Buaiku Laju

0
1041
Tajuk: Buaiku Laju
Karya: Aryanie Ismail

***

Suatu malam tepat sahaja detik jam 3 pagi, dia berdiri di ambang beranda rumah. Merenung tepat ke suatu arah. Lereng bukit berdekatan dengan rumahnya menjadi tumpuan. Dia menanti sahaja di situ. Bau kemenyan yang dibakar tadi mula memenuhi ruang beranda rumahnya. Tidak berapa lama kemudian kedengaran bunyi gesekan dedaunan seperti dipijak seseorang. Malam ini bulan penuh. Indah sekali. Senyuman terbit dari celahan bibirnya.

Perlahan-lahan mula kelihatan susuk tubuh kurus kering. Mengengsot mendekati. Menderam-deram suara susuk tubuh itu. Pergerakannya kelihatan payah. Lemah.

Dia masih menanti di situ. Malam ini malam yang ditunggu-tunggu. Telah disediakannya sesuatu yang istimewa untuk diberikan kepada susuk tubuh itu. Dia juga telah menyediakan sebuah tempat untuk susuk tubuh itu berdiam, mulai malam ini.
Suara lolongan anjing sahut-sahutan.

Membangkitkan rasa meremang kepada sesiapa yang mendengar.

Tubuh yang mengengsot itu perlahan-lahan menghampirinya. Dia yang sedang menanti, gembira menyambut kedatangan peliharaannya itu. Dia percaya, bahawa makhluk inilah yang banyak berjasa padanya. Berjasa menaikkan perniagaannya yang hampir gulung tikar. Makhluk ini telah membuatkan pelanggan berpusu-pusu masuk ke dalam kedainya. Dari 1 cawangan kini dia mempunyai 3 cawangan lain. Dari beroperasi di waktu siang sahaja kini kedainya mampu dibuka 24 jam.

Menyediakan pelbagai jenis makanan, pelbagai rupa dan warna minuman, semakin lama kedainya semakin menjadi pilihan pelanggan. Mintalah apa sahaja, pasti kedainya mampu sediakan. Perkhidmatan wifi percuma menambah tarikan pengunjung. Dari sehari ke sehari pelanggan kedainya bertambah. Kemasyhuran kedainya menjadi sebutan. Pelanggannya datang dari seluruh pelosok negeri.

Kini dia sudah boleh mendabik dada. Apa sahaja yang diinginkannya mampu dimiliki. Apa sahaja permintaan isteri dan anak-anaknya pasti akan ditunaikan tanpa bertangguh. Duitnya berkepuk-kepuk.

Makhluk peliharaannya itu dihampiri. Dia duduk, tunduk dan membelakangkan badan. Makluk itu mula memanjat ke atas badannya. Kemudian dia berdiri, sambil mencempung tubuh makhluk itu. Langkah kaki dihayun ke sudut hujung beranda.

Tubuh makhluk yang kurus kering itu diletakkan di atas buaian. Buaian yang baru sahaja dibelinya. Ditempah secara istimewa. Buaian itu penuh dengan ukiran kerawang yang cantik. Buaian itu juga disadur dengan emas 24 karat. Sangat cantik dan sangat ekslusif. Dia sangat yakin bahawa tiada sesiapa yang akan berani mencuri buaian ini. Jika dicuri, nescaya pencuri itu akan menghadapi kematian yang maha dasyat. Buaian emas itu terbuai-buai mengikut gerakan tubuh makhluk itu. Makhluk itu menyeringai, menampakkan deretan gigi yang tidak sempurna, bertaring dan berkarat.
Dia datang semula setelah menghilang beberapa ketika ke dalam rumah. Keluar membawa hidangan. Dulang sederhana besar itu diletakkan di atas buaian, di hadapan makhluk itu. Mengalir liur di mulut makhluk itu melihat pulut kuning, ayam golek dan pelbagai jenis hidangan yang memang menjadi kesukaannya. Dengan lahap hidangan itu dimakannya.

Tuan rumah tersenyum senang!

Beberapa tahun kemudian……

SUATU MALAM….

Laju.. laju.. buaiku laju
Akulah anak yatim piatu
Laju…laju…
Buaiku laju…

Hik Hik Hik …..

Nasib malang suratan diri
Hidup aku tidak bertuan
Akulah anak yatim piatu

Hik Hik Hik

Laju.. laju.. buaiku laju
Akulah anak yatim piatu

Hik Hik Hik ….

Faizal yang baru sahaja bekerja di kedai perabot itu terjaga dari lena. Bunyi suara nyanyian itu mengganggu tidurnya. Segera dia bangkit. Hampir tersembam semula kerana pijakan kakinya lemah menyentuh lantai. Dia jadi begitu bukan kerana merdunya suara nyanyian itu tetapi kerana bunyi suara dan nyanyian itu membuatkan dia menggigil ketakutan. Meremang!

Dia mengutuk diri sendiri kenapa dia boleh terjaga di waktu begini. Bukan dia tidak mendengar kisah tentang puaka buaian emas itu. Tapi selama seminggu dia bekerja di sini, inilah kali pertama dia mendengarnya. Sebelum ini dia hanya menganggap semua itu hanyalah cerita rekaan sahaja. Tapi kini dia benar-benar yakin bahawa cerita itu adalah benar. Dia rasa tidak sedap hati. Degupan jantungnya tidak stabil.

Dari bilik kecil yang dijadikan pejabat ini dia cuba mengintai dari celahan jendela yang ditutupi oleh bidai berwarna putih. Dia tidak nampak apa-apa cuma kelihatan buaian emas yang terletak di tengah-tengah kedai itu terbuai-buai sendiri. Malam ini dia ditugaskan menjaga kedai kerana dibimbangi kedai dimasuk pencuri. Selama seminggu bermula dari esok pagi, kedai perabot ini mengadakan jualan murah.

Faizal hanya memerhati. Tidak berapa lama kemudian, suara nyanyian itu tidak kedengaran lagi. Buaian juga sudah berhenti berbuai. Faizal menutup bidai yang disingkap sedikit menggunakan tangan tadi. Dia menaris nafas lega. Dia menghampiri sofa berdekatan dengan pintu pejabat. Di situ dia membaringkan tubuh. Tiba-tiba sayup-sayup kedengaran bunyi sesuatu diseret. Pantas Faizal duduk. Dia memasang telinga. Bunyi seretan itu semakin menghampiri. Tubuh Faizal mula menggigil. Dia bangun dan mengintai dari cermin kecil di pintu. Terkaku dia melihat sesusuk tubuh kurus kering sedang menyeret tubuhnya sendiri, mengengsot dan menghampiri pintu pejabat yang dihuninya.

Kaki Faizal terketar-ketar. Terasa lemah, tidak berdaya berganjak dari situ. Matanya terus menyoroti langkah makhluk kurus kering itu yang semakin hampir.

Pergerakan makhluk itu terhenti. Dia mendongak. Menyeringai melihat Faizal yang sedang memerhatikannya.

Faizal terketar-ketar di dalam bilik. Dia mahu menangis apabila melihat wajah makhluk itu yang mengerikan.

“Allah….Allah…..” Faizal menyebut nama Allah berkali-kali. Dia hanya memerhatikan makhluk kurus itu mengengsot kembali mendekati ruang pejabat. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi pintu diketuk berkali-kali.

Hik Hik Hik…….
Faizal terus pengsan!

AMINAH dan keluarga duduk berehat di ruang tamu dan menonton TV.

“Eh, abang. Ada jualan murah lah esok dekat kedai depan simpang tu. Tu ha, siap iklan dalam TV lagi. Jom abang kita pergi tengok esok.” Aminah mencuit suaminya yang sedang memangku anak lelaki mereka yang berumur 5 tahun.
“Alah, buat apa. Kita dah ada perabot. Cukuplah apa yang ada ni.” Zulkurnain menolak cadangan isterinya. Tarikh gaji lagi seminggu, jadi dia terpaksa berjimat cermat.

“Ala abang ni. Kedekut betul. Kita pergi tengok-tengok ajelah. Kedai tu kan memang kita biasa pergi,” kata Aminah, memujuk.

“Nanti-nantilah abang fikirkan,” balas Zulkurnain. Malas mahu berbalah dengan isterinya.

“Hmm, sukahati abanglah.” Aminah merajuk. Dia enggan memahami masalah kewangan suaminya. Bukan dia tidak tahu suaminya belum gaji lagi.
Sebenarnya dia teringin membeli almari kasut. Rak kasut di beranda rumah dijeling. Rak kasut itu sudah hampir roboh. Sudah lama tidak berganti.
Zulkurnain turut mengerling keluar. Dia tahu, isterinya sudah lama meminta digantikan rak kasut itu dengan almari kasut. Biar kemas katanya. Zulkurnain mengeluh.

“Baiklah. Esok kita pergi.” Zulkurnain mengalah akhirnya. Nampaknya terpaksalah dia menggunakan kad kreditnya.

Aminah menoleh memandang suaminya. Mata bertamu mata. Sebuah ciuman diberikan dari jauh buat suaminya. Seronok kerana permintaannya dipersetujui oleh sang suami.

PAGI-pagi lagi mereka sudah keluar dari rumah. Aminah nampaknya tidak sabar mahu menjadi orang terawal untuk sampai ke kedai. Dia tidak mahu ada barangan yang bagus nanti diambil oleh orang lain.

Mereka menanti di dalam kereta sementara menunggu kedai dibuka lagi beberapa minit. Dari dalam kereta Aminah tertoleh-toleh melihat beberapa orang pekerja kedai sedang membawa beberapa jenis perabot untuk dipamerkan di bahagian luar kedai.

“Eh, abang tengok tu!” jerit Aminah. Matanya memandang dua orang pekerja lelaki yang sedang membawa keluar sebuah buaian berbentuk bulat berwarna emas. Buaian itu sangat menarik minatnya.

“Cantiklah buaian tu abang. Warnanya kuning seperti disadur dengan emas. Kalau letak dekat beranda rumah kita mesti cantik kan, abang. Jom kita tengok berapa harganya. Nampak macam diskaun hebat-hebat ni.” Aminah teruja.
“Nantilah dulu. Kedai tu pun belum buka lagi,” ujar Zulkurnain.

“Lagi 5 minit je pukul 10. Jom kita tunggu siap-siap kat depan tu. Cuba abang tengok ramai betul orang menunggu kan? Nanti banyak barangan habis. Rugi kita.”

Zulkurnain mengeluh perlahan. Tidak berapa berkenan dengan perangai tidak sabar isterinya itu. Tanpa banyak bicara dia membuka pintu dan mengambil anaknya yang duduk di belakang. Aminah turut tergesa-gesa keluar dari kereta.
Langkah Aminah sudah mendahului menghampiri buaian emas itu yang turut dikerumuni oleh beberapa orang pelanggan. Zulkurnain mengikut dari belakang.

“Buaian ni sangat ekslusif dan cantik puan. Ditempah khas dan disadur dengan emas.” Seorang lelaki memberi penerangan.
“Emas tulen ke ni?” tanya Aminah.

“Ya puan. Emas tulen 24 karat ni. Sebab tu rekaan ni cantik.” Faizal beria bercerita.

Beberapa orang pelanggan mula berbisik-bisik. Ada yang seperti berminat. Aminah cemas. Dia sangat berkenan dengan buaian ini. Tidak sanggup rasanya jika buaian itu jatuh ke tangan orang lain.
Aminah cepat-cepat menghampiri buaian itu. Disentuhnya buaian itu. Saduran emas yang menyaluti buaian itu memang cantik. Berkilat-kilat warnanya. Ukiran kerawangnya pula sangat halus dan berseni. Mesti mahal harganya ini.

“Berapa harga ni?” tanya Aminah.
“Sebelum ini kami letak harga buaian ini 10 ribu ringgit….

“Mahalnya!” pintas Aminah sebelum sempat Faizal melanjutkan kata-katanya.

“Tunggu dulu puan, saya belum habis cakap lagi. Harga untuk jualan hari ini hanya 7 ribu ringgit sahaja,” sambung Faizal, tersenyum. “Kalau puan perhatikan buaian ni, memang sangat cantik dan ekslusif puan. Harga ni memang dah cukup murah untuk barang bagus macam ni. Buaian ini hanya ada satu sahaja di dunia ini.”

“Tak boleh kurang lagi ke?” tanya Aminah. Mencuba nasib.

Zulkurnain mencuit isterinya. Masak dia kalau isterinya sudah mula tawar menawar begitu. Itu tandanya isterinya memang berminat benar dengan barangan yang ditawarnya. Dalam diam zulkurnain mencongak baki kad kreditnya. Cukup atau tidak? Dia mengeluh perlahan.

“Nanti saya tanya boss, puan. Berapa harga yang puan tawarkan?” tanya Faizal. Dia berharap sangat semoga ada yang akan membeli buaian ini pada hari ini. Dengan sukarela dia pasti akan menghantar buaian itu ke rumah pemilik baru secepat yang mungkin. Tidak sanggup dia andai malam ini dia terpaksa mengalami gangguan seperti semalam. Nasib baik jugalah dia pengsan sehingga awal pagi. Jika tidak entah apa yang berlaku pada dirinya.

“Kalau 5 ribu ringgit saya sanggup.” Aminah terus memberi kata putus tanpa mendapatkan persetujuan suaminya. Orang ramai yang mengerumuni buaian ini sudah mula berganjak dari situ. Aminah puas hati kerana dia tidak perlu bersaing untuk mendapatkan buaian ini.

Zulkurnain mengeluh lagi. Bukan dia tidak berani menegur isterinya itu tetapi dia tidak mahu memulakan pertengkaran yang selalunya akan berakhir dengan rajuk isterinya. Isterinya itu kalau merajuk pasti berhari-hari. Itu bermakna berhari-harilah nanti dia terpaksa makan lauk kedai. Zulkurnain berharap semoga pemilik kedai tidak akan bersetuju dengan harga yang ditawarkan.
“Nanti saya tanyakan boss saya.” Faizal tersenyum. Potensi untuk pelanggan ini membeli buaian ini sangat besar. Dia berharap semoga majikannya akan bersetuju.

Faizal mencari majikannya yang juga merupakan anak kepada pemilik kedai ini. Dari jauh dia nampak kelibat lelaki cina itu sedang duduk di kaunter. Faizal menghampiri. Dikhabarkan kepada lelaki itu tentang tawaran pelanggan yang meminta diskaun. Pada mulanya lelaki itu tidak bersetuju namun Faizal pandai memujuk sehingga akhirnya lelaki itu menggangguk. Faizal berasa puas hati. Hampir dia melonjak kegembiraan. Setelah mengucapkan terima kasih, cepat-cepat Faizal berlalu menemui semula pelanggan wanita tadi yang masih setia menanti di luar.

“Puan memang membawa tuah. Boss saya bersetuju dengan harga yang puan tawarkan memandangkan ini hari pertama kami adakan jualan murah dan puan adalah pelanggan pertama kami hari ini. Puan memang bernasib baik. Memang rezeki puan membawa pulang buaian ini.” Faizal bermanis mulut. Dalam hatinya lega tidak terkira. Pergilah kau buaian bersama hantu-hantunya, kata Faizal di dalam hati. Kepada tuannya tadi dikatakan bahawa buaian ini membawa sial, sebab sejak buaian ini ada di sini beberapa bulan yang lalu, tidak ada satu pun perabot yang terjual.

“Puan tengok-tengok dulu barangan lain sementara saya buka dan bungkus buaian ni. Nanti masa puan buat pembayaran, tinggalkan sekali alamat rumah. Petang atau malam ini juga saya akan hantar ke rumah puan,” kata Faizal.

Aminah mengangguk. Gembira mendapat buaian cantik itu. Pasti beranda rumahnya menjadi perhatian ramai. Puas hati kerana buaian secantik itu dapat dimiliki dengan harga yang murah. Dia menoleh memandang suaminya. Wajah lelaki itu kelihatan muram. Ah, pandailah dia memujuk nanti.
Aminah melihat-lihat pula ke bahagian lain sehingga dia akhirnya menemui almari kasut yang diidamkan. Dia menggamit suaminya yang sedang memerhatikan anak lelaki mereka.

“Yang ini sesuai sangat letak kat depan rumah kita bang. Besar dan tinggi. Baru tersusun cantik kasut-kasut kita. Tak adalah berterabur sana sini.” Aminah tersenyum memandang suaminya.
Zulkurnain memerhatikan tanda harga yang dilekatkan di bahagian pintu almari. RM500? Dia menggaru kepala.

Aminah memaut lengan suaminya. Lengan yang kurus itu digosok-gosok perlahan. “Lepas ni dah lengkaplah rumah kita. Saya tak akan minta apa-apa lagi.”

Faizal mendatangi pasangan suami isteri itu setelah selesai membungkus buaian emas tadi.
“Dik, akak nak yang ini jugak. Kat mana nak bayar?” Aminah bersuara.

“Cukup ke puan? Ada banyak lagi barang-barang menarik dan murah-murah,” ujar Faizal. Murah rezekinya hari ini. Dia bukan sahaja dibayar gaji pokok tetapi majikannya juga menjanjikan komisyen sekiranya dia dapat menjual barangan pada minggu jualan murah ini.

“Cukuplah tu dik. Kalau ikutkan hati memang banyak yang kita nak tapi kenalah ikut kemampuan,” balas Aminah.

“Baiklah. Saya akan tambah almari kasut ni dalam resit. Puan boleh ikut saya ke kaunter pembayaran.” Faizal berlalu. Di kaunter dia menambah barangan yang diminta dan kemudian resit itu diserahkan kepada majikannya untuk dicetak ke dalam bentuk resit rasmi.

Faizal menunduk dan mengucapkan terima kasih kepada pasangan suami isteri itu. Dalam hati sebenarnya dia risau juga melihat keterujaan pelanggannya tadi. Bukan dia tidak mahu memberi amaran, tapi dia sendiri tidak mahu berhadapan dengan apa yang dialaminya semalam itu sekali lagi. Dia terpaksa bertindak mementingkan diri sendiri. Nanti pandai-pandailah pemilik buaian itu membuang hantu ngengsot itu, Faizal menyedapkan hati.

MALAM itu, Aminah terjaga kerana tekaknya terasa dahaga. Dia ke dapur dan mengambil sebotol air sejuk di dalam peti ais. Kemudian dia duduk di meja makan sambil menuang air ke dalam gelas. Baru berapa teguk air diminum, Aminah mendengar suara orang menyanyi. Dia meletakkan gelas di atas meja dan mula memasang telinga. Suara itu datangnya dari arah luar.

Aminah menapak perlahan-lahan ke ruang tamu. Dia seperti mendengar bunyi buaian terbuai-buai sendiri. Dalam hatinya sudah curiga. Siapakah yang berani menaiki buaiannya tanpa meminta kebenaran? Di waktu malam-malam begini? Aminah sempat melirik jam di dinding. Sudah pukul 3 pagi. Atau mungkinkah ada yang mahu mencuri buaiannya? Ini tidak boleh jadi ni, ujar Aminah sedikit berang.

Langsir tingkap disingkap sedikit. Dari bilah jendela dia dapat melihat kain putih berterbangan mengikut gerakan buaian. Dia tidak dapat melihat sepenuhnya susuk tubuh itu kerana pandangannya terhad di bahagian bawah sahaja. Suara nyanyian kedengaran lagi, berselang seli dengan suara ketawa.

Laju.. laju.. buaiku laju
Akulah anak yatim piatu
Laju…laju…
Buaiku laju…

Hik Hik Hik …..

Nasib malang suratan diri
Hidup aku tidak bertuan
Akulah anak yatim piatu

Hik Hik Hik

Laju.. laju.. buaiku laju
Akulah anak yatim piatu

Hik Hik Hik ….

Kemudian buaian berhenti berbuai secara tiba-tiba. Aminah masih kaku di situ. Dia hanya menunggu, berkira-kira perlukah suaminya dikejutkan. Dia tidak berani membuka tingkap sepenuhnya kerana bimbang orang yang berada di luar sana akan melarikan diri kerana terkejut. Dia mahu cuba menangkap pencuri itu. Lama Aminah berdiri di situ. Suasana di luar senyap dan sunyi sahaja. Aminah mengeluh. Mungkin orang itu hanya mahu bermain buaian sahaja. Setelah puas bermain, dia pun pergi.

Aminah membetulkan langsir tingkap dan membalikkan badan. Tiba-tiba terasa semangatnya direntap kasar. Di situ dia terkaku. Tergamam!
Di ambang pintu dapur, berhadapan dengannya, satu susuk tubuh sedang bersimpuh di atas lantai. Susuk tubuh itu kurus. Rambutnya mengerbang. Baju putihnya sudah lusuh dan kotor. Dari tempatnya berdiri, Aminah sudah mencium bau yang sangat hanyir dan memualkan. Hampir sahaja dia termuntah.

Susuk tubuh kurus kering itu memandang Aminah sambil menyeringai. Dia kemudian mengengsot, merapati Aminah.

Hik Hik Hik….
Menggigil seluruh badan Aminah. Tidak pernah dia mengalami peristiwa begini sejak dia mendiami rumah pusaka arwah bapanya. Rumah ini setahunya bersih tiada makhluk yang tidak diingini mendiami rumah ini. Arwah bapanya orang alim. Sejak mula berkahwin sehingga anaknya sudah berumur 5 tahun dia tinggal di sini, tidak pernah dia mengalami sebarang gangguan.
Susuk tubuh itu semakin mendekati. Aminah semakin lemah, tubuhnya longlai dan dia terduduk di situ. Lemah. Mulutnya cuba memanggil suaminya namun bukan nama suaminya yang disebut tapi mulutnya tanpa sedar mendendangkan lagu.

Pohon beringin tumbuh sendiri
Tempat berayun, menghibur lara
Sungguhlah sudah membawa diri
Tiada siapa yang kasih mesra

Laju.. laju.. buaiku laju
Akulah anak yatim piatu
Laju…laju…
Buaiku laju…

Aminah tidak dapat menahan dirinya. Dirasakan rohnya dikawal oleh sesuatu. Hanya air mata yang mengalir, mengiringi sorotan matanya memandang makhluk kurus itu yang semakin mendekati.
Perlahan-lahan makhluk itu mendekati dan mula memanjat di belakang badan Aminah. Dia sudah mendapat tuan baru. Makhluk itu menyeringai.

Imbas kembali….

SUATU malam, dia terjaga kerana pintu rumahnya diketuk bertalu-talu dengan kuat seperti hendak roboh. Dia mendengus kasar. Siapa yang berani mengganggunya di malam-malam begini. Dengan pantas dia keluar. Membuka pintu secara kasar. Dilihatnya beberapa orang kampung sedang mengerumuni rumahnya. Mereka kelihatan marah-marah. Dua orang lelaki yang telah menggegarkan pintu rumahnya telah menyertai kumpulannya kembali.

“Kau mengamalkan ajaran setan. Kau sudah menduakan Allah!” suara jeritan kedengaran di tengah-tengah banjiran penduduk kampung. Dia tidak dapat mengenal pasti siapa yang bersuara itu. Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki yang sudah agak berumur di hadapan barisan penduduk kampung itu.

“Bertaubatlah, Rahim. Masih belum terlambat untuk kau bertaubat. Jangan cuba menyekat rezeki orang lain. Ingatlah bahawa rezeki Allah itu luas, tidak akan pernah salah alamat,” ujar lelaki berserban itu, yang bertindak sebagai ketua kampung.
‘Aku tidak kacau rezeki mereka. Mereka yang menganiaya aku dulu. Perniagaan aku hampir lingkup gara-gara mereka.” Rahim menuding jari secara rawak, menunjuk-nunjuk kepada penduduk kampung.

“Perniagaan kau hampir lingkup kerana kau tidak jujur, Rahim. Kau menipu pelanggan. Itu semua bukan salah orang lain tapi salah kau sendiri! Bertaubatlah Rahim.” Lelaki berserban itu masih mahu mengajak Rahim ke jalan Allah.
“Tidak. Aku tidak buat salah. Aku tidak mengganggu orang lain. Aku hanya jalankan perniagaanku macam biasa. Mereka semua ni yang iri hati dengan kejayaan dan kekayaanku.” Rahim masih tidak mahu mengalah.

“Kalau begitu, itu siapa?” Lelaki berserban itu menunjuk ke arah buaian.

Rahim terkesima. Celaka! Jeritnya dalam hati. Dia sangat yakin orang kampung tidak nampak makhluk peliharaannya itu.

“Itu bukan kau punya urusan!” jerit Rahim. Jarinya menunjuk ke arah lelaki berserban itu.
“Jika sudah melibatkan keharmonian kampung ini, maka ini menjadi urusanku!”

Rahim ketawa. Semakin lama semakin kuat.
“Aku beri amaran sekali lagi, kembalilah ke pangkal jalan dan bertaubatlah, Rahim.”

“Jika aku enggan?” soal Rahim dengan angkuh.
“Maka aku harus menghapuskanmu dan makhluk peliharaan itu.”

Rahim masih berdiri di situ. Bersilang tangan. Terasa dirinya begitu berkuasa. Percaya dia akan dilindungi oleh makhluk peliharaannya itu.

“Allahuakhbar!” jerit lelaki berserban itu.
Orang ramai turut melaungkan kebesaran Allah. Berulang kali kalimat itu dilaungkan.
Lelaki berserban itu kemudian mengambil sesuatu dari poket jubah yang dipakainya. Susuatu berbentuk uncang itu diletakkan di atas tanah. Kemudian dia menghidupkan api dan membakar uncang yang berisi lada hitam dan garam itu. Perlahan-lahan menghasilkan asap yang mempunyai gas. Asap itu terasa menyengat hidung. Secara tiba-tiba makhluk peliharaan Rahim menjerit kesakitan. Dia mengengsot mendekati Rahim. Badannya sudah kemerah-merahan seperti terbakar.

Rahim tergamam melihat makhluk peliharaanya cedera. Makhluk itu seperti meminta pertolongan darinya. Menggapai-gapai.

Rahim tidak tahu mahu berbuat apa. Makhluk kurus kering itu mula mencakar dan mencederakan Rahim. Rahim cuba mengelak namun dia tidak mampu menepis serangan demi serangan dari makhluk peliharaannya itu. Lama-kelamaan tubuhnya menjadi lemah, nafas semakin memberat.
“Aku bersumpah, kau akan mendapat tuan yang baru. Tuan dari keturunan lelaki yang cuba membinasakan kita. Keturunan yang lemah semangat akan aku sesatkan dan binasakan!” Setelah itu, dia kaku di situ dengan mata terbeliak. Makhluk peliharaannya menjerit nyaring sebelum menghilang.

TAMAT

SHARE
Previous articleTangisan Rania
Next articleJelmaan Nenek…?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here