BERAYA DI RUMAH PONTIANAK 

0
1602

BERAYA DI RUMAH PONTIANAK
Nukilan: Grandisee Devan

===========================

Allahuakhbar… Allahuakhbar… Allahuakhbar…

Takbir raya kedengaran berdendang merdu di segenap pelusuk Kampung Batu Berendam. Nun jauh di hujung kampung, tiga orang sahabat duduk berbincang di bawah sepohon pokok ketapang yang tak berapa nak rendang.

“Lepas ni nak pi rumah sapa pulak?”

Acap bertanya dengan muka serius. Mizi dan Alip saling berpandangan.

“Hmm..apa kata kita pi rumah besaq di hujung kampung ni? Rumah dia besaq. Mesti banyak duit dia bagi! Rumah lain asyik bagi seringgit ja.” Alip bersuara. Acap dan Mizi mengangguk setuju.

“Betul jugak…asyik bagi seringgit ja bila kita nak dapat ratus-ratus! Jumlah! Aku on ja.” Mizi bersemangat.

Lalu mereka bertiga pun mengayuh basikal sehingga ke hujung kampung.

“Mana rumah tu?” Mizi bertanya Alip.

“Kena masuk jalan denai kat depan sungai tu dulu.”

Alip memuncungkan mulut menunjuk laluan denai yang hampir tertutup dengan semak samun. Mizi mengangguk sebelum mengayuh semula basikalnya, mengetuai mereka bertiga meredah laluan denai yang mengunjur jauh ke dalam hutan kecil Kampung Batu Berendam sehingga tiba di sebuah rumah kayu yang tersergam indah dengan halaman yang berumput subur menghijau.

“Cantik gila rumah ni. Aku tak pernah tau pun ada rumah besaq laguni kat dalam kampung kita.” Acap berkata kagum.

“Nak nampak macam mana rumah ni bukan dok tepi jalan. Dahla..bagi salam cepat.” Alip mendesak.

“Assalamualaikum…kami nak beraya!” Acap dan Mizi serentak memberikan salam.

Tap! Pintu rumah terbuka dari dalam walaupun salam mereka tidak bersambut. Mizi buat isyarat bagus melihat daun pintu terkuak semakin lebar seolah menjemput mereka masuk.

“Jum masuk!” Alip turun dari basikal lalu terus mendaki tangga naik ke atas.

Kreeekkk..

Pelantar kayu yang dipijak Alip berbunyi kuat. Dia berkalih ke belakang, membuat isyarat mengamit Acap dan Mizi supaya mengikutnya.

“Masuklah dik..”

Satu suara kedengaran dari dalam rumah. Mereka bertiga tersengih. Daun pintu dikuak mendedahkan ruang tamu yang luas dan lapang dengan susunan perabot yang minima. Seorang wanita anggun berkebaya putih bersih tersenyum mesra ke arah mereka.

“Jemput makan dik.”

Bibir merah bak delima itu tersenyum lagi. Alip tersengih macam kerang busuk lalu duduk di sebuah kerusi kayu di depan meja kopi sederhana besar. Semerbak bau bunga harum sundal malam yang dihias cantik di dalam pasu menerjah rongga hidung. Alip, Acap dan Mizi duduk memerhati sekitar rumah. Besar. Sayup-sayup kedengaran alunan lagu klasik Gurindam Jiwa dari sebuah radio lama di atas rak perhiasan. Wanita berkebaya tadi menuang air ke dalam tiga biji gelas.

“Minumlah..jangan malu-malu.”

Dia bersuara lagi. Bergemersik. Seolah sedang menyanyi. Mizi mengangguk lalu meneguk air merah di dalam gelas kaca itu. Dia tersedak seketika kemudian.

“Hang ni awat gelojoh sangat!” Acap tepuk peha Mizi.

“Ayaq ni rasa pelik la weh. Rasa payau.” Mizi mempertahankan diri.

Acap mahu membuka mulut menegur tetapi terdiam apabila wanita berkebaya itu tergelak kecil ke arah mereka.

“Gula dah habis.”

Dia menguntum senyum. Mereka bertiga serentak mengangguk faham.

“Minum dulu ya…saya ke dapur.”

Dia bersuara lagi sebelum meninggalkan mereka di ruang tamu. Sebaik sahaja kelibat wanita berkebaya putih itu hilang, Alip bangun dari duduknya. Dia meninjau sekitar ruang tamu itu. Membelek gambar-gambar yang dibingkaikan di atas rak. Acap bangun lalu menyertai Alip. Mizi menjeling sekilas kawan-kawannya sebelum sambung mengunyah kuih raya yang dihidangkan di atas meja.

“Cap…tengok ni.” Alip memanggil Acap sambil menuding jari telunjuknya pada sekeping gambar yang dibingkaikan.

“Sama. Tapi tu..1943?” Acap kerut dahi. Tidak pasti dengan tekaannya.

“Ya.” Alip bersuara serius. Liur ditelan. Cuak.

“Patutlah..dia..”

“Hampa buat apa?? Maila makan ni..” Acap menggantung ayat apabila terdengar suara lantang Mizi memanggil mereka.

“Shuuu..!” Alip kelam kabut menekup mulut Mizi. Mereka duduk di kiri dan kanannya dengan muka gelabah.

“Jum balik.” Alip tarik tangan Mizi.

“Weh..awat ni?? Baru sampai dah nak balik! Duit raya pun tak dapat lagi ni!” Mizi bersuara geram.

“Jum la!! Nanti kami.. ”

“Kenapa dah nak balik?” Wanita berkebaya putih bersulam tenun tadi muncul semula sambil tersenyum lebar ke arah mereka bertiga.

“Aa..nak balik bagi kucing makan.” Alip bagi alasan.

“La..pasai tu ka nak balik? Mak hang kan ada.” Mizi membalas selamba. Acap tepuk dahi.

“Kucing? Rumah ni pun dulu ada banyak sangat kucing. Tapi sekarang dah…mati.” Wanita itu membalas sambil tersenyum. Acap telan liur.

“Ya ka? Mati sebab apa?”

Mizi bertanya penuh minat. Alip hampir tersedak mendengar soalan spontan Mizi.

“Sebab…”

“Aa…kami balik dulu na. Selamat hari raya!”

Alip tarik tangan Mizi. Acap spontan terbangun dari duduk.

“La..awat ni kalut sangat? Kak ni baru nak cerita. Awat yang…eh. Sat. Tu..paku ka tu? Awat ada paku kat lehiaq (leher) kak ni? Tersilap paku ka lagumana?”

Mizi menuding jari ke arah wanita berkebaya itu. Alip dan Acap hampir terkencing disitu apabila wanita itu tersengih lebar sambil menyentuh paku yang dituding Mizi. Paku itu ditarik perlahan-lahan. Dia mula mengilai. Rambut yang tadinya elok bersanggul kini mengerbang dan melurut panjang sehingga ke lantai. Di luar, ribut mula kedengaran membadai pokok di sekitar halaman rumah. Cuaca yang tadinya cerah mulai gelap seperti hari sudah menginjak senja. Mereka bertiga menggeletar ketakutan melihat wanita itu terapung tinggi ke udara sebelum mengilai mendayu-dayu.

“Lari!!!!”

Alip bagi kata putus sebelum berpaling laju ke belakang dan membuka langkah seribu diikuti Acap di belakangnya. Kedua-duanya menginjak tanah lalu mencapai basikal yang terdampar di atas tanah.

“Lip! Mizi mana!??”

Acap menjerit ke arah Alip yang sudah mula mahu mengayuh basikal. Mereka berdua berpaling semula ke dalam rumah apabila jeritan Mizi menusuk telinga. Kalah bunyi ribut.

“Nak patah balik ka?!” Alip bertanya.

“Aku takut!” Acap membalas laju.

“Walaupun aku rasa nak hempuk ja dia dengan gerek (basikal) ni, tapi dia tetap kawan kita!” Alip bersuara lantang. Tegar. Yakin. Walaupun seluar rayanya dah basah dan hancing.

“Jum masuk ambik malaun tu balik. Hang baca ayat kursi!”

Acap memberi arahan. Mereka berdua meletakkan semula basikal ke tanah sebelum mendaki anak tangga kayu itu semula. Sebaik sahaja mereka tiba di muka pintu, Acap tiada di ruang tamu.

“Pi mana dah?” Alip pandang Acap.

Hihihihi….bunyi hilaian tawa itu membuatkan keduanya mendongak ke atas. Mizi, sedang tergantung tidak sedarkan diri di atas alang rumah. Pontianak itu tunduk memandang mereka di bawah. Alip berlari ke arah dapur, diikuti Acap.

“Awat hang lari mai dapuq (dapur)?” Acap menjerit ke arah Alip.

“Aku cari bawang putih!”

“Nak buat apa!!?”

“Pontianak takut bawang putih!”

“Tok hang! Tu dracula! Ni pontianak malaysia!”

Marah Acap. Suara mengilai kedengaran pula di dapur. Kedua-duanya menoleh serentak melihat pontianak itu meluncur laju mahu mendapatkan mereka.

***********

Alip membuka matanya perlahan-lahan. Silau lampu terasa menerjah retina.

“Haa..dia dah sedaq (sedar)..”

Satu suara kedengaran berbisik dekat di telinganya. Dia dapat menangkap sosok ibu dan ayahnya di sisi.

“Lip..hang okay ka?”

Ayahnya bertanya. Alip mengangguk lemah sebelum bangun perlahan-lahan. Pak Osman membantunya duduk.

“Awat ni?” Dia bertanya pada ayahnya.

“Hang tak ingat ka? Nu..Acap dengan Mizi sedaq lama dah. Mujuq (mujur) la Lebai Dollah lalu hujung kampung cari lembu dia tadi. Kalau dak…hmmm..tak tau lah!”

Alip memandang ke arah Mizi dan Acap yang sedang merenungnya. Sekarang, barulah dia teringat kembali apa yang terjadi sebelum dia tidak sedarkan diri. Rasa seram sejuk kembali menyerangnya.

“Aku dah halau dia. Awat yang hampa pi beraya rumah dia?? Rumah manusia tak cukup ka sampai kena pi cari rumah hantu?” Lebai Dollah berseloroh sambil menggulung puntung rokok daunnya.

“Aku nampak hampa masuk kot denai tu. Aku panggil hampa..tapi hampa dah kena pukau dah masa tu. Bila aku nak masuk, ada ribut pulak. Aku tunggu dulu sat. Baca ayat kursi banyak-banyak bagi hampa semua selamat. Tak lama lepaih (lepas) tu..aku nampak hang dengan dia tu keluaq (keluar). Tapi sorang lagi tak dak!”

Lebai Dollah mengunjuk Mizi dengan puntung rokoknya. Alip jeling Mizi geram. Punca!

“Kami dah tau dia tu bukan orang bila tengok gambaq (gambar) lama dia. Dari tahun 1943 lagi dia dah ada. Takkan tak tua-tua!” Alip bersuara. Acap laju mengangguk.

“Baru nak lari, si Mizi ni luruih (lurus) bendui sangat pi tanya dia awat cucuk paku tang lehiaq (leher). Ceroi la diaa ni!” Acap ketap gigi geram sambil menunjuk isyarat buku lima pada Mizi yang tersengih malu.

“Rumah tu tak wujud pun kalau pada pandangan mata kasaq (kasar) manusia ni. Cuma harini la hampa terkena. Dia nak tunjuk diri dia. Kena masa hari raya pulak tu!” Lebai Dollah tepuk lantai sambil ketawa berdekah-dekah.

Mizi, Acap dan Alip saling berpandangan.

“Dah..lepas ni jangan merayau jauh-jauh! Nasib baik pontianak..kalau kena sorok bunian??”

Pak Deris, ayah Mizi mengingatkan. Mereka bertiga mengangguk serentak. Serik! Sejak hari itu, mereka bertiga hanya akan pergi beraya di rumah sanak saudara, jiran terdekat dan rumah YB sahaja.

-TAMAT-

SHARE
Previous articleKARAK – KUANTAN
Next articleDENDAM TAK TERLERAI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here