MONA

0
146

MONA
Oleh Mobu + Azman Zainordin

========================

Tugas hakiki aku menjawab telefon. Bekerja ‘shift’ itu sudah menjadi kebiasaan ‘customer service’ seperti aku. Bulan itu ‘turn’ aku ‘shift’ malam. Awal panggilan seperti biasa, pertanyaan waktu operasi, procedure permohonan, talian senyap, talian terputus. Malam kurang panggilan telefon. 10 ke 15 minit sekali baru masuk panggilan.

“Beep..” bunyi tanda panggilan masuk.

“Salam sejahtera, syarikat ABC, siapa di talian?”
“Saya Mona….”
“Ya.. Puan Mona, ada pertanyaan apa?”
“Tak ada soalan. Cuma nak teman berbual.”
“Tapi kami tidak dibenarkan berbual dengan pemanggil tanpa urusan kerja puan.”
“Sekejap je, tak apa kan?”

Aku berdiam beberapa detik.

“Tak apa lah, tak banyak ‘call’ kan malam ni? Kamu tu jangan selalu sangat balik lewat malam. Bahaya.”
“Memang dah tugas saya untuk kerja sebelah malam puan.”
“Saya pesan je. Air tu dah sejuk, pergi bancuh air baru. Dalam ‘office’ tu sejuk. Dapat minum air panas-panas baru sedap.”

Air milo di atas meja aku pandang. Aku tekan butang mute. Aku bangun.

“Janganlah main-main!” Aku jerit dan pandang setiap seorang rakan sekerja aku. Lima orang kesemuanya. Termasuk aku enam. Semua pakat pandang aku tanpa mengerti apa-apa.

“Tak payah cari. Saya tak ada kat situ..”

Aku putuskan talian. Aku pandang sekali lagi teman-temanku. Aku yakin ini mesti kerja rakan sekerja aku.

“Beep..” sekali lagi talian masuk selepas 15 minit berlalu.

“Salam sejahtera, syarikat ABC, siapa di talian?”
“Tadikan dah bagitahu nama. Mona. M.O.N.A…. Mona.. kenapa matikan panggilan tadi. Kamu ingat saya main-main ke? Saya nak bagi nasihat untuk keselamatan kamu juga.”

Aku terkelu.

“Saya ni dah mati. Saya dirogol dan dibunuh. Mayat saya dicampak ke dalam sungai. Saya bukan main-main.”

Sekali lagi aku putuskan talian. Meremang bulu roma aku. Ligat dibenak fikiran, siapalah yang menyakat aku malam-malam begini.

Tak lama lepas itu, dia bersuara lagi..

“Nak tinggalkan pesan je ni. Balik kejap lagi tumpang kawan, kereta awak tayar bocor. Minta kawan tunggu, jangan balik sorang-sorang pula. Jangan tunggu situ, nanti terima nasib macam saya. DENGAR!!!!!!” Lembut diawal, tegas dipengakhiran.

Aku campak headset aku keatas meja. Monitor depan aku ditatap. Tiada tanda panggilan masuk. Bunyi ‘beep’ pun tidak kedengaran.

****

Jam di dinding menunjukkan keangka 11 malam. Aku bersiap-siap untuk balik. Nampaknya aku orang terakhir turun dari pejabat dan perlu mengunci pintu dan grill. Sesampai di parking, hanya aku dan kereta aku yang tinggal. Kelihatan tayar kereta aku bocor. Teringat aku kembali akan si Mona. Sejurus selepas itu, terdengar bunyi hentakan yang kuat, belakang kepala aku terasa sakit dan dunia aku menjadi malap terus gelap sepekat hitam malam.

“Bangun. Bangun…”

Aku tersedar. Suara perempuan itu mengejutkan aku dari pengsan. Kedua kaki dan tangan aku diikat kemas dengan tali. Aku kini sedang terbaring di tempat duduk belakang sebuah kenderaan. Kulihat depan. Ada 2 orang lelaki. Seorang kurus, seorang lagi berisi.

“Dapat lauk lagi kita. Hahaha!” Lelaki kurus yang sedang memandu bersuara.

“Kenyang la kita nanti.” Disambut pula dengan lelaki di sebelahnya.

“Port mana?”

“Macam biasa. Pondok tepi sungai tu.”

Kenderaan dibelok ke arah kiri, melalui jalan tanah yang berlopak. Tak lama kemudian lelaki itu memberhentikan kenderaan. Keadaan di situ sangat sunyi.

“Dah. Jom jom. Tak sabar pulak aku.” Lelaki kurus mematikan enjin.

Pintu belakang dibuka.

“Wah. Dia dah sedar la. Lagi bagus. Hahaha.” Lelaki berisi itu ketawa sambil menarik aku keluar.

Perasaan takut mula menebal dalam hati aku.

Aku meronta untuk melepaskan diri. Lelaki yang sedang mengangkat aku itu seakan terkejut dengan tindakan aku. Aku terjatuh ke tanah.

“Cuba nak lari yee..”

Belum sempat aku berbuat apa-apa, tangan aku ditarik dan aku diseret. Mulut aku disumbat dengan kain. Kaki seluar aku menyapu tanah. Sesekali kaki aku terlanggar tunggul. Tiba di sebuah pondok, aku diangkat dan dilempar tanpa belas kasihan. Lelaki kurus datang ke arah aku, manakala seorang lagi duduk di pintu sambil menghisap rokok, mengawal keadaan.

“Cepat sikit Min.” Arahnya sambil menghembus asap rokok. Okay, nama lelaki kurus itu adalah Min.

Min duduk di atas kaki aku sambil membuka ikatan tali pada kaki aku. Tangan aku terikat di belakang. Aku tak mampu berbuat apa-apa. Air mata jernih mengalir di pipi. Aku memejamkan mata dan berserah…

Tiba-tiba aku terdengar seperti bunyi yang kuat di dalam pondok. Aku lihat Min sedang mencekik dirinya sendiri. Manakala seorang lagi sudah terkulai di pintu pondok dengan lehernya dipenuhi kesan cucuhan putung rokok. Aku mengalihkan pandanganku ke arah Min semula. Dia sedang meronta-ronta melawan tangannya sendiri. Dalam beberapa minit bergelut, akhirnya Min kaku di lantai pondok dengan muka yang membiru. Aku tak tahu apa yang berlaku.

Aku cuba menanggalkan ikatan pada tangan. Mulanya agak susah. Selepas 20 minit, ikatan tali mulai longgar. Aku berusaha lagi. Akhirnya tertanggal. Aku terus keluar dari pondok itu tanpa mempedulikan mayat Min dan rakannya yang terbujur kaku.

Ketika kakiku keluar menjejak tanah, bulu romaku meremang. Ekor mataku menangkap satu kelibat berhampiran sungai. Aku menoleh. Seorang wanita yang pakaiannya koyak rabak serta punya kesan lebam pada wajahnya dan kelaran di leher, terapung-apung di udara. Di sisinya terdapat satu guni yang berisi sesuatu terapung di permukaan sungai.

“Sini. Jangan takut. Saya Mona. Saya yang tolong awak tadi. Sekarang awak pula tolong saya. Ambil guni ini dan serahkan kepada keluarga saya. Tolong yaa….” Mona merayu. Guni itu bergerak ke tebing sungai perlahan-lahan. Mona ghaib dari pandangan.

Mataku tepat memandang guni putih yang terikat kemas di depan aku. Seakan dipukau, aku menapak ke arah guni tersebut. Dengan tangan yang menggeletar, aku meleraikan simpulan tali pada guni.

Aku menjerit.

Sekujur jasad seorang wanita yang kebiruan terkeluar dari guni. Dadaku menjadi sebak.

“Tolong saya. Keluarga saya sedang tunggu saya pulang…” Kedengaran suara Mona berbisik.

“Baiklah Mona. Saya akan tolong awak.” Aku membalas lalu bergerak menuju ke arah kenderaan yang membawa aku ke sini. Aku mencari beg tangan di tempat duduk belakang. Jumpa. Terus aku mengambil telefon bimbit lalu mendail nombor pihak polis.

“Terima kasih Mona. Semoga awak bersemadi dengan tenang.”

Suka Artikel Dari Kami?Jangan Lupa KLIK SHARE & Tinggalkan KOMEN Di Page Kami

Jangan Lupa Untuk Baca Artikel Artikel LainĀ DI SINI

*****
Suntingan dan Gambar: Azman Zainordin

SHARE
Previous articlePANTANG LARANG
Next articlePINTU PAGAR PULANG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here