DARUL TAQWA; Sebuah Dunia Tanpa Peta

0
253

DARUL TAQWA; Sebuah Dunia Tanpa Peta
Oleh: Zainul Ariffin

———-
Nota Kaki-
#1 Penggunaan nama tempat di dalam cerita ini hanyalah sebagai gambaran situasi di tempat tersebut. Tiada kena mengena dengan yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia.
#2 Bukan sebuah cerita seram. Tetapi ia hanya cerita misteri yang penuh dengan tanda tanya.
Nasihat-
#1 Hidup perlu ada pegangan.
———-

Kedai Mamak Sempoi, Bandar Puncak Alam- 11.15 minit malam

“Assalamualaikum…” Alif duduk betul-betul di sebelah Deen seraya Aiman, Mael dan Aus menjawab salam daripada rakannya itu. Malam itu, mereka berlima menghabiskan masa di Kedai Mamak Sempoi. Kedai yang menjadi port lepak mereka tak kira waktu. Walaupun dikelilingi kedai mamak yang lain, namun kedai ini sentiasa menjadi pilihan utama mereka dek kerana keenakan makanan serta kepelbagaian lauknya.

“Wa’alaikumsalam, wei asal lambat. Bola dah habis, itulah kau, aku suruh keluar awal tak nak. Ngada-ngada nak layan awek. Haih, alif-alif. Tak habis-habis layan awek. Sudahlah, daripada kau layan awek tu. Baik kau lepak dengan kami ni.” Deen mengeluarkan sebatang rokok lalu membakar dengan api yang kecil. Rokok itu disedut sedalam-dalamnya lalu dihembuskan. Deen seperti tidak menghormati rakannya yang tidak menghisap rokok. Malah, pelanggan yang makan di kedai itu juga tidak dihiraukannya.

“Alah Deen, support lah member sikit. Bagilah aku peluang nak ber couple pula. Lagipun, aku tak puas lagi cari perempuan ni.” Alif menjawab soalan daripada Deen. Lagaknya seperti dia seorang yang suka mempermainkan perempuan. Alif tampaknya sudah terbiasa menukar teman wanita.

Sepanjang pengajian di universiti sudah lima enam kali dia bertukar perempuan. Alif tidak menghiraukan nasihat yang diberikan oleh rakan-rakannya. Dalam benak dan fikirannya hanyalah kepuasan semata-mata.

“Wei, nak dengar satu cerita tak? Malam jumaat hari itu. Aku dengar Kolej Dahlia banyak budak kena rasuk. Budak-budak cakap, diorang nampak ada pontianak melilau dekat tepi tingkap! Bapak ah, Seram wei. Bayangkan kalau kita tengah belajar, tiba-tiba ada orang panggil dari tingkap. Mahu tak cuak.” Tiba-tiba aiman menukar topik perbualan.

“Seriuslah? Patutlah awek aku cakap diorang tak tidur malam tu. Rupanya ada budak kena rasuk. Aku pula masa tu malaslah nak tanya banyak-banyak kat awek aku.” Alif mula tertarik dengan cerita Aiman.

“Arh… mengarutlah. Jumpa pontianaklah jumpa hantu inilah. Haih, mengarut semua tu. Mana ada hantu dekat dunia ni. Korang semua tahu tak. Sebenarnya korang ni banyak terpengaruh dengan cerita hantu melayu. Itu sebab korang percaya. Kes budak Kolej Dahlia tu, ini mesti kes stress belajar. Tak pun, frust dengan boyfriend. Arh…Mengarut semuanya,” Deen menghabiskan sisa-sisa rokok yang dibakarkan lalu ditonyoh rokok tersebut di dalam suatu bekas.

“Deen, diorang nampak dengan mata dan kepala diorang sendiri kot. Takkan diorang nak tipu pula. Lagipun, ini bukan kes baru. Kes ini dah biasa berlaku dekat PALAM (UiTM Puncak Alam).” Kata Aiman yang kurang bersetuju dengan pendapat Deen.

“Arh.. mengarutlah.” Ringkas Deen menjawab ringkas.

“Betulah apa yang dikatakan Aiman itu, Deen. Aku pun dengar cerita yang sama. Lagipun, kewujudan mahluk itu memang wujud. Kalau ikutkan agama, kita kena percaya benda-benda halus ini. Benda yang tak nampak ni. Kita kena percaya sebab melibatkan aqidah kita juga.” Aus yang dari tadi hanya mendengar tiba-tiba besuara dengan penuh bersemangat. Sifatnya yang lembut serta sentiasa mendekatkan dirinya dengan program-program agama menyebabkan dia sungguh percaya dengan alam ghaib.

“Ini sorang lagi. Nak jadi ustaz agaknya. Aus, kalau kau nak jadi ustaz sangat. Baik kau ambil jurusan agama. Kau kena sedar sikit, kau tu budak planner, bukan budak agama.” Deen sepertinya masih lagi utuh dengan kepercayaanya. Dia seolah-olah mencari alasan dari kelemahan rakannya itu.

Sementara itu, Alif, Aiman, Mael tertawa kecil mendengar kenyataan yang dikeluarkan oleh Deen. Namun begitu, mereka bertiga masih lagi percaya dengan perkara-perkara ghaib. Mereka tampaknya sudah faham dengan sifat Deen yang merupakan seorang yang keras kepala dan sentiasa inginkan kemenangan dalam perdebatan. Dibiarkan sahaja Deen melontarkan idea tanpa mereka membantahnya.

————————–——————-

“Assalamualaikum..” Satu suara datang dari arah belakang Deen dan Alif. Suara itu dari seorang lelaki tua yang lengkap berpakaian jubah putih dan berserban.

“Wa’alaikumsalam, ye..pak cik?” Aus menjawab dengan penuh sopan. Gayanya tampak seperti biasa. Senyuman diukir dibalik wajahnya.

Manakala, Deen, Mael, Aliff dan Aiman tercengang. Pelik melihat orang tua itu. Lengkap berjubah dan berserban di malam hari sedangkan waktu isyak sudah 3 jam berlalu. Mereka yakin, kebanyakan orang yang dari masjid akan pulang terlebih dahulu untuk menukar pakaian sebelum ke kedai mahupun restoran. Paling tidak mereka akan ke kedai dahulu dan akan pulang lebih awal.

“Ini mesti nak minta sedekah. Tak ada kerja lain agaknya.” Getus di hati Deen.

“Maaf menganggu anak muda semua, sebenarnya pak cik nak jemput saudara ke ceramah pak cik di Darul Taqwa. Terdapat beberapa…” belum sempat lelaki tua itu menghabiskan ayatnya.

“Tak apalah pak cik. Kami ni bukan orang yang jenis rajin dengar ceramah.” Deen menyampuk dengan angkuh.

“Woi! Deen, bagilah pak cik itu cakap dulu.” Aus kelihatan tidak menyukai tindakan rakannya, Deen.

Aiman, Alif dan Mael hanya mendiamkan diri. Mereka sepertinya juga kurang berminat. Lagi-lagi mendengar ceramah agama. Untuk mengelakan orang tua itu berkecil hati. Mereka hanya mendiamkan diri.

“Maafkan kawan saya pak cik. Mereka memang macam ini. Ouh,ya..pak cik boleh teruskan.” Tertib Aus bertutur dengan orang tua itu.

“Tidak mengapa saudara. Saya akan mengadakan ceramah ini pada malam esok. Jika berkesempatan datanglah ke tempat saya, Darul Taqwa.” Orang tua itu lantas meletakan kad berisi nama dan alamat di atas meja tanpa memberikan secara langsung kepada mereka berlima. Tampaknya kad itu memaparkan lokasi Darul Taqwa itu terletak.

“Insya Allah, pak cik.” Aus menjawab. Lantas lelaki tua berjubah itu memberi salam dan berlalu pergi.

Aus kelihatan hairan. Mukanya dikerutkan pelik. Dia melihat lelaki tua berjubah itu hanya ke meja makan mereka tetapi tidak ke meja pelanggan lain. Tambahan lagi, lelaki tua itu hanya menerangkan secara ringkas dan tidak secara mendalam.

Aus membiarkan persoalan itu bermain difikirannya. Dihirup perlahan secangkir kopi panas.

“Aih..lantaklah.” Getus di hati Aus.

Kad yang ditinggalkan oleh lelaki tua itu diambil oleh Deen.

“Darul Taqwa? Dekat mana ni? Pelik betul pak cik tu, kau nak pergi ke Aus? Kau kan budak surau.. Hahaha..nasihat aku, tak payah pergilah, kita ni berlambak assignment menunggu…” Deen membaca sepintas lalu seraya meletakkan kad tersebut ke atas meja.

Aus tidak memberikan jawapannya.

Suasana tiba-tiba sunyi. Kedatangan lelaki tua itu mengubah situasi saat itu. Bagaikan malaikat lalu.

Aus memandang Alif yang sedang tersenyum sendirian. Tampaknya kini dia sibuk melayan perempuan di telefonnya. Dia memandang semula ke hadapan.Semua rakan-rakan seperti tiada topik yang ingin dibualkan sedangkan tadi sibuk berbual.

“Weh, guys. Jom balik kolej. Dah pukul 11.40 malam ni. Takut pagar tutup pula. Aku malas nak kena tahan lagi ni. Tak pasal-pasal kena tindakan tatatertib pula.” Mael tiba-tiba memecahkan kesunyian itu dengan mengigatkan rakan-rakannya.

Sudah menjadi kebiasaan pelajar kolej UiTM Puncak Alam akan dikehendaki pulang ke kolej masing-masing sebelum waktu jam 12.00 tengah malam. Undang-undang yang ketat ini dijalankan beberapa bulan yang lalu menyebabkan semua pelajar akan cuba pulang dengan lebih awal setelah keluar daripada perkarangan universiti. Tindakan tatatertib akan diambil bagi sesiapa sahaja yang pulang lewat.

“Ha’ah, betul juga.Nanti tak pasal-pasal kena tindakan tatatertib. Lagi malang, kalau tak dapat kolej semester hadapan. Huish, mintak dijauhkan. ”Aiman bangkit, seraya menapak ke kaunter bayaran. Deen, Mael, dan Aus juga turut mengikuti tindakan itu. Manakala, Alif yang tidak memesan sebarang makanan dan minuman terus menuju ke motorsikalnya.

Selepas membuat pembayaran.Mereka semua berkumpul di motorsikal masing masing. Malam itu, Mael menumpang Aus, manakala Aiman menumpang Deen. Alif pula menunggang sendirian.

“Deen, singgah 7e tak? Aku nak beli topup ni.” Pinta Aiman.

“Aduh, kau ni. Dari tadi tak nak beli. Nak balik baru nak beli topup. Meyusahkan betullah kau ni…” Deen merungut di atas motorsikalnya. Dahinya berkerut.

“Weh, aku pun nak singgah 7e. Nak beli roti. Buat backup makanan dekat kolej. Kau naik aku je lah, Aiman. Biar, Deen balik dulu. ”Alif memakai topi keledar seraya menekan button start motorsikal.

“Ok, cantik juga tu. Kau gerak dululah Deen.”Aiman terus melabuhkan punggungnya di tempat duduk belakang motorsikal, Alif.

“Aku pun ikut koranglah, Alif. Nak beli beli apa yang patut. Kau gerak sorang nampaknya Deen. Nanti kami sampai rumah. Jangan kunci pintu pula. ”Mael memberitahu dengan tertib. Aus hanya akur kerana dia menumpang Mael.

“Ok, baiklah.” Deen menjawab. Lantas Deen menunggang motorsikalnya untuk pulang ke kolej. Manakala, Alif, Aiman, Mael dan Aus terus menuju ke kedai serbaneka, 7e.


Kolej Zamrud, UiTM Puncak Alam- 11.57 minit malam

Ting… tingkat 7…Pintu lif terbuka luas. Deen tiba lebih awal di Kolej Zamrud. Satu-satunya kolej yang berdekatan fakulti dan juga kolej lelaki.

Deen terus menuju ke rumah bernombor Z708. Di depan pintu terpampang nama penghuni rumah itu. Antaranya nama tersebut ialah Deen, Alif. Aus, Aiman dan Mael.

Deen mengeluarkan kunci rumah lalu membuka pintu. Keadaan rumah agak gelap. Perlahan-lahan Deen menapak dan meraba suiz lampu dirumahnya.

Tanpa berfikir panjang dia terus ke biliknya. Dibuka baju sweater lalu disangkutkan di dalam almari. Belum sempat Deen menutup pintu almari.

Beep..beep.. beep…

Bunyi tiga kali deringan dari almarinya.

Deen hairan. Telefon bimbit di dalam kocek seluar. Namun, bunyi tiga kali deringan itu sepertinya bukan dari telefon bimbitnya.
Beep..beep..beep…Bunyi itu datang beralun kembali terus ke gegendang telinga. Kini lebih jelas.

Deen cuba menghapuskan rasa takut. Perlahan-lahan dia membuka almari tersebut. Matanya tajam meneroka barangan di dalam almari. Sia-sia! Hanya pakaian sahaja terdapat di dalam almari tersebut. Deen memasang teliga kembali. Dia hanya bersangka bahawa mungkin bunyi itu akan berbunyi kembali.

Beep..beep..beep…Sangkaan Deen tepat.

Bunyi itu timbul kembali. Kini lebih kuat. Deen memasang telinga. Perlahan-lahan dia menuju ke arah bunyi itu terhasil. Rupanya bunyi itu datangnya dari baju sweaternya. Dia cuba ingat kembali barang yang diletakan di dalam kocek tersebut. Seingatnya, tiada barang diletakan di dalam kocek tersebut. Telefon bimbit dan beg dompet diletakkan di dalam poket seluar.

Deen menelan ketakutan dikerongkongnya. Ditarik nafas lalu dihembus berat. Deen meraba di dalam koceknya kemudian berhenti meraba. Dia dapat merasakan satu benda yang keras bersegi empat kecil berada di dalam koceknya.

“Astagfirullah, macam mana kad ni boleh dekat dalam kocek aku?. Bukan ke tadi aku dah letak balik atas meja. Mustahil boleh masuk dalam kocek aku. ”Deen lantas melontarkan kad tersebut di atas meja belajarnya. Deen hairan kerana dia telah meletakan kad tersebut di atas meja makan. Malah, kad itu ditinggalkan juga oleh rakan-rakannya. Tiada siapa yang mengambilnya.

Dari jarak lima kaki dari kad tersebut dilontar. Deen dapat melihat satu sinaran berkelip-kelip yang datang dari kad tersebut. Deen menapak perlahan-lahan untuk melihat dengan lebih dekat. Air liur di tekaknya ditelan dengan berat. Nafas Deen beralun kencang. Fikirannya bercampur hairan dan ketakutan. Tangannya menggigil. Dahinya mengeluarkan butir-butir peluh. Hampir dua inci dari tangannya untuk mengambil kad tersebut.

“Assalamualaikum. Deen buka pintu. Ni aku Aliff.” Deen membatalkan niatnya untuk melihat kad itu berikutan Alif meminta untuk membuka pintu rumah.Tanpa berfikir lagi Deen lantas terus menuju ke muka pintu.Dipulas tombol pintu lalu menariknya.

“Woi, asal muka kau pucat semacam je, Deen. Macam nampak hantu? Takkan jumpa hantu kot. Hahaha.” Aiman bersuara dari arah belakang Alif. Dia tertawa kecil melihat riak wajah Deen.

“Mana ada Man. Penat kot.” Deen menjawab ringkas seraya dia menuju ke biliknya dan terus mengambil kad tersebut lalu diletakkan dalam kocek bajunya kembali. Dia sepertinya mahu merahsiakan perkara tersebut.

——————–

Malam itu, Deen tidur dengan lena. Tampak seperti tiada perkara pelik yang berlaku ke atas dirinya. Aiman, rakan sebiliknya pula sedang sibuk melayari media sosial di atas katil. Keadan bilik sangat gelap ditambah dengan langsir tingkap yang ditutup rapat. Lampu dari telefon bimbit Aiman sahaja yang menerangi bilik tersebut. Agak samar-samar cahaya telefon itu memancar ke muka Aiman.

Beep..beep..beep. satu bunyi perlahan tapi beralun di bilik itu. Aiman memasang teliga. Dia menoleh ke arah telefon Deen yang diletakan di atas meja.

“Eh, bunyi telefon Deen ke? Setahu aku malam-malam macamni dia tutup handphone. Bunyi apa tadi?” Aiman kehairanan. Dia baring kembali dengan posisi yang hampir sama seperti tadi.

Aiman cuba tidak menghiraukan perasaannya. Walaupun hanya bunyi deringan, kelihatan Aiman seperti diselubungi ketakutan.

Lima minit berlalu, Aiman menutup telefon bimbitnya. Kelopak matanya cuba dipejamkan. Nafasnya perlahan-lahan dihembus.

Beep..beep.. beep.. “Pengguna dikesan” Aiman terkejut dengan suara itu. Lantas matanya dibuka. Aiman bingkas bangun dari katilnya.

“Weh! Bunyi apa tadi..?” Aiman menoleh ke arah Deen. Deen tidur dengan lena. Batal busuk dipeluk erat. Nafas yang berhembus menyiul bunyi-bunyi dengkuran.

Begitulah saat Deen tidur. Bunyi apapun pasti dia sukar untuk bangun. Kalau bom meletup belum tentu dia bangun.

Tanpa berfikir panjang, Aiman mengambil bantal, selimut dan telofon bimbitnya terus ke bilik Alif.

Alif kehairanan melihat Aiman seperti dikejar hantu. Jarang sekali kawannya itu tidur di biliknya tanpa sebarang tujuan. Kebiasaannya jika ada tugasan dari pensyarah barulah Aiman akan tidur di biliknya.

“Man, asal kau ni? Tak ada angin, Tak ada assignment. Tiba-tiba nak tidur bilik aku pula?” Aiman terus baring di atas lantai bilik tersebut. Beralaskan tikar. Mael rakan sebilik Alif hanya memerhatikan Aiman. Tidak dihiraukan rakannya itu.

“Tak ada apalah Alif. Saja nak tidur bilik kau malam ini. Malas nak tidur bilik aku” Aiman cuba merahsiakan perkara yang dialaminya. Tidak berani dia menceritakan situasi seram tersebut pada malam itu. Aiman terus menutup badannya dengan selimut. Terus melelapkan mata.

Alif menggelengkan kepala melihat Aiman. Tidak kuasa dia nak bertanya lagi. Terus dialihkan matanya ke telefon bimbit. Alif sibuk melayan perempuan yang baru dikenalinya.

———————

“Man, kau tidur mana malam tadi. Nasib baik aku tersedar dari tidur. Kalau tak mahu kita lewat pergi kelas pagi ni. Kau pun tahukan aku jenis tak suka on handphone malam-malam. Alarm phone memang tak pasanglah. Harapkan kau je. ”Deen bertanya sambil merungut. Tangannya sibuk membancuh milo tiga dalam satu. Deen terus duduk di kerusi.

Aiman masih termenung di kerusi. Matanya masih mamai. Baru bangun tak sampai 10 minit. Sudah ditanya soalan.

“Man tidur bilik aku semalam..” Alif keluar daripada pintu bilik air menuju ke biliknya yang berhadapan dengan ruang tamu.

“Ouh, patutlah. Bangun pagi, tengok dia tak ada.” Deen terus mencapai roti di atas meja lalu diambil dan dicicah bersama milo panas. Dia bersarapan dengan cukup ringkas.

“Deen, aku nak tanya? Kau ada dengar bunyi apa-apa tak malam tadi?” Aiman terus menoleh ke muka Deen.

“Tak ada pula. Aku tidur nyeyak je malam tadi. Tak ada pula aku dengar bunyi yang pelik-pelik. Handphone aku pun aku off. Kenapa Man?” Deen menjawab lalu terus menghirup milo panas yang dibuatnya.

“Takkan kau tak dengar? Malam tadi, masa aku main phone aku dengar ada bunyi pelik dari bilik kita. Aku mula-mula ingat dari telefon kau, tapi bukan. Aku pun buat tak tahu jelah mulanya. Tapi yang buat aku takut, aku dengar satu suara, suara tu cakap ‘pengguna dikesan.’ Aku pun apa lagi. Cabutlah. Mana taknya. Kau tidur. Handphone off Uih!. Takut gila aku malam tadi.” Aiman bercerita dengan bersungguh-sungguh. Mamainya kian lenyap. Tampaknya dia cuba meluahkan rahsia yang tersimpan malam tadi.

“Mana ada. Mengarutlah kau. Aku tak dengar apa-apapun.Telefon kau agaknya.Tak pun budak-budak ni nak kenakan kau…” Deen menoleh ke bilik Alif seraya dia bangun menuju ke bilik air untuk membasuh cawan yang digunakan. Deen meninggalkan Aiman yang masih lagi duduk bersendirian di ruang tamu. Cerita Aiman difikirkannya. Dia juga teringat peristiwa yang berlaku pada malam tadi. Bunyi 3 kali deringan dari kad yang diberi oleh seorang lelaki tua.

Deen membiarkan perasaannya. Tanpa berlengah lagi Deen terus mempersiapkan dirinya lalu terus ke kelas. Aiman masih termenung. Rakan-rakannya yang lain sudah bersiap untuk ke kelas. Dia masih lagi belum mandi. Namun, selepas ditegur Alif. Barulah dia terkoncoh-kocoh menuju ke bilik air.

———————

Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Puncak Alam- 3.30 petang

Deen tertekan sedikit petang itu.“Layout Plan” nya ditegur oleh Dr. Arif.

Banyak silap yang dibuat. Sudah ditegur beberapa kali oleh Dr. Arif namun silap yang sama juga dilakukan Deen. Dimaki hamun depan pelajar yang lain. Mael, Alif, Aiman dan Aus hanya duduk di bahagian belakang. Membiarkan Deen keseorangan di hadapan kelas. Mereka semua sudah terbiasa dengan situasi tersebut. Dari awal semester hinggalah ke pertengahan semester acap kali dimarahi Dr. Arif.

“Ingat pelajar semua, siapa buat silap yang sama. Saya gagalkan awak semua. Ini satu contoh. Saya dah banyak kali tegur, tapi tetap juga buat salah yang sama.” Gertak Dr. Arif. Dia kesal dengan kesalahan yang dilakukan pelajarnya. Sudah berulang kali ditegur namun masih mengulangi kesilapan yang sama.

“Faham tak pelajar?” Dr Arif mengajukan soalan ke pelajarnya. Deen masih lagi kaku di hadapan kelas. Dia akur tanpa bersuara. Luarannya dia kaku, manakala di dalam hatinya terhasil bibit-bibit api amarah. Namun, Deen masih lagi mampu mengawalnya. Dikenang Dr.Arif pensyarahnya. Jika tidak sudah pasti dipukul pensyarahnya itu.

Pelajar lain hanya mampu mengiakan kata-kata Dr.Arif. Tidak berani melawan. Mael dan Alif hanya berdiam diri. Aus yang berada di penjuru hadapan kelas pula cuba beristighfar dan menenangkan diri.

——————–

Petang itu, selepas Dr.Arif keluar daripada kelas. Deen terus pulang ke kolej. Kepalanya serabut. Tertekan. Perasannya seperti mahu membalas dendam ke atas pensyarahnya. Deen menapak dengan pantas. Sepertinya, Deen ingin melepaskan tekanan dengan pulang ke kolej.

Dibiarkan Mael, Alif, Aus dan Aiman di dalam kelas. Mereka berempat sibuk membetulkan ‘Layout Plan’ yang perlu dibetulkan. Selepas digertak oleh Dr.Arif.

Mereka seperti dirasuk sifat rajin. Takut jikalau gagal pada semester itu. Semasa Deen keluar dari kelas untuk pulang ke kolej. Sempat Aus menegur Deen, namun sia-sia. Apabila Deen tidak menjawab seruan rakannya itu.

Aus faham, Deen tertekan. Maka dibiarkan Deen. Sekurang-kurangnya dia dapat hilangkan tekanannya.

——————–

“Celaka Dr.Arif! Penat aku betulkan layout tu. Dia kata salah. Tak guna betul” Deen mengempaskan beg di atas meja seraya merebahkan badannya di atas katil. Dia cuba untuk tidur bagi menghilangkan tekanan.

Deen mengangkat batalnya lalu diletakan di atas muka. Deen rimas cahaya daripada luar. Kini, kepalanya seperti dihentak batu yang besar. Terasa sakit di urat kepala. Deen cuba menenagkan dirinya dengan cuba untuk melelapkan mata. Nafas Deen yang berhembus kencang beralih perlahan.

Ketika itu, Deen keseorangan di rumah. Mael, Alif, Aiman dan Aus masih lagi di kelas. Sibuk membetulkan ‘Layout Plan’ yang salah. Deen menutup mata, cuba menjauhkan dari alam dunia.

Perlahan-lahan memasuki ke alam mimpi. Ditinggalkan alam dunia buat sementara waktu. Kedengaran dengkuran Deen disetiap penjuru bilik. Namun, tiada siapa yang terganggu.

30 saat selepas Deen tidur dengan lena.

Beep..beep.. beep.. bunyi deringan beralun dengar kuat…

——————–

Daru Taqwa- ‘Dunia Tanpa Peta’

Kedengaran seperti ada orang sedang menapak perlahan. Namun, bunyi itu semakin jauh.

Bunyi burung-burung bersiul. Deen tampaknya terganggu dengan bunyi tersebut. Tambahan lagi, dirinya seperti dihembus angin yang sejuk. Angin itu seperti membelai kulit Deen yang sedang tidur.

“Aih, man, slow kan kipas tu. Aku sejuk ni…” ujar Deen dalam keadaan merungut. Matanya masih dalam keadaan tertutup. Deen kehairanan kerana suasana masih lagi sejuk dan menjangkakan Aiman tidak mendengar arahannya.

Deen amat berang sekali. Dia tidak mampu lagi meneruskan niatnya untuk tidur kembali. Dibuka matanya perlahan-lahan.

Bola matanya kini memandangkan arah langit yang membiru. Badannya sakit seperti tidur di atas kayu yang amat keras.

“Weh, aku dekat mana ni?” Deen tersedar dari tidur. Deen terus bangun melihat keadaan sekeliling. Tampaknya dia tidak berada di dalam bilik tetapi di sebuah taman yang dipenuhi bunga dan dedaun yang menghijau. Terdapat lorong yang diturap cantik dengan batu marmar yang berkilat. Air yang mengalir ke sebuah kolam membuatkan taman itu sungguh indah. Ikan hidup dengan riang di dalam air yang mengalir tesebut.

Deen tercegang melihat keindahan taman tersebut. Terpinga-pinga Deen. Dia masih lagi duduk di atas kerusi kayu yang cantik diukir. Ukiran itu penuh dengan motif bunga dan kosmos menampakan kesenian yang indah.

“Aku mimpi ke ni?” Deen menafikan dia berada di alam lain. Dia beberapa kali menampar mukanya dan mencubit tangannya, namun usaha itu hanya sia-sia, dia masih lagi di situ. Rasa sakit menampar mukanya turut terasa.

Deen mulai tertanya-tanya dan risau. Diraba-raba kocek seluar untuk melihat sama ada dia membawa telefon bimbit atau tidak. Kecewa terpancar di muka Deen. Tiada apa-apa yang dibawanya. Selain pakaian ketika pergi ke kelas tadi.

“Ya Allah, aku dekat mana ni? Bukan tadi tidur dekat bilik ke? Macam mana aku boleh dekat sini? Deen menoleh ke kanan dan kiri. Dilihatnya keadaan sekeliling. Fikirannya kini bingung.

Deen menapak di taman tersebut. Dia cuba mendapatkan pertolongan. Dari kejauhan Deen ternampak seorang lelaki tua sedang duduk di taman itu. Orang tua itu kelihatan berpakaian jubah putih dan berserban. Jika diperhatikan umur orang tua tersebut dalam lingkungan 60 tahun. Mulutnya berkumat kamit membaca sesuatu. Mukanya dihadapkan ke arah taman yang dipenuhi bunga tulip yang tumbuh tersusun cantik. Rerama dan kupu-kupu riang menghisap madu debunga di taman itu.

Deen menuju pada lelaki tua itu dengan penuh harapan. Mencari jawapan dan persoalan yang bermain di minda. Deen berlari anak.

“Assalamualaikum pak cik, saya nak minta tolong.” Deen terus duduk di sebelah orang tua itu. Nafasnya tercugap-cugap. Dia cuba mencabut rasa penat dalam dirinya.

“Wa’alaikumsalam, ya anak muda kenapa?” Ujar orang tua itu lalu memandang ke arah Deen. Muka lelaki itu kelihatan tenang sekali. Senyumannya terukir manis. Kelihatan sedikit anak-anak gigi dari celah bibir.

“Pak cik… sa..ya dekat mana?” Deen mengajukan soalan dalam keadaan yang bingung.Lelaki tua itu tersenyum tanpa bersuara.

“Pak cik..tolong jawab.. saya dekat mana?” desak Deen. Dia tidak mampu mengawal perasaan. Jiwanya meronta-ronta. Bola mata Deen redup memerhati lelaki tua itu. Mengharapkan pertolongannya.

“Anak muda, kamu di Darul Taqwa.” Lelaki itu menjawab ringkas. Deen tercengang. Tidak pernah dia mendengar nama tempat seperti itu. Banyak kali dia membaca tetapi ini kali pertama dia mendengar nama tersebut. Nama itu amat asing baginya.

“Apa pak cik. Darul Taqwa? Saya tak pernah dengarpun.” Deen memandang ke lantai bumi. Dia kian bingung. Matanya kini timbul butir-butir air mata lalu mengalir perlahan dari pipinya.

“Darul Taqwa.” Taman itu tiba-tiba diselubungi dengan tangisan. Bunyi air yang mengalir seperti melarutkan bunyi-bunyi tangisan itu.

—-
Tamat (Bahagian 1)
—-
Apa sudah jadi pada Deen? Bumi mana dia berpijak?Adakah dia berada dalam halusinasi ataupun dia berada di alam yang tak kasap mata?
Nantikan…

===============================

Suntingan: Penulis MrHuzaifah
Gambar: nadey

SHARE
Previous articleORANG PENSIL
Next articleSERAM DI GENTING HIGHLANDS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here