DUGAAN SI TUKANG URUT

0
6969

DUGAAN SI TUKANG URUT.
Karya Khas AANRC TheFlash 555

===========================
Nota Kaki- Cerita ini 80% adalah dari kejadian sebenar yang berlaku di Benut, Pontian sekitar tahun 2009. Watak dan nama adalah rekaan semata mata.Cerita ini telah diceritakan sendiri oleh tukang urut yang kini sudah menjangkau usia 60-an.

***

Malam ini, malam Khamis. Selalunya malam begini mesti ramai orang datang berurut, padahal aku tak pernah menetapkan tarikh atau hari yang perlu mereka datang pun. Cukuplah sekadar aku bagi tarikh ‘seminggu lepas urutan pertama , nanti datang balik’.

Kalau kena hari Khamis mesti ramai yang datang. Bab bayaran pun arwah bapa aku pesan terima seikhlas hati. Malam itu last ‘pesakit’ aku, tak lain tak bukan orangnya, saudara- mara aku jugak, Roslan (Lan) namanya.

“Urut belakang aku Ali, lenguh la kerja loader ni.” Keluh Lan. Memang kerjanya memerlukan kederat yang kuat, sebagai pengangkut buah sawit ke dalam lori merangkap drebar lori.

Aku mulakan urutan,di selang seli dengan bual kosong, orang kata bual orang kampung. 40 minit berlalu. Sewaktu aku nak ‘menutup urutan’ memang aku ada baca surah Al Fatihah dan beberapa ayat Al Quran,yang memang diajar oleh ayah aku, termasuk ayat beberapa ayat Ruqyah.

Semasa aku membaca potongan ayat suci, jari aku terasa ‘dicengkam’ dari atas dan tengkuk aku serta merta panas! Ketika itu Lan dalam posisi duduk berlunjur, dan mata dan badan mengadap aku. Matanya di pejam. Aku pandang muka Lan, perlahan lahan wajahnya menjadi hitam dan ditumbuhi janggut hitam panjang berjurai! Aku kuatkan sedikit bacaan ayat penutup aku.

Dan ketika itu, ada susuk lembaga hanya berseluar dalam dan perutnya buncit ke depan, berdiri sebelah Lan sambil mata susuk lembaga itu tepat memandang aku. Kaget, aku cepat cepat alihkan pandangan dan aku tamatkan urutan.

“Dah ,dah Lan…” aku jerit kecil. Dan bila aku tengok Lan semula, mukanya kembali normal.

“Huarghh, lega betul Ali, best best!” Sambil itu Lan menggeliat kiri dan kanan, jari jempulnya dihalakan pada aku, tanda bagus.

Sewaktu isteri aku hidangkan air untuk kami berdua, aku berat hati nak bercakap benda yang aku nampak. Akhirnya aku diamkan saja.

2 hari berselang.

Aku dapat panggilan telefon kira kira jam 2 petang, dari kenalan aku dari kawasan kampung jugak, Rahman namanya. Aku angkat, usai beri salam, Rahman terus memotong cakap aku, salam aku pun tak disambut.

“Bang, Roslan dah meninggal bang, baru kejap ni. Kena timpa buah sawit!” Ujar Rahman dalam telefon.

Aduh. Macam ada yang tak kena. Aku mula rasa tak sedap hati. Aku terus ke bilik dan salin pakaian. Ada benda yang perlu aku cakap pada waris si mati!

Lewat jam 3 petang, aku terus bergegas ke rumah arwah. Masih ramai lagi orang belum lagi beransur pulang. Rupanya arwah baru selesai disolatkan. Aku terus turun dari motorsikal dan bergegas masuk dalam rumah arwah.

Usai bersalaman dengan teman- teman, aku terus ke belakang, bertemu dengan Erni, isteri arwah. Erni baik dengan isteri aku, tiap kali raya mesti mereka berdua berbisnes kuih raya dalam skala besar.

Hampir 20 minit aku berbual dengan Erni dan aku mintak izin untuk ke kubur untuk menghantar jenazah sempat juga aku menghulurkan sedikit sumbangan kepada balu. Di kubur, pengkebumian berjalan seperti biasa, cuma aku tak nampak si Hashim, anak kepada Arwah. Arwah mempunyai 8 orang anak.

Hashim ni berkerja kilang di Pekan Nenas, tak jauh pun dari rumah mak ayah dia, anak-anak dia yang lain ada yang iring, yang dari Singapura pun ada balik. Detik hati aku,mungkin dia uruskan hal di rumah atau aku yang terlepas pandang.

Semasa aku nak balik dari kubur, waktu aku nak hidupkan enjin motorsikal, dari jarak 20 meter. Muncul si Syam, orang kuat masjid di kampung. Hanya terpacul dan diri tegak melihat aku. Aku mengangkat tangan ke arah Syam dan dia buat isyarat ‘tunggu sekejap’ pada aku. Aku matikan enjin.

“Malam ni free tak, jom ngeteh kat Warung Wak Mat..” ujar Syam

“Aku tak janji la, takut ada orang datang urut, ke ada Liga M main malam ni?” Tanya aku.

Syam mencebik.
“Bukan! Ini hal si arwah. Kau patut tahu. Kau je sedara dia ,walau jauh.” Bentak Syam, macam marah.

Aku senyum dan aku janji pada Syam yang aku akan tiba lewat sikit, selepas usai mengurut dan nasib dia faham. Malam itu di warung Wak Mat agak ramai orang, sebab ada siaran bola sepak Liga Inggeris. Aku memilih sudut hujung di warung, jauh dari TV. Aku dapat rasakan benda yang Syam nak bagitahu aku, mesti bersifat peribadi.

Syam tiba dan dia langsung tak buang masa, memesan air dan terus tanya aku.

“Kau tahu kan Bang Lan kena hempap dengan buah sawit? Bukan satu, banyak!” Sambil tu dia hulurkan telefon ke arah aku, ada gambar.

“Ni pekerja Indonesia yang tangkap gambar ni, dorang masuk awal pagi jam 8, bini Bang Lan cakap, lepas Subuh dia dah keluar. “Buat apa masuk kebun gelap gelap, kita bukan menoreh pun?” Ujar Syam.

Gambar tu agak ngeri, yang aku nampak hanya tangan Lan yang terkeluar dari celah buah. Aku ingat kena hempap masa potong buah, tapi ini habis satu badan kena tindih dengan buah! Aku slide ke tepi untuk gambar seterusnya, badan arwah hitam dan semacam bengkak bengkak. Mengucap panjang aku.

“Kau dah tengok? Aku nak delete gambar ni…” kata Syam.

“Anak Bang Lan, Hashim tu. Aku dah telefon suruh balik. Dia kata dia tahu dah bapak dia meninggal, tapi adik dia yang lain takda pun beritahu dia lagi. Sehari sebelum dia meninggal, dia ada ajak aku melepak dekat warung tepi sungai tu…” ujar Syam perlahan.

“Maaf, aku nak cakap juga ni. Aku kena bagitahu kau juga ni. Bang Lan tu ada saka!” Ujar Syam dengan yakin. Aku terlopong, terdiam aku.

“Benda tu Bang Lan amik suka suka je. Dia cakap dengan aku, dia terima dari arwah mak dia. Sebab arwah mak dia nak bagi dan Bang Lan tak membantah pun. Dia cakap, macam seronok ada dampingan ni. Sebab tu la kot arwah mak dia bagi 8 ekar tanah pada Lan kot.” Sambung Syam

Hal tanah 8 ekar tu aku tahu. Memang mak dia bagi pada Lan dan 2 ekar dah pun dia jual dengan Cina Singapore. Memang keluarga Lan ni agak berada la, banyak tanah.

“Jap, sekarang ni, saka tu ada dekat mana??” Tanya aku.
Syam geleng kepala kemudian menyambung, “Aku nasihatkan dia supaya dia buang. Dia pun ada minta nombor telefon ustaz yang dekat Skudai tu, yang handal buang buang saka ni”

“Seingat aku, kebun banyak banyak tu Lan tak handle pun semua, semua upah orang, nak potong buah, racun kebun pun malas .Aku pelik kenapa amik saka? Selalunya orang bersaka ni memang rilek je handle kebun berpuluh ekar. Buah Bang Lan kan penah kene rembat banyak kali jugak,saka dia tak jaga ke???” Soal Syam pada aku.

“Iskk.Tak baik cakap macam tu,orangnya dah tiada.” Tegur aku.

Aku pun tahu, ringkas aku jawab. Sebab dari pandangan kasar, Roslan ni selalu juga ke surau, ke majlis ilmu walau tak kerap tapi ada lah. Dan dia jenis bergaul dengan komuniti, rewang tak penah tak datang dan kerap belanja orang kampung kalau ke warung. Pertemuan aku dan Syam malam itu tamat jam 1pagi. Seminggu selepas aku berjumpa Syam.

Lepas aku balik dari Pontian, usai membeli racun kebun aku ternampak kereta Wira putih depan rumah aku, memang aku kenal kereta itu arwah Roslan.

Aku masuk ke dalam, rupanya si Erni bini arwah. Aku minta diri untuk solat Zohor dan selepas selesai, terus ke depan bersama isteri aku dan Erni

“Kang( panggilan abang dalam bahasa Jawa) , tolong saya Kang?” Pinta Erni.

“Tiap malam Abang datang rumah, minta makan, minta nak bermesra dengan saya Kang!” Erni mengeluh.

Isteri aku Ani mengesahkan, tadi Erni ada tunjuk kesan lebam dan bengkak di peha dan belakang badan. Ani juga pandai mengurut. Tujuan Erni datang nak urut sebenarnya, tapi Ani rasa tak sedap hati bile tengok lebam macam tu.

“Hari ketiga arwah pergi, dia datang malam tu dia ‘bermesra’ dengan saya, saya dah lawan tapi tak terdaya, tolong Kang, saya tak tidur rumah dah sejak hari tu, tidur rumah kawan dekat Benut.” Pinta Erni.

Aku cakap pada Erni,yang aku cuba bantu.

Malam itu, Ani mengadu, masa dia urut Erni, tangan dia panas dan macam di cucuk jarum! Tak boleh nak mengurut dengan sempurna. Dan malam tu juga, masa aku melepak dekat luar rumah, hisap rokok. Aku nampak arwah Roslan, berdiri di laman rumah, melambai ke arah aku. Hairannya ,aku tak rasa takut tika tu, cuma aku cepat masuk terus ke dalam rumah!!

Esok pagi, usai urusan meracun di kebun, aku terus berjumpa Syam. Aku hendak berjumpa Syam, tapi dia maklumkan pada aku yang dia ada kursus jadi wakil pihak masjid. Aku rasa cuti yang aku pohon macam tak berbaloi, jadi aku terus ke rumah Erni. Dia patot tahu hal ini dari awal hari itu.

Tiba di rumah Erni, aku cerita segala benda yang terjadi masa malam arwah datang mengurut. Erni terdiam, nampak tak terkejut. Cuma raut wajahnya sedih.

“Saya dah tau kang, benda ni saya dah suruh buang. Dia kata dah buang tapi saya tahu dia tipu. Selalu sangat saya jumpa duit berkepuk-kepuk bawah tilam setiap malam Jumaat. Bila saya tanya, dia cakap duit simpanan dia. Dan saya pernah selidik,siangnnya takda pun duit tup-tup malam nanti penuh duit. Saya tahu itu duit curi. Saka dia yang curi! ” Ujar Erni sayu.

“Cuma masa dia balik berurut dari rumah Kang, dia cakap dia nak buang saka tu dah ada tuan baru dia cakap. 2 hari lepas tu, abang pun mati. Ermm…….” sambung Erni.

“Tapi….” suara Erni tersekat.

“Hashim… dia ada jumpa abang masa malam sebelum dia mati. Jam 11 malam macam tu, terpacul depan rumah. Tak sempat masuk rumah pun, dorang sembang dekat pangkin bawah pokok rambutan tu je…” sambung Erni.

Erni tak tahu hal apa yang anak beranak itu bincangkan. Lagipun dia hanya ibu tiri si Hashim. Hashim pun sejak 2-3 bulan memang jarang sangat balik rumah, padahal rumah dia dengan rumah Erni, kira kira 25 minit pemanduan je.

Petang itu, aku ajak Syam berjumpa aku di kantin sekolah aku uruskan. Aku ada matlamat petang tu nak bertanya pada Syam, tentang Imam yang pandai merawat masalah macam ni.

Syukur, mujur ada. Imam kampung aku jugak. Imam Mat. Malamnya kami bertiga bertemu, kata Imam Mat dia cuba, tak bagi jaminan pun kalau tak jadi yang penting usaha.

Esok pagi kami bertiga ke rumah Erni. Tujuannya, Imam nak cari ‘perumah’ saka Roslan, mesti ada benda yang dipuja oleh Roslan. Macam keris ke, pisau atau apa apa yang mencurigakan.

Hampir sejam kami menyelongkar rumah dan bilik. Hinggalah Erni teringat yang suami nya suka betul habiskan masa di stor tepi rumah. Kejap kejap pergi situ, malam hari pulak tu. Alasan Roslan, nak baiki mesin rumput la nak adjust mesin racunlah, tetapi bunyi enjin sepatah haram pun tak bunyi.

Masuk ke dalam stor, mata kami tertumpu di para atas. Ada kotak kayu dan di atasnya ada sekuntum bunga ros dah layu dan beberapa butir bunga tanjung. Di dalamnya ada hulu keris.

“Mana kerisnya?” Tanya Imam pada Erni dan Erni mengelengkan kepala.

“Aduh. saka dah bertukar tuan ni” Ujar Imam. Gerak hati Imam,takda orang lain dah ni diwariskan saka ni. Mesti ke Hashim!!

Malam tu, aku, Erni, Imam dan Syam menuju ke rumah Hashim. Mujur Fahmi (anak aku) ringan tulang nak jaga anak anak Erni, kalau tidak mana nak sumbat dalam kereta lagi.

“Kau ada bawa semua benda aku suruh tu?” Tanya Imam Mat pada aku. Aku disuruh membawa lada hitam, garam dan jagung rebus. Aku sendiri masih samar samar kegunaan benda ini.

Tiba di rumah Hashim, sunyi. Hashim baru saja bercerai dengan isterinya dan anak anak semua ikut isteri.Jadinya memang Hashim tinggal sorang diri.

Kami memberi salam, tidak berjawab.

Imam Mat mengatakan yang dia ada di dalam, cuma malas nak buka.. Aku perhatikan, Imam Mat berjalan perlahan mengelilingi rumah Hashim. Semasa Imam ada di belakang, pintu depan rumah Hashim terbuka kuat!!

Bam!!! Seperti ditendang dari luar. Aku, Syam dan Erni terpempan melihat susuk tubuh Hashim ada duduk bersila di depan pintu dan di belakangnya berdiri satu lembaga hitam, mukanya hodoh dan berambut putih, badannya hitam legam dan bertaring panjang seperti singa laut. Erni terus tumbang, pengsan. Tak sempat kami nak menyambut, aku lihat Erni dah menyembah lantai rumput.

Terdengar bunyi itu, Imam terus berlari dari belakang ke depan rumah. Seraya itu cepat-cepat dia mengeluarkan sesuatu dari kocek jubahnya, campuran garam kasar dan lada hitam. Digenggam dan aku dengar Imam membaca Ayatul Qursi dan beberapa potong ayat Ruqyah.

Semasa Imam membaca potongan ayat, semacam ada gegaran dari atap rumah Hashim, bunyi seperti ditendang-tendang.

Zassssss!! Dan aku nampak macam ada benda di baling pada kami! Aku terkejut bila aku melihat ada keris di tangan Imam Mat! Dan Imam memandang Syam yang disuruh Imam untuk membawa sarung keris yang kami jumpa di rumah Erni.

Zass! Segera terus Imam Mat melemparkan genggaman garam dan lada hitam. Hashim meronta mencakar lantai kayu dan lembaga itu hanya ketawa perlahan lahan.

Imam menaiki anak tangga rumah dengan berhati hati. Sekelip mata, tindakan drastik Imam memang mengejutkan aku. “Allahuakbar!!” Tempik Imam dan terus dia menerpa lembaga di belakang Hashim! Sama macam kalau orang main ragbi.Dipeluknya lembaga itu hingga terjatuh!

Dumm! Terdengar bunyi lantaii kayu di hentak hentak! Dan Imam Mat yang terbaring dan segera bangun.

“Takut ya, keluarlah anak Adam nak berjumpa dengan kamu ni. Celaka kamu iblis!” Tempik Imam Mat.

Aku dan Syam terpegun melihat aksi Imam yang sekejap menerpa, sekejap bingkas bangun! Entah apa yang dihambatnya, hanya dapat dilihat sendiri oleh Imam Mat.

“Mana kau nak lari??! Aku dah kepung tempat ini.”Ujar Imam Mat.

Ketika itu aku dan Syam naik ke rumah, selepas kami memapah Erni masuk dalam kereta. Berlari juga kami naik ke rumah, akibat takut!

“Aku ada perjanjian dengan dia.Kau siapa nak arah aku? Kau bukan tuhan!” Suara itu datang dari mulut Hashim yang dari tadi duduk berteleku!

Dia bangun dan cuba menerpa Imam Mat, sepantas kilat Imam Mat menepis badan Hashim dan dia tersungkur. Dari gerak gaya tepis Imam Mat memang buah silat. Aku kagum, tak sangka Imam Mat pandai bersilat.

“Hahahahaha, kalau kau nak aku bagi dia mati, baru aku pergi…” ujar Hashim di bawah pengaruh rasuk.

Imam pandang aku dan Syam mengangguk. Tanda setuju. Seakan Syam dan Imam ada perbincangan sebelum ini.

Serta merta Syam menekapkan tangan ke telinga, dan azan! Selang seli dengan suara laungan azan, adalah bunyi seakan akan ngauman serigala atau harimau! Aku kurang pasti. Aku perasan keadaan rumah Hashim ketika itu seperti dilanda taufan. Aku lihat Imam Mat menerpa Hashim. Tangannyan diletakkan di dahi Hashim.

Sumpah. Aku melihat Hashim kesakitan dan badannya terangkat dari lantai kayu! Terapung! Sekejap-sekejap badan dan wajahnya bertukar seperti yang aku nampak pada arwah Roslan. Mulut Imam Mat tak putus putus membacakan ayat Qursi. Tiga ayat terakhir di ulang dan ditiupkan pada ubun ubun Hashim

Aku? Terpaku. Dalam hatiku, tak henti henti aku membaca 3 Qul! Itu sahaja yang terlintas. Syam tak putus putus melaungkan azan. Kejadian ini berlaku di depan mataku kira kira 5 minit.

Aku melihat Imam Mat mendepakan tangannya ke atas dan menepuk dada Hashim seraya bertakbir!

“Allahuakbar!!!” Serta merta Hashim terhempas ke lantai dan keadaan menjadi sepi! Syam pula menghabiskan laungan azan nya.
Kami bertiga berpandangan satu sama lain. Cuma Imam Mat menjuihkan mulutnya ke arah pintu masuk.

Allahuakbar!! Ada lembaga bersaiz dua kali ganda dari aku, berbulu dan bertanduk merenung kami bertiga. Matanya putih dan ketika itu, kami bertiga terbau bau bangkai.

Imam Mat bangun dari silanya, dengan berani dia berjalan menuju ke arah makhluk itu. Belum sempat aku hendak menyusun langkah, makhluk itu menerpa ke arah aku. Jujur aku cakap, aku hanya ingat sewaktu makhluk itu memanjat badan aku. Seterusnya,aku pengsan hampir 2 jam. Setelah dikejutkan oleh Syam, aku terus bertanyakan hal tadi.

“Semuanya dah selesai. Benda itu Imam Mat dah pasung dalam jagung rebus. Sampai tumbuhlah syaitan tu duk tunggu dalam tu…” ujar Syam sambil dia melirik senyuman pada aku.Sewaktu itu aku sudah di rumah aku. Untuk pengetahuan, malam itu juga Imam Mat mencampakkan keris dan jagung rebus itu ke dalam sungai!

Keesokannya, aku pergi menghadiri kenduri doa selamat di rumah arwah Roslan. Malam itu, Hashim menceritakan segalanya pada aku. Malam sebelum arwah bapanya meninggal, Roslan ada bercerita hal belaannya dengan Hashim. Dek kerana kasihan melihat bapanya, dia setuju untuk ‘belaan ‘ bapanya.

Katanya lagi, ‘belaan’ bapaknya marah, lalu dihempap badan Roslan dengan timbunan buah sawit. ‘Pertukaran’ belaan juga tidak mengikut ada yang sepatutnya. Arwah Roslan melanggar adat. Mengucap panjang aku dengar cerita ini. Aku berdoa semoga roh Roslan tenang di sana.

Dua hari selepas kejadian itu, aku dan Erni duduk di beranda. Badan aku masih sakit dan sengal. Aku tidak mengambil servis urutan buat seketika.

Sedang aku dan Erni berbual kosong, laman rumah aku di masuki kenderaan.Kereta Saga berwarna biru, plat keretanya dari Perak.

“Agaknya inilah orang yang nak urut dengan saya tu. Beria betul dalam telefon hari tu nak saya urutkan.” Ujar Erni kegembiraan. Aku hanya senyum.

Turun dari kereta itu, wanita di dalam usia 20-an, berkebaya ketat dan berkain batik duyung. Mukanya agak berseri. Aku dapatkan rasakan kening kiri bergerak beberapa kali.

“Jemputlah kak. Naiklah.” Pelawa Erni.
“Senang tak cari rumah?” Soal Erni.
Wanita itu hanya senyum.
“Cik Puan, nama apa ya. Lupa pula saya” Ujar Erni sambil tergaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Oh ya, saya perkenalkan semula diri saya. Saya Saleha…” ujar wanita itu sambil menghulurkan tangan.
“Oh yaaa! Mak Andam Saleha bukan?!” Jerit Erni dek kerana seronok apabila dapat mengingat nama wanita itu.Mereka berdua ketawa, sambil Erni dan wanita itu masuk ke rumah.Sempat juga wanita itu mengerling aku.

Dan ketika itu, aku perasan di belakang wanita bernama Saleha itu ada lembaga berwarna hitam dan badannya ditutupi lumut dan darah, merangkak perlahan membontoti mereka berdua!

Ah,celaka apa pula kali ini yang perlu aku hadap??!!

Koleksi Mak Andam Saleha KLIK SINI

=====================================
Suntingan Karya : KamenRider
Gambar: Azman Zainordin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here