AKU ADA

0
1781

PROJEK CERPEN AAN
KARYA: Liah Ismail
TAJUK: AKU ADA
=======================

AKU juga macam orang lain. Hidup aku sederhana, tak perlu bermewah-mewah asalkan ada untuk aku teruskan hidup. Tapi aku bukan sebatang kara. Aku ada mak, ayah, abang, kakak dan sahabat yang amat memahami.

Segala kemahuan aku, tidak pernah diabaikan. Sebut saja mahu ini atau itu, mak, ayah, abang long dan kak ngah aku pasti akan turuti. Maklumlah anak bongsu memang istimewa sikit.

Sahabat aku pula, sejak kecil kami tidak pernah terpisah. Masuk kolej pun di tempat yang sama.
Minat kami pula tak adalah yang pelik pun. Kami suka menonton movie seram dan kejam.

Macam-macam movie dari serata dunia kami pernah tengok. Bila ada adegan hantu, darah, potong kepala, badan dan siat kulit dengan kejam, kami pula ketawa. Bagi kami berdua benda tu adalah mengarut. Mustahil terjadi di dunia nyata.
Tapi satu kejadian yang buat aku mula trauma.

Pertama, berlaku di kolej yang aku sedang menuntut sekarang. Hari tu, kelas aku mula lewat dan habis jam 8 malam. Kebetulan malam tu aku balik sendirian sebab kawan aku selalu balik bersama, Wafa tidak datang. Ada hal penting katanya.

Waktu menunggu lift turun ke bawah memang ramai yang sedang berdiri di hadapan. Apabila lift terbuka, tinggal aku seorang yang tak boleh masuk sebab full house. Dan aku pun hanya mampu tayang sengih. Tinggallah aku seorang diri tunggu lift seterusnya.

Tidak lama aku tunggu, lift tadi terbuka semula tanda mereka tadi sudah selamat sampai ke bawah. Aku masuk dalam tanpa fikir bukan-bukan. Masuk saja aku terus tekan butang G dan tutup, tapi pintu lift tak tertutup pula.

Jadi aku anggap ada orang di belakang aku lagi nak masuk. Lama juga aku tunggu, tapi langsung tak ada tanda-tanda orang akan masuk. Jadi aku jengukkan kepala aku keluar. Kosong dan sunyi. Hanya lampu yang malap menerangi aras tersebut. Serta-merta bulu roma aku berdiri.

Cepat-cepat aku tarik kepala aku semula ke dalam dan tekan butang tutup. Kali ini cepat pula pintu lift itu bertutup. Namun kelegaan aku cuma seketika apabila sekali lagi aku diuji dengan lampu dalam lift itu tiba-tiba berkelip bagai nak mati. Oh, God!

Mata hitam aku membesar sebesar-besarnya kerana saat ini aku memang tak boleh hadam langsung dengan kejadian yang sedang berlaku. Kecelakaan apakah ini? Lift langsung tidak bergerak dari tingkat tersebut. Terus berkelip-kelip dengan lampu yang malap.

aku cuba membaca surah-surah pendek namun semuanya bagai tunggang-terbalik. Aku berhenti seketika dan menarik nafas panjang. Sekali lagi aku beranikan diri tekan butang G.

Kali ini barulah lift itu mula bergerak turun ke bawah. Lampu yang berkelip tadi sudah berhenti sebaik pintu lift terbuka di tingkat paling bawah. Terus saja aku berlari keluar.

Di aras itu, sudah kosong. Langsung tidak kelihatan pelajar atau staf kolej.

Aku terus berlari keluar dari pagar kolej. Baru saja aku mula merasa lega, kejadian seram seterusnya berlaku pula depan mata aku.

Waktu itu kelihatan seorang perempuan cuba melintas jalan raya tika sebuah lori memecut laju tanpa ada rasa peduli dengan jalan di hadapan mata.

Perempuan yang cuba berlagak berani untuk melintas itu, terpelanting dan seterusnya terseret jelas depan mata aku. Kepalanya putus dan isi perutnya terburai!

Aku terus rasa loya dan termuntah. Jeritan aku juga tidak panjang kerana aku terus tidak sedarkan diri. Sedar-sedar saja, aku sudah berada di hospital.
Aku menjerit-jerit bagai orang gila padahal hakikatnya aku masih berasa takut yang amat. Mak, ayah, abang dan kakak aku cuba menenangkan aku tapi aku tetap macam tadi. Akhirnya doktor terpaksa menyuntik aku dengan ubat penenang agar aku kembali tenang.

Entah, berapa lama aku tertidur. Sebaik saja sedar aku sudah berada dalam bilik rumah sendiri.

“Macam mana Lisa?” soalan pertama mak tanya aku sebaik celik mata. Minda aku masih kosong. Orang-orang yang sedang berdiri di hadapan aku saat ini bagai orang asing dalam hidup aku saja. Keliru dan buntu terus berlegar-legar di mindaku.
Aku geleng kepala kecil untuk menjawab soalan pertama mak tadi. Barulah aku nampak wajah semuanya kelegaan.

Lega?

Tapi kenapa aku masih rasa kosong. Satu-persatu wajah yang berdiri di situ aku pandang. Seperti ada yang kurang, cuma aku tak pasti siapa. Tidak semena-mena aku menangis. Cepat-cepat mak peluk dan pujuk aku.

Hampir seminggu aku tidak turun kolej. Aku masih cuba pulihkan semangat yang makin meruntuh saban waktu. Semua CD seram yang menjadi koleksi aku dan sahabat baikku sebelum ini aku kumpul dan bakar di belakang rumah. Apabila mak dan ayah bertanya, aku cuma kata benda tu tak penting.

Aku masuk bilik semula. Baru saja aku buka pintu, aku menjerit nyaring. Kelam-kabut mak dan ayah mendapatkan aku yang sudah terduduk dengan wajah ketakutan yang amat sambil menunjuk-nunjuk ke atas bilik aku.

“Kenapa Lisa?” mak bertanya risau.
Aku menunjuk kipas yang sedang berputar laju saat ini.

“Siapa yang pasang kipas tu? Tutup sekarang, aku cakap tutup!” jerit aku pada mak dan ayah. Bukan tidak ada rasa hormat, cuma ketakutan saat ini yang membuatkan aku meninggikan suara.

Cepat-cepat ayah tekan suis off. Kipas tadipun perlahan-lahan berhenti. Barulah aku berasa lega. Kemudian aku peluk mak erat-erat. Cuba meniup kembali semangat aku yang hilang tadi.

“Lepas ni, jangan pasang kipas tu lagi. Lisa takut, takut kalau kipas tu tercabut dan potong kepala Lisa,” aku meminta sambil teresak-esak. Mengangguk mak dan ayah mendengar permintaan aku.

Sejak dari situ, rumah batu sederhana besar tersebut sudah dilengkapi dengan aircond. Kipas dalam rumah itu sudah diharamkan sama sekali.
Mujur juga di kolej tidak ada kipas pusing. Jadi aku rasa selamat untuk masuk kelas. Cuma kadang-kadang aku tetap rasa tidak selamat kalau keluar dari pagar kolej. Pasti kejadian kemalangan tersebut akan segera menghantui aku.

Wafa sudah tidak pernah biarkan aku pergi dan balik kolej seorang-seorang. Seorang sahabat yang benar-benar memahami. Dia akan balik jika abang atau ayah sudah datang menjemput aku.

Bangunan yang masih dalam pembinaan yang berhadapan dengan kolej aku itu sering-kali membuatkan aku tidak sedap hati. Macam-macam perkara buruk aku bayangkan.

Bagaimana kalau besi tu jatuh dan menusuk aku? Macam mana kalau semen tersebut terlepas dari jaringnya dan menimpah aku? Macam mana? Aku terlalu membayangkan yang bukan-bukan meski bangunan dalam pembinaan tersebut sebenarnya amat jauh dari tempat aku selalu menunggu ayah atau abang long aku ambil.

“Kau ok?” soal Wafa. Mungkin perasan fikiran aku sudah jauh melayang. Aku sekadar geleng kepala tidak bermaya. Senyuman yang aku cuba lemparkan juga terasa kelat.

“Ingat Lisa, kalau kau ada apa-apa masalah jangan malu nak kongsikan dengan aku. Aku sahabat kau dunia akhirat. Ok?” pujuk Wafa bagai tahu saja apa yang sedang aku fikirkan saat ini.
Aku mengangguk kecil.

Tidak lama menunggu, kelibat kereta ayah sudah sampai. Aku cuba ajak Wafa naik sekali. Nanti ayah boleh hantar dia sampai rumah kerana jalan kami balik ke rumah sama. Tapi Wafa tolak. Katanya dia nak ke tempat lain. Beli barang.

Aku tidak memaksa dan terus masuk dalam kereta selepas berpesan padanya agar jaga diri.
Melihat kelibat Wafa di tepi jalan mahu melintas jalan membuatkan aku tidak sedap hati. Aku menghalang ayah untuk bergerak dahulu dan aku cepat-cepat keluar dari dalam kereta.

Tidak sempat aku menghalang Wafa yang sudah memulakan langkah mahu melintas.

“Wafa!” jerit aku dari seberang melihat sahabat baikku itu sudah ditengah jalan. Dia berhenti dan menoleh ke arahku bersama kening terangkat.
Tidak lama aku pandang wajahnya sebelum bas pelancong tiba-tiba muncul dan melanggar tubuh kecil sahabatku itu dan terpelanting jauh ke hadapan. Aku tidak sempat menjerit kerana kejadian berlaku tanpa diduga. Aku cuma berharap Wafa tidak apa-apa sebelum semuanya jadi kelam.

*****

Makcik Kamariah masih menangis macam mula-mula dapat tahu anaknya itu punya masalah mental. Kemurungan Psikotik. Dia sendiri tidak menduga, anaknya yang kelihatan sihat dari luaran itu rupanya menyimpan sesuatu yang kini dia sendiri kesali.

Pakcik Samad walaupun kelihatan tenang, namun siapa tahu hati seorang ayah apabila melihat anaknya jadi begitu. Dia pasrah dan redha, namun doanya tidak pernah berhenti mahu melihat anak bongsunya itu sihat walafiat seperti sebelum ini.
Abang Syam dan Kak Zura tidak banyak bicara. Kesedihan mereka terpancar melalui wajah sayu setiap kali datang melawat adik bongsu yang dahulunya ceria, tapi kini sudah pandai bicara sendiri di sebalik bilik yang boleh dilihat melalui cermin lutsinar itu.

Tangan Lisa terus menulis di satu kertas yang pastinya tiada siapa yang mampu menterjemahkannya. Hanya empunya diri yang masih menyimpan rahsia yang tidak terungkapkan hingga kini.

Doktor Mastura, Doktor Pakar Psikiatri yang merawat Lisa menghampiri keluarga malang itu. Bahu Makcik Kamariah disentuh perlahan lalu satu senyuman dilemparkan.

“Lisa tidak gila, makcik. Cuma mengalami kemurungan. Tapi jangan risau, Lisa boleh diubati, namun mengambil masa yang lama sebab Lisa dah lama sakit,” Doktor Mastura menerangkan. Ayat itulah yang selalu disuakan pada keluarga itu untuk memujuk hati.

“Dia masih membayangkan hal yang sama ke, Dok?” tanya Kak Zura. Doktor Mastura mengangguk. Tidak menyembunyikan rahsia kesihatan Lisa walau sekecil zarah.

“Dari kecil mereka berkawan. Dua-dua minat tonton movie seram sama-sama. Ke mana pergi pun mesti berdua. Tak sangka, jadi macam ni akhirnya. Dia masih tak boleh terima hakikat sahabat baiknya itu mati depan mata,” Pakcik Samad bercerita. Yang lain mengangguk perlahan.

Doktor Mastura memang sudah tahu sebab-musabab mengapa Lisa jadi begitu. Kejadian kemalangan setahun yang lepas masih tidak dapat dilupakan Lisa. Wafa mati dilanggar lori panjang ketika cuba melintas jalan. Kepalanya putus, isi perutnya terburai. Jelas dihadapan mata gadis tersebut.

Sejak dari peristiwa hitam itu, tingkah laku Lisa sudah berubah. Takut pada sesuatu yang boleh meragut nyawanya pula. Selain itu, dia bercakap sendirian seolah-olah Wafa masih hidup. Hakikatnya sahabatnya itu sudah meninggal dunia setahun yang lepas.

Sehinggalah kemuncaknya, satu lagi kejadian kemalangan ngeri berlaku di hadapan matanya. Di tempat yang sama namun mangsanya bukan manusia. Seekor kucing betina yang cuba melintas jalan. Walaubagaimanapun, di mata Lisa kucing kesayangan Nabi S.A.W itu adalah Wafa.
Seiring dengan jeritannya, nama Wafa meniti di bibir gadis itu. Akhirnya, dia terdampar di hospital sakit mental ini setelah keluarga itu sudah tidak mampu berbuat apa-apa lagi untuk memulihkan semangat gadis tersebut.

Kesemua perhatian mereka masih ke arah gadis yang kelihatan sedang bercakap seorang diri. Sekejap ketawa dan sekejap lagi menangis.

Di hadapan Lisa kini, Wafa sedang menemaninya sambil duduk bersembang. Saban waktu Wafa bersamanya. Berbual macam biasa walau hakikatnya itu cuma bayangan yang dicipta Lisa sendiri kerana menganggap sahabatnya itu tidak akan pernah meninggalkannya.

“Kau sahabat aku dunia akhirat, Lisa. Bangunlah, terimalah hakikat yang semua ini hanyalah khayalan semata-mata.” Pujuk bayangan itu. Lisa menggeleng laju dan mula menangis.

“Kalau aku bangun, aku bimbang kau akan tinggalkan aku, Wafa. Jadi, aku lebih rela hidup begini sampai bila-bila. Asalkan kau ada.”

Pandangan sayu Wafa menemani tangisan Lisa yang semakin meruntun jiwa buat ahli keluarga yang melihatnya.

TAMAT

SHARE
Previous articleAMPUNKAN AKU
Next articleHUTANG

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here