KIAMAT

0
265

KIAMAT
oleh: Wan SC

=========================

Kalau ada sesiapa yang lalu lalang dekat sini kemudian bertanya apa yang aku buat, sejujurnya aku tak ada jawapan itu. Entah berapa lama sudah aku duduk bersandarkan kerusi kayu bercat coklat yang sudah luntur warnanya menghadap Tasik Titian yang suatu ketika dahulu pernah menjadi saksi setiap aksi-aksi ghairah pengunjungnya di malam hari.

Ah, itu dulu. Sekarang yang berada di hadapan aku adalah sebuah tasik yang penuh dengan mayat-mayat manusia, ada yang kembung dan ada yang sudah tercarik-carik isi perut mereka dirobek oleh sang gagak yang kebuluran. Aku hairan kenapa aku tak terhidu langsung bau busuk yang sepatutnya bertaut di rongga hidung aku yang terdedah.

Mati akal. Aku rasa macam makin mengarut apabila di tangan aku ada sebatang joran di mana terdapat sebatang tangan manusia yang melekat pada mata kail sebesar jari telunjuk.

Aku meremang. Apa aku buat dekat sini sebenarnya?

Aku lempar joran itu ke tepi. Aku bangun dari kerusi kayu itu lalu berjalan menuju ke arah deretan kedai yang sudah ranap pintunya tidak jauh dari situ. Ada sekeping papan tanda bertulis ‘99 Spee’ yang sudah patah. Separuh lagi meliuk-liuk perlahan ditiup angin. Nah, sekali lagi aku naik hairan. Ada benda bergoyang tetapi aku langsung tak rasa tiupan angin.

Di atas jalan raya, ada beberapa buah kereta mewah yang tersadai tanpa pemandu. Aku sendiri tak pandai nak menyebut jenamanya. Pintu terbuka seolah-olah mempelawa mana-mana pencuri untuk mengambil kereta itu lalu dijual komponen-komponennya di pasaran gelap.

Dalam banyak-banyak kereta itu, hanya sebuah sahaja yang ada pemandu di dalamnya. Dia sudah keras macam batu. Tangan kirinya sedang memegang stereng keretanya yang ada lambang huruf H dan ditangannya pula tersemat kemas seutas jam yang aku kira cukup cantik dan mahal. Tangan kanannya pula sedang memegang sebuah telefon bimbit berjenama iPhone X. Hairannya, masih cantik.

Aku kemudiannya berdiri di tepi jalan, di kawasan lintasan zebra. Mata meliar memandang ke kiri dan ke kanan macam orang bodoh. Dah sah-sah tak ada kereta yang lalu-lalang.

Aku melintas – macam seorang raja. Macam jalan ini aku yang punya. Tiba di seberang, aku sepak tong sampah berwarna hitam yang sudah bertimbun dengan puntung rokok. Kau bayangkan lah, tong sampah hitam besar itu penuh dengan puntung rokok je. Tak ada sampah lain. Ditepinya pula ada sebuah papan tanda besar yang disewa khas oleh jabatan kesihatan barangkali. Ada slogan ‘Merokok Membahayakan Kesihatan’.

Tidak jauh dari situ ada sebuah balai polis. Jangkaan aku bahawa balai polis itu lengang adalah tepat sama sekali. Ada dua lelaki yang kemas beruniform. Seorang kurus dan seorang lagi buncit. Yang kurus sedang memegang telefon bimbit tetapi tubuh mereka sudah keras seperti batu. Tak ubah seperti baru lepas disumpah oleh mak Tanggang. Menghairankan, telefon bimbit yang dipegangnya nampak elok dan masih hidup memaparkan permainan video Mobile Legend.

Aku keluar dari balai polis itu lalu menuju ke bangunan sebelah. Sebuah bangunan yang cantik dan berdiri megah.

Aku kenal tempat ini. Rasanya aku pernah masuk sekali dua. Tempat ini selalunya buka pada waktu malam. Pengunjungnya sangat ramai datang teguk air warna hitam. Kau sebutkan sahaja, segala macam jenis manusia aku pernah nampak datang ke sini. Yang berkopiah pun pernah masuk. Apatah lagi yang bertudung.

Sebut pasal tudung, ini ada lagi satu benda pelik. Kenapa pula ada seorang perempuan buka meja lipat dekat depan bangunan tu kemudian jual tudung secara lambak. Dan seperti manusia-manusia yang aku jumpa sebelum ni, dia pun mengeras macam batu.

Aku melangkah masuk ke sebuah kedai serbaneka yang ada nombor 7 pada namanya. Sensor pada pintu menyambut kedatangan aku. Ah, aku benci bunyi itu. Sebab dulu aku pun pernah berkerja dekat kedai macam ini dekat kawasan perumahan aku. Shif malam ketika itu. Aku dan seorang lagi pekerja sedang menyusun barang di stor belakang. Tiba-tiba sensor pintu tu berbunyi. Aku telek ke depan – tak ada pelanggan. Pintu terkatup rapat. Apabila aku kembali ke dalam stor, sensor tu berbunyi lagi. Begitulah berulang beberapa kali.

Ah, aku benci momen-momen sebegitu!

Aku capai Winston putih dan pemetik api yang ada di rak belakang kaunter pembayaran. Pekerja di kaunter itu mengeras macam batu tugu sebab itu aku berani buat kerja terkutuk ni. Well, dulu-dulu pun aku selalu juga buat. Sebab tu aku kena buang kerja. Eleh, tak rugi lah kedai ni kalau setakat aku rembat sekotak dua Winston putih ni. Boss aku tu je yang kedekut. Berlagak pula tu.

Sambil menghisap rokok, aku berjalan pula menuju ke sebuah gedung membeli-belah yang cukup besar. Kalau tak silap aku, gedung ini baru sahaja siap dibina enam bulan lepas. Sayangnya, selepas enam bulan gedung ini terbiar sunyi sebegini.

Sama seperti di luar. Gedung ini kosong tanpa manusia tetapi lampu-lampu dan kedainya terbuka. Kedai emas Poh Kong kosong tanpa pengawal. Restoran makanan segera juga lengang tetapi ayam-ayam goreng di dalam gerobok kaca di belakang kaunter nampak masih panas dan garing.

Vans. Aku nampak kedai Vans. Dengan girang aku melangkah masuk ke situ. Dulu aku selalu berangan nak beli sepasang kasut ini. Yang original. Bukan yang copy ori mahupun yang cap ayam. Tapi, aku ni mana mampu nak beli kasut sampai RM300 sepasang. Mengenangkan nasib aku yang dulu-dulu, aku capai sepasang yang menarik minat aku. Corak kotak-kotak hitam putih macam papan chess. Aku kenakan ke kaki aku. Kasut Converse buruk yang aku pakai sejak dari Tasik Titian tadi aku campak ke tepi cukup lagak.

Telinga aku tertangkap satu bunyi bising dari tingkat atas gedung itu. Aku melangkah naik ke atas tangga bergerak yang membawa aku dari tingkat 3 ke tingkat 4. Di depan tangga, tersergam indah kaunter pembelian tiket-tiket filem yang terkini. Aku nampak poster Umie Aida dengan kebaya merahnya menyerlah di sudut tepi. Dengar cerita kutipan filem ini dah cecah RM10 juta. Inilah orang kata rezeki yang tertangguh.

Tapi bukan dari situ kebisingan tadi datang. Bunyi itu datang dari pusat karaoke yang berada tidak jauh dari situ. Aku melangkah masuk. Pusat karaoke ini sedikit gelap. Memang di mana-mana pusat karaoke pun suasananya suram dan gelap. Mungkin ini strategi pemasaran pusat karaoke supaya para pelanggannya berasa suram dan ingin menyumbangkan vokal kepada lagu-lagu berunsur cinta dan air mata.

Lagu Ella – Sembilu – berkumandang berlegar-legar di ruang udara. Ada seorang perempuan sedang menyanyi. Suaranya boleh tahan tapi aku rasa belum cukup power untuk masuk bertanding di Akademi Fantasia ataupun Mentor.

Aku mencari-cari bilik mana suara itu berada sehinggalah aku berdiri di depan pintu bilik bernombor 11 yang terdedah tidak ditutup. Suara perempuan itu sangat jelas. Aku menjenguk ke dalam. Aku tak nampak sebarang susuk tubuh perempuan melainkan sebatang mikrofon yang terapung di udara.

“Shit! Hantu berkaraoke ke?”

Bulu roma aku terus naik meremang. Cepat-cepat aku blah dari situ. Namun belum sempat aku melangkah jauh, satu suara menyapa aku. “Laju nak blah bro. Jom karok dulu.”

Perempuan. Halus dan merdu.

Aku toleh ke belakang tapi tak ada sesiapa. Makin meremang aku dibuatnya.

“Sini lah.” Suara itu kedengaran lagi. Aku melilau mencari di sekeliling sehinggalah ada satu cahaya flash menerpa depan muka aku.

“Woohhoooo! Kau patut tengok muka kau tengah menggelabah tu.”

Pandangan aku balam-balam seketika dek panahan cahaya flash. Apabila dah kembali normal, aku dapat lihat seorang perempuan bertubuh genit sedang terapung di depan aku. Bukan genit sikit-sikit, terlalu genit hampir sebesar tapak tangan aku sahaja saiznya. Dia ada kepak. Kepak dia macam pepatung. Dia memakai shawl yang dililit-lilit acah-acah gadis hijabista.

“MAK!!” aku jerit panggil mak. Memang habit aku dari kecil. Sebetulnya menurut kajian, 87% penduduk Malaysia akan menyebut panggilan ‘mak’ apabila mereka takut ataupun terkejut dalam sesuatu kejadian. Selebihnya akan menyebut nama Tuhan ataupun ‘Fuck’.

“Kau ni siapa?” soal aku takut-takut.
“Aku? Kau tanya nama aku?”

Aku tak tau nak angguk ke tak. Sebetulnya aku kaget, makhluk apakah dia ini? Jadi, tak terfikirpun dek kepala otak aku nak tau lebih lanjut seperti apakah namanya, adakah hobinya menyanyi dan apakah jenama tudung feveretnya.

“Aku Siti Nurizzlorfa Coco Natasha binti Syafiq Kyle. Panggil aku Lofa je.” Jawab si genit tu sambil memicit-micit punat pada telefon bimbit kecil yang ada pada tangannya. Cahaya flash memancar dari telefon bimbit saiz kuman tu.

“Omg! Cantiknya aku! Jap ea nak update insta jap.”

Beberapa kali aku tampar muka aku cuba untuk memastikan apa yang aku nampak depan mata ni bukanlah satu mimpi. Seorang gadis genit ala-ala elf atau fairy yang hijabista sedang memuat naik gambarnya ke instagram. Seriously?

Yang membuatkan aku lebih kaget adalah namanya sama seperti bekas teman wanita aku, Lofa.

“So, what are you doing here?” soal Lofa.
“Aku tak tau. Aku sebenarnya buntu sejak pagi tadi lagi. Kenapa seluruh isi kota ni kosong. Kalau aku jumpa orang pun, semua dah kaku keras macam batu.”

Lofa hanya diam. Dia terbang keluar dari pintu pusat karaoke tu. Aku mengekor dari belakang.

“Kau tau kita kat mana ni?” aku menyoal.
“KL lah. Takkan kau tak kenal?”
“Entah lah. Ingatan aku macam dah banyak hilang.”

Kami berdua menuruni tangga menuju ke level G kemudian keluar dari gedung membeli-belah itu. Sempat lagi aku capai sepotong kek dari kedai Resepi Rahsia yang berada betul-betul di tepi pintu utama gedung itu.

Lega. Sejak tadi lagi sebenarnya aku tak jamah apa-apa. Pelik juga sebab aku tak rasa lapar langsung. Aku jamah kek inipun sebab aku rasa tertarik nak cuba. Selama ni aku hanya mampu sekadar pandang sahaja. Kau gila nak beli kek sepotong RM10. Baik aku buat beli benda lain.

“Kau suka baca buku?” soal Lofa.
“Buku? Aku sekolah pun tak habis..”

Aku lepaskan asap rokok ke udara. Angkasaraya lengang tanpa unggas. Terlalu sunyi sampaikan aku boleh dengar bunyi sayap pepatung Lofa yang mengepak kuat. Membuatkan aku terus teringatkan zaman sekolah yang penuh dengan drama. Masa tingkatan empat, aku terlibat dengan kes buli. Aku lah ketuanya. Lembik budak tu aku kerjakan bila mana duit yang aku minta dia tak dapat bagi. Katanya, hari itu mak bapak dia lupa nak bagi wang saku. Disebabkan kes itu, aku dibuang sekolah. Dan sejak itulah aku tak lagi kenal apa itu sebuah buku.

“Kat seberang sana ada pesta buku. Jom singgah nak.” Lofa mempelawa.
“Kita bukannya ada destinasi nak dituju pun. Aku ikut je.” Jawabku sambil memandang ke arah banner besar yang tertulis Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018, 27 April – 6 Mei.

Aku kerling ke arah jam tangan yang sempat aku rembat di kedai G-Shock di dalam gedung tadi. Hari ini adalah 30 April. Aku tersengih sendiri. Hari ini adalah hari jadi aku yang ke 25. Sudah 25 tahun aku hidup tetapi tidak pernah sekali pun aku diraikan. Aku rasa dalam dunia ini cuma aku seorang sahaja yang mengingati tarikh keramat ini.

Aku dan Lofa kemudiannya menyeberang jalan yang lengang. Ada sebuah monorel melintas atas kepala tetapi pada pengamatan aku, tidak ada seorang manusia pun berada di dalamnya. Jadi, macam mana monorel tu boleh bergerak? Dan kenapa dia bergerak? Dari mana nak ke mana? Apakah destinasi monorel tu nanti?

Ah, aku sendiri tak ada destinasi penghujung buat masa sekarang. Sama macam kehidupan aku. Aku tak tahu apa destinasi hidup aku. Apa aku nak jadi, kat mana aku nak tinggal, dengan siapa aku nak bina keluarga – semua tu tak ada dalam itinerari perjalanan hidup aku.

“Waaahhh..banyaknya buku!” Lofa teruja. Dia terbang ke sebuah booth yang penuh dengan novel—novel cinta. Cepat-cepat dia keluarkan telefon bimbit lalu selfie bersama buku-buku yang ada di belakangnya. Aku sekadar menggeleng. Terasa lucu dengan keletah pari-pari kecil hijabista gila insta ni.

Aku menjelajah ke dalam dewan pesta lebih dalam. Buku-buku bertimbun di sana-sini. Seketika aku terfikir entah berapa banyak pokok telah dikorbankan untuk menghasilkan semua buku-buku ini semua. Tanpa berfikir panjang aku terus membuat kesimpulan bahawa penulis buku adalah manusia paling kejam di muka bumi sebab merekalah punca pokok-pokok ditebang untuk dijadikan kertas lalu menghasilkan buku-buku yang berjuta-juta buah ada di depan aku kini.

Aku melangkah lebih dalam. Tanpa sedar aku sudah hidupkan rokok yang terakhir.

Mata aku kemudiannya tertarik pada sebuah buku berkulit biru pekat. Ada muka yang mengerikan pada kulitnya. ARKIB ANGKER NEGARA VOL 1 – itu yang tertulis sebagai tajuknya. Baru sahaja aku nak membelek ke muka surat pertama, aku dikejutkan dengan bunyi letupan yang cukup kuat dari luar dewan.

“Apa tu?” soal Lofa yang terbang laju ke arah aku.

Aku menggeleng. Dengan laju aku melangkah ke pintu masuk dewan. Satu lagi letupan kedengaran kali ini disusuli dengan runtuhan batu yang bertaburan di atas jalan raya di depan aku. Aku menapak semakin jauh ke luar. Ketika itulah baru aku nampak ada banyak batu berapi sedang turun menghujan dari langit. Langit sudah menguning menandakan waktu sudah hampir berlabuh senja.

“Taik bintang ke tu?” soal Lofa lalu dia memicit punat pada telefon bimbitnya sambil beraksi di depan kamera dengan simbol mini love.

“Aku rasa kita kena blah dari sini.” Ujar aku cemas. Mata aku melilau ke sekeliling mencari mana-mana kenderaan yang ada. BINGO! Ada sebuah Honda Jazz sedang parkir di tepi jalan. Aku segera berlari ke situ. Lelaki batu yang berada di dalam, aku campak keluar. Cepat-cepat aku hidupkan enjin lalu memecut laju ke depan.

“Kita lari dari apa?” soal Lofa sambil membelek sebuah novel cinta bertajuk Love You Mr.Bawang. Entah bila dia capai novel itu bersama.
“Kau tak nampak meteor-meteor belakang sana tu?”
“Kenapa? Kau takut kena hempap?”
“Siapa yang nak mati woi.”
“Apa guna kau hidup dekat sini sorang-sorang? Lebih baik kau mati.”

Aku mematikan kata-kata. Aku buka radio. Lagu Ku Ukir Indah Namamu nyanyian 7 Pelangi sedang berputar.

“Kau kan ada.” Aku menyambung topik kami.
“Tapi aku bukan macam kau. Kau dan aku berbeza. Jangka hayat kita tak sama. Sampai masa nanti salah seorang dari kita akan mati dulu.”
“Tapi aku belum puas hidup.”
“Kalau hidup dengan menyusahkan semua orang, lebih baik kalau tidak hidup.”
“Apa maksud kau, aku menyusahkan orang?”
“Eh, tanya aku lagi. Sendiri mau ingatlah brader. Apa yang kau dah buat dekat mak kau, adik kau. Paling tidak, kau ingat balik apa kau buat pada diri kau. Sebab apa kau ada dekat sini.”

Aku memandang ke arah Lofa dengan marah tetapi dia langsung tenang dan tidak beranjak anak matanya dari terus membelek isi kandungan novel Love You Mr.Bawang tu.

“Woi, pandang depan!” jerit Lofa namun tak sempat aku nak memutar stereng, kereta sudahpun menghentam satu objek. Lofa menjerit-jerit apabila kereta berpusing-pusing di atas jalan raya sebelum menghentam pembahagi jalan. Kepala aku terhentak ke cermin depan dengan kuat sehingga pecah kaca cermin depan tu. Inilah padahnya bila tak pakai tali pinggang keledar.

Darah pekat mengalir dari celah rambut ke dahi lalu meleleh ke pangkal hidung. Aku mula rasa pening. Aku buka pintu kereta lalu merangkak keluar. Aku memandang ke tengah jalan yang lengang. Ada sekujur tubuh terbaring di tengah-tengah.

“Mak!” aku memanggil. “MAK!” aku laung lagi.

Aku kenal tubuh itu. Aku kenal baju yang tubuh itu pakai. Itu mak! Aku kenal mak aku!

“MAK!” aku jerit makin kuat tetapi jeritan itu tak mampu nak hidupkan balik jasad yang terbaring di tengah jalan. Sedikit demi sedikit jasad itu berubah menjadi batu.

Aku gagahkan diri untuk bangun. Pening ke, sakit ke, aku tak peduli. Aku gagahkan diri juga. Aku memandang ke sekeliling yang aku kira sangat mengerikan. Aku sedang berdiri di atas sebuah jambatan di mana bawahnya bukanlah air tetapi api yang menjulang-julang tinggi. Langit gelap kemerah-merahan. Hujan meteor semakin lama semakin datang mendekat. Aku dapat rasa bahang api yang menyucuk-nyucuk kulit muka.

“Lofa!” aku memanggil gadis pari-pari tu tapi dia langsung tak menyahut.

Aku semakin tak tahan. Badan aku semakin panas. Aku rasa macam nak muntahkan segala isi perut aku yang menggelegak. Aku pecat baju. Aku menjerit-jerit. Panas, panas, panas! Arrrrgggghhhh! Sakitnya menyucuk-nyucuk. Kenapa aku berada dekat sini? Kenapa aku diuji sebegini? Apa yang berlaku pada aku sebenarnya?

Dari kejauhan aku dapat melihat sekawanan burung gagak yang terbang laju meluru ke arah aku. Aaak aaak aaak mereka berteriak. Garang dan kuat. Seolah-olah mereka sedang menerjah ke arah bangkai.

Aku membuka langkah untuk berlari. Sakit dan panas yang menyucuk aku langsung tak peduli. Pedih. Memang pedih. Kasut Vans yang aku pakai hampir cair telapak getahnya.

AAAKK!! Teriakkan sang gagak betul-betul berada di tepi telinga. Sejurus selepas itu aku mula rasa badan aku dipatuk-patuk dengan paruh yang tajam dan kuat. Aku meraung sakit. Semakin lama semakin banyak kawanan gagak itu mengerumun ke tubuh aku. Terlalu banyak sampaikan aku berjaya diangkat oleh mereka naik ke udara. Semakin lama semakin tinggi.

Aku dapat lihat jambatan yang ada dibawah menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur yang sudah ranap punah dengan satu tanah gersang luas yang penuh dengan tengkorak manusia, makin mengecil dan terus mengecil menandakan aku semakin tinggi diterbangkan ke udara. Api dari bawah jambatan yang mengalir dari hulu ke hilir yang aku sendiri tidak pasti di mana pokok pangkalnya, masih terus menerus marah.

Tiba-tiba tubuh aku dilepaskan oleh kawanan gagak itu. Aku menjunam jatuh. Aku menjerit-jerit meminta tolong. Bodoh. Kepada siapa aku meminta tolong? Kepada Sang Gagak supaya angkat aku kembali ke udara? Atau aku sebenarnya sedang teringatkan..

Badan aku terhempas ke dalam Sungai Api. Bahangnya terasa cukup panas. Adakah panas ini sepanas api neraka? Entah. Aku tak ada jawapan itu. Aku belum pernah ke sana tapi aku pasti aku bakal ke situ. Semua orang pun terutamanya sang pendosa macam aku – yang pernah menampar mak sebab tak bagi aku duit ketika aku tak tahan nak beli ‘barang’, yang rogol adik kandung sendiri apabila aku sedang ‘terbang tinggi di awanan’, yang bunuh bekas kekasih sebab dia curang dengan lelaki lain, dan…dan..betul cakap Lofa, dah terlalu banyak dosa yang aku buat pada diri sendiri.

Badan aku terasa sejuk. Aku kebasahan. Sungai api dan bertukar menjadi sungai air. Malangnya, air ini terlalu sejuk, gelap dan sunyi. Aku semakin tenggelam ke dalam. Mata aku yang terbuka dapat melihat permukaan air yang terang benderang dek api yang masih belum padam. Semakin lama aku semakin hanyut ke dasar. Sebetulnya, bukan dasar. Entah ada dasar ataupun tidak. Aku tenggelam tanpa henti.

Dada aku rasa sakit. Sakit yang menyucuk-nyucuk. Aku tak dapat bernafas. Kaki aku terasa seperti digigit sesuatu. Tajam-tajam dan banyak. Badan aku dilibas kuat oleh sesuatu seperti ekor. Ya, aku kenal ekor itu. Ekor buaya.

Pandangan aku kelam.

Entah berapa lama aku tidak sedarkan diri. Apabila aku membuka mata, aku sedang terbaring di atas pasir pantai yang memutih. Sedaya upaya aku cuba bangkit. Kepala aku pening dan pusing. Kaki aku luka dengan bekas gigitan. Pedihnya hanya Tuhan yang tahu apatah lagi apabila disimbah air laut masin dan dimasuki pasir-pasir halus. Aku meraung-raung sakit.

Aku seka air mata yang merembas nakal. Aku tak berdaya. Aku mengaku aku tak gagah nak lalui perjalanan yang pelik ini. Terlalu pelik sampai tak terfikir oleh otak manusia normal dan waras.

Aku mengensot menuju ke sebuah kerusi kayu coklat yang terletak senget di bawah sebatang pohon kelapa di sebelah sana. Aku macam kenal kerusi itu. Lebih kurang macam sama dengan kerusi kayu coklat yang ada dekat tepi Tasik Titian. Aku duduk di situ. Kemudian melabuhkan badan. Terbaring. Nafas aku tercungap-cungap mengaut oksigen. Apa nasib aku selepas ini? Kenapa aku kena lalui pengembaraan ini? Adakah pengembaraan gila ini masih jauh?

Aku pejamkan mata. Aku nak berehat seketika.

Aku pandang sekeliling setelah aku terjaga dari lena yang aku tidak tahu panjang mana. Aku sedang terbaring di atas kerusi kayu bercat coklat yang sudah luntur warnanya, di rumah Jai. Jai sedang terlantar di atas lantai di sudut tepi sana. Kobeng – nama samaran yang aku bagi dekat Jailani – sedang baring di atas meja makan di dapur. Di atas tangga, aku dapat lihat Roni sedang sibuk melayan Azidah sambil menghisap rokok, kedua-duanya langsung tidak berbaju seluar. Isi rumah nampak bersepah. Beberapa kali aku raup muka aku sebelum otak aku kembali waras ke alam realiti.

Aku memandang tablet-tablet kecil yang terlepek di atas meja kopi di depan aku. Dadah-dadah LSD ini aku dapat dari Jai. Dadah-dadah itulah yang membawa aku menjelajah ke perjalanan kiamat palsu.

-Tamat-

KIAMAT
oleh Wan SC

=========================

SHARE
Previous articleMATA
Next articleNasi Lemak Sarimah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here