10 CERTOT SYAWAL

0
1297

Tajuk: 10 CERTOT SYAWAL
Karya: Xander Xavier

==================================

KISAH 1 – MALAM RAYA

‘Perjalanan jauh tak kurasa, kerna hatiku melonjak sama,
Ingin berjumpa sanak-saudara, yang selalu bermain di mata…’

Menyanyi-nyanyi aku malam ni. Maklumlah, orang teruja nak balik kampung lepas dua tahun berturut-turut kena kerja malam raya. Nasib baik tahun ni bos bagi cuti, kalau tak memang aku buat demostrasi dekat pejabat tu. Dengan kereta Kenari merah yang dah setahun lebih tak servis, aku memandu pulang dari Kuala Lumpur ke kampung halaman di Felda Papan Timur, Kota Tinggi, Johor. Jauh tak? Nun di tenggara Johor.

Aku lalu jalan kampung. Saja nak adventure. Aku dah tetapkan pada Waze untuk elakkan jalan ber-tol. Tapi kenapa makin lama, semakin pelik pula jalan ni aku tengok? Bersimpang-siur. Masuk kampung, keluar kampung. Akhirnya aku ambil keputusan untuk masuk semula ke lebuh raya. Kereta aku berhentikan untuk tetapkan Waze semula.

‘Knock! Knock!’

Tingkap aku diketuk oleh seorang pak cik berkemeja biru. Tak tahu dari mana dia datang. Aku ragu-ragu juga untuk buka tingkap pada mulanya. Ya lah, hantu dah lepas ni. Pak cik ni orang ke hantu? Aku hanya mampu bersangka baik dan buka tingkap tu.

“Dik, kamu buat apa berdua-duaan malam-malam dekat tempat gelap macam ni? Sijil kahwin ada?” Pak cik tu tanya. Aku dah rasa tak sedap hati.

“Eh, mana ada dua orang, pak cik. Saya sorang je dari KL nak balik JB ni. Saya rasa saya sesat lah pak cik.”

“Habis tu perempuan cantik sebelah kamu tu siapa?” Pak cik tu suluh ke dalam kereta.

Perlahan-lahan aku toleh. Ada perempuan menyeramkan dengan muka terbakar menyeringai ke arah aku. Ya Allah, aku nak balik!

KISAH 2 – PAGI RAYA

Aku tak tahu macam mana aku boleh ada keberanian untuk teruskan pemanduan sampai ke kampung juga. Lepas aku toleh, perempuan tu terus hilang. Aku segera minta diri dengan pak cik tu, dan berlalu pulang. Radio aku pasang kuat-kuat. Aku terpaksa berhenti di setiap RNR untuk tenangkan diri punya pasal.

Masa aku sampai, takbir raya dah berkumandang, jadi aku terus ke masjid. Mandi di situ dan menyarung pakaian raya. Usai solat hari raya aku termenung di hadapan pintu masjid. Mana capal aku?

Inilah perkara paling menyeramkan yang boleh berlaku di masjid setiap pagi raya.

KISAH 3 – SIANG RAYA

Aku memarkir kereta di bahu jalan. Kenapa bahu jalan? Welcome to Felda Papan Timur, everybody! Setiap peneroka secara puratanya ada 7 hingga 8 orang anak. Setiap anak ada kereta. Tu tak tambah cucu yang dah besar dan ada kereta lagi. Ke bahu jalanlah jadinya.

Dari jauh mereka dah nampak aku berjalan masuk ke halaman rumah dengan berkaki ayam. Dipanggil-panggilnya aku suruh masuk. Tanah merah berbatu-batu tajam di halaman rumah memaksa aku berlari jugalah.

“Kasut Pok Cu mana?” Seorang budak perempuan umur lebih kurang 4 tahun tanya aku masa nak masuk beranda rumah. Abang-abang dan akak-akak setiap pagi raya akan ‘port’ di halaman rumah sebab dalam pukul 10 pagi rombongan bara’an akan bermula.

“Kena rembat.” Aku masuk dan sesi bermaaf-maafan pun bermula. Ada yang tak sangka aku berjaya sampai pagi raya tu, tak kurang juga yang kata aku semakin gemuk.

Lepas tu sesi memberi duit raya pula bermula. Ni tahun pertama aku dapat bagi anak-anak sedara aku duit raya secara lengkap. Kalau tak memang tunggu aku raya rumah diorang lah, baru dapat duit raya. Budak yang tegur aku tadi tengah seronok makan kuih raya. Sepupunya yang lain semua dah dapat, dia saja belum. Aku duduk di sebelahnya.

“Nama siapa? Anak siapa ni? Pok Cu dah lama tak balik kampung, tak kenal dah semua. Nak duit raya tak?”

“Woi, Wal! Kau cakap dengan siapa tu?” Abang long tegur aku dengan tangan dipenuhi rempeyek.

“Tak, ni anak sia…” Aku pandang budak tu lagi. Dah tak ada!

KISAH 4 – MALAM RAYA PERTAMA

Bunyi mercun dan desiran bunga api memeriahkan malam tu. Seronok tengok anak-anak sedara main, teringat masa aku kecil dulu. Mana diorang dapat stok bunga api dan mercun banyak-banyak macam ni pun aku tak tahulah. Tapi kalau nak tengok bunga api dan mercun merdeka percuma, naik atas bukit masjid. Kita boleh tengok bunga api dari Papan Timur, Bandar Mas (kampung sebelah) dan Sungai Mas (kampung sebelahnya lagi) sekali gus. Rasa macam dalam filem Hindustan, wei!

Seorang lelaki jalan menghampiri aku yang duduk di tepi longkang mengawasi anak-anak sedara. Muka macam aku kenal. Anak-anak jiran lah ni rasanya. Aku bertambah yakin tu anak jiran apabila di tangannya tersusun kemas mangkuk tepen.

“Bang, ni mak bagi. Makan tau, bang.” Dia tersenyum manis pada aku.

“Alright! Terima kasih, dik. Kirim salam mak.” Aku bersalaman dengannya sebelum dia berlalu pergi.

Aku masuk ke dalam untuk melihat apa isinya. Wah, ayam masak merah! Makanan kegemaran aku. Mak tak masak ayam masak merah tahun ni. Rezeki! Rezeki! Aku ambil pinggan dan terus makan.

“Cu! Kau makan apa ni?” Kak Uda menampar-nampar pipi aku minta dikeluarkan makanan yang aku kunyah. Aku muntahkan. Tanah!

“Mana kau dapat ni, Cu? Mangkuk pun buruk gini.” Kak Uda membebel.

“Ada orang munjung.” Ringkas jawapan aku. Fobia.

“Orang munjung sebelum raya, malam raya, pagi raya. Mana ada orang munjung dah malam raya pertama macam ni!”

KISAH 5 – HARI RAYA KEDUA

Biasanya, hari raya kedua macam ni mesti ada mak cik, pak cik jauh yang korang tak pernah tahu kewujudannya akan memunculkan dirikan? Ha… Dekat sini pelbagai soalan maut akan ditanya. Kena pandai mengelak guna jurus-jurus tertentu. Soalan paling menyeramkan yang aku pernah dapat jatuh kepada…

“Gaji berapa?”

Tanya aku pasal kahwin, aku ok. Gaji sensitif tau!

KISAH 6 – MALAM RAYA KEDUA

“Jom raya rumah Pak Yop.” Ajakan mak tadi siang disambut meriah oleh cucu-cucu dan anak-anaknya yang lain. Aku sebagai seorang introvert sejati yang jarang dapat cuti bersungguh cakap tak nak ikut. Baik duduk rumah golek-golek terngok TV. Tapi diheret juga oleh abang-abang dan ipar-ipar yang jauh lebih sasa dari aku.

Kami tak jadi ke rumahnya sebab Pak Yop dah mula buka kedai, jadi kami ke kedainya saja. Kunjungan kami di sambut gembira. Aku tahu yang Pak Yop ni ahli perniagaan makanan yang berjaya. Ada sesuatu yang menghairankan aku. Perniagaan dia berjaya sebab kebolehan memasaknya ke atau sebab orang besar dengan lidah panjang yang sedang menjilat-jilat makanan niaganya?

KISAH 7 – SIANG RAYA KETIGA

Setiap raya ketiga, mak akan masak makanan raya lagi. Ketupat dan lain-lain. Tahun ni mak bertindak extreme. Mentang-mentang anak dia ramai balik tahun ni, disuruhnya kami masak dodol. Walaupun penat tapi serius seronok.

“Wal, tolong hantar ni dekat rumah Imam Badran. Kau ingat lagi tak rumah dia?” Kak Chik menghulurkan sebungkus dodol.

“Oh, pak mertua kau yang tak jadi tu kan?” Aku sengaja menyakat.

“Derhaka punya budak!” Dia cubit aku.

Dengan langkah malas aku naik motor. Pusing punya pusing punya pusing. Tak jumpa-jumpa. Banyak betul berubah dalam masa 2 tahun. Aku cuba ingat-ingat. Akhirnya aku dapat satu petunjuk. Jumpa! Sama tak berubah macam dulu lagi rumah Imam ni. Aku turun dan bagi salam.

“Assalamualaikum.” Baru aku nak bagi salam kali kedua pintu rumah terkuak. Keluar seorang gadis ayu. Anak imam ke ni? Lawa gila.

“Saya nak bagi dodol dekat ayah. Ayah ada rumah?” Aku tanya dengan suaran ala-ala Remy Sahak.

“Ayah tak ada. Bagi kita je, nanti kita bagikan dekat ayah.”

Aku patuh. Tak sempat aku tanya nama, dia dah tutp pintu.

Zohor tu aku jumpa Imam Badran.

“Pak Imam dapat tak dodol saya bagi tu?”

“Dodol?” Dia nampak keliru.

“Haah, tadi saya ada hantar dodol dekat rumah Imam. Anak perempuan Imam yang ambil. Siapa nama dia? Lawalah.” Aku tersipu-sipu.

“Kamu pergi rumah yang mana satu ni?” Dia nampak lagi keliru.

“Rumah Imam yang dekat jalan XX tu.” Aku nampak dia macam tu, ak pun ikut cuaklah.

“Saya dah lama tak duduk situ. Rumah tu pun memang kosong je, tak ada orang nak sewa. Lagi pun, saya tak ada anak perempuan.”

Rumah mana yang aku pergi tu? Patutlah banyak pasu pecah dekat depan rumah tu.

KISAH 8 – MALAM RAYA KETIGA

Kenapa aku dapat gangguan-gangguan macam ni? Aku berfikir keras. Dari malam raya aku macam ni. Aku hanya golek-golek memandang bumbung. Tiba-tiba ada sesuatu… Aku kecilkan mata. Sesuatu tu merangkak-rangkak. Perempuan! Macam mana dia boleh ada atas tu? Aku pindah lari naik atas katil sebelah mak dan bapak. Dipukul-pukul juga aku sebab dah besar panjang pun nak tidur dengan mak bapak lagi. Tapi tak apa, aku lebih rela kena parang dengan bapak dari kena ngadap ‘perempuan’ tu dekat ruang tamu.

KISAH 9 – SIANG RAYA KEEMPAT

Aku dah kena balik sebab raya kelima dah naik kerja. Dengan langkah lemah aku masuk ke dalam kereta. Baru aku sedar tadi malam yang benda-benda tu semua bukan mainan akal aku semata-mata. Mak muatkan kereta aku dengan macam-macam benda. Ketupat, rendang, buah dan lain-lain. Usai bersalaman dengan semua yang masih berbaki di rumah tu, aku terus bergerak. Lebuh raya aku pilih kali ni. Cukuplah sekali nampak perempuan ngeri tu.

Dalam perjalanan aku ke Kuala Lumpur aku biasanya menadu di bahagaian tengah. Sampai di satu kawasan aku berselirih dengan sebuah bas ekspres yang memandu di bahagian kira. Sempat aku melirik ke arah bas tu. Alangkah terkejutnya aku apabila aku dapati semua orang yang duduk di bahagian kanan bas, yang paling dekat dengan tingkap aku adalah ‘hantu-hantu’ yang aku temui dari malam raya hingga kelmarin malam.

Pak cik kemeja biru adalah pemandu bas. Perempuan muka terbakar, budak kecil, lelaki mangkuk tepen, ‘anak’ Imam, dan perempuan merangkak. Semuanya memerhati aku. Aku beristighfar dan terus memandu.

KISAH 10 – MALAM RAYA KEEMPAT

Aku ke rumah sahabat baik aku. Amir. Dia pasti tahu jawapannya. Aku ceritakan semuanya.

“Syawal, Syawal. Kau yang cari masalah kan? Kau tak ingat ke? Kan kau buka hijab mata kau sebab kau acah-acah nak jadi penulis skrip cerita seram dulu. Lepastu, kau kemalangan. Kau terkejut benda tu lalu depan mata kau. Kau punya pasal bas ekspres tu terbabas. Sorang perempuan tu bomba tak sempat keluarkan, bas dah meletup. Dah 3 tahun lepas dah, Wal. Memori kau terjejas masa tu. Sekarang kau dah boleh tengok kitorang balik kan?”

Kepala aku kusut. Kemalangan? Kenapa? Bila? Tapi…

“Kitorang?”

“Kau ingat aku hidup lagi ke? Aku yang teman kau pergi buka hijab. Balik tu KITA kemalangan dengan bas. Aku mati, kau hidup. Selamat hari Raya Wal, kitorang dah lepas.”

Amir menyeringai.

-TAMAT-

SHARE
Previous articleDI SEBALIK DINDING
Next articleSERAM RAYA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here