Ibu, ampunkan kami!

0
2278

Ibu, ampunkan kami!
Karya raya: @senyumanperantau SP

—-

Nadiah

Eh, dah kenapa pulak Dekna suruh balik kampung tahun ni?

Buang tebiat apa pulak budak ni, dah suruh aku balik kampung!

Punat abjad aku tekan satu persatu.

“Nanti aku tanya Bang Long dulu, kalau dia cuti, aku balik. Kalau tak, aku tumpang Angah je. Ok?”

“Korang wajib balik. PENTING!”

Senget!

Dekna ni tahun terakhir raya ke apa.

Kalau diikutkan masuk tahun ni, dah tahun ketiga kami beraya tanpa ibu.

Puih! Maksud aku Si Latifah Jalang!

Jijik rasanya lidah aku nak sebut ibu.

Dah 20 tahun aku tak sebut nama ibu sejak peristiwa malam tu. Bagi aku ibu ni ungkapan atau gelaran bagi orang mulia dan akhlak terpuji!

Kejadian malam tu, tak boleh aku lupa, membuatkan aku terus lupa dengan perkataan ibu!

—-

Malam tu, aku bakal menginjak masuk umur 23 tahun.

Seronok betul aku nak sambut hari lahir aku kali ni. Aku pun tak tahu kenapa.

Aku ikut je perasaan gembira yang membuak-buak.

Nak kata aku ni hidup senang sangat, tak. Nak kata susah pun, tak juga. Cukup makan, cukup pakai sajalah. Tapi kalau nak bermewah tu, memang takda.

Ibu dan ayah dah lama bercerai, masa aku umur 18 tahun.

Angah memang benci ibu sejak penceraian tu berlaku. Angah sering salahkan ibu sebab tak pandai jaga hati ayah.

Aku pun tak faham angah. Dia perempuan, patutnya dia pertahankan ibu. Ni dia salahkan ibu bulat-bulat.

Malam tu, ibu masak sedap-sedap. Macam-macam terhidang, untuk menyambut ulangtahun kelahiran aku yang ke-23.

Air mata aku menitis. Usai solat Maghrib, kami adik-beradik dan ibu duduk sambil menikmati hidangan ayam percik kuah putih istimewa ibu.

“Along, ibu ada benda nak cerita kat along. Ibu rasa along patut tahu sebab…”

“Assalamualaikum.” -suara ayah memecahkan hening malam, memutuskan ungkapan ibu.

Owh, lupa nak beritahu. Walaupun ibu dan ayah sudah bercerai, hubungan kami dengan ayah tak pernah berubah.

Ayah sering berjumpa dan tak pernah lupa akan tanggungjawabnya.

Malam tu, ayah turut sama menikmati makan malam. Ibu diam je malam tu. Tunduk sambil menarik nafas dalam-dalam.

Aku buntu. Patutkan kasihankan ibu, atau simpati dengan si ayah.

Apa ibu nak beritahu aku?

—-

Kenyang betul pekena ayam percik malam tadi.

Aku kekenyangan tak dapat tidur!

Golek ke kiri, golek ke kanan.

Kantuk yang dicari belum kunjung tiba.

Kreakkk!

Bunyi pintu kayu rumah dikuak perlahan.

Lantas, aku terus intai di sebalik pintu bilik.

Ibu berjinjit perlahan menuju ke pintu utama.

Di tangan ibu menggalas beg plastik hitam. Tudung ibu pun sekadar diselempangkan malas di bahu.

Ke mana ibu?

Aku membuntuti ibu tanpa disedari.

Akhirnya, jawapan pahit yang sukar aku terima.

Ibu pergi ke rumah Ustaz Bakri.

Ustaz Bakri sempat hulur beberapa not kertas di tangan ibu.

Ustaz Bakri mempelawa ibu masuk.

Aku tak sanggup intai lagi.

Aku lenyapkan terus perasaan hormat dan sayang kepada ibu!

Sejak tu, aku akan panggil ibu, Latifah Si Jalang!

Perempuan apa sanggup pergi ke rumah lelaki malam-malam buta!

Air mata kuseka.

Latifah, dah takda!

Dekna, aku akan pulang ke kampung kalini.

—-

Afizah

Kring! Kring! Tap!

Loceng klasik pemberian arwah suami kutekan.

5.00 pagi.

Aku bangun dengan berat hati menuju ke dapur untuk bersahur.

Malas betul rasanya nak bersahur bila laki dah mati ni.

Sebungkus Maggi Asam Laksa didihkan.

Sambil menunggu masak, aku kembali ke bilik mencari teman setia aku.

Satu-satu pesanan Whatsapp aku teliti satu persatu.

“Boss, esok saya EL ye. Anak kucing kesayangan mati. Harap boleh lulus ye.”

Macam-macam staf aku ni.

“Selamat Hari Raya, Fizah. Ampun maaf salah silap aku.”

Hish, Amin Gatal ni pun ada!

“Korang WAJIB balik tau tahun ni, PENTING!”- Dekna, 1.00 pagi.

Anak mataku membulat. Apa yang penting sangat ni.

Aku lungsur paparan Whatsapp ke atas semula.

“Korang balik raya tak tahun ni? Aku rasa korang kena balik.”-Dekna.

“Kenapa weh kecoh-kecoh. Bukan ada siapa lagi. Ayah dah duduk KL. Ustazah jadian tu dah mampus! Kita kumpul rumah Along je la. Buat letih mengadap jem je!”- Alang Hadid.

“Tak baik kau cakap macam tu. Korang kena balik. Ada benda penting aku nak beritahu!”- Dekna.

“Nanti aku tanya Bang Long dulu, kalau dia cuti, aku balik. Kalau tak, aku tumpang Angah je. Ok?”-Along Nadiah.

“Korang wajib balik. PENTING!”-Dekna.

Aku terpaku. Benda penting?

Dah tiga tahun ibu meninggal. Itu hari paling penting, aku rasa.

Mesej along aku balas.

“Maaf semua. Aku tidur awal malam tadi. Semalam ada kes. Aku ok je balik tahun ni. Dapat cuti tahun ni.”

“Angah drive ke?”-Along Nadiah.

“Ye la. Takkan aku nak naik jin aladdin.”

“Aku tumpang kau. Bang Long tak dapat balik. Kerja katanya.”-Along Nadiah.

“Ok je Along. Aku jemput kau, esok pagi lepas sahur. Tak nak jalan malam, ngantuk!”

“Ini pasal ibu. Korang kena balik!”-Dekna.

“Dah mati pun orang tua tu!” spontan aku taip.

“Balik dulu. Banyak dosa kita kat ibu!”-Dekna.

“Sudahlah kau. Kau pun benci ibu jugak dulu kan? Hahaha.”-Alang Hadid.

“BALIK DULU!”-Dekna.

—-

“Ibu, kenapa ibu nak berpisah dengan ayah?” soal aku tak puas hati.

Ya. Aku masih muda masa tu. Aku baru 17 tahun, tapi aku sedikit matang jika nak bandingkan dengan along.

“Apa ayah dah bagi kat kita? Semua ada. Makan pakai cukup. Kasih sayang cukup. Ayah tak pernah seksa atau pukul ibu!” Aku terus membebel tanpa pedulikan tangis ibu.

“Angah. Angah belum betul-betul matang untuk ibu cerita semua ini. Perkahwinan bukan sekadar dunia, tapi juga untuk akhirat, sayang…” Ibu terus memujuk aku.

“Apa ibu tahu pasal akhirat. Abah tu ustaz. Pegawai Agama lagi. Ibu nak cakap ibu lagi alim daripada abah! Haha.”

Aku sengaja ketawa kuat-kuat. Ibu terus menangis, bertambah kuat esakan ibu.

“Angah pernah sayang ibu, tapi ibu dah kecewakan kami, musnahkan harapan kami adik-beradik!”

Bertalu-talu kenangan penceraian ibu bermain di kotak fikiran aku.

Aku juga buntu. Sejujurnya, aku masih sayangkan arwah ibu. Tetapi apabila mengenangkan pahitnya hidup keluarga berpecah-belah, aku jadi sedih!

“Afizah, kenapa mak kau bercerai dengan ayah kau ek?”

“Ibu kau tak sayang ayah kau lagi?”

“Kenapa takda orang datang sign report card awak, Afizah?”

Perasaan sayang aku kendur kembali, terimbas kembali soalan-soalan tajam dahulu.

—-

Hadid

“Woit, cover sket, kantoi nanti!” Aku memberi arahan sambil Zulfadli dan Firdaus terus beratur di sebalik tirai.

Cantik!

Mission Accomplished.

Zulfadli dan Firdaus tersengih-sengih menyelinap keluar di sebalik tirai sambil menjinjing tiga plastik hitam.

Tangan kanan aku memberi isyarat ibu jari, kemudian tangan dikibaskan laju.

“Cepat la giler. Kantoi kang!” Aku sedikit bertempik. Mana taknya, berlenggang jalan, kantoi karang, tak ke naik van jenazah.

“Boss, kami pelik la dengan boss ni!” Ujar Zulfadli.

“Pelik amendenya!”

“Ya lah boss. Boss umur dah 38 tahun. Tak insaf lagi ke boss, tak puasa lagi. Kami lainlah, baru 20 tahun boss.” Sokong Si Firdaus sambil tersengih-sengih Zulfadli.

“Kau diamlah. Aku malas nak puasa. Aku lapar. Lagi pun nasihat mak aku pun aku sesah, ni pulak nasihat korang yang kaki plastik hitam ngan aku, Hahaha!”

“Taklah. Kami tanya je boss. Sebab rasanya boss dah tua biat kerja ni. Pastu, susah-susah plak cari kedai Melayu nak beli, awat tak bedal je Bak Kut Teh depan kilang kita tu!”

Seraya dua orang budak ni mengekek ketawa. Bengang jugak aku dengan budak dua orang ni. Tapi lapar punya pasal!

“Sebab apa? Halalan Toyyiban la!” Balas aku.

Semua ketawa terbahak-bahak.

—-

“Alang. Kenapa alang buat macam ni?”

Aku mencembeng setelah dimarah dan dilempang ibu.

“Ibu merayu sangat dekat alang. Alang buat apa ni. Tak solat, mencuri dan hari ni, tak puasa!”

Aku terus mencebik bibir sambil menendang kaki ibu.

“Ibu berharap sangat anak ibu mempelajari ilmu agama. Jangan jauhkan ilmu ni nak. Agama ni pembimbing. Kita nak dapatkan rezeki Halalan Toyyiban nak…”

Ibu merayu sambil menangis. Itu kali pertama aku dilempang ibu.

Eleh, nak ajar aku suruh jadi baik. Padahal dia pun laki cerai!

“Eh, kau menung apa tu boss! Jom makan nasi goreng ayam ni. Sedap betul!” Pelawa Firdaus.

“Jom.”

Nak balik ke tak kampung?

Berbaloikah?

Suapan nasi goreng ayam harini terasa kosong.

—-

Munirah

Aku baru selesai solat tarawih. Lagi dua malam terakhir sebelum sambut raya.

Aku beginilah. Tinggal seorang menjaga rumah peninggalan ibu setelah ketiadaan ibu, tiga tahun lalu.

Along- sudah lama tak menjejakkan kaki pulang ke kampung setelah 20 tahun bergaduh dengan ibu. Ibu meninggal pun sekadar singgah, tengok dari jauh. Suruh tengok jasad ibu buat kali terakhir pun tak nak. Tak habis-habis panggil ibu dengan panggilan jalang. Astaghfirullah Al-Azim.

Memang tak patut dia buat ibu macam tu. Tapi, aku sendiri tak pasti apa yang along hadap. Aku masa tu pun baru umur 8 tahun. Masih mentah nak faham apa yang terjadi.

Tu kisah along.

Angah- angah ni pelik. Aku sendiri tak faham, apa yang dia nak marah-marah sangat. Dia umpama menyalahkan bulat-bulat ibu.

Kononnya, dia sendiri berhadapan dengan ibu. Bincang elok-elok dengan ibu. Paksa ibu tarik balik keputusan untuk pergi mahkamah syariah.

Kononnya, dia paling matang. Dia cakap ibu terlalu menuruti perasaan dan ego.

Aku buntu lagi. Tetapi yang pasti, angah tak pulang lagi ke rumah setelah berkahwin.

Semasa ibu mati pun, dia balik keesokannya sekadar melawat kubur.

Alang?

Yang ni aku malas nak cerita. Dia punya salah dan degil lain macam. Solat, puasa tak pernah menyinggah kat diri dia. Mencuri, menyamun jadi asam garam.

Ibu mana yang tak marah. Lepas ibu lempang, dia juga tinggalkan rumah, langsung tak pulang sampai sekarang.

Aku?

Aku masih muda semasa kejadian. Baru berumur 8 tahun semasa penceraian ibu dan ayah.

Aku masih mentah nak hadam apa yang jadi.

Cuma yang aku tahu, ibu tak pernah bagi aku kawan dengan lelaki atau izinkan aku kahwin.

Katanya, dia sayang aku sangat-sangat.

Walaupun, masa tu ramai lelaki tergila-gilakan aku, aku terpaksa tepis perasaan tu jauh-jauh.

Namun begitu, aku tak pernah benci ibu. Setiap hari, aku hanya ada ibu. Marah-marah ibu kat aku pun, dia cuma ada aku. Aku pun kalau gaduh dengan ibu, aku sematkan dalam-dalam, aku cuma hanya ada dia.

Ayah?

Ada juga menjenguk aku dan ibu setiap hari raya. Yang pasti, ada pertengkaran kecil berlaku. Aku pun tak ambil endah dan peduli.

Sehinggalah ibu meninggal tiga tahun lepas, aku rasa ralat sangat.

Ibu meninggal agak tragis.

Jatuh dari tangga ke dapur.

Kepala ibu separa pecah, mendedahkan otak masih berdenyut.

Kedua-dua mata ibu terjojol keluar.

Lidah terjelir keluar, dua jengkal panjang.

Perut ibu terkoyak dek terpacak penyodok besi yang disandarkan di tangga dapur.

Pelik. Kematian ibu berlaku terlalu cepat, semasa aku sedang mandi.

Pihak polis menolak sebarang aktiviti jenayah kerana tiada sebarang kehilangan atau motif dendam.

Sejak tiga tahun lepas, berayalah aku seorang…

—-

Aku tak dapat tidur malam ni. Tinggal dua hari lagi untuk berpuasa.

Aku bangun dan solat sunat tahajjud dua rakaat.

Sempat aku belek-belek album lama, ibu, abah dan adik-beradik yang lain.

Aku masih kecil masa tu.

Ayah berjambang, manis senyuman, mengenakan serban.

Ibu pula ayu bertudung labuh sambil mendukungku.

Along dengan aksi seperti gorilla.

Alang mencubit pipi angah. Kelihatan angah seakan menangis.

Tak sedar, air mata aku meleleh setitis demi setitis.

Satu persatu, almari bilik ibu, aku selongkar.

Bang!

Sebuah diari lama terjatuh dari atas almari solek.

Mendedahkan catatan ibu sehari demi sehari.

Sehelai demi sehelai aku baca.

Air mataku tertumpah sedikit demi sedikit.

Tetapi sayang, 10 muka surat terakhir, ianya lenyap.

Ada antaranya seolah dikoyak, dan separuh lagi seolah dibakar.

—-

“Korang semua kena balik ye raya ni. Penting pasal ibu! Ayah pun nak buat tahlil untuk ibu!” Aku menghantar pesanan sekali lagi. Aku berharap mereka pulang.

Aku harap sangat mereka pulang…

—-

Maghrib malam raya (Malam 4/6/2019)…

Allahu Akbar Allahu Akbar…

Allahumma Lakathumtu Wa Bika Amantu Wa ‘ala Rizqika Afthortu Birahmatika Ya Arhamarrohimin.

Munirah memulakan juadah dengan sebiji kurma. Sesekali tingkap kayu menghadap halaman rumah ditenung.

Sayu. Dia betul-betul berharap agar adik-beradik yang lain pulang.

Segalanya perlu dijelaskan harini.

Seumpama doa Munirah termakbul, sebuah Honda Civic hitam memarkir tepat di bawah pepohon cermai.

Dua orang perempuan yang sangat dikenali Munirah telah tiba.

Along dan Angah.

Alhamdulillah. Munirah bersyukur kerana keduanya telah tiba.

“Along, Angah. Masuklah. Pintu depan tak kunci.” Sapa Munirah atau Dekna.

“Along dan Angah je ke. Alang?”

Muncul Alang dari pintu belakang kereta sambil mengeliat.

Alhamdulillah. Alang pun ada.

“Masuk alang. Jom kita berbuka sekali. Banyak ingin kita bincangkan.”

—-

Usai solat Isyak, diimamkan Munirah, Nadiah dan Afizah bersalaman. Masing-masing berpelukan melepaskan perasaan rindu yang terbuku di hati.

Sempat Nadiah membaling sejadah tepat ke arah Hadid yang masih lena selepas berbuka tadi.

Maghrib ke mana, Isyak pun lingkup.

“Assalamualaikum, along, angah dan alang. Dekna jemput semua balik ke kampung ni ada sebab. Bukan saja-saja. Ini sebab ibu.”

Mata Munirah mula berkaca.

“Ini dia semua rahsia yang tersimpan. Diari ibu. Lepas baca ni, terserah kat korang, sama ada nak terus membenci ibu atau…”

Ayat Munirah terputus. Gambar mereka sekeluarga dikucup lekap bibir Munirah.

“Ampunkan Dekna, ibu…”

—-

Diari Latifah

4 November 1991- Ibu terpaksa ambil keputusan yang berat ini, anak-anak. Ibu mana yang mahu melihat anak mereka dibesarkan tanpa kasih sayang ibu bapa. Tetapi, ibu terpaksa anak-anak. Ibu buat keputusan ni untuk kamu semua. Mungkin kamu tidak faham harini, tapi akan dan bakal faham pada hari mendatang.

Terutamanya pada angah, maafkan ibu. Tiada niat untuk ibu lukai hati angah. Nampak angah paling terluka dengan keputusan ibu.

-Ibumu, Latifah.

Munirah membelek lagi helaian demi helaian. Munirah akan berhenti pada helaian yang telah dilipat sebagai tanda.

12 Februari 1994- Harini hari lahir along. Sepatutnya hari ini, hari gembira.

Ibu sedar harini bakal tiba juga.

Ibu memang bersedih tetapi tetap gagahkan diri ibu agar terus menyediakan juadah istimewa buat along, angah, alang dan dekna.

Malam ini juga, ibu terpaksa pergi berjumpa dengan Ustaz Bakri. Maafkan ibu, kalian tak boleh tahu. Bahaya. Sangat bahaya.

Along. Along belum faham. Apa ibu buat hari tu di rumah Ustaz Bakri. Ibu buat demi anak-anak ibu.

Sedih ibu, along buat macam ni…

Ibu dah maafkan along.

1 Disember 1994- Ibu sempat panggil angah. Ibu rasa angah paling matang di kalangan adik-beradik. Ibu ingin ceritakan segalanya pada angah malam tu, tapi…

Ibu tak sangka langsung angah tergamak herdik dan memaki hamun ibu belum sempat ibu luah cerita sebenar.

Tetapi, ibu sedar, angah baru masuk umur 20 tahun. Belum cukup matang untuk terima semua ini.

Maafkan ibu, angah.

7 May 1995- Ibu tangkap alang tak puasa. Ibu geram sangat. Alang buat macam-macam.

Mencuri, tak solat, tak puasa.

Ibu sedar, ibu gagal didik alang dengan baik.

Ibu geram sangat pagi tu. Ibu lempang alang. Tiada niat ibu melepaskan marah sebegitu.

Ya. Agama merupakan pendinding untuk kita bagi segala kejahatan.

Elakkan diri kita daripada maksiat juga merupakan malu kita kepada tuhan.

Yang tu yang utama.

Alang, maafkan ibu.

Niat ibu cuma mahu mendidik.

Itu kali terakhir, ibu tatap wajah satu-satunya anak lelaki ibu.

Alang Hadid, ibu rindu awak sangat-sangat.

Harap Alang berubah walau dah tiada dalam dakapan ibu.

Jumpa lagi, alang.

Suara sedu-sedan mula bersilih-ganti. Along sujud berkali-kali seperti orang hilang akal. Angah termangu-mangu seperti seseorang kehilangan sesuatu.

Alang terbaring, terus menghantuk-hantuk kepala di tiang kayu.

“Dekna, tak sanggup baca semua. Muka surat ni pun, Dekna tak sanggup..”

Nadiah mengambil alih diari kesayangan ibu.

5 Julai 2016- Ibu tak sihat sangat hari ini. Ibu mimpi bukan-bukan. Ibu rasa ibu dah tak kuat lagi untuk menanggung semua ini.

Esok Hari Raya Aidilfitri.

Tetapi, ibu tak rasa ibu sempat berhari raya dengan anak-anak ibu lagi.

Ibu dah cuba minta Dekna telefon kalian adik-beradik, untuk balik beraya.

Tetapi, hampa.

Dekna pun marah ibu. Ya, salah ibu. Ibu terlalu optimis anak-anak ibu balik tahun ni untuk jumpa ibu buat kali terakhir.

Maafkan ibu…

Along, angah, dan alang.

Terima kasih Dekna, sebab terus setia di sisi ibu.

6 Julai 2016- Dekna tengah mandi solat sunat hari raya. Ibu rasa sudah sampai ibu tulis rahsia terakhir ini.

Ibu telah salah memilih jalan.

Ibu juga manusia.

Buah durian terkadang nampak baik di luaran, tetapi belum tentu isinya.

Begitulah jodoh.

Ada juga silap ibu. Tetapi, ibu juga manusia.

Nasihat-nasihat ibu untuk kalian bukan sekadar nasihat biasa.

1. Bimbing anak-anakmu dengan ilmu agar dipelihara segala kejahatan.

2. Carilah jodoh yang bersesuaian untuk anak-anakmu agar terus terbela dek kejahatan duniawi.

3. Jangan pulang……..

“Aik! Mana muka surat seterusnya Dekna?” Along tercari-cari.

“Sampai situ sahaja along. Dekna dah cuba cari. Tapi takda!”

“Jom cari…” tempik alang bersemangat.

—-

“Anak-anak ayah cari ini?”

Ustaz Fahmi tersengih sambil memegang beberapa helai di tangan kiri.

“Lambat ayah, kata nak pimpin tahlil untuk ibu?” Dekna bersuara.

“Hahaha. Korang masih terlalu naif. Tak sangka. Kebodohan ibu kalian dibawa turun genetiknya!”

“Apa maksud ayah!”

Ustaz Fahmi menanggalkan serban putih mendedahkan kepalanya yang botak.

Tatu hitam berkepala kambing tepat bertatah di tengah-tengah kepala.

“Kalau korang nak tahu, ibu korang telah aku jadikan sebagai pasak ilmu hitam aku. Dia bodoh. Masuk anak empat, baru tahu segala perancangan aku. Ibu korang marahkan aku, cuba lawan aku. Tetapi jelas dia bukan lawan aku.”

Hahahaha!

“Ya Allah! Kejamnya kau, setan!” Alang menjerit sekuat hati. Bangun berlari menerkam ke arah Ustaz Fahmi.

Zerutttt!

Leher Hadid direnggut lembaga berkepala anjing hitam, direntap lalu diceraikan antara kepala dan badan.

“Baru kau nak sebut nama tuhan! Hahaha!”

“Korang tahu apa janji ibu kau dengan aku? Kalau korang penuh ilmu agama, korang akan terselamat daripada menjadi korban ilmu aku. Tetapi, aku dah agak! Ini pengakhirannya!”

Tiga ekor lagi lembaga menerpa laju ke arah along, angah dan dekna.

Along diratah harimau hitam sebesar gajah liar.

Angah dikerumuni pocong-pocong berwajah hitam pekat, bernanah. Angah terkapai-kapai mencari nafas terakhir.

Dekna terus ditangkap hidup-hidup lalu dijadikan korban perawan agar ilmu Ustaz Fahmi terus kuat dan berleluasa.

Akhirnya, keempat-empat mayat adik-beradik dikuburkan sekali bersama jasad ibu mereka.

—-

Malam raya 2020

Nur Ratika pulang berhari raya di kampungnya terletak di Kelantan.

Dek kerana mahu cepat, Ratika turun dari bas ekspress berjalan kaki melintasi kampung tinggal.

Suasa seram menyelubungi Ratika malam tu.

Bulu roma sepakat merinding.

Ratika terlihat sebuah rumah kayu terang benderang.

Kelihatan empat orang budak beratur di hadapan ibunya yang setia memegang sampul duit raya.

Bergilir-gilir mereka memohon ampun dan mengucup dahi ibu mereka.

Bahagia!

Ibu, ampunkan kami!

Ratika menyeka air mata kesayuan.

Sebak terbuku di hati.

Kaki Ratika seolah terpasak di bumi.

“Adik hujung jalan tu, meh singgah rumah Makcik Latifah. Panggil je makcik, ibu.”

Ratika mengangguk. Kakinya setia melangkah.

“Baik ibu. Terima kasih ibu.”

TAMAT

SHARE
Previous articleKEPULANGAN
Next articleJom Balik Kampung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here