KERANA SIHIR

0
1053

KERANA SIHIR
Nukilan: Iris Orkid
FB : https://web.facebook.com/jemari.qhalbu @ Iris Orkid

================================

*Karya yang tidak disunting*

Cerita ini adalah kisah benar daripada penulis tetapi diolah sedikit atas sebab yang perlu dirahsiakan.

Rahim dan keluarga tinggal di sebuah kampung yang agak jauh dari bandar. Rahim seorang nelayan. Jika dia tidak ke laut, dia akan mengambil upah membuat kerja-kerja kampung. Dia seorang yang baik. Orang kampung suka akannya. Sekiranya ada majlis kenduri –kendara dia orang pertama yang akan sampai.

Pagi itu Rahim ke laut seperti biasa. Jam 5 pagi dia sudah keluar mencari rezeki. Dia pergi bersama-sama dengan rakannya, Soleh.

“Banyak kita dapat ikan hari ni.” Ujar Soleh

“Alhamdulillah, rezeki kita. “ balas Rahim

Selepas mendapat hasil tangkapan yang banyak, mereka pulang ke jeti. Setibanya di jeti, mereka menjual ikan kepada peraih. Mereka berdua tersenyum melihat pulangan yang mereka dapat.

“Aku balik dululah Soleh. Esok kalau aku larat, kita pergi laut lagi.” Kata Rahim

“Baiklah.” Soleh tersenyum memandang Rahim.

Esoknya Rahim tidak dapat ke laut kerana dia demam. Panas sahaja tubuh badannya. Dia hanya berbaring sahaja.

“Bapak, jom lah kita ke hospital.” Ajak anak Rahim, Haikal.

“Bapak tak ada apa-apalah Haikal. Nanti sembuhlah.” Rahim menolak ajakan Haikal.

MALAM.

Rahim tiba-tiba bercakap suatu yang merepek.

“Monyet, kat situ ada monyet. “Rahim menunding jari ke atas almari di hadapannya. Ketika itu yang ada cuma Haikal dan ibunya sahaja. Mereka cuak, saling berpandangan. Di atas almari itu hanya ada topi yang sudah lama tidak dipakai.
“Mana ada monyet kat situ bapak. “ kata haikal.

“Aku nampak ada monyet. Tu ha dia berlari ke sana pula.” Tunjuk Rahim ke satu arah.

Peliknya Haikal dan ibunya tidak nampak monyet yang dimaksudkan oleh Rahim. Mata Rahim meliar seoalh-olah mengikut arah monyet itu bergerak.

“Ibu, kita nak buat apa ni? Entah-entah bapak kena rasuk tak?” ujar Haikal.

“Kau pergi panggil Haji Leman. Minta dia tengok-tengokkan bapak kau.”

“Ibu berani ke tinggal sorang-sorang ni?” Haikal risau. Mak Munah mengangguk. Haikal bingkas bangun menuju ke pintu. Turun anak tangga. Dia segera memandu laju motosikalnya ke rumah Haji Leman. Berdecit bunyi tayar motosikalnya ketika dia menekan brek.

“Assalamualaikum Haji, Haji.. ooo Haji.. ada kat rumah tak?”

5 minit kemudian terjenggul muka Haji Leman di pintu.

“Waalaikumusalam. Hah! kamu Haikal.Ada apa datang rumah haji malam-malam ni?”

“Begini Haji, bapak saya meracau-racau, Haji jomlah ke rumah saya.”
“Dah kenapa pulak dengan bapak kamu? Hah! Ye lah jomlah.”

Sementara itu di rumah Rahim…

Mak Munah menangis. Dia sudah duduk di satu sudut. Menjauhi Karim. Karim yang tadinya terlantar kini bangun berdiri. Matanya merah menyala. Wajahnya bertukar menjadi bengis. Dia memandang Mak Munah.

“Kenapa kau suruh anak kau pergi panggil orang tua tu hah?” Suara Rahim bertukar menjadi garau.

“Saya nak Haji Leman tengokkan abang. Abang meracau dari tadi.”kata Mak Munah takut-takut.

“Aku tak suka orang tua tu datang sini!” Rahim terus-terus memandang Mak Munah. Matanya dijegilkan. Mak Munah semakin takut. Disepaknya Mak Munah sehingga pengsan.

10 minit kemudian, Haikal dan Haji Leman tiba di rumah Rahim. Sunyi sahaja keadaan rumah Rahim. Haikal membuka pintu, matanya membuntang melihat ibunya terbaring. Dia memangku Mak Munah.

“Ibu, kenapa ni? Bangun bu.. Allah, Haji tolong tengokkan bapak saya.” Kata Haikal

Haji Leman memandang tubuh Rahim yang terbaring. Sedikit kurus. Mata Rahim masih lagi meliar.

“Monyet… monyet.. tu..tu…” Rahim menunding jarinya ke satu arah. Haji Leman mengikut jari Rahim. Haji Leman terkejut. Dia mengurutkan dadanya. Allahhuakhbar! Haji Leman nampak 3 ekor monyet sedang berkeliaran di bahagian dapur. Tanpa berlengah Haji Leman membaca sesuatu. Mulutnya terkumat-kumit sambil menggenggam tangannya. Tidak sempat Haji Leman menghabiskan bacaannya, tiba-tiba Rahim berdiri. Matanya merah memandang Haji Leman tanda marah akan orang tua itu.

“Pergi kau dari sini. Sini bukan tempat kau.” Ujar Hali Leman lembut. Tidak mahu menggunakan kekerasan.

“Hahahahahahaa…… aku tidak akan pergi. Aku sudah diamanahkan oleh tuanku untuk mengganggu dia.”

“Siapa tuanmu?” Haji Leman masih berlembut.

“ Hahahahahaaa” Makhluk yang memasuki dalam tubuh Rahim enggan memberitahu siapa tuannya.

“Baik, kalau kau masih berkeras lagi, kau akan terima padahnya!” Haji Leman bertegas.

Mulut Haji Leman terkumat-kumit membaca sesuatu. Haji Leman segera menyentuh tubuh Rahim.

“Keluar kau dari tubuh badan ini. Balik ke tempat asal kau!” Arah Haji Leman tegas.

“Tidak! aku tak mahu keluar!”Makhluk itu tetap berdegil.

Haji Leman terus membaca ayat suci al-quran, ditepuk tubuh Rahim,serentak itu tubuh Rahim terjatuh ke lantai. Asap hitam berkepul-kepul hilang entah kemana. Haji Leman memandang sekeliling. Monyet tadi juga sudah hilang. Dia mengeluh lega.

Haji Leman segera mendapatkan Haikal.

“Macam mana dengan ibu kamu Haikal?” soal Haji Leman.

“Ibu masih tak sedarkan diri Haji. Apa yang berlaku sebenarnya Haji?” tanya Haikal.

Haji Leman mengeluh berat.

“Haji rasa ada sesuatu yang mengganggu bapak kamu Haikal. Tapi tak apalah, Haji dah halau ‘benda’ tu. Kalau bapak kamu jadi lagi macam tadi, kamu cepat-cepat panggil Haji.Takut nanti parah pula jadinya.” Pesan Haji Leman.

Haikal mengangguk.

“Dah sekarang kamu pergi ambil air.” arah Haji Leman. Dengan pantas Haikal bangun mengambil segelas air di dapur. Diberinya kepada Haji Leman. Haji Leman membaca sesuatu lalu ditiupkan ke dalam air. Kemudian dia menyapu air diwajah Mak Munah. Mak Munah tersedar.

“Haji, abang Rahim macam mana?” soal Mak Munah.

“ Dia dah tidur. Apa yang berlaku ketika Haikal pergi rumah aku Munah?” tanya Haji Leman.

Mak Munah menceritakan apa yang berlaku ketika Haikal tiada dirumah sebentar tadi. Haji Leman dan Haikal terkejut.

“Beginilah Munah, Haikal. Buat sementara waktu ni, kamu kena tengokkan Rahim tu.Banyakkan baca al-quran. Jangan tinggalkan dia seminit pun. Salah seorang mesti ada disisi dia. Aku takut ‘benda’ tu datang balik.” Terang Haji Leman. Mak Munah dan Haikal mengangguk faham.

Keesokan pagi, Haikal ingin ke Warung Pak Cik Hamdi. Dia melangkah ke motosikalnya. Langkahnya terhenti di laman rumah. Matanya terbeliak melihat ada sesuatu yang berwarna kuning di situ. Dia membelek ‘sesuatu ‘ itu. Kelihatan bentuknya seperti patung, dibalut dengan kain berwarna kuning. Haikal seram sejuk. ‘Hah, apa pula ni?’ bisik hati Haikal. Tanpa berlengah, dia segera menghidupkan enjin motor miliknya menuju ke rumah Haji Leman. Mujurlah Haji Leman ada di rumah. Haikal memberikan patung tersebut kepada Haji Leman.

“ Setahu Haji, bapak kamu tak ada yang tak suka. Siapa yang nak khianat bapak kamu ni Haikal?”

Haikal hanya menggelengkan kepalanya.

“Beginilah, kamu balik dulu, nanti Haji pergi rumah kamu dengan Mak Aji. Bolehlah Mak Aji temankan ibu kamu. “

“Patung tu Haji nak buat macam mana?” soal Haikal.

“Tahulah Haji nak buat apa dengan patung ni. Kamu balik dulu.”

Tidak membantah, Haikal hanya menurut arahan Haji Leman.

PETANG

Ngah Jaafar , adik Rahim berkunjung ke rumah mereka untuk menziarahi Rahim.

“Macam mana abang boleh jadi macam ni?”soal Ngah Jaafar.

“Tak tahulah Ngah, balik dari laut tempoh hari terus jadi begini.” Balas Mak Munah.

Mak Munah bangun dan segera ke dapur. Ngah Jaafar hanya memandang Rahim yang terbaring lesu. Urat-urat ditangannya turut kelihatan. Mak Munah kembali dengan menatang talam yang berisi gelas air.

“Minumlah dulu Ngah.” Jemput Mak Munah.

Tanpa kata, Ngah Jaafar minum air seteguk dua, kemudian meminta diri untuk pulang.

MALAM PERTAMA

Haikal masuk ke bilik, ingin tidur. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Baru sahaja mata hendak dipejamkan, dia terdengar bunyi seperti kelapa jatuh dari bumbung rumah kemudian bergolek entah ke mana. Haikal terkejut. ‘Benda apa pula tu? Mana ada pokok kelapa di rumah aku. Takkan ada orang nak main bola atas bumbung rumah pula.’ Bisik hati Haikal.

Lampu suluh dicapai, dia membuka pintu rumah dan menjenguk ke luar. Haikal menyuluh seluruh laman. Dalam takut-takut dia cuba memberanikan diri. Dilihatnya ada sesuatu yang berbentuk bulat diluar sana.Perlahan-lahan dia turun ke tanah, cuba mendekati objek bulat yang dilihatnya. Haikal menyuluh ke arah objek itu.

“Allahhuakhbar!” laung Haikal terkejut. Kelihatan objek tersebut adalah wajah seseorang yang buruk. Langsung tiada mata dan hidung. Yang kelihatan hanya mulut yang ternganga luas, lidah terjelir panjang.

Haikal membuka langkah seribu. Tidak ditoleh ke belakang kerana takut. Dia cepat-cepat masuk ke dalam rumah.

“Kenapa Haikal?” soal Mak Munah.

“Ibu tak tidur lagi ke? Tak ada apa-apa ibu. Haikal masuk tidur dulu.”

Di dalam bilik, Haikal memikirkan hal tadi. Kalau ada yang menghantar tapi siapa? Kenapa dia menghantar?’ Haikal bertanya sendirian. Dia memasang ayat al-quran. Akhirnya dia terlelap.

*******************

MALAM KE DUA

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Haikal sudah tidur. Kali ini dia tidur di ruang tamu. Menemani Rahim. Tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti sesuatu terjatuh di dapur. Haikal terjaga . Dia segera bangun menuju ke dapur. Dilihatnya tiada apa yang berlaku. Pinggan mangkuk, elok sahaja tersusun. Dia kembali ke ruang tamu. Tiba-tiba dia terhidu seperti bau masakan. Haikal cuak. ‘Siapa pula masak malam-malam begini.’ Detik hati Haikal. Dikejut Mak Munah. Mak Munah bangun terpisat-pisat.

“Kenapa Haikal?” Mak Munah memandang Rahim. Kalau-kalau sesuatu terjadi kepada Rahim. Tiada apa yang berlaku.

“Ibu, Haikal ada dengar bunyi tadi, macam ada benda jatuh di dapur. Haikal pergi tengok tak ada apa pun ibu. Ibu ada bau apa-apa tak?” Soal Haikal.

“Ish! Ibu tak bau apa-apa pun. Kau tak basuh kaki agaknya tadi?” tanya Mak Munah.

Haikal terdiam. Sungguh dia dapat menghidu bau masakan itu. Dia memandang Mak Munah kehairanan.

“Tidurlah Haikal.Baca doa tidur. “ pesan Mak Munah. Mak Munah kembali berbaring. Belum sempat Mak Munah meletakkan kepalanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi sesuatu terjatuh dari dapur. Dia memandang Haikal. Mereka berpandangan. Mak Munah memeluk tangan Haikal. Dia ketakutan.

“Haikal pergi tengok sekejap ibu. “ tutur Haikal.

“Ibu ikut.” Kata Mak Munah.

Mereka berdua pergi ke dapur. Haikal menekan suis lampu. Haikal nampak senduk yang tadinya tergantung elok berubah tempat. Haikal terpaku. Dia menoleh ke arah Mak Munah yang berada di belakangnya. Bibir Mak Munah sudah terketar-ketar.

Haikal pelik. ‘Kucing tak ada. Bagaimana senduk boleh jatuh.’ Haikal buntu. Namun tiada ada apa yang berlaku. Haikal dan Mak Munah kembali ke ruang tamu. Melihat Rahim, dia sedang nyenyak tidur. Haikal memasang ayat al-quran. Haikal dan Mak Munah kembali tidur.

********************

Esoknya, Haikal segera bertemu dengan Haji Leman.

“Haji, saya diganggu semalam. Dah dua malam saya diganggu. “ ujar Haikal.

“Kamu kena ganggu macam mana?” tanya Haji Leman.

Haikal menceritakan kejadian dua malam itu.

Haji Leman mengangguk tanda faham.

“Hmmmm… Ada orang yang tak senang dengan keluarga kamu Haikal. Betul ke tak ada orang yang berdendam dengan bapak kamu? Soal Haji Leman.

“Setahu saya bapak tak pernah pulak cerita hal dendam ni Haji.” Kata Haikal

“Adik beradik bapak kamu ada datang melawat dia?” soal Haji Leman lagi.

“Semua datang Haji.Pak Ngah pun datang juga.” Tutur Haikal.

“Hah! Soleh kawan baik bapak kamu tu ada datang?” Haji Leman bertanya lagi.

Haikal menggelengkan kepalanya.

“Pak cik Soleh mungkin sibuk ke laut Haji.” Haikal berkata.

“Yelah, mungkin esok lusa dia tidak ke laut, dia pergi lah tengok bapak kamu tu.” Haji Leman menyedapkan hati.

“Beginilah Haikal, kita banyakkan berdoa supaya Allah memberi petunjuk kepada kita. Siapa punya angkara itu tak penting. Yang penting sekarang ni, bapak kamu sembuh, kamu pun tidak diganggu lagi.” Kata Haji Leman.

“Saya bukan apa Haji,kesian ibu saya tu. Kalau bapak meninggal pun saya reda. Kesian saya tengok bapak terseksa begitu. Tapi saya tetap berdoa semoga bapak kembali sembuh.” Ujar Haikal. Kolam matanya bertakung.

“Ya, Haji faham. Haji cuba bantu kamu Haikal setakat mana yang Haji mampu. Banyakkan berdoa ya.” Kata Haji Leman

Haikal mengangguk.

*****************************

Setiap malam, gangguan yang sama akan berulang ketika Haikal ingin melelapkan mata. Sehinggakan dia sudah lali. Selepas kejadian yang menimpa Haikal sekeluarga, Rahim semakin lemah. Tubuhnya semakin melidi sehingga menampakan tulang-temulangnya. Mak Munah sudah puas menangis mengenangkan nasib suaminya. Orang kampung berkunjung ke rumah Rahim untuk melihat keadaanya. Ada juga antara mereka yang membacakan yassin untuknya.

Soleh mengambil tempat di sebelah kanan Haikal. Sempat dia memandang Haji Leman yang berada di sebelah kiri Haikal. Mereka berbual di beranda rumah.

“Kenapa bapak kau jadi macam tu Haikal?” soal Soleh.

“Entahlah pakcik, dah dekat seminggu bapak macam tulah. Sekarang dia nak minum pun susah. Hari tu balik dari laut bapak baik-baik saja. Tahu-tahu malam tu bapak dah meracau.” Cerita Haikal.

“Hmm.. itulah kali terakhir pakcik pergi laut dengan bapak kau. Masa kat laut tu kami dapat banyak ikan. Bapak kau pun tak ada tunjuk kelakuan yang pelik-pelik. Kalau nak kata gangguan kat laut, pasti pakcik pun kena juga.” Ujar Soleh.

“Saya nak cakap pun tak tahu pakcik.” Balas Haikal.

“Kau tak nak bawa bapak kau ke hospital ? Mana tahu bapak kau ada penyakit?” Soleh bertanya lagi.

“Yelah, nanti saya bawa.” Haikal mengangguk lemah. Dia memandang Haji Leman di sebelahnya.

“Haji, bapak saya makin teruk. Kita nak buat macam mana?” Haji Leman mengeluh berat.

“Esok Haji bawa seorang ustaz dari kampung seberang. Rasanya dia tahu apa yang boleh buat.” Ujar Haji Leman.

“Haji rasa ini angkara siapa?” tanya Leman.

Haji Leman menggelengkan kepalanya.

“Dalam hal ni, haji tak nak menuduh, tak baik. Kita tak tahu siapa punya angkara. “ balas Haji Leman.

Haikal memejamkan matanya. Memikirkan nasib Rahim. Dia juga ingin keluar daripada belenggu misteri ini.

Tiba-tiba Halim datang menyapa kalut. “Haji… Rahim… Haji.”

Mereka bertiga bingkas mendapatkan Rahim. Terkejut mereka apabila melihat Rahim sedang bertenggek di atas almari. “Allah!” Kalimah itu terbit daripada mulut Haji Leman. Mulut Haji Leman terkumat-kumit membacakan sesuatu. Tiba-tiba Rahim datang berdiri tegak di hadapan Haji Leman. Mereka yang berdiri dekat Haji Leman sebentar tadi, berundur ke belakang. Menjauhi Haji Leman.

“Siapa kau?” soal Haji Rahim.

“Hahahahahahaaa……. Kau bukan lawan aku orang tua!” Pekik Rahim.

“Pergi kau, keluar daripada badan manusia itu!” arah Haji Leman tegas.

“Hahahahahaaa….. aku ditugaskan untuk menghancurkan manusia ini. Aku tidak akan keluar daripada tubuh dia!” Rahim terus ketawa.

“Haji, kenapa dengan bapak?” Haikal menyampuk.

“Bapak kau kena rasuk. Ada makhluk yang menumpang badan bapak kau. “ terang Haji Leman.
Haikal mengangguk faham, dia kembali menjauhi Haji Leman.

“Hihihihihihihi……” Rahim ketawa lagi.

Tiba-tiba pintu rumah dikuak dari luar. Semua mata tertumpu ke arah pintu kecuali Haji Leman.
Dia terus-terusan ‘berlawan’ dengan Rahim. Serentak itu, Rahim memandang empunya tubuh yang baru sahaja memasuki rumah Rahim. Mata Rahim bertambah merah bagaikan biji saga. Matanya kian membesar. Susuk tubuh Rahim menjadi berketul-ketul secara tiba-tiba bagaikan kuasanya sedang bertambah. Semua orang terkejut melihat perubahan Rahim. Tidak tunggu lama, mereka sudah berlari keluar rumah.

“Pergi kau wahai manusia!” Tempik Rahim kepada lelaki yang berdiri sebelah Haji Leman.

Haji Leman memandang lelaki itu. Ustaz Hamzah! Haji Leman pelik bagaimana Ustaz Hamzah boleh tiba di rumah Haikal. Ustaz Hamzah tersenyum memandang Haji Leman lalu menganggukkan kepalanya. Seperti memahami bahasa tubuh Ustaz Hamzah, Haji Leman turut menganggukkan kepalanya.

Mereka mula ‘berlawan’ dengan Rahim. Mereka membaca sesuatu sambil memandang ke arah Rahim. Mata Rahim mencerlung memandang kedua-dua manusia yang berada di hadapannya. Rahim mula bertindak ganas. Dia menerkam Ustaz Hamzah. Ustaz Hamzah sempat mengelak. Rahim menjadi marah. Haji Leman pula menjadi sasarannya. Haji Leman tidak sempat mengelak. Dia jatuh tertiarap.

“Hahahahahahahaa” Rahim ketawa kuat.

Haji Leman bangun dengan perasaan geram yang membuak-buak.

“Baik! Kau tunggu wahai iblis! “ Haji Leman memandang Rahim dengan perasaan marah.

“Ustaz, kita bergabung tenaga.” Kata Haji Leman. Ustaz Hamzah mengangguk.

Rahim tidak berputus asa, dia kembali menerkam mereka berdua. Ustaz Hamzah dan Haji Leman membaca ayat suci al-quran dengan penuh bertenanga. Kemudian, saat Rahim menerpa ke arah mereka , Ustaz Hamzah dan Haji Leman menumbuk Rahim.Terpelanting. Rahim terduduk. Asap hitam berkepul-kepul mula kelihatan dan akhirnya perlahan-lahan menghilang. Suasana menjadi senyap seketika. Rahim masih kaku di tempatnya. Tubuh yang sasa sebentar tadi kembali menjadi kurus.

Ustaz Hamzah mengeluh lega. Haji Leman menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Terima kasih ustaz. Macam mana ustaz boleh datang sini?” tanya Haji Leman.

“Nanti saya ceritakan. Kita tengok Rahim dulu.” Kata Ustaz Hamzah.

Pantas mereka berdua segera mendapatkan Rahim. Rahim kelihatan lemah. Mereka berdua mengangkat Rahim ke atas tilam. Kemudian Haji Leman memanggil Haikal dan Mak Munah. Orang kampung yang menyaksikan ‘pertempuran’ sebentar tadi turut naik ke atas rumah untuk melihat keadaan Rahim.

“Dasyat betul orang yang khianat bapak kamu ni Haikal. Sudah dihapuskan, dihantarnya lagi. Tapi tak apa, Haji dan ustaz dah hapuskan ‘benda’ tadi. Sekarang kita berharap sahaja dengan kuasa Allah” Tutur Haji Leman.

“Bapak dah selamat ke Haji?” tanya Haikal.

“Bapak kamu masih lemah. Haji rasa bapak kamu tak dapat bertahan. “ kata Haji Leman.

Haikal mengeluh lemah. Nafas dihelakan.

“Kalau saya tahu siapa yang buatkan pada bapak, siaplah orang tu!” Ujar Haikal.

“Sabar Haikal, kita tidak perlu membalas. Kita ada Allah. Ingat tu Haikal.” Haji Leman menenangkan Haikal.

Mak Munah datang menghampiri mereka.

“ Haikal,Ustaz,Haji…. Rahim dah tak ada.” Tutur Mak Munah sebak.

Haikal segera mendapatkan Rahim. Dia reda dengan apa yang terjadi.

************************

Esoknya, selesai urusan pengembumian Rahim, mereka dikejutkan dengan berita kematian Ngah Jaafar. Masing-masing terkejut kerana selama ini Ngah Jaafar sihat-sihat sahaja. Ustaz Hamzah, Haji Leman, Haikal dan beberapa orang kampung menuju ke rumah Ngah Jaafar. Setibanya mereka di sana, masing-masing menutup hidung. Mereka terhidu bau kemian yang sangat kuat. Ustaz Hamzah dan Haji Leman berpandangan. Mereka membaca sesuatu.

Apabila mereka masuk ke dalam rumah Ngah Jaafar, sekali lagi mereka terkejut. Kelihatan beberapa patung berbalut kain kuning tersimpan elok di satu sudut. Asap kemian makin menjadi-jadi baunya. Mereka mendapatkan Ngah Jaafar untuk menguruskan jenazahnya.

Usai pengembumian Ngah Jaafar, Haji Leman sempat berbual dengan Haikal bersama Ustaz Hamzah.

“ Haikal, banyakkan bersabar. Kita sudah tahu siapa yang membuat khianat pada bapak kamu. Arwah pun sudah tiada. Jadi tak usah berdendam lagi.” Pesan Haji Leman.

“Saya tak sangka dia sanggup buat macam ni pada bapak. Bapak layan dia dengan baik Haji.” Ujar Haikal.

“Manusia Haikal. Mana pernah bersyukur dengan apa yang kita ada. Ustaz belum cerita lagi macam mana ustaz sampai rumah Rahim? ” soal Haji Leman. Pandangan dikalihkan kepada Ustaz Hamzah.

“Kebetulan saja, saya nak menziarah Haji, tapi Haji tak ada di rumah. Orang rumah Haji yang beritahu Haji ada di rumah Rahim. Itu yang segera saya datang sebab saya rasa tak sedap hati. “ terang Ustaz Hamzah.

“Oh,begitu! Tak apalah Haikal. Semuanya dah selesai.Harapnya tiada lagi gangguan yang mengganggu kamu nanti.” Kata Haji Leman.

Haikal mengangguk lemah. Dia masih tidak percaya hanya kerana berebutkan tanah pusaka, Pak Ngah sanggup menghantar sihir untuk memastikan bapanya mati.

–TAMAT–

SHARE
Previous articleRUMAH ATAS BUKIT
Next articleMISTERI KALSOM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here