Kawan Papan Kekunci

0
1381

Kawan Papan Kekunci
Oleh: Hayley Dawn Harper

Daun pintu aku hempas kuat dan kerusi di depan katil aku tendang. Perasaan aku berkecamuk hari ini. Apa tidaknya, seharian aku dibuli dan dipersendakan oleh kawan- kawan sekelas. Aku gemuk dan tak pandai bergaya seperti mereka. Tapi aku tidak pernah menganggu mereka. Malah, setiap kali mereka lalu di hadapan, aku ambil laluan jalan yang lain.

Beberapa bulan lagi peperiksaan SPM akan berlansung. Apa pun masalah di sekolah, aku perlu fokus dengan peperiksaan ini. Ibu berharap sungguh dengan pencapaianku di dalam bidang pelajaran. Dia mahu aku menjadi orang yang berjaya dan berpendidikan serta berkerjaya kelak.
Pagi itu, aku ke sekolah seperti biasa. Beberapa ketulan sampah dan kotak minuman kosong diletakkan di atas mejaku. Aku hanya menggeleng. Pasti kerja Nadine dengan kawan- kawannya. Mereka adalah kumpulan pelajar wanita yang selalu membuli aku di dalam kelas. Aku pungut semua sampah itu dan terus buang ke tempat yang sepatutnya.

Tiba- tiba bag sekolahku di buang ke lantai. Aku menoleh ke belakang dan terus tunduk. Nadine sedang memandang aku dengan renungan penuh makna.

Apa lagi yang dia mahu?

“Selamat pagi si gemuk. Minta maaf ya. Kau tak dibenarkan duduk di meja ni. Kau duduk meja belakang sana!” Bentak Nadine.

Aku mengambil bag Sekolah ku di lantai itu dan terus melangkah ke meja paling belakang. Memang begitulah kehidupanku sehari- hari. Kadang di meja depan dan kadang di belakang. Aku sudah bosan mahu melawan atau melaporkan mereka kepada guru disiplin. Aku tak mahu menyusahkan ibu datang ke sekolah.

Ketika bersendirian menunggu masa rehat berakhir, aku hanya duduk memerhatikan gelagat pelajar yang lain. Mereka semuanya gembira. Mereka miliki segalanya. Kawan baik dan juga kehidupan sebagai seorang pelajar yang normal. Bukan seperti aku yang menyendiri. Takut mahu bercakap dengan sesiapapun.

Perkara yang mengembirakan aku adalah berada di dalam bilik dan bermain permainan komputer. Itulah duniaku yang sebenarnya. Aku boleh menjadi diriku sendiri bila bermain dengan permainan komputer.

Aku juga mempunyai rahsia yang aku simpan daripada pengetahuan orang ramai termasuk ibuku sendiri. Aku aktif di laman sosial terutama di laman muka buku tapi dengan menggunakan akaun palsu. Aku selalu memerhatikan aktiviti Nadine dan kawan- kawannya melalui akaun palsu itu. Mereka memang aktif dan mempunyai banyak pengikut.
Aku juga salah satu pengikutnya. Tapi aku bukanlah peminatnya. Aku cuma mengikuti akaun laman muka buku Nadine untuk melihat apa yang dia lakukan setiap hari selain menjadi pembuli di sekolah.

Malam itu, aku sedang mengulang kaji pelajaran subjek sejarah. Sambil membaca nota, aku menjawab soalan-soalan esei. Jam sudah menunjukkan jam 11.45 malam. Aku berehat sekejap untuk minum segelas kopi bagi mengurangkan rasa mengantuk. Aku sempat membuka laman muka buku dan Nadine sedang bersiaran lansung ketika itu. Hanya aku yang melihat Siaran lansungnya ketika itu tapi aku tidak memberikan sebarang komen.

“Kenapa dengan Nadine ni?” Aku lihat dia sedang menangis ketika bersiaran di laman muka bukunya. Dia sedang meluahkan rasa kecewa kerana ibu bapanya tidak membelikan dia kasut Sneakers jenama Nike yang baru kerana dia sangat gemarinya. Aku menggeleng.

“Bertuahnya kau Nadine, hidup penuh dengan kemewahan. Kau cantik dan miliki segalanya. Alangkah baik kalau aku jadi kau walau sesaat.” Aku perhatikan saja Siaran lansung Nadine. Dia sedang berbaring di atas katilnya bersama linangan air mata. Dia nampak sangat sedih. Tapi apabila mataku fokus melihat dia, aku terlihat ada sesorang masuk ke bilik Nadine melalui tingkap biliknya. Nadine tidak menyedarinya tapi mataku jelas melihat seseorang telah menutup siaran lansung Nadine.

“Hmmm.” Malam itu aku tidak dapat tidur dengan lena. Aku memikirkan tentang Nadine. Aku risaukan sesuatu yang buruk telah berlaku kepadanya. Tapi jauh di sudut hati ini, rasanya aku tak perlu risaukan dia. Dia pembuli dan selalu melayanku dengan buruk. Aku matikan lampu dan terus melelapkan mata.
******

PAGI itu, aku ke sekolah seperti biasa. Saat aku masuk ke dalam kelas, keadaannya riuh sedikit. Kawan- kawan Nadine ku lihat sedang menangis dan berpelukan. Aku mencari tempat duduk dan hanya memerhatikan gelagat semua orang.

“Humi, kau ada dengar tak pasal Nadine?” Gino, pelajar lelaki yang duduk di sebelah meja mengajukan soalan kepadaku. Aku pantas menggeleng.

“Kenapa dengan Nadine?” Soalku semula. Gino menggeleng dan buat wajah sedih.

“Dia ditemui mati di biliknya pagi tadi. Mereka kata, rumah dia dipecah masuk oleh perompak. Dia dirogol dan dibunuh dengan kejam.”

Buku yang aku sedang peluk terus jatuh di atas lantai. Aku seakan tidak percaya bila mendengar berita itu. Aku berlari ke dalam tandas dan mula menangis sendirian. Malam tadi aku masih sempat melihat Nadine bersiaran. Jangan- jangan, firasat buruk yang aku alami malam tadi betul- betul menimpa Nadine.

“Kesiannya Nadine.” Aku turut berdukacita. Dia memang melayan aku dengan jahat tapi membenci dan menganggap itu satu berita gembira adalah tidak mungkin. Aku sedih hal seperti itu berlaku kepada Nadine dan keluarganya.

******
KETIKA kami datang ke majlis pengkebumian Nadine,kawan- kawan Nadine merenung aku dengan tajam. Aku menjadi takut dan segera pergi dari situ. Rupanya mereka mengejar dari belakang. Belum sempat aku menahan bas untuk balik ke rumah, mereka telah membawa aku ke sebuah pondok kosong yang jauh daripada pandangan orang awam.

“Kau jangan harap bila Nadine dah mati kau akan bebas. Mesti kau gembira sebab Nadine dah mati kan? Lepas ni dah tak ada orang nak buli kau lagi kan? Dah tak ada orang nak panggil kau si gemuk kan?” Mereka menampar dan menolak kepalaku di dinding pondok itu.

“Korang silap. Aku sedih dengan kematian Nadine. Aku tak gembira. Korang berhentilah buli aku.” Aku merayu kepada mereka.

Aku hanya mendengar mereka tertawa. Mereka malah mengajak kawan- kawan lelaki mereka ke situ untuk melihat aku dibuli. Aku terkejut dan mahu melarikan diri tapi mereka memukul aku sehingga aku lemah tak berdaya.

“Kerjakan dia. Mesti Nadine gembira nampak kita buli dia teruk- teruk macam ni!” Lilo, kawan baik Nadine menanggalkan pakaian seragam sekolahku. Aku menjerit. Mereka mengambil gambarku tanpa pakaian. Mereka melekatkan nota bertulis ‘GEMUK’ di dahiku. Aku menangis dan meminta mereka melepaskan aku. Setelah puas membuliku, barulah mereka tinggalkan aku di situ.
*****

AKU tiba di rumah lewat petang. Ibu masih belum balik daripada kerja. Aku berlari masuk ke dalam rumah dan menyiapkan makan malam. Aku cuba lupakan kejadian yang melanda di pondok itu. Aku maafkan mereka sekali lagi.

“Mak dengar ada kawan sekelas kau yang mati dibunuh? Betul ke?” Ketika kami makan malam, Ibu menyoal aku.

“Betul mak. Kawan sekelas aku Nadine yang mati. Kesian. Rumah dia dipecah masuk. Dia dirogol dan dibunuh dengan kejam.”

Wajah ibu berubah menjadi pucat. Dia peluk aku dan menenangkan aku. Air mata jatuh di pipi, aku kesiankan Nadine. Malam itu, aku lihat dia bersiaran dan sedang menangis. Mungkin dia menangis hanya kerana sepasang kasut, tapi aku tak pernah lihat dia menangis sebelumnya. Tak sangka, bila aku lihat dia menangis, keesokan hatinya dia akan pergi selamanya.

Aku menyambung mengulang kaji pelajaran Subjek prinsip akaun malam itu. Sambil menekan- nekan punat kalkulator, aku juga memasang lagu melalui aplikasi YouTube. Beberapa minit sebelum jam 12 Pagi, aku terkejut bila lagu yang berbunyi berubah dengan sendirinya tanpa aku mengubahnya. Aku toleh ke arah telefon pintar di atas meja. Ia berkelip- kelip, seakan ada yang menekan- nekannya.

“Hmmmm!” Aku terus berdiri dan menjauh daripada meja belajar. Aku perhatikan telefon pintar itu.

Laman Muka buku terbuka dengan sendirinya dan ia terus memaparkan gambar profile Nadine. Aku mencekup wajah dan terus duduk di birai katil.
Lagu daripada aplikasi YouTube berbunyi lagi. Aku menarik nafas dalam- dalam. Kerana terlalu takut, aku terus masuk ke dalam selimut dan lelapkan mata.

“Gemuk. Gemuk. Gemuk. Pukul dia. Jangan kawan dengan dia. Gemuk!” Nadine mencubit lengan dan memukul kepalaku dengan buku teks sekolah.
Suara mengejek itu terus bermain di dalam mindaku. Pantas aku membuka mata dan menyedari itu semua adalah mimpi.

“Hmmm.” Aku terjaga di waktu subuh. Aku cuba melelapkan mata semula tapi gagal. Aku turun daripada katil dan mengambil telefon pintar yang ada di atas meja. Aku lihat baterinya hanya berbaki 2%. Aku perhatian skrin telefon pintarku. Aku terkejut. Gambar Nadine ada di situ. Aku perhatikan semula sekali lagi. Gambar itu sudah berubah menjadi gambarku semula. Kemudian aku mendengar bunyi tingkap seperti dibuka dari luar. Aku menoleh ke arah tingkap. Ia tertutup rapat tapi mengapa aku boleh dengar dengan jelas bunyi sesorang cuba membuka tingkap itu.

“Pukul dia. Pukul dia. Gemuk. Gemuk.” Sekali lagi aku terkejut. Telefon pintar membuka aplikasi laman buku dengan sendirinya. Aku lihat sebuah video yang menunjukkan kawan- kawan Nadine sedang membuli aku di pondok. Aku menjerit semahunya. Aku kelihatan sangat memalukan di situ. Mereka mengambil video saat aku tidak berpakaian seragam sekolah.

“Tak guna!” Aku menahan rasa marah di dalam hati. Dari perasaan takut berubah menjadi benci. Aku yakin, pasti Lilo dan kawan- kawannya yang lain sedang menakut- nakutkan aku. Mereka pasti menggunakan akaun laman muka buku Nadine untuk terus membuli aku. Tapi memuat- naik video itu sangat melampau. Aku menangis semahunya sehingga matahari terbit.

*****
KAKIKU melangkah gagah menuju ke kelas. Perasaanku berkobar- kobar. Sudah lama aku bersabar dengan mereka semua. Aku ingatkan mereka akan berhenti membuli aku bila Nadine sudah mati tapi mereka menguji tahap kesabaranku.

Aku masuk ke dalam kelas dan nasibku seakan baik pagi itu. Lilo ada di hadapan kelas dan sedang berborak dengan kawan -kawannya. Tanpa menunggu lama, aku tarik rambutnya dan tolak dia sehingga dia terduduk di atas lantai. Aku pukul dia dengan bag sekolahku. Kawan- kawannya terkejut melihat aku menyerang Lilo.

“Kau dah melampau Lilo! Kenapa kau sanggup muat naik video memalukan tu! Kau bangga sangat ke jadi pembuli!” Aku tengking Lilo tanpa bertapis lagi. Dia nampak terkejut.

“Apa kau cakap ni Gemuk. Apa yang aku muat naik? Kau tuduh aku apa benda ni? Berani kau tolak aku?!” Lilo bangun dan cuba menolak aku. Dia terjatuh semula apabila aku menolak dia untuk kesekian kalinya. Aku terus berlari ke dalam tandas dan menangis di situ. Aku buka laman muka buku dan video itu sudah dipadam. Aku menyeka air mata dan kembali semula ke kelas tanpa memandang lansung ke arah mereka semua.

*****
Sejak kejadian itu, Lilo telah mengantikan tempat Nadine menjadi ketua pembuli aku di sekolah. Malah dia lebih teruk daripada Nadine. Dia mengugut dan mengambil duit belanja sekolahku. Aku cuba melawan tapi dia ugut akan memuat naik video aku tidak berpakaian seragam sekolah tempoh hari.

Aku menjadi semakin takut dan benci pergi ke sekolah. Aku berpura- pura sakit agar ibu melarang aku ke sekolah. Tapi bila terlalu kerap tidak hadir ke sekolah, guru kelas pula mencari dan mahu aku hadir ke sekolah.

“Nah, ini duit belanja kau untuk seminggu. Mak kena pergi ‘out station’. Mak tak ada di rumah untuk tiga hari ni. Kau boleh jaga diri kan?” Mak masuk ke bilik aku malam itu untuk memberikan wang. Aku hanya angguk kepala.

KEESOKAN harinya, aku ke sekolah seperti biasa. Dari jauh aku lihat Lilo dan kawan- kawannya sudah menunggu aku di hadapan pintu kelas. Oleh kerana takut mereka mahu mengambil duit perbelanjaanku, aku duduk di dewan sekolah dan menunggu sehingga lonceng berbunyi.

“Kejar dia!” Lilo dan kawan- kawannya mengekori aku ketika aku mahu ke kantin untuk membeli makanan. Mereka mengheret aku ke tandas sekolah dan mula menolak aku ke dinding tandas. Kepalaku dipukul dengan kasut sekolah mereka. Mereka paksa aku minum air basuhan stokin mereka. Aku menangis dan merayu mereka berhenti membuli aku. Paling menyedihkan apabila mereka berjaya mengambil semua duit perbelanjaanku.

*****
Aku sendirian di rumah ketika perasaan sedih menyelimuti diriku. Aku tak mahu memijakkan kaki ke sekolah lagi. Aku benci dengan Lilo dan kawan- kawannya. Malam itu aku membuka akaun laman muka buku milikku. Aku perhatikan aktiviti Lilo dan kawan- kawannya. Mereka nampak gembira bersama keluarga mereka. Gambar yang mereka muat naik di akaun mereka semuanya memperlihatkan Senyuman gembira.

Sedikitpun tiada rasa bersalah kerana menjadi seorang pembuli di sekolah. Aku benci mereka semua. Aku mahu mereka rasa apa yang aku sedang rasakan.

Kerana penat menangis, aku terlena. Tapi lewat malam itu aku terjaga semula apabila mendengar telefon pintarku berbunyi. Aku buka mata dan lihat skrin telefon pintarku. Aku terkejut. Nadine baru sahaja menghantar pesanan untuk aku melalui ‘Messenger’.

“Tak mungkin!” Aku terus membuka pesanan itu.
‘Gemuk. Kau dah tidur?’ – Nadine.

Aku toleh kiri dan kanan. Bunyi pesanan di ‘Messenger’ masuk lagi.

‘Gemuk… aku minta maaf!’ – Nadine.

Aku masih dalam keadaan terkejut. Siapa yang menghantar pesanan itu. Mustahil ia datang daripada Nadine. Dia sudah mati.

Aku menelan air liur di tekak dan memberanikan diri membalas pesanan itu. Perlahan- lahan jemariku menekan papan kekunci itu.

‘… Nadine? Kau ke tu?’ – Aku.

‘…Ya. Ini aku.’- Nadine.

Aku tak patut rasa takut. Mungkin itu Lilo yang cuba mempermainkan aku. Aku tekan papan kekunci lagi.

‘Kau Lilo kan? Kau masih tak puas hati buli aku di sekolah? Sekarang kau nak takut- takutkan aku di sini pulak!!’- Aku.

‘… Hahahah. Ini Nadine. Aku minta maaf sebab buli kau. Aku nak kau maafkan aku agar aku boleh pergi dengan tenang. Aku banyak buat salah dengan kau. Maafkan aku.’- Nadine.

‘Aku bukan bodoh Nadine. Kalau ini memang kau, ketuk meja belajar aku tiga kali.’- Aku.

TOK. TOK. TOK

Bunyi ketukan meja jelas kedengaran tapi tiada sesiapa di hadapanku. Aku mula rasa takut. Bulu roma mula menaik dan aku seakan tidak dapat bergerak.

‘Maafkan aku.’- Nadine.

Aku baca pesanan itu berkedip- kedip sehinggalah aku mula percaya itu memang Nadine.
‘Baiklah. Aku percaya ini kau. Jangan kacau aku lagi. Aku maafkan kau… tapi aku nak kau tolong aku boleh?’-Aku.

‘Kau nak aku buat apa?’- Nadine.

Aku pantas tersenyum. Sudah masanya Lilo dan kawan- kawannya yang lain menerima balasan atas apa yang mereka lakukan kepadaku.
*****

Seperti biasa, aku melangkah masuk ke dalam kelas pagi itu dan Lilo terus mendekati aku. Dia rampas bag sekolahku dan terus membuka zip- nya. Aku sudah tahu apa tujuannya. Dia mahu mengambil duit perbelanjaanku. Dia buka zip itu sepantas kilat tapi dia terkejut bila melihat apa yang ada di dalam bag itu. Matanya membulat dan dia kaku sejenak.

“Arghhhhhh!” Lilo menjerit seperti terkena histeria. Dia terus berlari keluar daripada kelas tanpa arah tujuan. Aku ambil semula bag sekolahku dan melihat isinya. Nadine tersenyum kepadaku. Dia menjadi anak patung kecil dan masuk ke dalam bag sekolahku.

Pembalasanku tidak berakhir di situ sahaja. Malam itu, aku dan Nadine berkerjasama menakut- nakutkan Lilo. Dia sedang bersiaran di laman muka buku apabila Nadine menganggu siarannya. Dia menyisipkan beberapa keping gambar Lilo dan kawan- kawannya sedang membuli aku di sekolah.
Siaran lansung itu mendapat pelbagai reaksi daripada kawan- kawan sekolah yang lain. Mereka mengecam tindakan Lilo dan kawan- kawannya yang lain. Ramai yang memaki hamun perbuatannya di ruang komen. Lilo pula kelihatan bingung. Dia seakan tidak tahu apa yang sedang berlaku. Dia menutup siaran lansung itu dan Nadine munculkan diri di hadapanku sesaat cuma. Dia kemudian berubah menjadi asap putih lalu menghilang begitu sahaja.

*****
KEESOKAN harinya, Lilo dan kawan- kawannya telah dipanggil oleh guru disiplin. Mereka diminta memohon maaf kepada aku di hadapan pelajar yang lain. Ibu bapa mereka juga dipanggil ke sekolah dan mereka mahu mengembalikan duit- duit yang selama ini diambil oleh Lilo dari-Ku.

“Tak mengapalah mak cik. Aku halalkan duit tu. Aku cuma berharap Lilo tak ganggu aku lagi.” Kataku kepada ibu bapa Lilo. Mereka nampak sangat malu dan nekad memberhentikan Lilo dari sekolah itu. Kawan- kawan Lilo yang lain juga menyusul kemudiannya.

Akhirnya aku bebas daripada pembuli.
*****
‘Terima kasih Nadine. Kau memang kawan baik aku.’- Aku.

Aku dan Nadine berbual dalam ruangan ‘Messenger’ malam itu. Aku dan dia menjadi kawan baik. Walaupun aku tahu dia bukan ada di dunia ini lagi, aku tidak takut dengan dia. Dia selalu temankan aku mengulang kaji pelajaran. Dia berharap sangat masa boleh diulang kembali dan kami berdua boleh menjadi kawan baik. Dia menyesal menjadi seorang pembuli.Dia menganggap semua yang terjadi kepadanya sebagai Karma atas perbuatan jahatnya sebelum ini.

‘Aku dah maafkan kau Nadine.’- Aku.
‘Terima kasih sekali lagi,Humi. Aku gembira jadi kawan baik kau. Walaupun kita hanya boleh berkomunikasi di dalam papan kekunci ni sahaja.’- Nadine.

Aku hanya tersenyum. Aku doakan Nadine, pergi dengan damai dan aku akan teruskan kehidupan ini.

T A M A T

SHARE
Previous articleTak Diundang
Next articleTEROWONG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here