LANCANG

0
2304

TAJUK: LANCANG
PENULIS: NORIZWAN AZLAN

===

Mulut lancang. Ya. Disebabkan mulut aku yang lancang dan suka main cakap lepas, akhirnya sesuatu yang buruk berlaku kepada aku.

Atau boleh aku katakan, sesuatu yang menakutkan dan menyeramkan berlaku kepada aku.

Peristiwa ini berlaku pada beberapa tahun lepas di dalam bulan Syawal, bulan di mana kita menyambut perayaan Aidilfitri.

Memang sudah menjadi lumrah, semasa hari raya, kita semua akan berkunjung ke rumah sanak-saudara untuk merapatkan tali persaudaraan.

Biasanya, dari awal pagi sampai ke malam, aku dan keluarga akan menziarahi rumah sanak saudara.

Masa tu, aku menaiki kereta bersama-sama dengan 2 orang adik aku. Kami sekeluarga dah tak boleh naik satu kereta sebab tak muat.

Mana taknya, ahli keluarga ramai dan semuanya sudah besar-besar belaka. Jadi, terpaksalah bergerak menggunakan dua kereta.

Aku, Angah dan Alang naik satu kereta. Manakala ayah dan emak aku naik kereta bersama sama dengan dua adik perempuan.

Ketika itu, waktu sudahpun malam dan kami masih dalam perjalanan untuk berkunjung ke rumah sepupu ayah aku yang terletak di Port Dickson.

Sepupu ayah aku ini memang kami jarang jumpa dan ini menyebabkan aku tak ingat jalan ke rumahnya.

Asalnya, memang aku mengikuti sahaja kereta ayah aku kerana dia memang cekap menghafal jalan untuk pergi ke mana-mana sahaja.

Tapi generasi muda macam aku ni, banyak berharap kepada Waze ataupun Google Maps.

Kebetulan pula pada masa tu minyak kereta hampir habis dan aku terpaksa berhenti sekejap di stesen minyak untuk mengisi minyak.

Ayah aku pula sudah bergerak jauh ke depan menyebabkan aku dan beradik-adik aku tak sempat nak suruh dia berhenti sekali.

Jadi, disebabkan kami taknak susahkan dia, kami minta supaya sepupu ayah aku dapat menghantar ‘location’ rumahnya menggunakan aplikasi Waze.

Sementara menunggu minyak terisi, adik aku dapat ‘location’ yang dikongsikan oleh sepupu ayah aku.

Oleh sebab itu, kami dapat mencari sendiri di mana rumah sepupu ayah aku.

Selesai sahaja mengisi minyak, aku, Angah dan Alang pun meneruskan perjalanan menuju ke destinasi yang telah ditetapkan di dalam Waze.

Kereta memang agak banyak di atas jalan raya. Kemungkinan besar semuanya mempunyai tujuan sama seperti kami iaitu untuk menziarahi saudara-mara.

Kereta kami terus bergerak dan bergerak dengan mengikuti arahan yang telah diberikan oleh Waze.

Namun begitu, selepas beberapa ketika, kami satu kereta berasa pelik dengan jalan yang ditunjukkan oleh Waze.

Lama-kelamaan, kami dapati bilangan kereta semakin berkurangan dan jalan yang kami lalui semakin sunyi dan gelap.

Lampu jalan semakin kurang dan semakin gelap. Yang terang cuma datang daripada lampu kereta kami.

Jalan yang kami lalui juga dirasai tidak rata apabila kereta kami asyik bergegar.

Masa tu aku dan adik-beradik aku mula berasa tidak sedap hati.

“Betul ke jalan ni weh?” Aku yang sedang memandu bertanya kepada Angah yang duduk di sebelah.

“Betullah. Dah Waze ni tunjuk jalan ni yang kita kena masuk,” balas Angah.

“Tapi jalan ni macam sunyi je, macam tak ada orang lalu pun,” kata aku lagi.

“Entahlah weh. Tapi kalau ikut Waze, katanya depan lagi tu nak sampai dah. Mungkin rumah sepupu ayah ni kawasan kampung kot,” Angah memberikan pendapatnya.

“Maybe lah,” aku jawab antara yakin dan tidak.

Namun begitu aku tetap teruskan perjalanan walaupun rasa ragu-ragu masih kuat dalam diri memandangkan Angah kata destinasi semakin dekat.

Disebabkan jalan yang gelap dan sunyi serta tidak ada kenderaan langsung, aku ada rasa sedikit seram dan takut.

Tapi, memandangkan ada 2 orang lagi adik-beradik aku, rasa seram tu dapat dikurangkan.

“In 100 metre, you will reach your destination. Your destination is on the left.”

Begitulah suara yang keluar daripada Waze di dalam telefon Angah.

Masa tu semua rasa lega sebab semakin hampir ke rumah sepupu ayah aku.

Tapi, selepas 100 meter berlalu dan apabila kami melihat di kiri kami, apa yang ada hanyalah sebuah rumah ibadat yang dilihat seolah-olah sudah lama ditinggalkan.

Tidak berlampu, tidak berpenghuni. Ketika cahaya lampu kereta menyuluh ke arah rumah ibadat itu, kami dapat lihat rumah ibadat tu kelihatan usang dan nampak, menakutkan.

Tapi entah kenapa, tiba-tiba aku boleh terlepas cakap dan berkata begini, “Ini bukan rumah sepupu ayah, ni sepupu hantu!”

Terus adik-beradik aku semua memarahi aku kerana bercakap sesuatu yang tidak elok.

“Apalah kau ni cakap macam tu. Dah lah kita ni tak tahu ada kat mana, kau boleh pula cakap macam tu,” tegur Alang yang duduk di belakang.

Masa tu aku rasa macam serba salah jugalah sebab terlepas cakap. Tapi nak buat macam mana, dah tercakap, mana boleh tarik balik.

“Dah lah, dah lah. Kita keluarlah dari sini. Beritahu ayah yang kita dah salah jalan. Suruh hantar ‘location’ lain,” kata aku kepada adik aku.

Ketika hendak berpatah balik dan keluar dari situ, tiba-tiba…

Bang!

Terasa seperti ada sesuatu yang jatuh di atas bumbung kereta.

“Apa tu weh?” Tanya aku dengan nada cemas.

“Ha sudah. Tu lah kau, cakap lagi benda bukan-bukan,” kata Angah.

“Tak payahlah ungkit dah,” balas aku.

“Nak keluar tengok ke?” Tanya Alang pula.

“Kau gila? Buatnya ada benda bukan-bukan atas ni, mampus kita,” ujar aku.

“Dah tu, nak buat apa ni?”

“Cabut lah terus!”

Aku pun terus menekan minyak dan meninggalkan kawasan tersebut dengan pantas.

Bunyi dentuman di atas bumbung tadi seperti tidak membawa apa-apa kesan kerana sepanjang perjalanan, tiada apa yang berlaku.

Kami juga sudah mendapat ‘location’ rumah sepupu ayah dan ia terletak 10 kilometer dari kawasan yang kami sampai tadi.

Dalam kepala aku berfikir, “Ish, jauh tu 10 kilometer. Macam manalah ‘location’ yang pertama tu boleh tersasar jauh? Pelik betullah.”

Tapi aku malas nak fikir lama-lama dan teruskan saja perjalanan ke rumah sepupu ayah aku.

Akhirnya, aku dan adik-beradik aku berjaya sampai ke lokasi yang tepat. Kami pun berceritalah kenapa kami lewat.

Sepupu ayah aku pun pelik kenapa ‘location’ pertama yang dia bagi tu salah sebab selalunya dia bagi ‘location’ yang sama saja kepada orang lain.

Aku dan adik-beradik aku pun tak tahu nak jawab macam mana. Tapi sepupu ayah aku bersyukurlah sebab kami semua selamat sampai.

Selepas berbual mesra di rumah sepupu ayah aku dalam sejam lebih, kami sekeluarga pun meminta izin untuk pulang ke rumah.

“Lain kali hafal jalan datang sini, tak ada lah berharap pada Waze,” sepupu ayah aku memberi ingatan mesra.

“Insya-Allah,” balas aku dengan senyuman.

Kemudian, kami sekeluarga pun terus balik ke rumah.

Sebenarnya, kalau kalian nak tahu, bunyi dentuman atas kereta aku yang disebutkan di atas adalah permulaan gangguan kepada apa yang bakal aku ceritakan selepas ini.

Sampai sahaja di rumah, sebelum kami semua masuk tidur, kami pun mandi untuk bersihkan diri dan selepas menunaikan solat Isyak, barulah kami akan tidur.

Masa tu, jam pun dah menunjukkan pukul 11.30 malam. Aku pula waktu itu baru sahaja selesai solat. Sebelum nak tidur, tekak terasa haus. Jadi aku pun pergi ke dapur untuk minum air.

Sampai sahaja di dapur, aku nampak ada orang sedang duduk di kerusi makan dalam gelap. Aku ingatkan salah seorang adik aku berada di situ.

Jadi aku pun menegur, “Apahal minum dalam gelap ni?”

Kemudian aku pun terus memetik suis lampu.

Saat lampu terbuka, masa tu bulu roma aku terus meremang serta merta.

Orang yang aku nampak dalam gelap tadi, tiba-tiba sudah hilang sebaik sahaja lampu terbuka.

Pap!

“Allah!”

Aku menjerit kuat sebaik sahaja bahu aku ditepuk.

“Eh, eh. Kau ni kenapa menjerit?”

Rupa-rupanya ayah aku yang menepuk bahu.

“Tak ada apa ayah. Tak ada apa,” balas aku.

“Tapi apahal muka kau pucat je ni?”

“Pucat sebab terkejut lah. Hehehe,” aku cuba menyorokkan apa yang aku nampak daripada pengetahuan ayah.

“Hurm. Macam-macam hal kau ni.”

“Saya minum jap ye ayah.”

Kemudian, aku pun mengambil air dan terus meminumnya. Dalam masa yang sama, aku masih berfikir tentang apa yang aku lihat tadi, sama ada ia betul-betul berlaku ataupun tidak.

Selepas itu aku pun masuk semula ke dalam bilik tidur. Bilik tidur ini aku berkongsi dengan Angah dan Alang.

Ketika aku masuk, aku tengok kedua-dua adik aku sudah pun tidur.

“Weh, awal gila tidur!” Aku berkata dengan kuat.

Tiba-tiba, adik aku terpacul di depan pintu bilik, “Kau cakap dengan siapa weh?”

“Eh?”

Masa tu, terkejut betul aku sebab mendapati adik aku berada di pintu. Kemudian aku pun pantas menoleh ke arah katilnya.

Tak ada orang! Katil pun masih kemas dan tak ada tanda-tanda orang baring.

“Bukan ke kau…” tak sempat aku menghabiskan kata-kata, adik aku memotong.

“Bukan ke kau apa? Aku dengan Alang ada kat depanlah tengok TV. Kau cakap dengan siapa tadi?” tanya Angah.

“Err… err… tak ada apalah. Saja aku nak cakap kuat-kuat,” aku menyorokkan apa yang aku nampak tadi daripada pengetahuan adik aku.

“Pelik betul kau ni.”

“Kau dengan Alang tak nak tidur lagi ke?” Tanya aku kepada Angah.

“Tak. Nak tengok bola ni, baru je mula,” balas Angah.

“Yeke? Aku nak layan jugalah.”

“Kau kan minat Manchester United? Ni game Liverpool lah.”

“Alah, aku saja nak tengok. Aku tak mengantuk lagi ni.”

Sengaja aku memberi alasan begitu kerana tiba-tiba aku rasa takut nak tidur seorang diri selepas ternampak apa yang aku lihat tadi.

Sambil menonton perlawanan bola sepak di televisyen, fikiran aku menerawang memikirkan dua kejadian tadi. Satu di dapur, satu di bilik tidur.

Siapa, atau apakah sebenarnya yang aku nampak tu? Adakah ada sesuatu yang cuba mengganggu aku? Hurm. Entahlah, aku tak pasti. Yang aku pasti sekarang, apa yang berlaku dah berjaya buat aku rasa seram.

Disebabkan asyik berfikir tentang perkara tersebut, aku sampai tertidur dan langsung tidak menonton perlawanan bola sepak di televisyen.

Aku tak pasti berapa lama aku sudah tertidur di ruang tamu. Sedar-sedar, semasa membuka mata, aku lihat TV sudahpun tertutup.

Aku pun bangun dan menggosok-gosok mata. Ketika itu baru aku perasan, Angah dan Alang masih ada di kerusi.

“Korang tak nak tidur lagi? Dah tutup TV pun buat apa nak tengok?” Tanya aku.

Angah dan Alang tidak membalas. Mata mereka cuma melihat ke arah televisyen.

Disebabkan aku pun dalam keadaan mamai masa itu dan sangat mengantuk, aku tidak bertanya apa-apa lagi. Aku biarkan sahaja mereka duduk di ruang tamu.

Dengan langkah yang lemah, aku terus bergerak ke bilik tidur. Sebaik sahaja pintu dibuka, aku lihat Alang dan Angah sudah pun lena di katil masing-masing. Dua-dua sudah berdengkur tanda mereka sedang nyenyak tidur.

Masa tu, biji mata aku terbeliak luas.

Kalau Angah dan Alang sudah tidur, siapa pula dua orang yang aku nampak di ruang tamu tadi?

Aku keluarkan sedikit kepala aku dari dalam bilik dan melihat ke arah ruang tamu.

Pada waktu itu, aku dapat lihat, dua susuk tubuh berwajah serupa seperti Angah dan Alang sedang memandang tepat ke arah aku sambil menyeringai.

Masa tu terus berdesup masuk rasa takut dalam diri sampai menggeletar badan aku sehingga aku berdiri keras seperti patung.

Mata aku masih terus melekat memandang dua susuk tubuh itu tanpa berkelip.

Tak lama kemudian, dua tubuh itu yang asalnya berwajah Angah dan Alang, tiba-tiba berubah menjadi wajah yang sangat mengerikan dan tidak dapat aku gambarkan bagaimana rupanya.

Aku masih keras memandang mereka tanpa tahu untuk berbuat apa. Jantung aku sudah berdegup kencang sehingga rasa nak pecah, tapi aku masih kaku melihat apa yang di depan mata.

Selepas itu, dua susuk tubuh itu melayang terbang ke arah aku dengan jeritan yang sangat nyaring.

“Eeeeee!”

Terus, aku tidak sedarkan diri selepas kejadian itu.

Aku tidak tahu berapa lama aku tidak sedarkan diri. Tetapi bila aku membuka mata, aku lihat ahli keluarga aku sudahpun mengelilingi aku, termasuklah Angah dan Alang.

“Hantu!” Aku menjerit dan bingkas bangun sambil menjauhi Angah dan Alang.

“Sabar Long, sabar,” ayah memegang aku.

“Angah dan Along hantu ayah. Betul ayah betul,” aku memberitahu ayah dengan nada yang sangat cemas.

“Sabar Long, sabar. Long baru kena lepas kena rasuk ni,” kata ayah aku.

“Rasuk?” Tanya aku antara percaya dan tidak.

Kemudian, ayah pun menceritakan apa yang berlaku. Ketika semua orang sedang lena tidur, tiba-tiba mereka semua terjaga kerana mendengar aku menjerit.

Ayah, mak dan ahli keluarga yang lain cuba untuk menyedarkan aku ketika itu, tapi masa tu ayah menyedari yang aku dah kena rasuk dan menyebabkan aku meracau tidak tentu hala.

Ayah terpaksa meminta bantuan kawannya seorang ustaz yang juga pengamal perubatan Islam untuk membantu memulihkan aku. Patutlah masa aku bangun tadi aku perasan ada seorang ustaz berjanggut di sebelah aku.

Ustaz tu berkata yang aku ada menyebut sesuatu yang menyebabkan makhluk-makhluk halus ni mengikut aku balik dan mengganggu.

Masa tu lah Angah dan Alang bercerita kepada ayah apa yang berlaku semasa kami salah tempat semasa mencari rumah sepupu ayah.

Ustaz kata kita kena hati-hati dengan apa yang kita ucapkan kerana kadangkala kita boleh mengundang kedatangan makhluk halus ini tanpa disengajakan.

Selepas mendengar cerita ayah dan ustaz, aku berasa sangat lega kerana berjaya dipulihkan. Ustaz kata tak perlu risau tentang makhluk halus yang mengikut aku balik kerana ia datang hanya untuk mengganggu sementara dan bukan selama-lamanya.

Namun begitu, ustaz berpesan sekali lagi supaya tidak terlepas cakap atau bermulut lancang di tempat-tempat yang kita tak biasa pergi kerana dikhuatiri kita boleh menjemput sesuatu yang tak patut kita jemput.

Jadi, kalau kalian pergi beraya dan termasuk di kawasan yang kalian tidak biasa, elakkan bermulut lancang, takut takut nanti kalian pun boleh terkena seperti aku.

SHARE
Previous articleJom Balik Kampung
Next articleMATA KETIGA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here