Cinta Perempuan Psiko

1
2757

Tajuk: Cinta Perempuan Psiko
Karya: Mumu Bahari

====================
Manusia memang selalu buat silap. Dan silap aku paling terbesar sekali adalah pendam dan dendam. Disebabkan penyakit aku yang suka memendam rasa seorang diri, aku telah berdendam dengan seorang lelaki. Seseorang yang selalu dalam hati. Yang paling aku sayang dan juga paling aku benci. Disebabkan dia, aku mereput mati disebalik kamar hati.

Aku tidak menyesal membunuh dia. Tapi, ada satu perkara yang aku sesali. Aku tidak melangkah ke hadapan setelah berpisah. Andai saja, aku boleh melupakan dia dan meneruskan hidup dengan cinta baru, pasti hati aku tidak akan sakit begini. Pasti aku akan bahagia. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Mati pun sama. Tak mati pun sama.
Sepatutnya ayat ini…

“Alif akan sentiasa menyayangi Icha walaupun Icha dah buang Alif dari hidup Icha.

…aku buang jauh-jauh.

Kami menjalin cinta ketika dibangku sekolah. Usia 16 tahun kami mula berkenalan dan akhirnya kami bercinta. Adrenalin masa tu tengah menginjak naik tapi kami jarang berjumpa disebabkan faktor takut dengan keluarga.

Tambahan pula, sekolah kami ni lain-lain. Jadi, penawarnya hanya di telefon. Masa tu telefon pun jenis picit-picit lagi. Bukan yang jenis slide tepi macam sekarang. Kalau ada pun jenis itu, masih di luar kemampuan kami untuk membelinya.

Kata-kata madah pujangga terpampang di skrin telefon pada setiap malam menjelma. Pada setiap pagi pula, kami akan berbalas mesej dengan mengucapkan selamat pagi ataupun memberi kata-kata semangat bagi permulaan hari. Terus aku rasa bersemangat untuk ke sekolah. Tambah pula Alif adalah seorang lelaki yang baik dan sentiasa menyuruh aku menjaga solat. Bonusnya lagi adalah dia merupakan orang kampung nenek sebelah emak.

Mungkin silapku yang terburu-buru. Satu langkah yang salah akan menggagalkan seribu rancangan. Suatu hari aku ceritakan tentang si dia kepada emak. Malangnya, emak hanya diam membisu. Aku ingatkan dia setuju. Selepas sepuluh minit aku rancak bercerita, dia mula membangkang sekerasnya apabila dia tahu yang Alif sebenarnya berasal dari kampung halamannya. Pada mulanya, emak tidak bersetuju atas alasan aku masih dibangku sekolah dan ugut kalau aku masih berdegil berhubungan dengan dia.

Tapi aku jenis yang penasaran. Aku ingin tahu jawapan dari setiap soalan. Aku perlukan jawapan daripada setiap bantahan. Kenapa? Mengapa? Atas alasan apa?

“Sebab mak dulu pernah bercinta dengan bapa saudara dia. Tapi, arwah atuk kamu tidak setuju. Mak tak nak kamu pula dikatakan penyambung generasi cinta yang tak kesampaian. Gila namanya tu. Macam mana kita nak balik kampung tu nanti? Kamu tak malu kalau orang kampung riuh bercakap pasal kita?” Suara emak bernada tegas.

“Tapi kan, kisah mak tu dah lama berlalu. Takkan dia orang masih ingat lagi? Lagipun, buat apa nak pedulikan cakap orang. Hidup kita mak. Bukan hidup dia orang.”

Pipiku ditampar kuat ketika aku cuba mempertahankan cinta kami. Aku nampak emak mengetap bibir.

“Mak kata jangan, jangan!” Emak bergegas naik ke bilik aku. Lalu dia mengambil telefon bimbit yang aku letak di atas meja.

“Mak, telefon Icha! ”

“Putuskan hubungan kamu dengan dia atau…mak tak mengaku kamu anak lagi. Berambus pergi duduk dengan dia!”

“Mak…!”

Bila seorang emak cakap begitu, takkan aku masih lagi nak bantah. Aku terduduk. Begitu besarkah dosa aku dengan Alif? Apa dah jadi dengan kenangan emak dulu, takkan kami pulak yang kena tanggung kesannya?

Esoknya, aku pinjam telefon sepupu aku. Sepupu aku tu perempuan, dia bersekolah sekali dengan aku. Tapi dia tinggal di asrama. Dia juga sekampung dengan Alif. Awalnya, aku nak tulis surat tapi aku tak sanggup pulak nak tulis. Aku takut aku menangis. Aku hantar mesej perpisahan pada Alif. Dan balasan yang aku terima dari Alif adalah persoalan tanpa noktah.

Takkan sebab tu saja? Sebab Alif ni tak hensem, hitam? Sebab gigi depan Alif patah?

Aku tak cerita pun perkara yang sebenar dekat Alif. Sebaliknya, aku cari alasan lain. Dan alasan itu adalah aku pertikaikan tahap kehenseman dia.
Aku rasa itu alasan yang paling munasabah. Aku sanggup salahkan fizikal diri dia sendiri semata-mata untuk berpisah dengan dia. Lagipun, aku tak nak jadi anak derhaka. Ketika di usia mentah ini, aku memilih keluarga berbanding perasaan sendiri.

Kawan-kawan Icha cakap, Alif tak hensem. Dia orang suruh cari yang hensem.
Aku balas dengan kata-kata kejam dan pedih.
Agak lama, baru dia membalas.

Takpelah, Icha. Alif sedar yang Alif ni cacat. Muka tak hensem. Alif harap Icha jumpa yang hensem lagi dari Alif. Terima kasih untuk segalanya. Tapi, ingat. Alif akan sentiasa ingat dengan Icha. Masa tu mungkin Icha akan sedar yang rupa bukan segalanya. Icha yang terakhir untuk Alif. Alif janji, yang Alif akan setia dengan Icha.

Memang rupa bukan segalanya. Tapi disebabkan ada perkara yang melibatkan maruah keluarga yang tidak sanggup dikeluarkan oleh mulut ini, menyebabkan Icha terpaksa melupakan Alif. Andai saja ayat ini mudah keluar, pasti aku tidak akan rasa menyesal.

Dari tahun 2008 berpisah, kami tak pernah bertemu walaupun aku selalu balik ke kampung nenek. Sehinggalah pada suatu hari, Facebook aku dihantar jemputan majlis walimatulurus dari Facebook yang bernama Alif Deen.

Alif Deen
Dengan penuh kesyukuran ke hadrat illahi dan keizinan-Nya, kami dengan segala hormatnya mengundang Dato’ / Datin/ Tuan/ Puan/ Encik/ Cik:
……………………..……………………..……………………..……………………..……..
Dan seisi keluarga ke Majlis Perkahwinan Putera Kami;
Muhammad Alif Bin Mat Deen
&
Siti Nur Fiqah Binti Ramli
Pada Hari Isnin, 18 Jun 2018 bersamaan 04 Syawal 1439H,
Bertempat di: No 04, Kampung Jalan Pintas, Jitra.
Jamuan makan: 12.00 tengahari-6.00 petang.
Ketibaan pengantin: 2.00 petang
Turut mengundang: Seisi keluarga

Aku terkedu. Dulu dia pernah kata. Meskipun aku bukan cinta pertama dia tapi aku cinta terakhir dia. Tapi, hari ini dia telah membuktikan yang cinta dia semua dusta.

Dulu dia kata, dialah lelaki paling bahagia. Bertuah dia menerima cintaku. Dulu dia kata, akulah gadis yang paling menawan dan comel. Dia jatuh hati dengan kedua-dua belah lesung pipit dipipi aku. Tapi, kini dia tipu! Dia penipu! Aku masih simpan nama dia dalan hati walaupun kami terpaksa berpisah dan tak pernah berhubung. Tapi, kini dia mungkir janji. Dia janji dia nak setia dengan aku tapi dia tipu!

Air mata aku menitis laju turun ke lembah pipi ketika membaca jemputan majlis perkahwinannya. Tapi…itu semua hanya sementara. Aku akan pastikan dia hanya setia dengan aku. Kalau dia tak mampu, dia harus hilang daripada pandangan mata aku. Itu saja cara untuk melupakan dia. Tanpa menunggu lama, aku terus hantar mesej di messenger. Nampak kekok, tapi aku harus memulakannya demi satu jawapan dan satu hati.

> hai

Aku mulakan perbualan. Satu minit, dua minit, tiga minit. Hinggalah setengah jam. Aku masih tidak menerima jawapan. Aku cuba sekali lagi.

> hai, Alif.

Dua minit kemudian, mesej aku dibalas. Berdebar-debar hati aku membuka peti mesej. 10 tahun dah berlalu tapi aku masih lagi dapat menghidu bau manis cinta kami.

> hai

Sepatah saja balasan mesej dia. Aku sedikit kecewa.

> masih ingat Icha?

> ingat. Sihat?

Permulaan yang baik walaupun mesej hanya dibalas dengan hambar. Aku tersenyum.

> alhamdulillah sihat. Alif sihat?

> alhamdulillah. Dapat kad jemputan kahwin Alif tak?

Okey. Masa ni, hati aku dah tak kuat. Ikutkan hati, aku nak suruh dia jangan kahwin. Aku sanggup merayu. Aku nak sambung balik hubungan kami yang dah berakhir dulu. Biarlah aku dipanggil psiko sekali pun. Aku juga rela tinggalkan emak dan ayah demi dia. Aku rela maruah keluarga dipijak-pijak. Iya. Aku memang gila. Aku memang psiko!

> Alif, jangan kahwin. Putuskan hubungan dengan dia. Alif kahwin dengan Icha. Icha sanggup lari dari keluarga demi Alif. Alif masih sayang Icha, bukan?
Aku cuba memujuk dengan ayat gila. Sepuluh tahun aku meminta perpisahan, tiba-tiba kini, aku meminta hubungan kami dikembalikan. Gila!

> Icha, sihat tak ni? Kita dah lama kan berpisah. Yang lepas tu biarlah lepas. Janganlah dikenang lagi kisah lama tu. Lagipun, masa tu kan hanya cinta monyet.

> Tapi, Icha masih sayangkan Alif walaupun kita dah lama tak berhubung. Icha simpan lagi hadiah yang Alif bagi. Icha simpan lagi kata-kata terakhir Alif. Alif masih ingat?

> Hadiah? Kata-kata? Tak. Alif dah lupa pasal tu semua. Move on la. Buang je la hadiah kotak muzik tu. Alif dah bahagia. Alif bakal jadi suami orang. Kalau sayang, kenapa dulu Icha sanggup tinggalkan Alif? Alif tak hensem kan? Gara-gara gigi Alif patah.

> Alif, sebenarnya Icha…

Belum sempat habis aku menaip lagi, Alif membalas dengan laju.

> dah la. Alif ada hal. Move on k. Kalau sudi datang ke majlis tu datanglah. Assalamualaikum.
Alif Deen offline.

“Hargh!” Aku hempas laptop ke atas lantai. Bercerai segala perkakas dari badannya. Tempat letak disk juga berkecai.

Pada masa ni, aku juga bingung. Kenapa harus aku marah? Sedangkan aku tahu puncanya juga dari aku sendiri. Tapi aku tak peduli. Aku tetap menyangka yang ini semua bukan salah aku. Tapi salah Alif juga sebab dia tidak setia dengan kata-kata. Sedangkan aku masih memegang kata-katanya sehingga kini.

18 Jun 2018. Di majlis perkahwinan Alif.
Tepat 2 petang. Pengantin tiba. Aku lihat mereka bersanding dengan linangan air mata. Tapi tak lama. Ketika upacara persandingan itu juga aku disuruh oleh nenek ke dapur untuk menolong mereka yang tak menang tangan buat kerja.

Katanya, tak ada orang yang mengangkat jug air ke meja pengantin. Aku terpaksa akur. Timbul rasa menyesal dalam diri. Ikutkan hati, aku nak balik. Tapi, disebabkan ada satu suara yang sedang berbisik ditelinga aku meminta simpati dendam, aku turutkan. Belakang rumah Alif ada sebuah kolam kecil yang dibina dengan simen. Tak besar dan tidak kecil. Agak aku, dalam seluas tangan sedepa.

“Icha…Icha!”
Nenek panggil aku. Kebetulan, aku dah siap bawak air bandung cincau menuju ke pintu dapur.

“Ya. Icha datang ni.” Jawabku kepada nenek sambil tersenyum sinis.

“Apa pasal lambat sangat ni? Buat apa lama sangat? Pengantin dah lama tunggu tu.”

“Oh.. dia orang haus eh?” Aku tunjuk wajah selamba.

Perlahan aku berjalan ke arah meja pengantin. Dari jauh, aku nampak mereka ketawa bergembira. Lensa kamera juga tidak lepas menangkap setiap detik bahagia mereka dan bakal diabadikan dalam album untuk tatapan sepanjang hayat.
Tanpa aku sedari, mataku dan mata Alif bertentangan. Pada mulanya, reaksinya biasa. Namun, lama-lama dia mula menguntum senyum.

“Kesian kau orang. Ini airnya.” Aku berkata perlahan kepada dua-dua mempelai. Baru saja aku nak pusing ke belakang, aku disuruh tuang air kepada pengantin.

Kambing! Memang aku ni hamba abdi dia orang ke apa?! Aku hanya mampu berkata dalam hati. Andai saja, aku mampu luahkan, mesti aku akan jadi bahan kecaman. Mesti aku akan dianggap anak dara mulut kurang ajar. Tanpa bercakap banyak. Aku tuang air itu ke dalam gelas masing-masing. Kemudian, aku terus pergi.

“Selamat tinggal Romeo. Julietmu ini sedang membunuhmu perlahan. Semoga kita ada jodoh disyurga.”

Rumah Alif.
Malam pertamanya tidak seperti pasangan pengantin lain. Sejak selepas makan beradab siang tadi lagi perutnya asyik memulas. Entah berapa kali dia berulang ke tandas.

Takkan sebab makan nenas je kot? Desisnya.
“Abang, perut macam mana?” Tanya isteri Alif, Anis namanya.
“Tak okey. Sama saja. Bak minyak angin lagi.”
“Jom la kita ke klinik.” Pujuk Anis.
“Tak naklah. Abang letih ni. Esok-esoklah kita pergi.”

“Abang pasti?”

“Pasti. Kejap lagi okey la ni. Tadi dah kentut, perut dah rasa lega sikit. Masuk angin agaknya. Pagi tadi pulak abang tak makan apa-apa.” Balas Alif sambil ketawa kecil.

“Hmm…okeylah.”

Sebaik saja si suami berkata begitu, si isteri tidak lagi memaksa. Malah, dia terus menyapu minyak angin di perut suaminya. Dengan harapan, perut suaminya akan sembuh.

Esoknya, kecoh satu kampung. Mak aku juga menerima panggilan telefon daripada nenek. Alif telah meninggal dunia. Berita tentang kematiannya tersebar luas hingga ke laman Facebook. Rakan-rakan fb kesemuanya mengucapkan takziah.
“Haih, baru semalam nikah, sanding, hari ni dah mati?” Aku tersenyum sinis membaca berita tentang kematian Alif. Tak lama lagi mesti berita ni akan diviralkan dalam page Siakap Keli.

Aku tutup Facebook. Lalu aku buka laman web Google. Aku lihat tab yang sudah terbuka tentang maklumat pasal lintah.

Aku tersenyum dengan linangan air mata.
“Aku tak bunuh dia. Aku cuma ajar dia tentang erti SETIA. Kalau aku setia boleh tunggu dia, kenapa dia tidak?”

TAMAT

SHARE
Previous articleJANGAN SERU AKU!
Next articleSi Bongkok

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here