ARKIB ANGKER NEGARA

0
938

ARKIB ANGKER NEGARA
Suzie Aziz

Page Arkib Angker Negara ditelusuri. Dia mencari-cari cerita yang menarik. Cerita yang boleh merangsangkan nafsunya. Dari satu cerita ke satu cerita dibaca. Hmmm kebanyakannya cerita-cerita hantu. Dia agak kebosanan. Matanya terpaku pada cerita Kampung Alor-Kedai Mi Pak Abas. Kisah tentang Pak Abas yang membunuh penduduk kampung dan menjadikan daging mereka ramuan utama mi daging yang lazat. Dia menjilat bibir usai membaca cerita tersebut. Jemarinya mengetuk-ngetuk papan kekunci seperti memikirkan sesuatu. Lama dia merenung skrin sebelum sekuntum senyuman sinis terukir di bibir.

Mona sedang menghabiskan sisa-sisa malamnya di sebuah kelab malam terkemuka di ibukota. Matanya melirik setiap lelaki yang bersendirian ketika itu. Hajat di hatinya ingin menggoda mana-mana lelaki hidung belang sebelum menawarkan diri menjadi peneman sepi malam seterusnya menjadi mangsanya untuk malam ini. Mona meneguk baki minuman keras di dalam gelas berkaki. Sewaktu dia berpusing ingin melihat ke arah pentas tarian, seorang lelaki tiba-tiba melanggar tubuhnya. Mona hilang keseimbangan badan namun sepasang tangan kekar sempat menyambut tubuhnya yang terlayah ke belakang. Mona pantas mendongak memandang wajah lelaki yang sedang memeluk pinggangnya. Amboi, kacaknya.

‘Are you okay?’ si jejaka menunjukkan riak risau dan serba salah. Mungkin merasa bersalah kerana melanggar gadis itu.

Mona rasa ini kesempatan yang tak seharusnya dilepaskan. Dia berpura-pura kurang sihat sebelum menyandarkan kepalanya di dada lelaki sasa itu. Si jejaka merasa bertanggungjawab lalu menawarkan diri untuk menghantar si gadis pulang. Mona tersenyum sebelum mengangguk kecil. Ah, tak sangka semudah itu si mangsa masuk ke perangkapnya.

Teksi yang membawa Mona dan si jejaka berhenti di sebuah apartmen. Selepas membayar tambang teksi, si jejaka membantu Mona masuk ke perut lif. Mona masih dengan aksi lemah longlainya. Ketika pintu rumah ditutup, Mona mula memainkan peranan. Ketika si jejaka membawanya ke sofa, badan si jejaka di tolak hingga terjatuh. Berkerut dahi si pemuda melihatkan perubahan mendadak si gadis.

‘Hey, I thought you’re…’

Belum sempat si jejaka menghabiskan kata-kata, Mona terlebih dahulu melompat ke atas badan lelaki itu. Dan dari situ segalanya bermula…

Bau harum mi daging begitu mengundang. Tak sabar rasanya menikmati keenakan mi daging dengan ramuan istimewa. Seketul daging merah dihiris nipis sebelum dimasukkan ke dalam periuk. Setelah dipastikan daging telah empuk, diceduk mi daging ke dalam pinggan sebelum dibawa ke meja makan. Dia mencium bau mi daging itu. Wow, sedapnya. Patutlah Pak Abas gunakan daging manusia. Rupanya daging manusia jauh lebih sedap dari daging binatang.

Laman Facebook dibuka. Nama Ahmad Rusydi ditaip dalam kotak search. Setelah dipastikan orang yang dicarinya sama seperti yang tertera di Page Arkib Angker Negara, butang Add Friend ditekan. Dia tersenyum-senyum sambil menikmati kelazatan mi daging ala Pak Abas. Hmmm bagaimana agaknya rasa daging si Ahmad Rusydi ni ya.

Dia kebosanan. Hampir seminggu dia makan mi daging sampai naik jelak. Bekalan daging yang masih banyak diberikan sahaja kepada sebuah restoran cina di seberang jalan. Dia kembali menelusuri blog Arkib Angker Negara. Mencari-cari cerita yang menarik. Lepas satu-satu nama penulis diklik. Dibaca kesemua cerita yang ditulis.
Kenapalah banyak sangat cerita hantu. Dah masuk tahun 2019 pun masih ada lagi yang percaya hantu.
Bacaannya terhenti pada cerita PRANK-Ratika. Penulisnya Atikah Che Yassin. Hmmm macam menarik. Kisah tentang kemalangan yang disebabkan oleh prank yang dilakukan sekumpulan anak muda demi menaikkan rating program hiburan mereka. Dia cukup tertarik dengan idea prank tersebut walaupun terdapat unsur hantu di dalam cerita itu. Sekeping kertas dan sebatang pensil dicapai lalu otaknya mula bekerja demi merealisasikan PRANK versinya pula.

Ramzi menghidupkan enjin kereta sebelum perlahan-lahan keluar dari pusat servis Honda. Kereta kesayangannya itu baharu berusia tiga bulan. Sebelum keluar dari pusat servis itu, matanya sempat melirik seseorang yang berdiri di sebalik dinding kaca. Aneh betul pekerja pusat servis itu pada pandangan mata Ramzi. Dia tidak berada bersama-sama pekerja yang lain yang sedang sibuk melayan pelanggan atau menyelenggara kenderaan sebaliknya hanya berdiri di sebalik dinding kaca memandang ke luar. Ramzi tidak mahu mengambil pusing tentang pekerja itu, sebaliknya dia meluncurkan keretanya menuju ke rumah.

Perjalanan yang lancar sebentar tadi mula perlahan apabila laluannya mula memasuki lebuhraya Shah Alam. Waktu puncak sewaktu semua orang mula pulang ke rumah dari tempat kerja. Ramzi memperlahankan kelajuan kenderaan. Dia ingin mengambil kad Touch n Go yang disimpan di celah pengadang cahaya. Ketika penghadang cahaya ditarik, sesuatu yang melingkar tiba-tiba jatuh ke atas ribanya. Sekilas pandang Ramzi dapat melihat sesuatu yang berwarna hitam bercorak melingkar di atas pahanya. Ular!

Akibat terperanjat, Ramzi memulas stereng ke sebelah kiri. Kakinya serentak menekan minyak dan keretanya laju meluncur sebelum menghentam pondok tol. Pengguna jalanraya yang menyaksikan kejadian tersebut segera menghentikan kenderaan masing-masing. Sebelum petugas tol tiba untuk memberi bantuan, kelihatan seorang pekerja pusat servis Honda sedang terbongkok-bongkok di sebelah pemandu yang tersembam di stereng. Dia hanya beredar setelah diarahkan oleh petugas kecemasan lebuhraya.

Rakaman dari spy camera yang diambil dari kereta Honda City yang kemalangan petang tadi ditonton sudah masuk lima belas kali. Dan setiap kali itulah dia akan ketawa terbahak-bahak menyaksikan reaksi wajah terperanjat si pemandu ketika ular getah yang diletakkan di celah penghadang cahaya jatuh ke ribanya. Hmmm rugi rasanya kalau kelucuan ini tak dikongsi dengan masyarakat di alam maya. Laman Youtube dibuka sebelum video rakaman itu dimuatnaik menggunakan akaun palsu. You’ve been PRANKED ditulis sebagai tajuk. Apabila proses muatnaik selesai, kad sim yang dibeli sebentar tadi dikeluarkan dari telefon sebelum dibuang ke dalam longkang.

Nama Atikah Che Yasin dicari di dalam Page Arkib Angker Negara. Puas dicari namun nama itu tiada dalam senarai yang dicadangkan. Hmmm penulis ni tak ada Facebook agaknya atau dia gunakan nama yang lain. Dia mengeluh sebal.

Sudah hampir sebulan selepas kali terakhir dia menikmati keenakan mi daging ala Pak Abas. Rasa gian pada keenakan daging manusia mula bertandang. Tapi kali ini dia tidak mahu lagi menggunakan daging manusia sebagai rencah dalam mi. Hmmm apa lagi yang boleh dibuat dengan daging manusia agaknya. Tangannya pantas menekan ikon FB. Arkib Angker Negara adalah page yang wajib dibuka setiap kali dia log masuk. Dia mengabaikan cerita yang melibatkan hantu kerana itu bukan minatnya.

Ah tak habis-habis dengan hantu. Mulutnya mengomel selepas membaca beberapa cerita. Akibat gagal mencari cerita yang diingini di FB, dia beralih ke blog. Segera ditaip ‘daging’ di dalam kotak search. Keluar beberapa cerita berkaitan daging yang menarik. Puas membaca beberapa cerita. Dia tertarik dengan cerita Bebola Daging karya May Nhai. Sekeping kertas dan pensel dicapai lalu dirangka strategi merealisasikan keinginannya. Selepas berpuas hati dengan rancangan yang telah diatur, telefon bimbit yang sedari tadi terbiar di atas meja TV diambil sebelum mendail nombor seseorang.

‘Mona. Aku ada tugas baru untuk engkau.’
Tiga hari kemudian, seorang lelaki telah berjaya dibawa ke rumahnya. Mona ternyata seorang wanita yang hebat. Selepas lelaki yang tidak sedarkan diri itu diikat di kerusi, dia mempersiapkan segala peralatan yang diperlukan. Dia sedaya upaya cuba mengikut setiap cara yang ditulis di dalam cerita Bebola Daging.

Apabila lelaki itu membuka matanya, dia terperanjat besar apabila didapati dirinya terikat pada sebuah kerusi. Rasa terperanjatnya bertukar menjadi ketakutan apabila melihat seorang wanita bergaun merah sedang membelakangkan dirinya sambil memegang sebilah pisau pemotong daging.
‘Hanif bin Hamadi.’ Suara wanita itu kedengaran kasar ketika membaca nama mangsanya yang tertera di kad pengenalan.

‘Kau ni siapa hah. Apa kau nak dari aku?’ lelaki itu meronta-ronta cuba melepaskan diri.
‘Lepaskan akulah sial!’

Wanita itu berpaling. Suara tawanya meledak menghinggari ruang bilik yang suram. Dalam suasana sebegitu agak sukar melihat wajah wanita itu dengan jelas. Wanita itu menghampiri mangsanya yang tidak berbaju. Tanpa sebarang kata, pisau pemotong daging dilibas ke leher mangsa. Terbelalak mata si pemuda. Mulutnya ternganga menahan kesakitan sakaratulmaut.
Selesai melapah, daging si pemuda dimasukkan ke dalam pengisar sebelum dibulat-bulatkan menjadi bebola. Air liur meleleh di sudut bibirnya. Nafsu makannya membuak-buak. Dia tidak sabar untuk menikmati hidangan bebola daging manusia sebagai makan malamnya. Baki daging yang masih banyak dimasukkan ke dalam freezer.

Sementara menanti bebola daging yang diletakkan di atas non-stick pan masak, jemarinya menaip nama May Nhai. Puas dicari tetapi dia sendiri tidak pasti yang mana orangnya. Akhirnya dia mendapat idea. Dicari nama penulis di page AAN. Selepas diklik dia tersenyum, oh, pakai nama lain rupanya. Terus diklik butang add friend.

Hmmm untuk seminggu dua ni dia akan berkurung di rumah menikmati keenakan bebola daging yang sudah disiapkan lebih awal sampai jemu.
………………………………………………………………………………………………………
Dia terjaga tiga puluh minit lewat dari yang sepatutnya. Terkocoh-kocoh dia ke bilik air. Dia hanya menggosok gigi dan membasahkan rambut sahaja. Selesai bersiap ala kadar, kunci kereta yang diletakkan di dalam mangkuk dicapai sebelum tergesa-gesa keluar dari rumah. Pintu rumah dikunci. Tiada sesiapa kelihatan di Lorong apartmen. Selepas lima minit, pintu rumah kembali dibuka. Kunci kereta dicampak ke dalam mangkuk. Badannya yang terasa pegal dihempas ke sofa empuk. Kepenatan akibat seharian bekerja membuatkan dia rasa mengantuk.

Hampir sejam dia terlena di sofa. Dia hanya terjaga apabila perutnya terasa pedih. Ah, lapar pula. Dia ke dapur lalu dikeluarkan bebola daging yang sudah dibungkus siap di dalam aluminum foil. Dicampakkan sahaja daging itu ke dalam microvave. Sementara menunggu makan tengharinya siap, dia membuka aplikasi FB. Cerita Split karya Suzie Aziz yang dibaca separuh semalam menarik minatnya. Dia duduk di kerusi makan sebelum kembali menyambung bacaanya. Sepanjang pembacaan, otaknya berputar ligat membayangkan kejadian yang berlaku di dalam cerita itu. Usai membaca, dia mencapai sehelai kertas dan pen. Seperti biasa dia merancang melakukan perkara yang sama

Seminggu selepas itu dia sudah bersedia. Selama seminggu juga dia menonton filem-filem psychopath bagi mendapatkan mood. Iklan bilik untuk disewa sudah ditampal di sebuah pondok telefon yang hanya menunggu masa untuk rebah. Sebuah kondominium mewah juga disewa untuk sebulan. Dia juga sanggup mengeluarkan wang bagi mendekorasikan sebuah bilik supaya kelihatan sama seperti bilik yang disewa Noni. Seperti biasa, khidmat Mona digunakan untuk menyamar sebagai Sheera.

Sejak dua hari lepas panggilan diterima bertali arus. Agak sukar memilih mangsa yang sesuai sehingga akhirnya dia berjumpa gadis seperti yang tergambar di kotak fikirnya. Gadis manis itu bernama Syikin. Hampir menepati karektor Noni yang polos dan ceria. Selama dua minggu gadis itu dibiarkan menyewa bersama Mona yang dipanggil Kak Sheera sehinggalah malam ini rancangannya akan dilaksanakan.

Dia memerhati Syikin yang sedang menonton TV. Apabila Mona memberikan Syikin segelas coklat panas, dia tersengih-sengih sendirian. Tak sabar rasanya untuk beraksi.

Tangan dan kaki Syikin yang tertidur pulas diikat dan pijamanya ditanggalkan menyerlahkan sekujur tubuh yang menggiurkan. Nafsunya membuak.
Apabila Syikin terjaga dan menjerit-jerit dia mula bertindak seperti watak si gila yang dibaca. Tubuh Syikin disepak dan ditumbuk bertubi-tubi. Selepas puas menyakiti gadis itu, sebatang besi pemecah ais diambil sebelum dirodok ke bahagian sulit Syikin. Raungan kesakitan Syikin ibarat irama lagu yang mengasyikkan. Dia hanya berhenti selepas gadis itu diam tidak bernyawa. Dia kemudiannya berbaring di sebelah jasad Syikin sebelum meledakkan tawa seperti orang gila. Usai ketawa tangannya menggagau poket seluar mencari telefon bimbitnya. Aplikasi FB dibuka. Dicari akaun Suzie Aziz sebelum butang add friend ditekan. Dia cuba berfantasi melakukan perkara yang sama dengan penulis cerita Split itu.
>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Berita tentang kehilangan dua orang lelaki beberapa kali naik ke newsfeednya. Dia hanya tersenyum membaca berita itu. Terus digosok-gosok perutnya dimana sebahagian tubuh lelaki-lelaki itu bersemadi. Dua bulan selepas kejahatan yang terakhir dilakukan, dia kembali gian. Naluri sadistiknya kembali membuak-buak. Page Arkib Angker Negara semakin membosankan dengan cerita-cerita hantu. Dia perlukan satu cerita yang boleh direalisasikan. Satu cerita yang boleh membuatkan dirinya merasa terangsang.

Satu hari dia terbaca cerita KEJAR II. Karya penulis yang sama. Suzie Aziz. Begitu khusyuk dia membaca cerita tersebut sambil membayangkan setiap pembunuhan yang dilakarkan oleh penulis. Dia merasa teruja selepas selesai membaca cerita tersebut. Terdapat enam cara kematian yang mengerikan menimpa rakan-rakan mangsa yang dikejar. Dadanya berdebar kencang. Enam cara kematian dalam satu masa. Sungguh menarik bunyinya. Sekeping kertas dan sebatang pensil dicapai sebelum otaknya bekerja dan merancang.
Mona ditugaskan mengumpul mangsa-mangsa terbarunya. Empat orang lelaki dan dua orang wanita. Mona pada mulanya enggan melakukannya namun setelah diunjukkan wang sebanyak 30 ribu ringgit, dia terus bersetuju. Mona meminta diberikan masa mencari orang yang dikehendaki. Selepas persetujuan dicapai, separuh bayaran upah bertukar tangan. Mona terseyum gembira menerima wang sebanyak lima belas ribu ringgit. Hmm dapatlah dia membayar hutang Ahlong dan membeli bag tangan idamannya.
Belum cukup sebulan Mona berjaya mengumpulkan enam orang anak muda. Empat lelaki dan dua perempuan. Dia sangat gembira dengan hasil usaha Mona. Tanpa soalan baki lima belas ribu diserahkan ke tangan wanita itu.
Enam orang anak muda berdiri di hadapan sebuah banglo usang di dalam sebuah hutan kecil. Mereka tiba pada masa yang berbeza. Masing-masing mengesat peluh yang membenih di dahi. Perjalanan sejauh hampir dua kilometer dari jalan utama benar-benar memenatkan. Mereka terdiri daripada peminat dan pemburu hantu yang sudah menjelajah hampir seluruh pelusuk negara mencari entiti. Namun tiada seorang pun yang tahu tentang kewujudan banglo ini.

Sedang mereka berbual kosong, pintu banglo dibuka dari dalam. Bunyi keriut yang terhasil menimbulkan rasa seram dalam hati. Mereka menunggu orang yang sepatutnya menyambut mereka muncul tetapi hampa. Hanya ruang dalam banglo yang suram menjadi santapan mata. Mereka teragak-agak untuk masuk.

‘Tunggu apa lagi. Jomlah masuk.’ Zairi melangkah memasuki banglo itu. Mereka yang lain segera membontoti Zairi. Ruang di dalam banglo ternyata kosong. Tiada sebarang perabot yang menghiasi kecuali sebuah meja kecil yang berada di tengah ruangan. Di atas meja terdapat enam buah gelas yang terisi air sirap ais. Kamal dan Malik menelan liur. Tiba-tiba mereka merasa haus melihat air sirap ais itu.

SILA MINUM AIR INI SEBELUM PERMAINAN BERMULA
Nota yang tercetak di atas sekeping kertas putih dibaca. Mereka saling berpandangan. Zairi sekadar menjungkit bahu sebelum meneguk air sejuk itu sehingga habis. Melihatkan tindakan Zairi, yang lain turut melakukan perkara yang sama. Sejam kemudian keenam-enam anak muda itu sudah bergelimpangan di beberapa bahagian banglo. Dia yang menyaksikan kejadian yang berlaku sejak kehadiran anak-anak muda itu tersenyum puas. Rancangannya sudah separuh jalan berjaya.

Zairi, Kamal, Malik, Umar, Siti dan Ara terpisat-pisat bangun dari lena yang Panjang. Setelah kewarasan kembali ke dalam diri, mereka tergamam apabila melihat keadaan masing-masing. Zairi terbaring di atas sebuah katil bujang dengan kaki dan tangan terikat. Di atasnya terdapat ceracak besi terbuai-buai. Malik terikat pada sebatang tiang. Pada badannya terdapat sesuatu yang kelihatan seperti bahan letupan. Umar pula terbaring atas sebuah meja panjang. Besi-besi melengkung yang tajam merentangi setiap sendi termasuk leher. Kamal terendam di dalam kotak kaca. Seekor ular sawa besar mendesis-desis di dalam sangkar besi yang diletak di atas kotak kaca itu manakala Siti tergantung pada seutas rantai besi sedang di bawahnya sebuah periuk besar yang terisi air panas menggelegak menanti. Hanya Ara sahaja yang bebas. Mereka mula ketakutan.

“Ara, tolong aku Ara!”

Masing-masing mula meronta, cuba melepaskan diri. Hanya Umar sahaja yang terpaksa berdiam diri kerana setiap pergerakan akan melukakan kulitnya. Ara berlari ke setiap kawan baharunya, cuba mencari jalan melepaskan mereka.

Dia yang mengintai kekecohan yang berlaku dari sebuah lubang di dinding mula beraksi. Dia masuk ke bilik seluas 30×30 itu dengan berselubung hitam. Kehadirannya ternyata menarik perhatian kesemua anak muda yang sedang ketakutan.
‘Binatang. Apa yang kau nak dari kami hah!’ Zairi menjerit marah.
‘Kalau kau nak bebas, perempuan itu kena ikut permainan aku.’ Telunjuknya dihalakan ke arah Ara. Dia tersenyum-senyum dari sebalik kelubung. Ternyata permainan ini adalah yang paling terbaik setakat ini.
‘Kau…kau nak aku buat apa? Tolong jangan apa-apakan kitorang.’ Suara Ara sayu merayu nyawa mereka.
‘Ikut permainan aku.’ Suaranya dikeraskan.
Ara berpaling memandang Zairi, cuba mendapatkan kepastian. Zairi sekadar mengangguk.
‘Baik, aku setuju.’
‘Bagus. Kau cuma perlu jawab soalan aku. Ada sepuluh soalan kesemuanya. Setiap jawapan yang salah, nyawa mereka jadi habuan aku.’
Ara menelan liur. Tak sangka hari ini dia mungkin menjadi seorang pembunuh.
‘Soalan pertama. Siapakah yang mencipta telefon?’
‘Alexander Graham Bell!’
‘Dimanakah letaknya Gunung Kinabalu?’
‘Sabah.’
‘Bila Malaysia merdeka?’
‘Err 30…eh 31 Ogos 1957!’ Ara sedikit panik. Hampir-hampir dia tersalah memberi jawapan.
Dia sedaya upaya menahan tawa melihat riak wajah mangsa-mangsanya. Mereka semua benar- benar ketakutan.
‘Siapa Perdana Menteri Malaysia?’
‘Tun Dr. Mahathir Muhammad.’
‘soalan ke lima. Dengar baik-baik. Berapa jumlah penduduk bumi?’
Ara bagai ditampar. Kelu lidahnya mendengar soalan itu. Ara dapat merasakan mereka sememangnya akan dibunuh.
‘Tiada jawapan. Baik.’
Zing!
Cerucuk besi jatuh menimpa Zairi. Dia mati serta merta sebelum sempat menjerit. Darah memercik merata-rata. Siti meraung-raung hysteria. Suasana menjadi hiruk pikuk dengan jeritan dan tangisan. Dan dia benar-benar menikmatinya.
‘Siapa yang mencipta selipar jepun?’
Ara jatuh terduduk. Dia memekup kedua telinganya. Tidak sanggup mendengar jeritan penuh sengsara rakan-rakannya. Airmatanya tumpah seperti empangan yang pecah.
‘Tiada jawapan lagi.’
Malik hanya sempat merenung sayu apabila mendengar bunyi klik sebelum bom meletup. Badannya hancur berkecai. Cebisan-cebisan daging bersepah memenuhi separuh bilik.
‘Bila gerhana bulan yang seterusnya?’
‘Tiada jawapan lagi.’
Umar meraung-raung kesakitan apabila besi-besi tajam itu mula terbenam dan memotong sendi-sendinya bermula dari kaki. Raungannya hanya terhenti apabila kepalanya terpisah dari badan. Ara semakin hilang pertimbangan. Gadis itu mendongak memandang manusia berkelubung hitam itu.
Dia mengelak apabila gadis yang masih bebas itu menyerbu dan cuba memukulnya. Belakang gadis itu disepak sebelum tangannya dipulas ke belakang. Dia menolak gadis itu ke tengah ruangan.
‘Jangan cuba buat yang bukan-bukan.’
‘Berapa kali manusia bernafas sehari?’
Tiada jawapan. Ara hanya mampu mengelengkan kepala.
Siti yang masih meronta dan meraung hanya mampu menutup mata apabila rantai yang mengikatnya putus. Tubuhnya tercebur ke dalam air panas yang menggelegak. Percikan air panas turut mengenai Ara. Gadis itu berguling kesakitan sebelum pengsan.
‘Hmm nampaknya tinggal kau sahaja.’ Dia berpaling mengadap Kamal yang hanya mampu menangis tersedu-sedu.
‘Tolonglah lepaskan aku. Aku taknak mati.”
Dia hanya tersengih di sebalik kelubung hitam. Tangan kirinya diangkat menunjukkan simbol bagus sebelum diterbalikkan.
Kamal meronta-ronta di dalam air apabila ular sawa yang kelaparan dilepaskan dari sangkar. Dia hanya memerhati sambil tersenyum puas apabila lelaki malang itu dibelit sang ular sebelum perlahan-lahan ditelan. Dia tidak menunggu lama di situ. Satu panggilan dibuat sebelum dia berlalu pergi.
Ketika Ara tersedar dari pengsan, dia melihat sekumpulan anggota polis mengelilinginya. Masing-masing mengacukan pistol ke arahnya. Ara melihat di tangannya tergenggam alat kawalan jauh.
Dia menjilat aiskrim strawberry sambil menonton berita tergempar penangkapan seorang gadis yang dipercayai telah membunuh lima orang di sebuah banglo tinggal. Ah, nampaknya dia boleh berehat untuk sementara waktu. Usai menonton berita, dia kembali menonton video rakaman pembunuhan yang dilakukan di banglo itu. Alangkah bagusnya kalau si penulis cerita KEJAR itu turut menjadi mangsanya. Dia tersengih sendirian. Terima kasih Arkib Angker negara!

TAMAT

SHARE
Previous articleSayangku Siti
Next articleGADIS BERKURUNG PUTIH 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here