NENEK ROKIAH-BAHAGIAN DUA

1
177

NENEK ROKIAH-BAHAGIAN DUA
KARYA: FateStay Nite
=========================

“Muiz!” Terpacul nama itu dari bibir Shakir. Lantas, Shakir meluru kearah lelaki itu dan berpelukkan. Itu adalah Muiz, sahabat baik mereka sewaktu dari kecil.

Muiz seorang remaja yang dahulunya nakal, dan selalu disumpah seranah oleh orang Kampung Pangku. Sekian lama dia menghilangkan diri selepas kematian ibu dan ayahnya dahulu,kini Muiz muncul kembali dengan perwatakan yang berbeza saat dia meninggalkan kampung.

“Wah sejak bila kau jadi ustaz ni Muiz?”Ujar Razi.

“Lepas aku keluar dari kampung dahulu, aku masuk sekolah pondok.” jawab Muiz sambil tersenyum.

“Bagus jugalah kau dah balik. Lagi bagus kau dah belajar bab agama… Dah jadi ustaz, boleh tolong orang kampung ni…!” Shakir menarik Muiz duduk. Muiz menurut. Beg diletakkan di sisi.

“Kenapa dengan kampung kita…?” Tanya Muiz pelik.

“Kau tahu tak! Baru-baru ni orang kampung asyik kena ganggu je. Poconglah… Hantulah… Haisssshh..” Badrul menyampuk sambil mengeluh.

“Ketua Kampung tak buat bacaan Yassin ke? Tahlil ke… Atau cuba ikhtiar cara lain?” Muiz mempersoalkan.

“Kau jangan tanya pasal ketua kampung. Dia pun dah termakan hasutan si Nek Kiah bidan tu! Harapkan pegar, pegar makan padi!” rungut Razi.

“Hahahahaha…macam tak sesuai je peribahasa kau tu Razi…” balas Shakir sambil mentertawakan Razi.

Mereka rancak berbual, maklumlah sudah sekian lama tidak berjumpa dengan Muiz. Tetapi ada sebab utama lain Muiz pulang kekampung halamannya itu.

Cinta.

Cinta ialah seorang gadis manis dan lemah lembut yang duduk di hujung kampung. Cinta adalah dari keluarga yang bahagia, dan lebih kuat berpegang pada agama. Ayah Cinta pula Imam di kampung Pangku, tetapi keluarga mereka belum termakan dengan hasutan Nek Kiah.

“Eh…Cinta ada lagi tak? ” tanya Muiz tiba-tiba

“Ada… Tapi macam kau tak tahu pula. Bukan senang nak tengok dia… Susah nak nampak dia keluar rumah. Maklumlah, keluarga dia islamik.” Balas Badrul.

“Kau berubah ni… sebab dia ke?” Shakir pula bertanya.

“Taklah… Aku memang berubah sebab lepas ayah dan ibu aku meninggal. Aku terfikir, hanya akulah anak tunggal mereka. Kalau aku tidak doakan mereka, siapa lagi? Jadi aku tak nak seksa ibu ayah aku. Sebenarnya kitalah yang menyeksa mereka di alam sana kerana amalan dan sikap kita.”balas Muiz, sayu mengenangkan kembali peristiwa yang meragut nyawa kedua orang tersayangnya.

“Perghhh… Deep! Kau punya kata-kata, sentap aku dengar!” balas Badrul seakan kagum dengan perubahan sahabatnya..

“Haaa…Saiful pula mana? Korang tak lepak dengan dia ke? Sihat tak dia?” tanya Muiz.

Razi, Badrul dan Shakir hanya saling berpandangan, tiada jawapan yang mampu mereka bagi.

“Kenapa kau orang diam je?” tanya Muiz pelik.

“Sebenarnya… dah lama juga Saiful keluar dari kampung dan tidak pulang-pulang. Kesian mak ayah dia ngan adik dia, si Fikri. Selalu tertunggu-tunggu kepulangan Saiful…” kata Razi.

Muiz termenung seketika,teringat kembali saat mereka berlima di zaman persekolahan. Kenakalan mereka, dan persahabatan mereka.Tetapi Muiz telah keluar dari kampung selepas tamat persekolahan, iaitu selepas kemalangan yang meragut nyawa kedua ibubapanya.

“Eh…! Order la makan ke, minum ke.” pelawa Shakir.

“Tak apalah… Aku baru lepas makan tadi sebelum kesini.” balas Muiz sambil melihat kearah dapur dan tepi Warung Wak Hassan.

Muiz dapat melihat makhluk halus seperti beruk sedang duduk mengankang diatas kuali,dengan mata besar bulat merah sedikit terbonjol keluar. Manakala di tepi kedai Wak Hassan pula kelihatan seekor lagi makhluk yang hampir sama, tetapi agak besar – sedang duduk tersandar melihat kearah mereka.Tetapi Muiz buat-buat tidak nampak.

Muiz tahu, itu makhluk pelaris yang digunakan Wak Hassan.
Setelah malam semakin larut, mereka semua pun pulang kerumah. Disebabkan Shakir,Razi dan Badrul membonceng motor yang sama, tidak dapatlah Muiz menumpang. Muiz tidak kisah. Dapat dia mengambil angin malam.

Sambil melangkah,sambil itu juga lidahnya memuji yang Esa.

“Hiiiii…hiiiiii..hiiiiiiiiiiiii~~~”

Tiba-tiba, hilaian tawa gadis menyerbu cuping telinganya.
Muiz buat tidak tahu. Dia ingat akan pesan gurunya.

“Jangan kau layan jika itu bukan urusan kamu, dan ingat! Allah itulah sebaik pelindungmu.”

Muiz meneruskan langkah.
Namun Iblis tidak pernah mengalah.

“Uuuuuweekkk…!!! uuuuuwweekk….!!

Kini suara tangisan bayi pula memecah kesunyian jalan utama itu. Muiz masih melangkah tenang.

Gedebukkk!

Bunyi sesuatu terjatuh.

Benda itu jatuh tergolek betul-betul berhampirannya.

Muiz melihat, sesuatu yang dibalut kain putih, sepanjang 1 kaki lebih – tergolek di atas tanah.

Muiz memperlahankan langkahnya. Dengan berhati-hati, dia melangkah mendekati balutan itu.

“Subahanallah!” kalimah suci itu terpacul keluar.

Balutan itu adalah tubuh bayi yang tidak berkepala. Darah segar, pekat, bersimbah memenuhi badan bayi itu.

Seraya, Muiz membaca ayat Qursi.

‘Bismillahir-rahmanirrahim

allaahu laa ilaaha illaa huwa alhayyu alqayyuumu laa ta/khudzuhu sinatun walaanawmun lahu maa fii alssamaawaati wamaa fii al-ardhi man dzaa alladzii yasyfa’u ‘indahu illaa bi-idznihi ya’lamu maa bayna aydiihim wamaa khalfahum walaayuhiithuuna bisyay-in min ‘ilmihi illaa bimaa syaa-a wasi’a kursiyyuhu alssamaawaati waal-ardha walaa yauuduhu hifzhuhumaa wahuwa al’aliyyu al’azhiimu.

Sambil berjalan, Muiz meneruskan bacaanAyatul Kursi berulang-ulang sehingga sampai kerumahnya.

Dia tahu makhluk tadi masih mengikutnya. Aura negatif itu masih terasa dipersekitaran. Seakan awan gelap, berat, memenuhi ruang atmosfera.

Terasa sayu dihati, melihat rumah peninggalan arwah ibubapanya yang kian usang tak terjaga.

Perlahan-lahan, pintu dibuka Muiz
.
Kreeeeeeeuuuuuuukkkkk… bunyi ensel berkeriuk kuat.

Muiz masuk. Dia membuka semua tingkap dan menghadap kiblat, lalu mengazankan rumah itu.
Selesai azan dilaungkan,Muiz menutup kembali semua tingkap rumahnya.

“Hei manusia! Mengapa kau menganggu rumah kami?” kedengaran suatu suara garau menegur Muiz.

“Apakah ini benar rumah kamu, wahai Jin yang dilaknat Allah?”

“Manusia sombong! Tidakkah kau tahu kami yang menghuni disini dahulu?”

“ini rumah ibubapaku. Kalian yang menumpang dirumahku!”

“Rumah ini sudah lama ditinggalkan!”

“Itu bukan alasan untuk kalian mengambil alih rumahku. Lebih baik kalian keluar, atau akan aku panaskan keadaan rumah kalian dengan kalimah suci!” Muiz mengugut.

“Erghhhhhh!” suara garau itu mendengus marah. Namun Muiz tahu, mahkluk itu akur dalam degilnya.

Keadaan menjadi sunyi. Muiz membersihkan serba sedikit barang-barang didalam rumah. Jam sudah pun menunjukkan pukul 1 pagi.
Selesai mengemas, Muiz memulakan solat sunat satu pertiga malam. Selepas selesai solat sunat pagi itu, tiba-tiba kedengaran sesuatu dibahagian dapur rumahnya.

Muiz bangun, mahu melihat bunyi apakah yang didengarinya itu.
Muiz menjenguk dapur. Tergamam dia apabila melihat satu lembaga berbungkus sedang berdiri tegak di sisi meja.

“Bismillah…”

Muiz membaca beberapa ayat suci Al-Quran,tetapi makhluk itu masih berdiri utuh. Tidak berganjak.

Hanya sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina. Dari pada rupa bentuk dan wajah makhluk itu, Muiz sedar. Puaka ini bertuan!

Muiz enggan mengalah. Mulut Muiz tidak putus dari bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Tiba-tiba, Muiz rasa tubuhnya seakan diikat.Panas membahang. Dadanya menyempit, dia berusaha bernafas.

Puaka itu menyeringai.

Makhluk dihadapannya juga melawan dalam diam!

Muiz cuba melangkah, namun kakinya terasa dipaku ketanah. Sedaya upaya dia cuba melangkah, setapak demi setapak. Dia seakan meranduk lumpur berpasir.

Gedebuk!

Dadanya dihentak kuat!

Muiz tercungap-cungap. Paru-parunya bagaikan tidak berfungsi. Trakeanya seakan menyempit, nafasnya berdehit berbunyi dalam setiap tarikan.

Pocong itu tidak berganjak. Cuma merenung tajam. Wajahnya hitam gelap, kain kapannya lusuh. Bau hanyir memenuhi rongga hidungnya. Sedikit sebanyak, hatinya terasa gentar.

Dalam kepayahan dia melangkah,Muiz tiada cara lain. Dia harus melawan makhluk ini, membunuhnya. Atau terus mengusirnya! Tetapi apalah daya Muiz untuk membunuh makhluk ini, walaupun ia adalah musuh, tetapi ia tetap juga makhluk Allah.

Lantas, Muiz mehentikan usahanya untuk melangkah. Dia perlu menyimpan tenaga dalamannya.

Dengan lantang, Muiz membaca Ayatul Qursi dan beberapa ayat ruqyah. Makhluk itu kelihatan tergugat. Tiba-tiba, ia menghilangkan diri.

Zap!

Ia muncul kembali, namun kali ini dihujung dapur, berhampiran pintu belakang. Berundur. Makhluk itu tidak melompat-lompat seperti dalam cerita masyarakat.

Sukar benar makhluk itu mahu berundur. Muiz pula semakin kepenatan. Bertempur mengunakan kebatinan adalah lebih berat dah penat berbanding bertempur mengunakan zahir. Pada pertempuran zahir – kita mampu melihat pergerakan lompat,mengelak dan menyerang mengunakan senjata. Tetapi pada batin ia lebih kepada kerohanian, kekuatan aura. Lebih sukar apabila kita cuba menyerang mengunakan kekuatan rohani.

Muiz meneruskan bacaannya tanpa henti dan tiba-tiba,

Pocong itu hilang.

Muiz kebingungan. Adakah makhluk itu sudah melarikan diri?

Muiz diam seketika. Memandang sekeliling.

Dia menghela nafas panjang. Akhirnya, dia pergi. Muiz segera memusingkan badan, mahu keluar dari dapur.

Lantas, dia disapa wajah hitam berkeruping, merenungnya tajam. Dekatnya wajah itu – hinggap hidung mereka hampir bertemu. Semangat Muiz merudum. Namun, sesuatu muncul di benak fikirannya.

“Eh. Wajah makhluk ni, macam aku kenal!” Bisik hati Muiz.

Lantas, pocong itu menghilangkan diri,mungkin amaran darinya kepada Muiz bahawa dia tidak gentar.

Muiz menapak lemah ke ruang tamu,dan duduk tersandar kepenatan. Hari pertama sudah dia lalui macam-macam. Muiz mengeluh. Tidak lama kemudian, anak muda itu tertidur.

Sebelum Subuh lagi, Muiz bangun. Dia menyiapkan diri, mahu ke surau. Di sana dia berjumpa Imam dan Bilal kampung.

“Assalamualaikum,Imam.” Muiz memberi salam. Tangannya dihulur. Imam Ismail ini juga – ayah Cinta.

“Waalaikumusalam… Muiz kan..?” tanya Imam Ismail seakan tidak percaya. Tangannya disambut kemas..

“Iya saya imam… ‘Muiz Degil’ yang dahulu tu..hehehe.”Muiz tertawa kecil, mengingati nama yang digelarkan penduduk kampung kepadanya dahulu.

“Alhamdulillah Muiz… Berubah dah kamu sekarang.”

“Semuanya atas kehendak Allah jua Imam.”
Imam Ismail mengangguk-ngangguk sambil tersenyum.

“Syukurlah. Dah, marilah kita masuk.”

Selepas solat, Muiz berjalan seiring dengan Imam. Lagipun, rumah mereka tidak jauh. Hanya selang sebuah rumah.

“Imam… Boleh saya tanya sedikit?” Muiz memulakan bicaranya pagi itu.

“Boleh. Apa dia?”

“Dengar cerita, kampung ni kena gangguan Jin. Betul ke?”

“Hehehe. Muiz… Jin itu sememangnya wujud dan ada dimana-mana. Ditambah lagi dengan Iblis dan Syaitan. Tidak mustahil dikampung kita ada. Cuma mungkin sebelum ini, mereka tidak mengganggu. Kali ini sengaja menyakat.” balas Imam Ismail sambil tersenyum.

“Oh. Jadi betul lah ya.” Muiz tergelak kecil. Teringat akan peristiwa yang baru dilaluinya tadi.

“Ha… Kamu duduk seorang ke? Sampai sini bila?Kemana kamu menghilang dahulu?” tanya Imam Ismail, baru dia teringat yang Muiz sudah lama tidak pulang ke kampung.

“Saya baru saja sampai malam tadi Imam. Iya imam… Nampaknya duduk seorang jela. Ayah dan ibu dah tiada… Sebelum ni saya menuntut ilmu agama di sekolah pondok. Saya saja yang tinggal untuk membanggakan mak ayah di akhirat kelak…” balas Muiz sayu.

“Oh… Sabar ya… Yang hidup pasti mati. Nanti jika nak bersarapan… Datanglah kerumah.” kata Imam Ismail cuba menukar topik.

“Insya Allah Imam. Saya pulang dahulu ya.” Muiz meminta izin setelah sampai di hadapan rumahnya. Imam Ismail mengangguk. Mereka berpisah disitu.

Apabila Imam Ismail masuk, dia melihat isterinya serta Cinta sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi. Cinta adalah anak gadis sulungnya yang sebaya Muiz. Pernah disukai Muiz satu ketika dahulu.

“Cinta. Kamu hantarkan sedikit makanan ke rumah Muiz.” Ujar Imam Ismail.

“Hah? ‘Muiz Degil’ tu ke abang?” Ujar isteri Imam Ismail terperanjat. Seingatnya sudah lima tahun Muiz menghilang.

“Iya. Tadi saya ada berjumpa dengannya masa ke surau tadi… Bagus budaknya. Dah berubah perangai. Dia baru sampai sini semalam. Kesian duduk seorang.” balas Imam Ismail.

“Alhamdulillah.” balas isterinya.

Cinta menurut. Nasi goreng dibungkus kemas. Segera dia turun, ke rumah Muiz.
“Assalamualaikum…” suara lembut Cinta menerjah kecuping telinga Muiz.
“Waalaikumusalam… Siapa tu?” Balas Muiz. Dia baru sahaja mahu melelapkan mata. Penat semalam masih terasa.

“Cinta.”

“Eh…kenapa Cinta?” tanya Muiz.

“Ayah suruh bagi ini.”Cinta menghulurkan bekas terisi nasi goreng.
“Terima kasih. Kirim salam pada emak dan ayah ye.”balas Muiz sambil tersenyum.
Cinta berlari anak pulang kerumah. Mukanya merah padam menahan malu. Lelaki yang dahulu dikenali dengan kenakalannya – tetapi tetap baik pada mata Cinta.

Muiz banyak membantu Cinta sewaktu disekolah dahulu. Jika ada pembuli atau yang menganggu Cinta,pasti akan dimarahi Muiz. Lama kelamaan, Cinta menaruh hati pada Muiz dalam diam.

-Di rumah Muiz-

“Alhamdulillah.” Ucap Muiz bersyukur. Dia menjamah juadah itu penuh berterima kasih. Dimatanya masih terbayang wajah Cinta yang malu-malu sewaktu menyerahkan bekal itu.

“Semakin manis Cinta sekarang.” bisik hatinya.

Hari ini Muiz hendak berjumpa rakan-rakannya. Ingin sangat dia duduk berbual sambil cuba mengajak rakan-rakannya mengikut langkahnya.

“Assalamualaikum… Razi…” Muiz memberi salam, jam 10 pagi, dia sudah terpacak dihdapan rumah Razi.

“Waalaikumusalam… Eh Muiz. Awal kau datang. Dulu pukul 10 malam baru muncul.”kata Razi, menyakat sahabatnya.

“Saja nak duduk sembang dengan kau orang,lama dah aku tak dengar cerita korang.”

“Kami macam ini sahajalah Muiz, aku masih menguruskan kebun ayah aku.”

“Shakir dengan Badrul?”

“Mereka kerja di kilang kayu yang dekat dengan pekan tu.” balas Razi.

Muiz dan Razi terus bersembang di anjung rumah, sesekali gelak tawa mereka kedengaran.
Sedang seronok mereka bersembang, kelihatan Nek Kiah lalu dengan basikal buruknya. Muiz melihat Nek Kiah tanpa berkelip. Matanya tajam melihat Nek Kiah.

“Assalamualaikum.” Muiz menegur Nek Kiah.

“Salam.” balas Nek Kiah sambil menoleh kearah Muiz. Dia merenung Muiz sedikit hairan, kerana tiada orang luar yang berani melihatnya – apatah lagi menegurnya. Tubuh Nek Kiah membongkok, berambut panjang yang disanggul, serta kulitnya yang pucat. Lingkaran hitam terbentuk jelas dikeliling matanya, itu sudah cukup menakutkan budak-budak dengan menganggap Nek Kiah sebagai nenek kebayan.

“Nek Kiah dari mana?” Muiz sengaja berbasa-basi. Dia tahu Nek Kiah tidak suka diajak bersembang.

“Dari pasar,” balas Nek Kiah dingin tanpa menoleh, dan meneruskan kayuhannya.

Muiz merenung Nek Kiah yang kian menjauh.
“Wei, kau kenapa tengok Nek Kiah macam tu?” Razi bertanya,pelik melihat gelagat Muiz.

“Eh…Tak ada apalah. Dah lama tak nampak dia, nampak lain dah sekarang.” balas Muiz.

“Yela tu kau. Dia sama juga macam dulu, masih sebagai bidan kampung.”

“Ha. Iyalah.” Ujar Muiz. “Eh, aku balik dulu ya… Nak kemas rumah. Nanti petang, Insya Allah kita jumpa lagi.” Sambung Muiz. Razi mengangguk. Mereka bersalaman.

Sambil mengemas rumahnya, fikiran Muiz melayang kepada Nek Kiah.

“Kenapa macam bukan dia?”hati Muiz bermain soalan sendirian.

-Rumah Nek Kiah-

Nek Kiah mundar-mandir tidak senang. Kusut kepalanya.
“Argh! Budak tu dari mana? Ini semua menyusahkan aku!” Nek Kiah mengomel marah.

“Hi hi hi hi… Kau kata, kau hebatkan…?” suara perempuan membalas kata-kata Nek Kiah.
“Diamlah kau!” Nek Kiah berang ditertawakan.

“Jangan kau sombong. Kau juga manusia biasa. Ilmu hanya secebis garam!” balas suara itu.

Nek Kiah termenung seketika, kemudian dia kedapur menyiapkan barang untuk rawatan dan tangkal yang bakal diambil oleh Ketua Kampung. Bau kemenyan mula menyelubungi rumah Nek Kiah. Terang-terangan, ilmu yang dipakai Nek Kiah salah!

“Assalamualaikum.”Suara Wak Daeng kedengaran dari luar.
“Wasalam…” Nek Kiah menjawab,tetapi selalunya tidak penuh.
Nek Kiah keluar membawa barang yang dijanjikan kepada Ketua kampung.

Dengan dapatnya tangkal dari Nek Kiah, mereka rasa selamat. Hingga lupa pelindungan terbaik adalah dari Allah!

Bahagian Terakhir Klik –>>  NENEK ROKIAH-BAHAGIAN AKHIR

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here