Jom Balik Kampung

0
1653

Jom Balik Kampung
oleh Wan SC

=========================

Aku melihat wajah gembira Mona apabila dia menerima tiga balang kuih bangkit cheese yang ditempahnya dekat Kak Salbi. Bukan main tersengih lagi. Esok adalah hari terakhir dia berkerja sebelum raya menjelang. Sebetulnya, pejabat ini kian surut jumlah pekerjanya sejak 3 hari lalu. Ramai ambil cuti awal, nak meraikan Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Lagu Aisyah – Pulanglah – yang dimainkan di radio seolah-olah memerli keberadaan aku di sini.

“Tak balik kampung ke Zim?” soal Abang Bakri yang sudahpun angkat beg kerjanya. Jam tepat menunjukkan 5.30 petang.

“Macam biasalah bang. Team raya solo, team raya KL.”

“Itu lah kau, aku suruh kau ngorat Siti department precurement tu kau taknak. Kalau tak, beraya kat Perlis dah kau tahun ni.”

Aku hanya tersengih dan menggeleng kecil dengan gurauan Abang Bakri. Memang ada dia cuba kenenkan aku dengan Siti tu tahun lepas.

“Ok lah abang balik dulu. Selamat hari raya. Maaf kalau ada terasa hati.” Abang Bakri hulurkan salam.

Aku sambut. “Sama lah bang. Halalkan makan minum saya. Hati-hati memandu balik kampung.”

Begitulah suasana saban tahun. Aku memang jadi orang yang terakhir sekali bercuti. Malah pekerja cina dan india pun ada yang ambil cuti sehari dua awal. Pun nak balik ke kampung halaman mereka. Ataupun pergi melancong bersama-sama keluarga. Bila lagi nak dapat peluang cuti lama-lama macam ni kan?

Dalam perjalanan pulang ke rumah setelah membeli sebungkus nasi tomato dan air carrot susu di bazar, otak aku ligat memikirkan betapa seronoknya kalau dapat balik ke kampung macam orang lain. Beraya dengan keluarga.

Dulu aku pun macam mereka. Tak sabar-sabar nak balik. Nak gantung langsir, nak pasang pelita, cat rumah, tukar sarung kusyen, kacau dodol, bakar lemang, macam-macam lagi lah. Tapi, lepas mak dan abah meninggal tiga tahun lepas, aku dah tak rasa semua tu.

Abang-abang dan kakak-kakak aku semuanya dah berkeluarga. Bila mak dan abah dah tak ada, mereka pulang ke kampung mertua masing-masing. Aku si anak bongsu dan satu-satunya yang masih bujang ni, hiduplah melara di kota raya.

Orang makan kuih raya, aku makan McDonald. Sadis.

Pernah juga Along, Angah dan Alang ajak aku beraya dengan diorang dekat rumah mertua mereka tapi aku tolak. Tak kuasa lah aku nak beraya di kampung orang.

“Berbuka nasi tomato je Zim?” soal Khairil, rakan serumah sewa aku yang juga tak balik raya.

Dia ni lebih sadis kehidupannya. Anak yatim piatu sejak kecil. Kampung dia adalah rumah anak-anak yatim yang ada dekat Hulu Selangor. Dia tak berapa suka balik ke sana atas sebab-sebab tertentu yang aku sendiri tak tahu.

Tapi dia bertuah lebih sikit je daripada aku. Dia ada girlfriend yang saban tahun akan bawa dia balik ke kampung apabila tiba hari raya. Cuma tahun ini..

“Kau tak balik kampung tahun ni Ril?”

“Aku mana ada kampung.” Jawabnya selamba sambil menyedut Teh O Ais bungkus ikat tepi yang diletakkan dalam mangkuk plastik warna hijau.

“Lisa?”

“Berapa kali aku nak pesan kat kau, jangan sebut lagi nama betina tu.” tegurnya perlahan.

“Aduh, sori Ril. Lupa pula aku.”

“Takde hal lah. Aku dah move on.”

“Jadi tahun ni, kau raya sini lah?”

“Mana lagi aku nak pergi, Zim?”

“Kalau macam tu, jom balik kampung aku nak?”

Khairil berhenti menyuap. Kami saling membalas pandang dengan raut wajah yang tertanya-tanya. Aku sendiri pun pelik, apa yang aku cadangkan tadi?

“Aku ingat kau takde kampung?”

Aku terdiam.

“Ada..” jelas aku, masih lagi terfikir-fikir. “Tapi dah tiga tahun aku tak balik. Rumah pusaka arwah mak ayah aku. Adik beradik pun semua taknak balik.”

“Weh, nice juga idea kau tu. Kita balik sana, kita kasi meriah balik rumah pusaka tu. Berdua kita pun tak ada hal lah. Nanti kau jemputlah kawan-kawan kampung kau datang beraya.”

Aku tersengih. Mungkin ini harapan aku nak beraya di kampung tahun ni.

“Betul. Aku setuju.” Syafiq yang muncul dari dapur, bersuara.

Syafiq – seorang lagi housemate aku. Dia ni serba-serbi ada. Mak ayah orang kaya tapi tak pernah hidup dalam kemewahan. Dia yang taknak. Kononnya nak hidup normal macam rakyat marhaen lain. Dia ni paling tak suka bila menjelang raya. Sebab family dia bukan macam family orang lain. Tiap kali raya, mak ayah dia mesti pergi bercuti ke oversea. Tak ada langsung semangat nak sambut raya.

“Esok lepas subuh kita gerak,” cadang aku.

“Cun!”

Perjalanan ke kampung memakan masa selama empat jam. Sepanjang masa Khairil bercerita tentang plan hari raya yang dia nak buat. Excited terlebih betul mamat ni. Ye lah, orang tak pernah ada kampung. Ada juga sesekali dia merungut, macam mana nak setelkan semua benda dalam satu hari. Hari ini dah 30 Ramadan. Sempat ke nak siapkan semua sebelum esok.

Sedang kami berhenti di stesen minyak, sempat lagi aku whatsapp abang-abang dan kakak-kakak aku.

‘Azim balik kampung rumah arwah abah dan mak tahun ni. Dua orang kawan ikut sekali. Kalau nak balik, balik lah. Azim kemas rumah tu nanti. Selamat hari raya.’

Along: 👍🏼
Angah: K
Uda: Mat ri ye
Alang: Insyaallah kalau sempat alang singgah. Tapi tak janji lah.
Ateh: -bluetick-
Acik: Kirim salah Pakngah kalau jumpa dia.

Memang akan jumpa Pakngah sebab dia yang pegangkan kunci rumah. Masa aku sampai dekat perkarangan rumah Pakngah, meriah aku tengok rumahnya. Anak-anak dia semua balik. Sepupu-sepupu aku lah. Tak pasal-pasal Khairil dan Syafiq kena saksikan beberapa babak air mata. Ye lah, aku kan dah tiga tahun tak balik kampung ni. Mak ngah berkali-kali pukul sambil menangis dan peluk aku. Mulutnya tak henti-henti kata, tahu pun balik, tahu pun kamu balik. Rindu benar dia pada aku barangkali.

“Ramai yang masih menanti kepulangan kau Zim kat kampung ni. Tapi kenapalah kau tak balik. Kalau aku..” ujar Syafiq ketika kereta yang aku pandu masuk ke halaman rumah arwah mak dan abah yang tak berpagar.

“Aku tau tapi beraya dengan keluarga sendiri lain feel dia Ril. Kalau keluarga sendiri dah tak ada effort nak berkumpul sama-sama.”

Aku menghentikan kereta. Brek tangan aku tarik kemas. Khairil dengan terujanya keluar dari kereta dan memandang kagum rumah kayu yang berada di depan.

“Cantiknya rumah kau ni Zim! Sumpah aku tak expect rumah pusaka ni cantik macam ni,” puji Syafiq.

“Dua tahun sebelum mak dan abah aku meninggal, kami adik beradik sempat renovate rumah ni. Fully kayu tau. Memang sejuk je malam-malam.”

“Dah macam chalet dah aku tengok ni. Eee. Ni buat aku tak sabar nak beraya ni. Nak bakar lemang!” kata Khairil pula.

Tergelak aku tengok gelagat Khairil ni. Jakun semacam.

“Assalamualaikum.” aku melaung perlahan sambil memulas tombol pintu setelah aku suakan anak kunci ke lubangnya

“Jadah apa bagi salam rumah tak ada orang?” Syafiq membebel.

Aku tergamam. Bukan sebab suara Syafiq yang menegur aku keras tapi..

“Adab. Arwah selalu pesan bagi salam sebelum masuk rumah. Tak kisah lah ada orang ke tak. Kau kena tahu tu,” jelas aku sedikit gagap.

“Oh, ye ke? Okay..”

Hari itu Aku, Syafiq dan Khairil mengemas rumah pusaka tu secantik yang mungkin. Kami ke pekan membeli segala jenis kelengkapan yang patut. Tak terjinggal juga kuih muih untuk santapan hari raya yang tinggal kurang dari 24 jam. Lemang yang kononnya nak dibakar oleh Khairil, kami terpaksa beli sahaja yang dijual di tepi-tepi jalan. Kami tukar langsir, sapu sampah, buang sawang, mop lantai yang dah berhabuk, setiap penjuru rumah kami bersihkan. Laman rumah kami pacakkan pelita dan hiaskan dinding rumah dengan lampu kelip-kelip. Terasa meriah dengan lagu-lagu raya yang berputar liga di kaca televisyen, sengaja aku pasang kuat-kuat. Rendang dan ketupat, see the hand lah. Mujur aku selalu tolong arwah mak dulu-dulu. Harap sama lah rasanya macam arwah mak buat. Lega rasanya apabila semuanya siap apabila waktu menjelang maghrib.

Sempat jugalah aku snap sana sini, hantar dalam group whatsapp adik-beradik. Bersungguh aku nak buktikan pada mereka, walaupun aku tak ada keluarga mertua, aku masih boleh beraya dengan meriah.

Along: Macam best je.
Angah: Kau rebus sendiri ke ketupat tu?
Uda: Wow ada pelita! Anak-anak Kak Uda suka sangat lah ni.
Alang: Kalau macam ni lah rumah arwah, insyaallah Alang singgah nanti.
Ateh: -bluetick-
Acik: Ni rasa nak ajak laki aku last minute tukar plan ni 🤣

Kami berbuka di rumah Pakngah hari itu. Pakngah yang jemput, rasa tak best pula kalau menolak. Lagipun siapa berani tolak gulai tempoyak ikan patin hidangan signature makngah.

“Rumah dah siap kemas ke Zim?” soal Musa, sepupu aku, anak Pakngah.

“Dah. Aku pulun dengan diorang berdua ni habis-habisan siang tadi.”

“Malam ni tidur sini je lah Zim, Ril, Syafiq. Meriah sikit. Boleh sembang-sembang,” Pakngah mempelawa ketika kami bertiga dah menyarung selipar di muka pintu.

“Eh takpe lah pakngah. Kami tidur dekat rumah je. Nak rebus ketupat tu, takut tak masak pula nanti.”

Aku nampak muka Pakngah macam tak keruan. Macam ada sesuatu yang dia nak cakap tapi tak terluah.

“Nanti kalau ada apa-apa masalah, telefon je pakngah. Ye?”

“Ye lah. Kami balik dulu ye. Terima kasih gulai tempoyak tadi. Sedap.”

Malam itu, kami bertiga habiskan masa menonton drama raya di televisyen sambil mencuba daging opo yang aku masak mengikut resepi arwah mak bersama-sama ketupat yang siap direbus.

Sedap punya pasal, sampaikan aku tak sedar entah berapa kali aku masuk ke dapur, senduk daging opo tu dari kuali. Kalau macam ini lah gayanya, tak sempat nak tunggu esok ni.

“Sedap?” soal Syafiq dari belakang ketika aku menyenduk.

“Of course lah. Kau nak tambah?” soal aku.

Sepi.

“Kau nak tak ni?” soal aku lagi sambil menoleh ke belakang.

Sepi.

Syafiq tiada pun di belakang aku.

Apabila aku kembali ke ruang tamu, aku nampak Syafiq dan Khairil sedang mengekek ketawa menonton drama raya komedi di kaca tv.

‘Siapa pula tegur aku kat dapur tadi?’ gumamku.

Malam itu, aku susah nak lelap. Otak asyik memikirkan siapa yang tegur aku dekat dapur tadi. Aku yakin tu suara Syafiq. Budak-budak ni nak menyakat aku ke apa? Tapi, bila difikirkan balik tak mungkin Syafiq boleh berjalan sepantas itu dari dapur ke ruang tamu. Rumah ni rumah kayu kot. Kalau dia berlari, aku boleh dengar. Dan apa motif pula diorang nak menyakat aku. Bukannya budak-budak.

Fikiran aku melayang pula ke hal siang tadi..

Kraapp Kraappp

Tiba-tiba langsir di belakang aku diselap-selak, serta-merta lamunan aku terhenti. Kau tahu kan langsir yang jenis ada penyangkut beroda tu. Cepat-cepat aku bangun dari baringan. Aku cuba fokuskan mata ke arah tingkap bilik yang tengah kelam ketika itu.

Suasana sepi.

Hi hi hi hi hi

“Astaghfirullah al-azim!” Aku tersentap. Cepat-cepat aku melompat turun dari katil lalu petik suis lampu. Bilik jadi terang berderang. Mata aku meliar ke segenap bilik. Tiada apa-apa yang mencurigakan tapi bulu roma aku terus-menerus merinding.

Aku menapak keluar dari bilik menuju ke ruang tamu. Khairil sedang berbaringan di atas sofa. Sudah terlelap. Syafiq masih lagi bersengkang mata menonton drama di televisyen, terbaring di atas toto yang dibentang lebar di depan tv. Berselubung dengan selimut.

“Tak tidur lagi ke Syafiq?” soal aku.

“Tak ngantuh ah. Kau tu, apsal tak tidur lagi?” soalnya semula.

“Err..bilik aku panas. Ingat nak tidur sini je dengan korang.”

“Suka hati kau lah. Nah.” Syafiq campakkan sebiji bantal ke arah aku.

Nampaknya terpaksalah aku tidur dekat ruang tamu. Rasa lain macam pula tidur dalam bilik tadi.

*****

Balik dari sembahyang raya, keluarga Pak ngah datang beraya dekat rumah. Meriah sikit isi rumah ni. Ada juga beberapa rakan sekampung aku dulu-dulu datang menziarah. Seriously, aku rasa happy sangat. Sampaikan aku boleh terlupa hal-hal ganjil yang berlaku pada aku malam tadi.

Tapi itu lah, kebahagiaan ni semuanya sementara je. Hari raya kedua, aku dan dua housemate aku tu dah nak kena balik ke KL. Masing-masing akan sambung bertugas di hari raya ketiga.

Ketika dalam perjalanan, aku nampak Khairil macam banyak termenung. Lain betul perangai dia dua hari lepas dengan hari ni.

“Apsal Ril? Nampak macam tak happy je?” soal aku.

Khairil hanya diam. Ada jugalah sesekali dia mengeluh. Syafiq nampak menjeling dari belakang.

“Aku nak cakap serba salah. Tak cakap karang, rasa bersalah pula.”

“Kenapa?”

“Selama tiga tahun ni, memang tak ada orang langsung ke balik rumah tu Zim?”

“Takde. Kenapa?”

Khairil kembali bermain dengan fikiran dia. Sesekejap dia menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.

“Rumah pusaka tu, aku rasa bukan kita je yang tinggal situ beberapa hari ni. Ada benda lain juga,” jelas Khairil.

Aku tergamam.

*****

KISAH KHAIRIL

Aku dari kecil tak pernah merasa suasana beraya di kampung. Bila Azim offer ajak balik kampung dia, mestilah aku excited. Macam-macam aku plan dalam kepala ni, nak buat itu, nak buat ini.

Aku keluar dari kereta dengan penuh teruja. Cantik sangat rumahnya. Rumah kayu macam ala-ala chalet tepi pantai. Nampak mewah.

“Dah macam chalet dah aku tengok ni. Eee. Ni buat aku tak sabar nak beraya ni. Nak bakar lemang!” kata aku beberapa saat sebelum keseronokan aku direntap oleh pandangan mata.

Ketika Azim dan Syafiq sedang sibuk mengeluarkan beg pakaian mereka dari but kereta, aku bersiar di kawasan sekitar rumah. Tanpa sengaja aku terlihat sebuah tingkap terbuka dengan perlahan.

‘Eh, kenapa pula tingkap ni boleh terbuka?’ – gumamku.

Terus berdiri tegak bulu roma aku apabila tanpa sengaja aku terlihat sekujur tubuh perempuan sedang berdiri dekat situ. Samar-samar sebab di dalam rumah terlalu gelap. Cepat-cepat aku berpatah balik ke arah kereta. Aku cuba nak bagitahu Azim tapi entah kenapa mulut ni macam terkunci. Azim pula, menonong je berjalan ke pintu rumah.

“Assalamualaikum.” Azim bagi salam. Terperanjat aku dibuatnya bila Azim buat macam tu. Cepat-cepat aku pandang ke arah tingkap yang terbuka tadi. Eh, dah tertutup rapat!

“Jadah apa bagi salam rumah tak ada orang?” Syafiq membebel.

Aku nampak wajah Azim sedikit terkujat.

“Adab. Arwah selalu pesan bagi salam sebelum masuk rumah. Tak kisah lah ada orang ke tak. Kau kena tahu tu,” jelas Azim sedikit gagap.

Mujur lah hari masih siang, dan dalam bulan puasa. Rasa takut aku ni tak adalah teruk sangat. Aku masih chill. Boleh jadi tadi aku salah pandang. Mungkin tu langsir, atau almari, atau apa sahaja lah yang nampak samar-samar macam tubuh manusia.

Tapi, macam mana tingkap tu..

Aku, Syafiq dan Azim sibuk bersihkan kawasan rumah selepas kami pulang dari pekan beli apa-apa yang patut. Mujurlah Pakngah Azim dan dua orang anak dia ada datang tolong. Ringan sikit kerja kami.

Sedang Syafiq sibuk menukar langsir dan sarung kusyen, Azim sibuk mencakar daun kering dekat laman, Pakngah dan anak-anak dia tolong mana yang patut, aku pergi ke bilik air. Nak buat air sabun, nak mop lantai kononnya. Masa aku tadah air ke dalam baldi, aku tinggalkan lah sekejap baldi tu, nak ambil sabun yang aku beli tadi. Terlupa pula nak bawa sekali. Bila aku kembali ke bilik air, aku tengok baldi aku dah terlungkup ke lantai. Paip air tertutup rapat.

“Ni dah kenapa pula ni?” bebel aku.

Aku betulkan balik baldi tu, buka balik air paip. Tiba-tiba..
“Paap!” lampu bilik air tu terbakar.
PAP! – pintu bilik air tu tertutup dengan sendiri.
Bilik air terus jadi kelam gelap gelita. Tak ada cahaya langsung yang masuk. Ada lubang udara tapi masih juga gelap. Aku hampir nak menjerit. Bukan sebab takut tapi sebab terperanjat je. Cepat-cepat aku raba-raba dinding bilik air tu cari pintu. Jarak antara pintu dengan paip air tadi agak jauh. Bilik air tu besar.
Aku raba, raba, raba. Astaghrifirullah al-azim! Aku terpegang tangan orang! Sejuk! Masa ni lah dengan spontannya aku jerit sekuat hati aku. Laju je tangan aku lagi satu pulas tombol pintu dan cahaya terang menerobos masuk.

Tak lama lepas tu, Syafiq muncul. Dia tanya aku, Kenapa? Aku cuba rahsiakan, aku cakap lampu terbakar je. Ye lah, datang sini nak happy. Nak seronok. Nak raikan hari raya. Taknaklah apa yang aku alami tadi tu ganggu hari kami kat sini.

“Ish kau ni..jerit macam nampak hantu.”

“Woi, mulut tu jangan celupar sangat. Malam ni malam raya.”

“Kenapa kalau malam raya?” soal Syafiq.

“Malam raya kan setan dah dilepaskan,” Sepupu Azim yang aku sendiri tak tahu namanya, masuk ke dapur sambil membawa dua batang lemang yang dah dibalut dengan surat khabar. “Ni mak bagi lemang dekat korang. Aku letak atas meja ni ye.”

Aku dan Syafiq sekadar mengangguk.

Terlalu penat mengemas rumah pada waktu siang, aku terlelap awal pada malam itu. Ada jugalah dengar Syafiq dan Azim bersembang depat tv tapi aku terlalu mengantuk nak join the conversation. Aku tersedar bila penggera dekat telefon aku berbunyi. Hari dah masuk subuh.

Aku bangun dari baringan, aku nampak tv masih terpasang dengan rancangan raya apa benda entah. Azim dan Syafiq terbungkang atas toto depan tu. Masing-masing berselubung dengan selimut kotak-kotak. Memang betul apa Azim cakap. Rumah ni sejuk sangat bila menjelang subuh. Tak payah pakai kipas. Aircond semulajadi.

“Zim..Fiq..bangun subuh.”

“Hmm..” itu je yang Azim sahut. Syafiq langsung tak bersuara. Malah lebih kuat dia berdengkur.

Aku ambil wuduk macam biasa. Dekat bilik air yang sama. Pada mulanya aku agak cuak nak pergi ke situ tapi rumah ni memang ada satu bilik air sahaja. Takkan aku nak skip solat pula semata-mata terkenangkan apa yang berlaku semalam. Lagipun, malam tadi masa aku nak solat maghrib dan isyak, tak ada apa-apa pun yang berlaku.

Selesai wuduk, aku menapak ke ruang tamu. Tapi, baru beberapa langkah aku keluar dari bilik air, aku terdengar bunyi air paip menitik laju jatuh ke lantai.

Aku patah balik ke bilik air. Memang jelas air paip tu terbuka. Eh, aku tutup lah tadi!

Dalam dahi duk berkerut tu, aku cepat-cepat tutup paip tu lalu kembali ke ruang tamu. Dan sekali lagi aku terdengar air paip menitik jatuh ke lantai.

“Aku tak kacau kau, kau jangan kacau aku.” Spontan aku berkata-kata macam tu ketika aku berpatah balik ke bilik air dan tengok air paip masih lagi keluar laju.

Itu tak berapa menakutkan sangat. Lebih seram apabila aku angkat takbir di rakaan kedua, entah macam mana telinga aku menangkap suara seseorang mengangkat takbir di belakang aku. Aku ketika itu sedang solat dekat ruang tamu. Ekor mata aku dapat lihat dengan jelas Azim dan Syafiq yang masih terbaring dekat depan tv.

Sumpah, solat aku memang tak kusyuk langsung lepas tu. Setiap kali aku takbir, setiap kali itu juga suara tu ikut dekat belakang.

*****

“Bila aku bagi salam, masa tu baru lah suara tu hilang. Mujur lah masa aku toleh ke kiri ke kanan tu benda tu tak muncul tersengih tepi aku,” jelas Khairil.

“Meremang aku weh!” pekik aku perlahan. “Sorry lah Ril, Fiq. Aku ingat nak happy-happy raya ni. Sekali korang kena macam ni, serba salah pula aku dibuatnya. Rumah dah tiga tahun tak berpenghuni, normal lah kan macam tu,” kata aku.

“Tak ada hal lah Zim. Kita semua happy juga kan. Dengan Pakngah kau pun banyak support kita. Kawan-kawan kau ramai datang. Kau happy, kitorang pun happy.” Khairil cuba bermanis mulut.

“Aku bersalah dalam hal ni. Sepatutnya dari awal lagi dah aku ajak korang balik. Takyah beraya dekat situ.”

“Apsal?” soal Khairil.

“Kau tahu masa awal-awal aku bagi salam masa kita sampai tu, masa tu aku dah tau rumah tu berpenghuni. Ada orang jawab salam aku. Dia kata..kau buat apa dekat sini? Pergi balik!”

“Shit! Serious la?” Khairil terkejut.

“Ye. Tapi aku mengenangkan kau dan Syafiq happy sangat dapat balik kampung, aku buat tak endah je suara dari balik pintu tu.”

“Meremang weh aku!” Khairil menggosok-gosok lengannya.

“Kau Syafiq. Ada benda tak elok berlaku dekat kau? Diam je dari tadi?” soal aku kepada Syafiq yang hanya duduk bersandar di seat belakang. Termenung memandang ke luar tingkap kereta yang meluncur laju menuju ke Kuala Lumpur.

“Ada. Tapi..nanti kita sampai KL aku cerita. Tak ada mood lah nak cerita sekarang,” jawab Syafiq perlahan.

Aku dan Khairil sekadar mengangguk.

Perjalanan ke KL nampaknya lancar sahaja. Mungkin sebab orang ramai masih lagi bercuti. Sampai di rumah, aku terus labuhkan badan ke atas kerusi. Jam menunjukkan pukul 8 malam.

Khairil capai remote tv lalu dibukanya ke siaran Astro Warna.

“So, Syafiq. Kau ok? Ready nak bercerita?” soal aku.

Syafiq menangguk.

“Aku start rasa rumah tu ada sesuatu yang tak kena apabila aku tanpa sengaja masuk dekat stor belakang rumah pusaka kau tu tengahari tadi. Aku sendiri pun tak pasti kenapa aku masuk situ dan aku nak buat apa dekat situ. Sedar-sedar dekat tangan aku ada sebuah labu sayung warna hitam. Aku buka penutup dia. Tiba-tiba aku rasa macam ada angin keluar dari mulut labu sayung tu,” jelas Syafiq.

Aku yang terbaring sejak tadi, terus terbangun.

Telefon bimbit aku yang sejak tadi bergetar, aku langsung tak hiraukan.

“Pintu stor tertutup rapat. Terkejut dan takut punya pasal, aku terlepas labu sayung tu dari pegangan. Jatuh dan pecah. Aku berlari ke pintu, cuba buka tapi pintu tu ketat sangat. Macam ada benda halang aku daripada buka. Aku jerit panggil nama kau tapi aku tak rasa kau dan Khairil dengar.”

Bulu roma aku merinding. Telefon bimbit terus bergetar di dalam poket.

“Sedang aku menjerit-jerit panggil nama kau, tiba-tiba ada satu suara menyapa dekat belakang aku. ‘Kau takut apa?’ suara tu tanya macam tu. Bila aku toleh ke belakang. ALLAH! Ada sekujur tubuh sedang berdiri melekat dekat siling stor tu. Kaki kat siling, kepala ke bawah. Berpunjut. Muka dia hitam sangat tapi aku boleh nampak mata dia yang terjegil tu. Aku menjerit kuat-kuat jerit ALLAH! ALLAH! ALLAH. Tapi dia macam tak takut. Dia melompat-lompat melekat dekat siling tu, makin dekat dengan aku!”

“Weh..apsal aku tak dengar kau jerit panggil kitorang?” Khairil kedengaran gugup.

Telefon bimbit dari poket seluar aku keluarkan. Anoyying pula rasa bergetar sejak tadi.

Eh, apsal pula nombor telefon Syafiq terpapar dekat skrin ni?

“Aku pengsan lepas tu,” jelas Syafiq.

“Eh, kau pengsan? Habis macam mana kau sedar dan boleh keluar dari stor tu?” soal Khairil hairan.

“Tak..dia tak keluar pun,” jelas aku sambil melihat ke arah skrin telefon bimbit. Satu mesej diterima daripada Syafiq, satu minit tadi.

‘Tolong aku Zim. Aku terkurung dalam stor’

Dan aku memandang tepat ke arah Syafiq yang sedang tersenyum sinis di atas sofa di depan aku.

“Akhirnya kita bersua semula tuan muda,” ujar Syafiq dengar suara berlapis-lapis.

-TAMAT-

SHARE
Previous articleIbu, ampunkan kami!
Next articleLANCANG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here