KEPULANGAN

0
1141
Tajuk: KEPULANGAN
Penulis: Grandisee Devan

=================================

Dia meracik halus daun kunyit segar yang baru dipetiknya di halaman belakang rumah sebentar tadi, lalu daun hijau muda itu ditabur ke dalam rendang ayam kampung yang sudah menggelegak di atas dapur. Matanya dilirik pula ke atas meja, melihat daun palas yang sudah separuh dianyam dan diisi beras pulut. Bibir tua itu menguntum senyum. Puas hatinya melihat juadah raya yang hampir siap. Esok, anak-menantunya akan pulang ke kampung. Pulang menyambut hari raya bersamanya.

********

2 hari sebelum raya..

“Gayah, bagi aku tepung gandum tiga bungkus. Dah habis dekat belakang tu aku tengok.”

Mak Kiah menjerit sedikit kepada Rogayah, anak tauke kedai runcit di Kampung Behor. Laju gadis itu ke belakang, mengambil stok tepung gandum yang kehabisan.

“Eh..Kiah..banyak kau beli tepung? Nak buat kuih lagi ke?” Mak Seha menyampuk sambil membelek bunga kantan di hadapannya.

“Budak-budak tu nak makan roti jala raya ni..kenalah buat!” Mak Kiah menjelaskan. Laju langkah kakinya diatur ke arah Mak Seha.

“Eh, Seha..kau ada pergi tengok Jah tak?” Mak Kiah menguis sedikit lengan jiran sekampungnya itu.

“Aku pergi dengan Nisah semalam. Kesian kan..banyak betul juadah dia masak untuk anak dia. Tapi anak dia kan dah…”

“Shuhhh..!” Mak Kiah menepuk bahu Mak Seha memberi amaran apabila Rogayah keluar dari bilik stor kedai.

“Nah mak cik.Mak cik nak apa-apa lagi ke?.”

Tanya Rogayah sambil menghulurkan tiga bungkus tepung gandum ke arah Mak Kiah.

“Cukuplah ni..yang lain dah ada.”

Katanya sambil menghulurkan duit. Gadis itu tersenyum lalu mengangguk. Baki dipulangkan pada wanita sebaya ibunya itu semula.

“Aku balik dululah Senah. Jemputlah datang rumah raya ni!”

Senah sekadar mengangguk sambil merenung belakang badan Mak Kiah yang kian menjauh. Jah…nama itu terlintas semula di fikirannya.

******

Mak Jah mengambil penyapu buluh di bawah pelantar rumahnya. Halaman rumahnya yang dipenuhi daun-daun yang sudah kering perlu dibersihkan. Esok, umat islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Dia mula menyapu. Dari halaman depan hinggalah ke belakang. Tenaga tuanya terasa mengah, tetapi digagahkan jua. Rumah itu perlu kelihatan bersih dan kemas untuk menyambut kepulangan anak-menantunya. Dia mahu mereka semua rasa selesa berada di rumah pusakanya itu.

Selesai menyapu, dia duduk melepas lelah di atas tangga kayu rumahnya. Selajur matanya menangkap sosok Aiman, anak Ummi Kalsum sedang mengayuh basikal melepasi rumahnya. Spontan, anak itu mengalih pandangan ke arahnya lalu mengangkat tangan. Mak Jah tersenyum sebelum turut sama mengangkat tangan melambai. Anak itu selalu diminta Ummi Kalsum untuk menghantar lauk pauk padanya. Selalu juga dia memberi upah seringgit dua habuan anak itu ke kedai membeli jajan. Sebaik sahaja kelibat Aiman hilang ditelan semak samun kecil di tepi tali air rumahnya, dia bingkas bangun. Masih banyak kerja yang perlu dilakukannya. Kain tingkap belum digantung, kuih sepit kegemaran Sarah, menantunya belum dibuat. Dia mengatur langkah tuanya ke dapur.

*******

Sehari sebelum raya..

Che Dollah menyorong motor kapcainya ke bawah rumah lalu mendaki anak tangga naik ke atas rumahnya. Dia meletakkan kopiahnya di atas meja kopi sebelum duduk menyandar di kerusi kayu cengal yang dibeli anak sulungnya. Isterinya Mak Kiah, menghampirinya dengan secawan teh panas di tangan.

“Abang nak makan bihun tak? Boleh saya panaskan. Tadi masa berbuka awak tak makan pun bihun tu.”

Mak Kiah duduk di sebelah suaminya.

“Tak payahlah. Habis solat isyak tadi, anak Jah tu buat kenduri sikit.” Ujar Che Dollah sambil membelek surat khabar di tangan.

“Hmmm..baru sedar nak balik, sebelum ni dia abaikan mak dia tu.” Mak Kiah memuncungkan mulut, meluat.

“Eh awak ni..dia balik awak mengata, dia tak balik lagila awak mengata. Dah hujung-hujung puasa ni nak kumpul dosa balik ke?”

Che Dollah tinggi suara. Dia menjeling isterinya sekilas sebelum bangun dari duduknya. Layan mata yang mengantuk lebih baik, fikirnya sebelum hilang di balik langsir bilik tidur utama. Mak Kiah mendengus.

********

Aiman meneguk air bandung cincau di dalam gelas itu sehingga habis. Dahaga betul dia main berkejaran di halaman rumah bersama sepupunya yang pulang berhari raya. Dia membuka pula tudung saji. Kuih bingka ubi ibunya masih ada di situ. Diambilnya sepotong.

“Man, tak ikut ayah pergi surau ke malam ni?”

Ummi Kalsum bertanya pada anak bongsunya. Dia menuju ke arah sinki yang penuh dengan pinggan mangkuk yang perlu dicuci.

“Malam ni Man cuti mak..” Aiman berseloroh sambil tersengih.

“Sedap bingka ubi mak ni. Banyak mak buat. Mak tak bagi kat Nek Jah sekali ke? Selalunya mak suruh Man hantar. Tadi petang Man tengok Nek Jah termenung je dekat tangga rumah dia.”

Aiman menyambung sambil menyumbat masuk sepotong besar bingka ubi ke dalam mulutnya. Bunyi pinggan terlepas dan renungan tajam ibunya, membuatkan dia terhenti mengunyah.

“Kenapa mak?”

***********

3 hari sebelum.

Bunyi kereta menderu masuk ke halaman rumah kedengaran di cuping telinganya. Dia tersenyum lebar. Anaknya dah sampai! Dikemaskan serba sedikit dapur yang agak berkecah itu sebelum kakinya meniti anak tangga naik ke tingkat atas. Laju langkah kakinya dibawa ke pintu hadapan. Daun pintu dibuka. Suara riuh cucunya Luqman dan Laila melebarkan lagi senyuman di wajahnya. Dia rindu!

“Tok! Kami dah balik!”

Laila terjerit riang sebelum berlari naik ke atas. Mak Jah tertawa riang.

“Naiklah sayang! Tok masak macam-macam untuk Laila dengan Luqman!”

Dia menjerit sedikit. Teruja.

Laila dan Luqman lari ke atas pelantar depan. Laju tangan mereka membuka kasut dan meluru masuk ke rumah. Sudah hampir empat tahun mereka tidak pulang beraya di kampung. Mak Jah mendepang tangan mahu memeluk cucu-cucunya. Luqman mendahului Laila berlari ke arahnya. Dia meluaskan bukaan tangannya. Mahu mencium cucunya itu sepuas hati namun, jasad Luqman dan Laila terus berlari menembusinya! Dia kaget. Laju dia berkalih ke belakang. Tidak lama kemudian, bunyi jeritan dan teriakan Laila kedengaran nyaring menerjah cuping telinga. Hisham, anaknya berlari masuk tanpa mempedulikannya yang berdiri tercegat di muka pintu. Dia mengekori Hisham. Bimbang sesuatu terjadi pada Laila.

“Kenapa ni Lai…”

Hisham tidak menghabiskan ayatnya. Dia terkaku. Anaknya Laila dan Luqman duduk meromok di sudut bilik tidur utama sambil memejamkan mata. Hisham terjelepuk jatuh. Mak Jah tercengang melihat dirinya sendiri sedang duduk terpunduk di atas kerusi kayu. Bau sesuatu yang meloyakan menerjah deria.

*********

“Saya lupa nak beritahu Aiman, yang Mak Jah dah tak ada semalam. Tapi bang, yang dia nampak tu..?”

Ummi Kalsum mengerling suaminya, mahukan jawapan.

“Kita doakan yang baik-baik jelah. Alhamdulillah Hisham dah balik walaupun kepulangan dia kali ni tak bersambut.”

Ummi Kalsum mengangguk. Terasa hiba hatinya. Hisham pernah membuang Mak Jah dari
hidupnya selama bertahun-tahun. Membiar si tua itu menanti di setiap kali raya. Berharap anak tunggal satu-satunya itu pulang beraya dengannya. Kerana simpati dia selalu menyuruh anak bongsunya Aiman menghantar lauk pauk yang dimasaknya ke rumah Mak Jah.

Mak Jah meninggal berseorangan di rumah pusakanya tiga hari sebelum umat islam menyambut hari raya. Kepulangan Hisham ke kampung dua hari kemudian disambut dengan penemuan mayatnya yang sudah mula mereput. Kepulangan yang tiada maknanya lagi.

-TAMAT-

SHARE
Previous articleSERAM RAYA
Next articleIbu, ampunkan kami!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here