahun lepas ade sorang HO kena macam ni jugak, dia teman benda tu turun. Alih-alih benda tu terbang depan dia mengilai-ngilai. Huiiii seram!” terang Kak Maria.

“So sekarang ni nak kena buat incident report tak? Nak tulis macam mana ni?”

=============

Karya: Amirul Amzar

Suntingan karya & gambar: DeeFen DF

SHARE
Previous articleBulu
Next articleAsrama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here